Jika jujur, masih sempat lagi PN, BN beri satu kerusi pada Pas

SITI NUR ZAWANI MISCON
Parti kecil seperti AMANAH pun diberi laluan untuk bertanding dengan sekurang-kurangnya satu kerusi, mustahil parti besar seperti Pas dibiarkan terkulat-kulat tanpa sebarang kerusi, kata Ketua Penyelidik Ilham Centre Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Menurutnya, masih sempat untuk Perikatan Nasional atau Barisan Nasional (BN) memperbetulkan keadaan dengan sekurang-kurangnya memberikan satu kerusi untuk ditandingi oleh Pas.

Kata penganalisis itu lagi, jika PN atau BN jujur bersahabat dengan Pas, ada beberapa kerusi berpotensi yang boleh diberikan kepada parti itu dalam PRN Sabah ini.

“Sempena kunjungan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sabah, masih sempat untuk PN atau BN memperbetulkan keadaan, berilah satu kerusi untuk ditandingi oleh Pas, sekurang-kurangnya sebagai penawar jiwa.

“Antara kerusi yang paling munasabah untuk ditandingi oleh Pas adalah Merotai. Dalam PRU lepas kerusi ini dimenangi oleh Warisan, disusuli BN menduduki tempat kedua manakala Pas ketiga dengan 1209 undi.

“Selepas ketiadaan LDP (Parti Liberal Demokratik), Pas yang paling sesuai diberi laluan untuk bertanding.

“Lagipun demografi kawasan tersebut menyaksikan hampir 80 peratus pengundi adalah Bumiputera-Muslim, segmen pengundi yang sangat sesuai dengan pembawaan Pas,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Tambahnya lagi, dengan bertanding sendirian pun Pas mampu memperolehi lebih 1,000 undi, jika disokong oleh PN dan BN dalam PRN ini, Pas berpotensi besar untuk melahirkan ADUN pertama di Negeri Bawah Bayu itu.

Terdahulu, selepas PN mengumumkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi komponen parti mereka, pimpinan Pas mula melahirkan kekesalan apabila parti itu tidak memperoleh walau satu kerusi untuk ditandinginya di Sabah.

Ahli pimpinan Pas juga mula menyindir dan berkata, “apabila sakit cari tongkat, bila dah sihat buang tongkat,” kata Iskandar Abdul Samad.

Riduan Mohd Nor yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat pula berkata “orang berbudi kita berbahasa, orang tak bagi kita berlaga”

Pas dilaporkan tidak bertanding di mana-mana kerusi biarpun melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini mengumumkan mahu bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan