Umno akan ‘bunuh’ PAS, kata Kadir Jasin

FMT Reporters
PETALING JAYA:
Bekas ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) PPBM A Kadir Jasin percaya Umno akan membunuh PAS seperti mana parti Melayu itu membunuh Parti Negara pada 1954.

“Umno menjadi parti dominan dan hegemonik dengan tidak bertolak ansur terhadap parti lawan, khususnya parti serpihannya sendiri.

“Umno menyekat, menelan atau membunuh parti serpihannya bermula dengan PAS pada 1951 dan Parti Negara pada 1954. Umno berjaya menamatkan riwayat Parti Negara tetapi belum berjaya membunuh PAS.

“Umno akan bunuh PAS seperti ia membunuh Parti Negara. Ia sudah pun menelan Parti Melayu Semangat 46 pada 1996,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Kadir mendakwa, Umno sudah terlalu biasa dengan kuasa dan kekayaan, malah tidak boleh hidup dalam kekalahan.

“Pemimpin Umno tahu lagi lama mereka dalam rimba politik, semakin kurang sokongan kepada parti mereka. Maka dengan bantuan PAS, mereka mulakan kempen meracuni fikiran orang Melayu-Islam kononnya Pakatan Harapan (PH) dikuasai oleh DAP.

“Di pihak PPBM pula, setelah kalah 2 pilihan raya kecil iaitu DUN Semenyih dan Parlimen Tanjung Piai, ia ketakutan. Ramai ahli majlis pimpinan tertingginya percaya parti itu akan ditolak oleh orang Melayu kalau terus bersama DAP dalam PH. Itulah mantera Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat tergempar MPT pada 23 Februari lalu,” dakwanya.

Beliau mendakwa, Muhyiddin membawa PPBM masuk Muafakat Nasional berikutan keadaan yang mendesak.

“Kalau dalam Perikatan Nasional yang kononnya diterajui oleh PPBM pun kedudukan parti itu umpama melukut tepi gantang, dibuli oleh Umno dan PAS, bayangkan dalam Muafakat Nasional yang diketuai Umno.

“Dengan itu semakin mudahlah Umno “menghabiskan” PPBM. Bila tidak ada lagi PPBM, bolehlah Umno menumpukan masa dan tenaga menangani PAS atau setidak-tidaknya pun mengUmnokan parti tersebut,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan