Pas nak 10, tolak 1, tinggal 0

SITI NUR ZAWANI MISCON
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad menyindir pimpinan Pas susulan tidak diberikan sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Menerusi ciapannya di laman Twitter, Khalid secara berseloroh berkata, beliau tidak hairan dengan perkembangan di mana Pas tidak memperoleh sebarang kerusi walaupun membuat pemintaan 10 kerusi sebelum ini.

“Pas minta ’10’. Digugurkan hanya ‘1’, tak banyak pun, tinggallah ‘0’. Tak jauh lari pun. Dan tak hairan pun,” ciapnya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan meluahkan hasrat mahu bertanding di 10 kerusi DUN Sabah.

Bagaimanapun pengumuman calon yang dibuat semalam memperlihatkan Pas seolah dipinggirkan apabila tiada satu kerusi pun yang akan ditandingi parti itu

Perikatan Nasional (PN) pula mengumumkan kerusi yang akan ditandingi komponen parti mereka dengan BN sebanyak 31 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 19, diikuti lapan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan dua Parti Maju Sabah (SAPP).

PBS, satu-satunya parti yang hanya menjadi penyokong PN pula bertanding di 15 kerusi.

Pas juga sebelum ini dianggap sebagai ditimpa malang apabila sama sekali tidak dijemput oleh PN atau BN dalam majlis pengumuman calon kedua-dua gabungan tersebut.

Dalam pada itu, Khalid berkata, perkara sebaliknya berlaku terhadap AMANAH yang hanya diberikan satu kerusi tunggal pada PRN tersebut.

“AMANAH pula diberi satu (kerusi) untuk dijadikan anak sulungnya.

“Semoga Pas redha dengan peranannya dalam Perikatan Nasional (PN) dan AMANAH terus maju di negeri bawah bayu,” katanya.

Sementara itu, penulis Ipoh mali berkata Pas boleh mendapatkan dua hingga tiga kerusi di Sabah hanya sekiranya pilihanraya negeri di adakan dua bulan lepas.

Namun katanya, Pas disingkirkan ekoran kenyataan lancang Ulamanya yang mendakwa kitab injil telah ‘dipesongkan ataupun diubah’ selepas ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham berkata ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak, namun tidak sampai memabukkan.

Menurut penulis itu lagi, bukan hanya parti Sabah, bahkan MCA yang memperoleh empat kerusi di Sabah juga mahukan Pas disingkir.

“Kalau nak tahu itulah bayangan PRU-14. Pas selama kni mainkan sentimen agama, Isu hudud. Kononnya DAP anti Islam. Tak pernah langsung DAP kacau kawasan Pas bertanding. Tak kira di Sabah atau Sarawak.

“Hari ini bayangkan Allah Zahirkan, Pas adalah khadam sebenar kelompok anti Islam seperti MCA. Bagi Pas apa pun okay Janji bukan DAP. Sanggup jadi broker dan Barua Umno, Boneka Umno bak kata Almarhum Tok Guru Nik Aziz.

“Belum apa-apa lagi dah disisihkan. Tapi tak ada kami nak kata Pas jadi khadam kelompok Kuffar atau orang Kafir. Kalah Sabah lagi tersisih, apa lagi kalau di Sarawak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan