BORHAN AHMAD
Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ahmad Awang meminta para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan (PH) tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan antara satu sama lain.
Permintaan ini dikeluarkan beliau selepas bertemu dengan Anwar bersama timbalan beliau, Datuk Wira Abdul Ghani Shamsuddin kelmarin.
“Buat masa sekarang saya minta kedua-dua pihak bertenang, tidak saling serang menyerang dan menilai semua maklumat dengan sangka baik dan tabayyun,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.
Pertemuan hampir satu jam di rumah Anwar itu berjalan dengan baik dan beliau bercadang untuk bertemu dengan Tun Dr Mahathir pula selepas ini.
Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Ghani adalah sahabat lama Anwar sebelum ini.
Ketiga-tiga mereka sangat rapat ketika Anwar memimpin Abim bersama Ustaz Ghani manakala Ahmad Awang pula memimpin Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri (Sebelum tertubuhnya Jakim).
“Ada ruang perbincangan dan berjalan dengan sangat baik,” beritahu Ustaz Ahmad Awang ringkas tentang pertemuan yang bertujuan memahami kedudukan selepas perbincangan untuk menentukan bakal perdana menteri PH Plus gagal.
Anwar dalam facebook beliau memaklumkan pertemuan dengan dua penasihat AMANAH itu.
“Hari ini (23 Jun) dikunjungi Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Ghani Samsudin di pejabat. Kami bersahabat lama sejak zaman ABIM, dan sudah tentu banyak yang dibicarakan.
“Pengukuhan gabungan PH juga antara yang disentuh. Alhamdulillah,” kata Anwar dipetik dari Facebook beliau.
Sebelum ini, PKR pimpinan Anwar menolak cadangan agar Dr Mahathir dilantik semula sebagai perdana menteri manakala beliau sebagai timbalannya selama enam bulan sebelum ia diserahkan kepada beliau.
Ekoran itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak bekerjasama lagi dengan PKR kerana penolakan Anwar itu tetapi akan terus bekerjasama dengan AMANAH dan DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan