Dakwaan Azmin kami adalah binatang tidak akan dilupakan, kata Umno Gombak

MALAYASIA DATELINE
Ketua Umno Gombak Megat Zulkarnain Omardin berkata 40,000 ahli Umno di kawasan itu masih ingat bagaimana Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersendakan parti itu dengan menyamakannya sebagai binatang ketika masih dalam PKR.

Menurut laman web, Free Malaysia Today, sebahagian besar akar umbi parti itu masih terluka dengan kenyataan Azmin itu yang mungkin menjejaskan peluang menteri kanan berkenaan kekal di Parlimen Gombak pada pilihan raya umum akan datang.

“Beliau kata minta tinggalkan 1 atau 2 spesies Umno hidup supaya bila anak cucu tanya apa itu Umno? Itu binatang apa, dia senang tunjuk. Perkara ini masih berlegar dalam kalangan ahli Umno dan bukan mudah untuk dilupakan.

“Dalam politik kita boleh ada idealogi politik dan pandangan berbeza. Namun, kita mesti ada 1 sempadan…bila ada pukul lebih dari sempadan, pukulan diterima di bawah pinggang ini selalunya akan diingati.

“Setakat tampar-tampar mungkin boleh lupakan tetapi kita bercakap atas akar umbi, perlu hormat 40,000 ahli Umno yang sepakat untuk Muafakat Nasional (MN) kerana ia adalah kawasan majoriti Melayu, perkara ini perlu dilihat serius,” katanya kepada FMT.

Kenyataan Megat itu muncul ketika spekulasi sama ada Azmin akan kekal di kerusi Parlimen Gombak yang diwakilinya sejak 2008 atau terpaksa mencari kawasan lain jika pencalonannya tidak disokong Umno dan PAS dalam MN, lapor laman itu.

Bekas timbalan presiden PKR itu dikatakan antara penggerak “langkah Sheraton” yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Azmin menang kerusi Parlimen Gombak dengan majoriti 48,721 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Rahim Kamarudin dan PAS, Khairil Nizam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan