Krisis Perak: Apa solusi yang ada?

SYAZMIR HARIZ NOORAZALAN

Setelah undi percaya telah dikemukakan oleh Umno dalam Dewan Undangan Negeri Perak siang tadi, Ahmad Faizal Azumu telah disingkirkan sebagai Menteri Besar Perak apabila beliau hanya mendapat 10 undi menyokong, 1 undi berkecuali dan 48 undi menolak.

Tamatlah riwayat Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak yang mana membawanya dari PH setelah kerajaan PH tumbang. Lebih malang bagi Ahmad Faizal, ia dijatuhkan oleh YB UMNO sendiri yang merupakan parti komponen dalam kerajaan PN.

Pesuruhjaya PAS telah meluahkan perasaan kecewanya terhadap pengkhianatan ini. Katanya penyingkiran ini merupakan satu pengkhianatan tetapi apabila kerajaan PH jatuh diperingkat Perak dan pusat satu ketika dahulu ia tidak boleh difatwakan sebagai pengkhianatan. Sukar membaca mantiq pemimpin Pas ini. Sebagai balasan, PAS melalui Setiausaha Agungnya menyatakan yang PAS tidak akan terlibat untuk pembentukan kerajaan baru di Perak.

Bagi pihak Umno pula, ahli parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz berkata penyingkiran ini telah dirancang 2 bulan yang lalu. Jika benar maka Pas sebagai kekasih hati Umno tidak mengetahui akan tindakan ini. Setelah Pas merajuk, Ahmad Maslan selaku Setiausaha Agung Umno menyatakan penyingkiran ini tidak melibatkan pertukaran kerajaan, ia melibatkan pertukaran Menteri Besar sahaja. Benarlah yang Pas tidak mengetahui usaha ini, kalau tidak masakan Pas mahu merajuk sehingga tidak mahu terlibat dalam kerajaan baru yang bakal dibentuk di Perak.

Kedudukan ini sangat menyulitkan apabila BN mempunyai 25 kerusi, PH 24 kerusi, PAS 3 kerusi, Bersatu 5 kerusi dan Bebas serta Gerakan masing-masing 1 kerusi. Jika Pas tidak mahu terlibat dalam penubuhan kerajaan baru, manakala Bersatu tidak mahu menyokong BN akibat terluka dengan pengkhianatan yang dilakukan Umno pada Ahmad Faizal, maka apakah solusi yang ada untuk kerajaan dibentuk?

Ada pandangan yang menyatakan bahawa sekarang adalah masanya Umno dan sebahagian parti dalam PH bergabung dan ia akan menjadi perintis kepada ura-ura penubuhan kerajaan campuran diperingkat Pusat. Bagi penulis, usaha Umno dan sebahagian parti dalam PH untuk bergabung masih terlalu sukar kerana pastinya tindakan ini akan memecah-belahkan PH kemudian hari.

Usaha penggabungan ini boleh dilakukan dengan cara Umno perlu bergabung dengan keseluruhan parti yang ada dalam PH. Bukan Umno+PKR+AMANAH sahaja, atau Umno+DAP sahaja. UMNO perlu bergabung dengan DAP,AMANAH dan PKR. Jika syarat ini mampu dilaksanakan, ia mampu mengurangkan risiko konflik dalam kalangan PH. Kerana PH bergerak dalam satu pasukan yang sama dengan pasukan BN (UMNO).

Mengapa PH perlu bersama Umno? Tiada cara lain? Bagi penulis, kaedah lain ialah mengekalkan status lama di mana Umno+Bersatu+Pas kekal sebagai kerajaan PN dan hanya bertukar MB. Itu jika dikekalkan, jika perpecahan PN semakin besar, suka atau tidak PH perlu bergabung dengan Umno ataupun PH perlu mendapatkan sokongan dari semua wakil rakyat Bersatu termasuk Bebas atau Gerakan.

Ahmad Faizal serah surat letak jawatan MB, seluruh exco

Ng Xiang Yi

Adun Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri besar Perak kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini.

Kata Ahmad Faizal ia diserahkan semasa dia mengadap Sultan Nazrin jam 3 petang tadi.

"[...] dan di kesempatan berkenaan saya telah menyerahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai menteri besar Perak dan seluruh ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

"Saya menyembahkan rasa penghormatan untuk berkhidmat di bawah naungan kerajaan Paduka Seri Sultan," katanya.

Ahmad Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu berkata demikian pada sidang media khas di Laman Seri Ridzuan di Ipoh hari ini.

Turut kelihatan hadir, Pesuruhjaya PAS Perak merangkap Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria.

Ahmad Faizal juga menyatakan pelbagai rancangan dan tindakan kerajaan negeri secara menyeluruh, termasuk pembinaan Rumah Ngaji Perak dengan peruntukan RM1 juta. 

"Adalah diharapkan dengan bantuan ini kita akan memperoleh ketenangan jiwa, malahan apabila ada orang tuduh kita menghisap syabu, hisap dadah, kita tetap tenang kerana kita tahu hanya Allah maha Mengetahui," katanya.

Perdana Menteri bakal jadi pembangkang di negeri sendiri

AMNI JAGAT

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman hari ini menegaskan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi pembangkang di Johor.

Ujarnya ketika dihubungi berkata situasi yang melanda negeri Perak semalam yang kini bertiup kencang di Johor bakal merubah landskap politik di sini.

“Tan Sri Muhyiddin adalah salah seorang Adun di Johor dan dalam keadaan yang majoriti tipis seperti di Johor ini beliau harus memilih jalan sama ada untuk menjadi pembangkang atau meneruskan agenda menjadi kerajaan.

“Serangan balas boleh berlaku seperti mana kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang Adun Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) untuk membalas dendam atas apa yang berlaku di Perak.

“Ia juga seperti mana amaran yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen untuk membalas dendam di Johor sejurus kegagalan Ahmad Faizal Azumu melepasi undi percaya di DUN Perak semalam.

“Pertembungan ini akan membuatkan perlawanan semakin terbuka selepas krisis Bersatu dan Umno ini dizahirkan melalui protes terhadap Menteri Besar (MB) di Perak,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau yang merupakan Adun Pulai Sebatang berkata pertembungan tersebut dijangkakan akan berlaku pada hari Ahad kerana berlakunya undia dalam Belanjawan Johor.

“Esok (Ahad) adalah penting yang akan membuktikan keabsahan antara pertembungan Bersatu Umno ini dan kita akan lihat apa yang berlaku.

“Sekiranya gabungan di Perak ini berjaya dilakukan di Johor bermakna ia akan melakar sejarah baharu apabila Perdana Menteri menjadi pembangkang di Dun negeri beliau sendiri.

“Bagi kami apa yang paling utama adalah untuk memastikan segala keperluan dan kebajikan rakyat terus menjadi agenda utama dari pihak kami,” ujarnya lagi.

Johor: Pihak kerajaan akan tewas jika 2 Adun berkecuali atau tidak hadir

Boikot boleh berlaku di sidang DUN Johor esok

AMNI JAGAT

Sidang Dewan Negeri (Dun) Johor kini kembali hangat diperkatakan selepas apa yang berlaku semalam di Dun Perak yang telah melakukan pengundian percaya kepada Menteri Besar (MB) di Perak.

Mengulas perkara itu, Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain telah menggambarkan bahawa sidang Dun di Johor Ahad ini berkemungkinan boleh berlaku boikot di kalangan Adun kerajaan.

Jelasnya, Dun Johor yang mempunyai majoriti yang terlalu tipis itu adalah ruang dan peluang kepada mana-mana pihak untuk menunjukkan sikap menentang selepas apa yang berlaku di Perak.

“Boleh berlaku boikot apatah lagi esok (Ahad) adalah undian untuk Belanjawan Johor. Ini membuka peluang kepada mana-mana pihak untuk bersikap serangan balas atau sebaliknya.

“Kita melihat apa yang berlaku di Perak itu sebagai suatu pembuktian yang nyata antara Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Umno yang mengalami krisis kepercayaan antara satu sama lain.

“Ia pastinya boleh merebak ke negeri-negeri lain terutamanya Johor yang mempunyai ‘slim majority’ dan Adun yang terdiri dari kedua parti yang sedang krisis itu,” jelasnya ketika dihubungi.

Beliau turut memberi respon berkenaan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku termasuk dari Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jangan kita lupa di Johor salah seorang Adunnya adalah Tan Sri Muhyiddin dan di Johor cukup untuk dua Adun berkecuali atau tidak hadir maka akan tewaslah pihak kerajaan.

“Kena diperhatikan gerakan Umno di Perak itu adalah dengan menggugurkan Timbalan Presiden Bersatu yang menjadi orang kuat Muhyiddin dan inilah masanya serangan balas dibuat.

“Inilah dilema yang dihadapi oleh kerajaan hari ini dalam melaksanakan pelbagai agenda yang memberi manfaat kepada rakyat,” jelasnya lagi.

2 perkara perlu dipelajari melalui usul undi percaya Perak

DR ZULQARNAIN LUKMAN

Nampaknya negeri Perak kekal sebagai sebuah negeri yang mempunyai pergolakan politik yang paling hebat dalam sejarah Tanah Melayu dan Malaysia. Pergolakan yang bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874 yang membawa kepada peristiwa JWW Birch dibunuh dan Dato’ Maharajalela Pasir Salak dihukum.

Kini pada awal abad ke 21, berlaku pula peristiwa MB Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaludin dilucutkan jawatan yang bukan sahaja mengubah kedudukan politik bahkan juga mengubah sistem perlembagaan negara apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perlucutan jawatan Menteri Besar tidak perlu diuji di dalam Dewan Undangan Negeri. Cukup dengan wujud surat akuan sahaja maka Raja boleh melantik seorang Menteri Besar yang baharu dan jawatan Menteri Besar yang lama akan terlucut secara automatik.

11 tahun selepas peristiwa pemecatan Dato’ Seri Nizar, negeri Perak mempunyai sejarah yang baharu yang mana seorang Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Faizal Azumu menyaksikan beliau kalah dalam usul undi percaya.

Jika selama ini kita sering mendengar tentang usul undi tidak percaya tetapi kali ini wujud pula usul undi percaya digunakan untuk menjatuhkan seorang Menteri Besar. Usul undi tidak percaya sering digunakan oleh pembangkang tetapi usul undi percaya ini digunakan oleh penyokong kerajaan.

Anehnya usul undi percaya ini meskipun dibawa oleh adun kerajaan dan disokong juga oleh adun kerajaan tetapi apabila sampai masa mengundi tidak pula pembawa usul itu menyokongnya.

Inilah dinamika politik negara bernama Malaysia. Ruang undang-undang disulam rapi dengan permainan politik. Apa pun tindakan politik itu masih dalam ruang lingkup demokrasi berperlembagaan. Bahkan cara sebegini lebih terpuji daripada menjadi kerajaan dengan cara tebuk atap atau pintu belakang kerana cara tebuk atap itu hanya bersandar rapuh kepada sebuah surat akuan. Ianya dibuat dalam ruang rahsia yang terlindung daripada mata orang ramai. Berbanding dengan sebuah usul yang dibuat di dalam Dewan, ianya dilihat oleh semua orang dan keputusan dalam Dewan tidak boleh diubah melainkan dengan melalui proses Dewan juga. Sesiapa yang mengubah keputusan Dewan akan dikenang sepanjang zaman sehingga ratusan tahun akan datang sebagai pengkhianat Perlembagaan.

Justeru, keputusan DUN Negeri Perak ini menyebabkan ramai pemimpin politik negara khasnya parti PPBM terkedu tidak keruan dan seperti tidak tahu apa yang patut dibuat selepas ini. Begitu juga dengan respons langsung pemimpin Pas yang menjadi sebahagian anggota kerajaan Perak dan Persekutuan.

Yang nyata, Paduka Tuanku Sultan Perak tahu apa yang patut dibuatnya. Baginda segera memanggil Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menghadapnya. Ini kerana jika seorang MB itu kalah undi percaya maka hanya ada 2 pilihan untuknya iaitu meletakkan jawatan atau memohon untuk membubarkan DUN. Namun, beliau sendiri menyatakan bahawa beliau tidak akan membubarkan DUN. Maka, tujuan menghadap Baginda itu semestinya bagi tujuan meletakkan jawatan.

Baginda juga segera memanggil ketua-ketua parti untuk menghadap Baginda. Pastinya Baginda dalam proses untuk melantik seorang MB yang baharu. Ini tugas asas seorang Raja untuk berbuat demikian.

Tindakan Baginda yang tegas dalam mematuhi kehendak Perlembagaan tanpa mencampur aduk dengan perasaan dan kehendak peribadi adalah sangat profesional berbanding jika seorang Raja menitahkan sesuatu urusan politik untuk dipersetujui oleh semua ahli dewan seumpama menitahkan untuk semua ahli Dewan menyokong sesuatu rang undang-undang. Seorang Raja harus berada di atas politik kerana Raja yang bertindak mengikut kehendak politik akan terbuka untuk dikritik. Biarlah urusan ahli politik diputuskan oleh ahli politik di dalam Dewan sendiri hatta jika berlaku lagi peristiwa seumpama ini sekali lagi pun biarlah ianya berlaku kerana panduan untuk bertindak sudah wujud dalam Perlembagaan.

Peristiwa usul undi percaya pada 4/12/2020 ini amat mengejutkan ramai pihak. Ianya disusun dengan rapi sehinggakan Majlis Tertinggi Umno di peringkat Persekutuan juga menafikan pernah membincangkan hal ini.

Tindakan politik yang mengejut ini dengan berselindung di sebalik usul undi percaya (yang lazimnya untuk menyokong MB) telah digunakan untuk memulas tengkuk MB. Berbanding jika dibuat usul undi tidak percaya tentu sekali ianya akan jelas di mata khalayak bahawa tindakan itu dibuat untuk mengguling MB.

Sama juga dengan Langkah Sheraton tempohari pastinya telah dirancang berbulan bulan tetapi ianya tidak dapat dihidu oleh pimpinan utama PH. Jadi, modus operandi hampir sama digunakan dan seharusnya dipelajari oleh pemimpin PH. Tindakan membuat pengumuman sidang media strong, convincing and formidablle pastinya akan mengundang musuh untuk merancang gerakan tindak balas untuk outsmart tindakan itu. Biarlah sesuatu tindakan itu dirancang secara rahsia dan selepas ianya berhasil maka baharulah hal itu didedahkan kepada orang ramai.

Ada 2 perkara yang kita pelajari dalam ilmu perlembagaan melalui peristiwa usul undi percaya Perak ini yang tidak disebut secara nyata dalam mana mana buku teks Perlembagaan.

Pertamanya, untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri atau Menteri Besar tindakan penyingkiran harus dibuat terlebih dahulu. Tindakan penyingkiran yang dibuat di dalam Dewan lebih berautoriti dan tiada pertikaian berbanding dengan tindakan penyingkiran secara tebuk atap atau melalui sidang media atau melalui surat akuan.

Keduanya, setelah berlaku penyingkiran maka baharulah dibuat tindakan politik untuk meyakinkan Istana untuk melantik seseorang yang mempunyai majoriti sokongan ahli Dewan sebagai Perdana Menteri atau Menteri Besar.

Tindakan ini harus pantas dan dirancang dengan rapi kerana sekiranya tidak berhati-hati maka pihak lain akan dengan pantas akan mengambil kesempatan untuk mengangkat sumpah terlebih dahulu (Orang kata potong tang konar). Jika tindakan angkat sumpah telah dibuat maka orang yang bercita-cita untuk menjadi MB atau PM akan menghadapi kesulitan untuk mengulang kembali langkah yang pertama.

MB Perak diguling: 'Boleh jadi Bersatu balas dendam di Johor' - Osman

 Malaysiakini 

Adun Bersatu Kempas, Osman Sapian membayangkan apa yang terjadi di Perak mungkin boleh juga berlaku di Johor.

Ini selepas Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu digulingkan sebagai menteri besar Perak semalam.

Kata Osman, Bersatu Johor barangkali boleh membalas dendam terhadap Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad yang berasal dari Umno.

Osman berkata dia terkejut apabila Faizal digulingkan kerana Umno dan Bersatu telah menjadi anggota gabungan yang sama yang membentuk kerajaan persekutuan dan negeri selama lapan bulan.

"Lebih-lebih lagi Ahmad Faizal merupakan timbalan presiden Bersatu, sudah tentu mengguris perasaan kami selaku ahli parti.

"Saya sendiri selepas mendengar berita ini amat terkejut dan sedih sedang­kan kita bersama lebih lapan bulan membentuk kerajaan persekutuan dan negeri.

“Kalau ikutkan, boleh jadi balas dendam dengan melakukan perbuatan sama dilakukan wakil rakyat Bersatu kepada menteri besar daripada Umno," katanya, petik laporan Utusan Malaysia.

Menurut Osman, kepemimpinan Bersatu lebih berhak untuk memutuskan hal ini.

"Namun saya tidak mahu ulas benda ini lebih-lebih kerana saya bukan kepimpinan negeri.

“Kita tengok dahulu sama ada ia boleh berlaku di Johor atau sebaliknya. 

"Namun segalanya terserah kepada keputusan kepimpinan parti sama ada di peringkat pusat dan negeri yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya lagi.

Adun Umno bersekongkol dengan Adun DAP jatuhkan MB melayu Islam?

DINAMIKA POLITIK DI PERAK TAK MUSTAHIL DIPANJANGKAN KE PARLIMEN

1. Hari ini DUN Perak telah melakukan undi percaya (vote of confidence) terhadap Menteri Besarnya dan keputusan tolak 48 berbanding terima 10 telah diputuskan. Ini bermakna DS MB atau dikenali sebagai Peja telah gagal mempertahankan kepercayaan terhadap kepimpinan beliau dan terpaksa melepaskan jawatannya.

2. Dari sudut tindakan, keputusan Speaker menerima usul tersebut bertepatan dengan kehendak demokrasi. Ini adalah kerana sidang kali ini adalah sidang belanjawan dan keperluan keabsahan kedudukan MB perlu mendahului segala agenda.

3. Lebih menarik untuk diperhatikan ialah 48 undi yang diperolehi adalah kombinasi ADUN dari Umno 24 dan solid 24 dari PH. PH terdiri daripada DAP, AMANAH dan PKR. Walaupun UMNO dan PH tidak ada pakatan politik tetapi keduanya berjaya menjatuhkan MB dari Perikatan Nasional yang dibentuk bersama UMNO.

4 UMNO tidak kekok untuk menerima sokongan DAP yang dicanang anti-Melayu dan anti-Islam untuk menukar MB PN yang melaungkan kerajaan Melayu Islamnya bersama PAS.

5. Apa yang berlaku di Perak membawa isyarat penting dinamika politik yang sedang bergolak di peringkat Persekutuan. ADUN UMNO di Perak telah membuktikan sokongan ADUN PH untuk mencapai sesuatu usul berkepentingan bersama bukan mustahil.

6. Jikalau kita panjangkan kes DUN Perak ke Parlimen, sememangnya tidak mustahil MP UMNO berganding undi dengan MP PH untuk menentukan nasib TSMY yang hingga kini gagal mengabsahkan kedudukannya.

7. Insiden undi di DUN Perak juga membuktikan PH bersikap terbuka dalam memastikan proses demokrasi berjalan di atas landasannya. Apakah MP UMNO boleh berbalas sikap terbukanya untuk selamatkan demokrasi secara majoriti di Parlimen Persekutuan pula?

Kita tunggu episod pergolakan seterusnya di Parlimen pula. Apa yang utama ialah kembali kepada prinsip demokrasi dan perundangan.

DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Ahli Parlimen Parit Buntar

Naib Presiden AMANAH

4hb Dis 2020

Ibu Adib rayu Ebit Lew dapatkan keadilan untuk arwah anaknya

NASUHA RAHMAN

Ibu Adib rayu Ebit Lew dapatkan keadilan untuk arwah anaknya

Kedua ibu bapa arwah Adib merayu meminta tolong kepada pendakwah bebas Ebit Lew agar membantu mereka untuk mendapatkan keadilan buat anaknya.

“Dah dua tahun tiada perkembangan kes arwah Adib. Kami sangat sedih pilu dan kecewa sangat. Macam kes ini diam begitu sahaja.

“Ustaz boleh tolong kami,” kata ibu arwah adib kepada Ebit Lew.


Ebit Lew yang berkongsi kesedihan itu di Facebooknya malam tadi selepas berkunjung ke rumah ibu bapa arwah Adib Asma Aziz dan Mohd Kassim Abdul Hamid di Alor Setar.

Sebaik tiba di rumah ibu bapa Adib, katanya mereka berdua asyik menangis dan memberitahu sentiasa mengingati arwah.

“Maknya cuma menangis tak boleh cakap apa-apa. Mereka redha.

“Saya turut berasa sedih. Saya berkongsi doa dan amalan. Allah pasti beri pahala syahid buat arwah. Saya beri sedikit sumbangan. Dan berdoa bersama.

“Ya Allah berilah kekuatan buat kedua ibubapanya. Mereka sentiasa solat di Masjid. Selepas Subuh hari Jumaat pasti akan ziarah kubur arwah.

“Ya Allah berilah pertolonganMu buat saudara kami yang bersedih. Berilah keadilan dalam kes arwah Adib,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Allahyarham meninggal dunia bukan disebabkan kemalangan sebaliknya tindakan individu tertentu, namun sehingga kini pelakunya belum menerima hukuman.

Keadilan terhadap Muhammad Adib amat penting bagi memastikan kes seumpama itu tidak berlaku lagi pada masa akan datang terutamanya membabitkan penjawat awam yang bertugas demi kepentingan rakyat dan negara.

DUN Perak: Tak pernah terjadi pencadang lawan usul sendiri

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, belum pernah lagi terjadi seorang pencadang usul menentang usulnya sendiri di dalam dewan.

Beliau merujuk kepada keputusan usul undi percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tadi yang menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal besar dalam memperoleh sokongan.

Usul tersebut telah dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pengkala Bharu, Abdul Manaf Hashim (Umno) dan disokong Ahli Parlimen Kenering, Mohd Tarmizi Idris (Umno) yang kemudiannya mengundi untuk tidak menyokong Ahmad Faizal.

“DUN Perak melakar sejarah dunia apabila kedua-dua pencadang dan penyokong menolak Menteri Besar Perak, dan mengundi untuk menentang usul mereka sendiri.

“Menarik untuk diteliti. Dalam mana-mana dewan perundangan dunia, di mana lagi kita mahu saksikan kedua-dua pencadang dan penyokong sesuatu usul itu mengundi melawan usul mereka sendiri seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan balas tadi.

Terdahulu, dalam undian yang dipengerusikan Speaker DUN Perak, Mohamad Zahir Abdul Khalid, hanya 10 ADUN menyokong kepimpinan Faizal, sebaliknya 48 yang lain membantah dengan satu undi rosak.

DUN Perak terdiri daripada 24 ADUN Umno, empat PPBM, dan tiga Pas. Manakala pembangkang pula terdiri dari 16 DAP, lima AMANAH, dan tiga PKR.

Umno ‘pujuk’ PAS, minta terus bersama di Perak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, mahukan PAS dan PPBM terus bersama Umno menerajui Perak setelah Ahmad Faizal Azumu hilang sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan terpaksa berundur sebagai menteri besar.

Ahmad berkata walaupun Faizal, yang juga timbalan presiden PPBM, terpaksa meletak jawatan, barisan exco kerajaan negeri harus dikekalkan bawah pimpinan menteri besar baharu.

“Umno juga berpendirian bahawa PPBM dan PAS harus mendukung kerajaan PN negeri Perak,” katanya.

Ahmad berkata demikian setelah Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, menegaskan parti itu tidak akan menyertai kerajaan negeri baharu yang bakal ditubuhkan.

Jelas Ahmad, usul undi percaya di DUN Perak hanya melibatkan jawatan menteri besar dan tidak mengubah status kerajaan negeri pimpinan PN bawah teraju bersama Umno, PPBM dan PAS.

Sejumlah 24 daripada 25 ADUN Umno menolak Faizal dalam undi percaya belah bahagi manakala semua tiga Adun PAS menyokong beliau.

Dengan jumlah Adun paling ramai dalam DUN, kerajaan baharu Perak dijangka dipimpin oleh Umno.

Pas tidak bersama Umno di Perak, MN pecah?

MALAYSIA DATELINE

Pas telah membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu.

Dalam kenyataan, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan tidak menyertai kerajaan baharu itu selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Lajnah Politik Pas Pusat.

“PAS mengambil maklum keputusan Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap YAB Menteri Besar Perak yang telah berlangsung di dalam Dewan Undangan Negeri Perak hari ini di mana tiga ADUN Pas menyokongnya selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Lajnah Politik PAS Pusat,” katanya.

Justeru, Pas akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional.

Terdahulu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Faizal Azumu tewas dalam undi percaya yang dikemukakan oleh Adun Pengkalan Baru dari Umno, Abd Manaf Hashim.

Usul tersebut kemudian disokong Ahli Parlimen Kenering, Mohd Tarmizi Idris (Umno) yang kemudiannya mengundi untuk tidak menyokong Ahmad Faizal.

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.

Faizal tak jangka digulingkan sebagai MB

Ahmad Faizal Azumu mengakui bahawa dia sebelum ini tidak menjangka akan digulingkan, dengan Umno memainkan peranan utama.

Dalam wawancara dengan Astro Awani, Faizal mengatakan bahawa dia selalu bertemu pemimpin Umno di mesyuarat kabinet dan mesyuarat lain, tetapi tidak menjangka akan digulingkan.

"Kami selalu berjumpa di perjumpaan exco dan perjumpaan dalam urusan kerajaan. (Saya) tidak difahamkan mengenai apa-apa permasalahan. Tapi mungking kerana kerusi menteri besar itu terlalu diidamkan (dan) hasil percaturan dibuat untuk menepikan saya," katanya.

Faizal digulingkan di Dewan Undangan Negeri Perak hari ini dengan usul yang diajukan oleh ahli parlimen Umno dan disokong oleh 48 dari 59 Adun.

Dalam wawancara berasingan, Ketua Bahagian Umno Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz memberitahu Malaysiakini bahawa rancangan untuk menyingkirkan Faizal sudah bermula sejak dua bulan lalu.

Ketika ditanya apakah dia merasakan Bersatu dikhianati oleh Umno, Faizal, yang merupakan timbalan presiden Bersatu, tidak menjawab secara langsung dan sekadar berkata keutamaannya adalah memberi tumpuan kepada rakyat.

"Kalau nak dikirakan perasaan saya, masih nak merajuk jugalah. (Tapi) akhirnya, sebagai pemimpin kita mesti berjiwa besar. Kepentingan rakyat ini mesti diutamakan.

"Saya akan berbincang dengan kepimpinan Umno, PAS dan lain-lain untuk perkara berkaitan," katanya.

Faizal menambah tumpuan utamanya adalah sama ada apa yang berlaku di Perak akan memberi kesan kepada perikatan Nasional-BN-PAS-GPS di peringkat nasional atau di negeri-negeri lain.

"Saya paling risaukan ia boleh mendatangkan impak yang tidak baik di peringkat kebangsaan, di negeri lain.

"Jadi saya mengesyorkan jika nak buat perkara seperti menukar menteri besar, ini boleh dibincangkan di peringkat PN.

"Tidak perlu dilakukan ke sidang dewan dan kerjasama dengan parti-parti lawan. Tentunya masalah ini akan menguris perasaan ahli-ahli kami di semua peringkat. Masa ini saya harap semua orang akan bersabar," katanya.

Mengenai spekulasi bahawa Umno dan Pakatan Harapan (PH) bersekongkol dalam rancangan untuk menggulingkannya, Faizal berkata kemungkinan itu yang terjadi.

"Mungkin ini petanda baik untuk negara kita masa Umno pun boleh berkerjasama dengan DAP untuk menggugurkan saya sebagai menteri besar," katanya.

Tidak mungkin PPBM-Umno bergabung dalam masa terdekat, kata penganalisis

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Dua penganalisis politik menolak kemungkinan PPBM diserap semula ke dalam Umno dalam masa terdekat.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan memberitahu FMT bahawa faktor penghalang utama terhadap gabungan itu ialah persaingan jawatan parti.

Mereka mengulas gesaan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan ahli PPBM kembali kepada Umno untuk menyatukan orang Melayu.

Chin berkata, gabungan itu mungkin berlaku jika Umno bersedia memberikan jawatan presiden parti kepada Muhyiddin.

“Namun pada masa ini ia tidak bersedia berbuat demikian,” tambahnya.

Beliau bersetuju dengan Asyraf bahawa tidak wujud perbezaan ideologi antara dua parti, tetapi berkata, persoalan praktikal berhubung jawatan parti penting bagi kedua-dua pihak, sekali gus akan menghalang daripada berlakunya gabungan dalam masa terdekat.

“Jika mereka bergabung, siapakah yang akan menjadi presiden parti atau timbalan presiden? Bagaimana pula dengan ketua bahagian?”, katanya.

Azmi berkata, PPBM tidak mempunyai sebab untuk bergabung dengan Umno kerana ahlinya “agak selesa” dengan kedudukan sedia ada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin di kerusi pemandu.

“Kenapa kembali kepada Umno dan berdepan persaingan dengan mereka yang memilih untuk kekal dalam parti itu?”, soalnya.

Beliau juga berkata, label “pengkhianat” akan melekat pada Muhyiddin dan pengikut beliau jika mereka memilih untuk kembali kepada Umno.

Bagaimanapun katanya, orang Melayu beruntung jika gabungan itu berlaku kerana mereka mendapat parti yang kuat untuk diberi sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Ia akan menyatukan orang Melayu,” katanya.

Chin berkata, orang Melayu sebelum ini menunjukkan bahawa mereka mampu bersatu jika berdepan dengan musuh atau ancaman bersama daripada orang bukan-Melayu.

“Kini orang Melayu ada kerajaan dan tiga parti Melayu-Islam,” katanya.

“Mereka tidak berasa diancam oleh orang bukan-Melayu. Oleh sebab itu mereka berbalah sesama sendiri.”

Asyraf membuat gesaan itu di dalam kolumnya di akhbar Sinar Harian semalam.

“Sejarah membuktikan bahawa beberapa parti serpihan yang terpecah daripada Umno kembali semula kepada parti terbesar orang Melayu itu,” katanya merujuk kepada Parti Kemerdekaan Malaya, Parti Negara dan Parti Melayu Semangat 46.

Anggota Majlis Tertinggi PPBM Muhammad Faiz Na’aman menolak kemungkinan partinya mengikut jejak itu dengan mendakwa orang Melayu mahu mempunyai pilihan yang terbuka.

“Tiada keperluan bagi mana-mana parti Melayu-Islam di negara ini, termasuk PPBM, untuk bergabung dengan Umno dan berada di bawah hanya seorang pemimpin parti yang berkuasa,” katanya kepada FMT.

Ha ha MB Kedah merapu?

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia ada simpan data kewujudan di perut bumi Malaysia segala mineral dan galian berharga. Lengkap info peta lokasi, negeri, daerah, anggaran, nilai dll.

Semalam sy menonton video hebahan oleh mb kedah Sanusi Mohd Nor yg menyebut nilai Rare Earth Element (REE)di Sik bernilai RM43trillion!( kemudian dibetulkan mjadi RM62bilion)

Komen saya

1. Angka RM43trillion tak masuk akal, angka RM62 bilion juga merapu( rujuk info dlm web kementerian dan terus ke jabatan mineral dan geosains.. baca)

2. Di Sik REE ini ditemui di hutan simpan bukit enggang di kawasan seluas 50,000 ekar dgn anggaran 250ribu tan bernilai USD3bilion( lebih kurang 3 x 4.08 = RM12.24bilion!). Mana datang RM62bilion?

3. MB umum lesen teroka telah diberikan kpd sebuah sykt dari KL. Ini proses pertama. Hanya sykt ini dibenar masuk dan ambil sample tanah utk dianalisis dsb. Akan ada proses selanjutnya seblm REE boleh diusaha hasil. Yang perlu diingat lesen teroka ini bukan lesen masuk dan tebang balak lebih2 lg bukit enggang ini statusnya hutan simpan.

Sy akan ikuti dari dekat setiap tdkn kjaan kedah dan berkongsi info dgn rakyat kedah khususnya rakyat kulim bandar baharu. Lebih2 lg sbb di Hutan Simpan Gunung Bongsu , Kulim juga ada galian ini di kawasan seluas 62,500 ekar dgn anggaran 312,500 tan bernilai USD3.75bilion.

Kot-kot laa lepas Sik depa mai kot Kulim pulak 😀

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL, AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BARU/SETIAUSAHA AGUNG PKR

MP pembangkang perlu sepakat, Umno tidak boleh dipercayai

IPOHMALI

Sebentar tadi, Belanjawan 2021 di peringkat Jawatankuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Azmin hampir kalah dalam undian. 110 undi berbanding 104 undi Pakatan Harapan (PH). Hanya perbezaan enam undi.

Undi PH tiba-tiba meningkat untuk kalahkan Azmin ini datang dari mana? Pertama, ia datang dari sokongan blok Tun Mahathir.

Tun yang berumur 95 tahun itu pun datang menolak Azmin. Hampir semua Ahli Parlimen Warisan hadir kecuali Presiden mereka dan Ahli Parlimen lain dari PKR dan DAP atas sebab tertentu.

Nampak tak Umno tidak boleh dipercayai? Bayangkan kebencian besar majoriti Ahli Parlimen Umno kepada Azmin.

Apa yang boleh kita belajar dari peristiwa ini? Pentingnya PH bersatu dengan rakan pembangkang yang lain. Biarpun banyak perkara kita tidak setuju dengan mereka. Tidak kira dari blok Tun atau Warisan. Sebab itu pentingnya kerjasama dalam pembangkang yang dipertahankan AMANAH.

Apa yang kita belajar dari Ahli Parlimen Umno? Biarpun Presiden mereka, Najib cuba berusaha menyakinkan Ahli Parlimen menolak kerajaan PN.

Mereka jauh takutkan kerajaan PH yang dipimpin Datuk Seri Anwar dan DAP. Soal prinsip mereka buang ke tepi. Hatta, Ahli Parlimen Pas. Itu realiti yang kita perlu fahami.

Walhal, mereka boleh saja tidak hadir ke Parlimen atas apa-apa alasan. Kalau ada usul nak luluskan GST pun percayalah, Ahli Parlimen Pas akan sokong biarpun sebelum ini mereka fatwakan haram.

Itu sebabnya sejak awal saya kata, kita Ahli Parlimen kena bersatu. Terimalah realiti yang kononnya kita boleh mendapatkan sokongan Ahli Parlimen Umno untuk bentuk kerajaan. Itu tidak mungkin berlaku. Bagi Najib dan Zahid, mereka terdesak untuk bubarkan Parlimen.

Jika PH dapat bersatu dalam satu gabungan, InsyaAllah kerajaan PN akan tumbang biarpun tanpa perlu sidang Parlimen dalam Belanjawan atau keputusan belah bahagi.

Perkukuhkan kembali kesatuan dalam PH dan bersama Tun Mahathir dan Warisan. Ketepikan ego masing-masing. Selamatkan negara.

9 polis ditahan edar dadah dalam lokap

MALAYSIA DATELINE

Sembilan anggota polis dan seorang awam ditangkap terbabit dalam pengedaran dadah di dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 29 November lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sembilan anggota polis yang ditahan berusia antara 20 hingga 36 tahun termasuk seorang anggota wanita.

Mereka yang berpangkat Koperal hingga Konstabel adalah penjaga lokap di IPD berkenaan manakala, orang awam yang ditahan wanita berusia 23 tahun, anak kepada salah seorang tahanan di lokap itu yang dikenali sebagai ‘Datuk Ajim’.

“Penangkapan ini adalah susulan tindakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kota Tinggi membuat ujian saringan air kencing ke atas 16 banduan daripada Penjara Ulu Choh yang ditahan di lokap itu, pada 22 November lalu.

“Dalam ujian itu lima tahanan positif dadah jenis methamphetamine dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, susulan itu pada 29 November JSJN IPK Johor dibantu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK membuat pemeriksaan di lokap berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan polis berjaya merampas sejumlah dadah jenis syabu seberat 38.65 gram bernilai RM3,865; 42.25 gram dadah jenis heroin bernilai RM2,112.50 dan sejumlah tembakau.

“Susulan itu, polis menjalankan ujian saringan terhadap 129 banduan di lokap IPD berkenaan dan 22 daripada banduan terbabit didapati positif dadah.

“Seramai 10 banduan positif dadah jenis methamphetamine, 11 positif jenis dadah Morfin dan satu jenis THC.

“Seramai 21 banduan yang positif dadah adalah warga tempatan dan seorang warganegara asing berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun. Mereka disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya

Ayob Khan berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 6 ADB 1952 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Selepas itu, tangkapan dibuat terhadap sembilan anggota polis dan seorang awam ini. Hasil ujian saringan mendapati dua anggota polis lelaki dan wanita awam itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Seorang daripada anggota yang positif itu juga dikesan mempunyai satu rekod kesalahan lampau pada tahun 2017 di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan (samun berkumpulan).

“Tangkapan dibuat bagi membantu siasatan di bawah di bawah Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952,” katanya.

Bayi '27 tahun' (Gambar)

Hmetro

Agensi

Nashville: Bayi berusia sebulan di Tennessee, Molly Everette Gibson mencipta sejarah selepas selamat dilahirkan dengan menggunakan embrio yang dibekukan sejak lebih 27 tahun lalu.

Portal Good Morning America (GMA) melaporkan Molly dilahirkan dengan berat 2.7 kilogram (kg), hasil embrio dibekukan daripada penderma yang kemudian dipindahkan ke rahim ibunya pada 10 Februari lalu.

Bayi itu kini menjadi anak kepada suami isteri, Tina dan Benjamin Gibson.

Menurut kakitangan penyelidikan di Perpustakaan Perubatan Preston Universiti Tennessee, Amerika Syarikat (AS), embrio itu adalah yang paling lama dibekukan.

Justeru, kelahiran Molly memadam rekod terdahulu yang dipegang oleh kakak kepada bayi itu, Emma Wren Gibson yang dilahirkan dengan kaedah sama, pada 2017.

Embrio Emma dibekukan selama lebih 24 tahun bersama embrio adiknya yang menjadikan mereka sebenarnya 'adik-beradik genetik.'

"Ketika Tina dan Benjamin kembali untuk menjalani pemindahan embrio, saya gembira kerana masih ada embrio daripada penderma sama yang mendermakan embrio Emma.

"Ini jelas menunjukkan teknologi yang digunakan bertahun-tahun yang lalu dapat memelihara embrio itu untuk tempoh jangka panjang," kata Pengarah dan Ahli Embriologi Makmal Pusat Pendermaan Embrio Kebangsaan (NECD), Carol Sommerfelt. - Agensi

Lokman Adam: PN sudah kencing MP BN untuk dapat sokongan

MALAYSIA DATELINE

Aktivis Umno mula mendakwa, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menipu ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) apabila berkata dalam Dewan Rakyat 8.2 juta pencarum KWSP berhak mengeluarkan caruman mereka.

Orang kanan Datuk Seri Najib Razak mendakwa, jelas sekali mereka ditipu apabila kemudiannya berkata, hanya mereka yang cukup syarat-syaratnya iaitu mereka terkesan dari Covid-19 yang layak.

Menurut Datuk Lokman Nor Adam, perkara ini mula dikesan apabila permohonan rakyat untuk melakukan moroterium dan juga permohonan untuk keluarkan wang KWSP menghadapi pelbagai kesukaran.

Katanya, mereka mendapat makluman, KWSP tidak mempunyai cukup duit untuk membuat pembayaran jika pencarum membuat permohonan mereka sebagaimana yang dinyatakan.

“Sepatutnya jika hanya empat juta pencarum yang dibenarkan keluarkan duit mereka, kenapa harus menipu ahli-ahli Parlimen BN dengan berkata akan membenarkan 8.2 juta (mengeluarkan caruman) selepas itu mengenakan pelbagai syarat-syarat yang ketat yang akhirnya jumlah sebenar yang boleh mengeluarkannya tak sampai separuh dari jumlah yang Tengku Zafrul nyatakan.

“Ini satu tindakan yang cukup tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh Menteri Kewangan yang telah menyebabkan kepimpinan BN dan MP BN memberikan sokongan di peringkat dasar kepada Belanjwan 2021.

“Sedangkan hakikat dan realitinya mereka tidak pun mengotakan janji mereka mereka untuk menunai janji kepada BNBBC iaitu pertama moroterium secara automatik kepada semua dan kedua kebenaran untuk pencarum KWSP untuk keluarkan duit maksima RM10,000 secara one off daripada akaun 1 mereka,” kata beliau.

Katanya, antara syarat-syarat yang dikenakan adalah mereka yang dibuang kerja, diwajibkan bercuiti, pendapatan tak sempurna tak ada overtaime misalnya sahaja yang layak.

“Jika begitu, kenapa sebut 8.2 juta pencarum KWSP bakal menikmati kebenaran untuk mengeluarkan wang caruman mereka dari KWSP.

“Ini kerana, 8.2 juta adalah umpama semua pencarum berhak tetapi selepas itu kenakan pelbagai syarat.

“Ini jelas ahli Parlimen BN sudah kena kencing,” kata Datuk Lokman Adam menerusi wawancara dalam facebook beliau yang kesal MP BN sudah ditipu untuk mendapatkan sokongan mereka terhadap Belanjawan 2021.

Menurut beliau, elemen-elemen penipuan sudah mula dilihat dengan jelas apabila syarat-syarat itu dikenakan.

“Usahlah menipu rakyat Tengku Zafrul dan Muhyiddin. Jika 8.2 juta boleh, maknanya semua orang boleh keluarkan caruman mereka kerana itulah jumlah pencarum KWSP.

“Apa ke jadahnya bila Tengku Zafrul dan Muhyiddin kata hanya mereka yang terkesan sahaja yang boleh keluarkan caruman,” kata Lokman.

Kurang jelas parti mana yang memerintah -Shabery Cheek

 FAZLI RADZI

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengakui kurang jelas parti mana yang benar-benar memerintah pada masa ini.

Bekas Ahli Parlimen Kemaman itu juga berpendapat sikap pemimpin yang melompat parti pula semakin dihargai.

Menurutnya, berbeza dengan situasi politik sebelum ini kedudukan dalam parti memerintah menentukan kedudukan seorang ahli politik itu dalam kerajaan.

“Dulu politik kita agak mudah diramal. Kedudukan dalam parti memerintah menentukan kedudukannya dalam kerajaan.

“Sekarang kurang jelas parti mana yang benar-benar memerintah. Kiblat kesetiaan berubah-ubah.

“Lompat melompat semakin dihargai,” bidasnya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Anwar hilang sokongan sebagai calon PM jika gagal tolak belanjawan'

Ramieza Wahid

Beberapa penganalisis politik menyifatkan kredibiliti Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim akan tercalar sekiranya pembangkang gagal menolak Belanjawan 2021.

Malah, menurut Dr Nuurrianti Jalli, Anwar akan kehilangan sokongan dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai calon perdana menteri sekiranya Belanjawan 2021 kerajaan PN diluluskan.

“Pada pendapat saya, jika dia (Anwar) gagal menolak Belanjawan 2021, Anwar mungkin akan kehilangan sokongan dari penyokongnya di dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai calon perdana menteri mereka, malah juga boleh meragukan sokongan penyokong PH di luar parlimen.

“Sekarang, situasi adalah sokongan lebih banyak berpihak kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan dasar Belanjawan 2021 juga telah banyak memberi tumpuan kepada kesan Covid-19 kepada rakyat.

“Ini juga meningkatkan keyakinan di kalangan penyokong kerajaan sedia ada malah mungkin akan menarik penyokong baru,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Nurrianti turut berpandangan, ketika ini, Anwar tiada usul jelas atau asas untuk menentang belanjawan tersebut.

“Sekarang ini pada pendapat saya, Anwar tiada usul yang jelas dan apakah cadangan yang lebih baik sebagai asas tentangan Belanjawan 2021, ada sesetengah pemerhati hanya melihat Anwar sebagai bunyi bising di Parlimen tetapi tidak memberi kesan yang kuat terhadap perubahan polisi atau contohnya perubahan belanjawan.

“Namun kiritikan pembangkang (Anwar) itu perlu, untuk memastikan parlimen ada elemen semak dan imbang,” jelasnya lagi.

Kredibiliti tercalar

Senada dengan Nurrianti, penganalisis politik Arif Anwar Lokmanol Hakim turut menyatakan sekiranya Anwar gagal menolak belanjawan, keyakinan ahli PH terhadapnya juga akan berkurangan.

“Dengan (Anwar) gagal menolak belanjawan, ia pasti calar kredibiliti Anwar untuk terus jadi calon perdana menteri atau mengemudi pilihan raya umum (PRU15) nanti.

“Jika dari gabungan parti PH mula mempertikaikan hal itu (sokongan Anwar). Ia akan jadi dan sudah tentu keyakinan ahli PH kepada Anwar makin berkurangan,”jelasnya.

Setakat ini, Belanjawan 2021 telah memasuki peringkat kedua, iaitu pengundian jawatankuasa.

Meskipun terdapat cadangan dari pembangkang untuk membuat undian secara belah bahagi buat beberapa peruntukan kementerian, namun sehingga tujuh pusingan undian, pembangkang masih tidak berjaya memenangi satu pun undi belah bahagi berkenaan.

Pada peringkat dasar, terdapat cubaan dari pembangkang untuk membuat pengundian secara belah bahagi. Bagaimanapun, hal itu tidak berjaya setelah tidak mendapat sokongan 15 anggota parlimen yang diperlukan bagi proses itu dilakukan.

Anwar, yang sebelum ini tidak menyokong undian belah bahagi di peringkat dasar mengakui, dia telah meminta Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk tidak menyokong cara pengundian tersebut.

Ini kerana kata Anwar, dia tidak mahu dilihat menolak insentif baru yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Terdapat juga ahli parlimen yang berkata, Anwar bertindak demikian kerana enggan mendedahkan jumlah sokongan majoriti yang dimilikinya.

Beberapa anggota parlimen yang tidak mahu dinamakan sebelum ini berkata, Anwar yang juga merupakan presiden PKR telah berjanji untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua pembangkang di parlimen jika gagal membuktikan dia memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, penganalisis dari Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Rusdi Omar pula berpandangan sebaliknya.

Menurutnya, ini demikian kerana sokongan Anwar sukar diukur melalui belanjawan ini.

“Tak nampak ia akan memberikan kesan kepada Anwar kerana Belanjawan 2021 perlu diluluskan bagi menyelesaikan isu kritikal seperti isu kesihatan, isu rakyat dan ekonomi.

“Tiada kena mengena dengan sokongan majoriti yang diterimanya dan populariti individu sukar diukur melalui belanjawan ini,” katanya lagi.

Tiga kali undi bukti PN kerajaan tanpa mandat majoriti

ARIF ATAN

Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk meneliti di peringkat jawatankuasa kesemua kementerian dan setakat ini tiga kementerian berjaya dibuat belah bagi iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Betul, blok PH kalah dengan mendapat 95 bilangan tetapi Perikatan Nasional (PN) walaupun mendapat 106, 107 dan 108 telah membuktikan dirinya tiada majoriti yang diperlukan iaitu 112.

Beban bukti ada majoriti atau tidak terletak di bahu Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Setakat ini, beban itu gagal dibuktikan. Isunya bukan PH kalah undi secara blok tetapi lebih besar daripada itu ialah TSMY gagal sebanyak tiga kali untuk membuktikan keabsahan beliau sebagai PM yang ada mandat majoriti.

Hal ini menjejaskan prinsip demokrasi yang diamalkan kerana mandat majoriti adalah asas kepada keabsahan sesebuah kerajaan.

Tanpa mandat ini, PM tidak sah, apatah lagi seluruh Kabinet XXXLnya. Justeru itu, istilah ‘kerajaan’ yang dipakai kerajaan apa sebenarnya? Kerajaan tanpa mandat majoriti? (KTMM)

Bagaimana dengan duit dari kantung negara yang dimohon untuk dikeluarkan? Bukankah tiga pengundian dibuat membuktikan TSMY tidak layak untuk bentang belanjawan dari awalnya lagi.

Ya, kita gagal membuat belah bagi di peringkat dasar tetapi dari segi bilangan undi yang dapat, apa bezanya?

Terserlah kegagalan atas kegagalan yang tertanggung di pundak TSMY. Inilah bukti yang PH tegaskan sedari awal supaya undi tidak percaya dibuat di Parlimen mendahului segala agenda lain.

Alasan Speaker bahawa usul kerajaan perlu didahulukan terbukti tidak relevan kerana Speaker sepatutnya membantu dewan untuk membuktikan terlebih dahulu wujudnya sebuah entiti yang bernama kerajaan melalui keabsahan majoriti PM sebelum apa saja prosiding lain.

Perkara asas ini gagal dibuat oleh TSMY walaupun diingatkan beberapa kali oleh MP Langkawi, MP Gua Musang dan MP dari AMANAH, DAP dan PKR yang menuntut usul undi tidak percaya didahulukan di Parlimen.

Malah, MP Arau dari kerajaan sendiri mencadangkan usul undi percaya dibuat tetapi tidak dilayan dan tersenarai di tempat tercorot.

Peristiwa tiga kali blok voting bukan soal PH kalah tetapi ketiadaan majoriti di pihak TSMY mencetuskan suasana bimbang kerana untuk melengkapkan majoritinya MP-MP berpotensi terdedah kepada ‘horse trading'(tawar menawar harga untuk mendapat sokongan majoriti).

Suasana ini pasti mencemarkan demokrasi yang mengasaskan konsep kebebasan memilih tanpa rasa takut atau balasan habuan.

Krisis mandat ini adalah krisis politik dalam konteks demokrasi berparlimen. Semakin lama prinsip mandat majoriti tidak dihormati semakin sakit dan luka demokrasi kita.

Apatah lagi dalam suasana pandemik Covid-19 yang melanda kita, kita mengalami dwi krisis yang berterusan.

Saya konsisten menyeru supaya kita pulihkan demokrasi dan sembuhkan negara melalui keabsahan majoriti sebenar.

Tiga kali undi sudah cukup kami membuktikan kerajaan PN adalah kerajaan tanpa mandat majoriti. Siapa yang patut malu?


*DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan Naib Presiden AMANAH.

Kematian Covid-19 di AS kini cecah 270,003

Bernama

New York melaporkan kadar kematian tertinggi iaitu 34,618 diikuti Texas berjumlah 21,946 manakala California, Florida dan New Jersey mencatatkan korban melebihi 17,000. (Gambar AP)

NEW YORK: Kematian Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mencecah 270,003 manakala kes jangkitan sebanyak 13.6 juta, menurut Johns Hopkins University, lapor agensi berita Xinhua.

New York melaporkan kadar kematian tertinggi iaitu 34,618 diikuti Texas berjumlah 21,946 manakala California, Florida dan New Jersey mencatatkan korban melebihi 17,000.

Sementara itu, negeri yang mencatatkan kematian melebihi 10,000 termasuk Illinois, Massachusetts dan Pennsylvania.

AS kekal negara paling teruk dilanda pandemik itu, dengan jumlah kes jangkitan dan korban tertinggi di dunia, menyumbang lebih 18% kematian global.

Sebuah institut penyelidikan kesihatan di Universiti Washington mengunjurkan sejumlah 470,974 kematian Covid-19 di AS menjelang 1 Mac 2021.

Jumlah kemasukan hospital mencapai tahap tertinggi sebanyak 96,039, berdasarkan Projek Pengesanan Covid pada 30 November.

Projek itu mendedahkan jumlah kemasukan pesakit ke hospital meningkat dua kali ganda bermula 1 November dan tiga kali ganda sejak 1 Oktober, mungkin menghampiri 100,000 dalam beberapa hari lagi.

Pakar memberi amaran jumlah mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 akan meningkat ke tahap lebih tinggi pada Disember, kerana AS dijangka menyaksikan gelombang jangkitan baharu dalam beberapa minggu akan datang, menjelang perayaan Krismas.

Tahniah lah dah menang 5-0 tetapi….

MOHAMED HANIPA MAIDIN

1. Ginilah. Bila undi belah bahagian di Parlimen katakan you all menang 30-0 sekalipun, tak kisahlah, misalnya, you all menang dengan cara yang dipertikaikan sekalipun, seperti you all kira juga undi bagi pihak you all undi MP yang TAK ADA dalam Dewan dll..

2. Anyway, apa lah erti menang yang jenis macam tu? Oh ya , maaf, saya lupa..jika jenis spesis yang tak tahu malu, apa sangat yang boleh kami harapkan? Saya lupa, our standard is too high for you to even understand let alone follow!

3. Anyway, bila kita berlawan atau bertanding dalam apa pun pertandingan, rule number one adalah orang yang bertanding tu wajib kena layak dan sah boleh bertanding. Itu prasyarat wajib. Orang kata sine qua non. Kat situ dulu our point of departure !

4. Bila yang masuk bertanding tapi dari awal lagi you tu tak layak bertanding dan /atau kelayakan you tu tak sah, menang lah macam mana pun. Bagi orang berakal, kemenangan macam tu tak dikira sah! Itu perkara asas.

5. Saya bagi contoh ya. Katakan dua orang bertinju, lepas 15 rounds A menang dan B kalah.Tiba-tiba bila penganjur check, A didapati tak layak bertanding atas alasan tertentu. So, A tak perlu lah nak ek menang tu melainkan A jenis spesis yang tak tahu malu. Sebab tu orang yang menang pingat emas dalam sukan Olimpik sekalpun, jika didapati dia tak layak bertanding, dia kena pulangkan balik pingat yang dia menang, itu hukumnya samdol!

6. Bila Gomen Tebuk Atap yang KHIANAT bangga dia dah menang 5-0, so biarlah dia orang nak bersorak gembira sekarang. Depa faham ke integriti tu apa?

Azmin rancang ‘rampasan kuasa’ terhadap PH sejak Oktober 2019, dakwa Chin Tong

FMT Reporters 

PETALING JAYA: Liew Chin Tong dari DAP mendakwa Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali merancang “rampasan kuasa politik” untuk memecah-belahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak Oktober tahun lalu.

Liew mendakwa, menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu dibantu Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan Menteri Luar Negeri, Hishammuddin Hussein dalam usaha membentuk kerajaan baharu.

Katanya, objektif utama rancangan itu untuk menghalang pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Rancangan mereka pada Oktober 2019 untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan Melayu dengan penambahan kumpulan Hishammuddin (17 Ahli Parlimen), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (18) dan PAS (18) untuk menjadikan jumlah 53 Ahli Parlimen, jumlah yang diperlukan untuk menggantikan Amanah (11) dan DAP (42),” katanya dalam catatan di blog hari ini.

“Azmin percaya apabila DAP dan Amanah keluar, dia akan dapat mengawal sebahagian besar Ahli Parlimen PKR, atau tidak ada yang akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri.”

Liew berkata, bahagian pertama rancangan itu ialah pengumuman Hishammuddin mengenai ideanya untuk membina “Bangsa Malaysia” tanpa DAP dan Amanah, tetapi “rampasan kuasa” itu gagal kerana sekretariat PH mendedahkan rancangan mereka tepat pada masanya.

Bagaimanapun katanya, PH gagal untuk menghalang “Langkah Sheraton” pada Februari ketika perdana menteri sekarang Muhyiddin Yassin memberikan sokongannya terhadap langkah itu dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membawa keseluruhan blok Umno untuk rampasan kuasa itu.

“Ketika negara terus terpengaruh oleh rampasan kuasa Sheraton, lebih banyak cerita untuk ‘memutihkan’ konspirasi muncul. Sudah tiba masanya kita mendokumentasikan apa sebenar yang berlaku,” kata Liew.

Terdahulu, Azmin mendakwa pembentukan Perikatan Nasional (PN) adalah idea Dr Mahathir Mohamad untuk memastikannya kekal sebagai perdana menteri dengan sokongan Ahli Parlimen semua parti.

Beliau berkata, pengunduran Mahathir sebagai perdana menteri meletakkan negara dalam krisis politik.

Mahathir menafikan dakwaan itu semalam, dengan menuduh Azmin merancang Langkah Sheraton kerana beliau sendiri bercita-cita menjadi perdana menteri.

Pengundi Gombak saman Azmin atas ‘penipuan’, langgar kewajipan fidusiari

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pengundi Gombak memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen mereka, Azmin Ali, atas dakwaan penipuan dan melanggar kewajipan fidusiari, sembilan bulan selepas Langkah Sheraton yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Sepuluh plaintif mahu suatu pengisytiharan bahawa Azmin, selaku Ahli Parlimen, mempunyai tugas fidusiari dan/atau pemegang amanah dalam hubungannya dengan pengundi.

Dalam saman yang difailkan Tetuan Yohendra Nadaraja di Mahkamah Tinggi minggu lepas, plaintif juga mahu suatu pengisytiharan bahawa Azmin sudah melakukan tort penipuan terhadap mereka. 

Mereka juga mahu suatu pengisytiharan bahwa Azmin sudah memungkiri sumpah perlembagaan mengikut Perkara 59(1) yang dibaca bersama Jadual Keenam Perlembagaan.

Plaintif juga meminta ganti rugi dan perintah lain yang dirasakan wajar oleh mahkamah.

Dalam penyata tuntutan yang dilihat FMT, plaintif berhujah Azmin membuat representasi bahawa beliau bertanding pilihan raya pada 2018 untuk menyingkir Barisan Nasional dan pegawai awam yang korup.

Selepas itu, kata mereka, Azmin menyebabkan dan/atau menyumbang kepada peletakan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari, dan menyertai pentadbiran Perikatan Nasional yang turut mengandungi BN, termasuk orang yang Azmin sendiri akui dituduh terlibat dalam kegiatan rasuah.

Azmin dan beberapa Ahli Parlimen PKR antara watak penting yang dikaitkan dengan krisis politik yang menyusuli pertemuan melibatkan beberapa pemimpin BN, PAS, PPBM, dan PKR di Hotel Sheraton.

Dengan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada 1 Mac, dengan sokongan gabungan yang dikenali sebagai Perikatan Nasional.

WALAUPUN AZMIN PENGKHIANAT, TAPI KATA2NYA MENGENAI ASAL-USUL PN 100% BOLEH DIPERCAYAI

Shahbudin Husin

Semua kita mengakui Azmin Ali adalah pengkhianat sebenar yang bukan saja berperanan menjatuhkan kerajaan PH, malah paling ke depan menghalang Tun Mahathir Mohamad menunaikan janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Lantaran itu, hakikat bahawa beliau semakin dijauhi dan dibenci rakyat Malaysia tentu saja sesuatu yang wajar lagi munasabah.

Dalam sebuah kajian tidak lama sebelum ini yang mendapati Azmin merupakan pemimpin politik paling dibenci sebenarnya adalah suatu hukuman terhadap pengkhiatannya itu.

Bagi kebanyakan orang, sesuai dengan sifatnya sebagai pengkhianat itu, bukan saja beliau tidak harus lagi dipedulikan, bahkan kata-katanya juga tidak wajar lagi diberi apa-apa reaksi.

Kata yang lebih sadis, pengkhianat tetap pengkhianat dan kata-katanya tidak lebih seumpama sampah yang memualkan.

Tetapi, apabila Azmin mendedahkan tentang asal-usul penubuhan Perikatan Nasional (PN) serta tujuan ia ditubuhkan, mahu tidak mahu, ia adalah fakta kebenaran yang harus diakui.

Menurut Azmin, idea penubuhan PN adalah datang daripada Tun Mahathir dengan tujuan untuk menjadikan beliau seorang Perdana Menteri yang disokong oleh semua Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak iaitu pembangkang dan kerajaan pada ketika itu.

Azmin mendedahkan, sebelum Tun Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut pada 24 Feb, satu akuan bersumpah atau SD merangkumi 131 sokongan Ahli Parlimen daripada pelbagai parti telah berjaya dikumpulkan dan seterusnya disampaikan ke Istana Negara.

“Itu adalah hasil mesyuarat yang kita buat di rumah Tun Mahathir pada 23 Feb jam 4 petang di mana beliau berjumpa dengan enam ketua parti politik iaitu Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Parti Warisan Sabah, Mohd Shafie Apdal; Presiden PAS, Hadi Awang, Ketua Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg dan saya sendiri.

“Kami berusaha sehabis mungkin untuk memastikan Tun Mahathir terus kekal sebagai Perdana Menteri,” jelas Azmin lagi.

Walaupun Azmin bukan ketua parti, tetapi kehadirannya ketika itu adalah mewakili 10 Ahli Parlimen yang meninggalkan PKR kerana iktikad perjuangan mereka menentang peralihan kuasa kepada Anwar.

Apabila Azmin mendedahkan cerita ini, ia segera mengingatkan saya kepada pertemuan saya dengan bekas orang kanan Tun Mahathir kira-kira seminggu selepas Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Mac lalu.

Dalam pertemuan itu, saya bertanyakan kepada beliau tentang pelbagai perkara mengenai Tun Mahathir, antaranya perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri, janji peralihan kuasa kepada Anwar, penubuhan kerajaan PN, Langkah Sheraton, jatuhnya PH, mesyuarat Bersatu, mesyuarat terakhir Majlis Presiden PH, gerakan menentang Anwar dan banyak perkara lainnya.

Pendek kata, pertemuan yang bermula pada jam 3.00 petang hingga 11 malam dan daripada sebuah hotel di Jalan Sultan Ismail, kemudian berpindah ke hotel lain di Jalan Bukit Bintang itu boleh dibuat sebuah buku jika dipindahkan kepada bentuk tulisan.

Begitu pun, segala maklumat yang disampaikan adalah untuk makluman peribadi dan saya tetap menyimpannya dalam ingatan sehingga sekarang.

Tetapi, hari ini saya mendapati, cerita yang disampaikan kepada saya pada Mac lalu saling tak tumpah dan tak banyak berbeza dengan apa yang didedahkan oleh Azmin.

Tambahan lagi, oleh kerana Azmin yang sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor selepas PRU14 lalu tapi dibawa ke pusat untuk dijadikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Tun Mahathir sendiri, bermakna juga bekas Timbalan Presiden PKR itu adalah sebahagian daripada perancangan yang memang dipersiapkan, bukan saja untuk memungkiri janji kepada Anwar, tetapi juga bagi memusnahkan PH.

Bersama perancangan itu jugalah ditarik masuk Geng Hamzah Zainuddin daripada UMNO ke dalam Bersatu.

Keputusan Tun Mahathir meletak jawatan tanpa merundingkannya terlebih dahulu dengan PH, bahkan beliau turut menolak permintaan Agong agar membatalkan perletakan jawatannya adalah kerana Tun Mahathir sangat yakin, melalui sokongan SD yang telah diterimanya, kerajaan perpaduan yang diidam-idamkannya akan tetap menjadi kenyataan.

Melalui kerajaan perpaduan dan beliau disokong oleh semua parti itu, hasrat Tun Mahathir cuma satu – menjadi Perdana Menteri sampai mati tanpa PKR dan tanpa terikat lagi dengan janji peralihan kuasa kepada Anwar.

Cuma, di luar dugaan Tun Mahathir, oleh kerana idea kerajaan perpaduan itu turut melibatkan DAP, ia akhirnya membuatkan UMNO dan Pas menarik balik sokongan mereka.

Daripada situlah Muhyiddin mengambil kesempatan dan berjaya menjadi Perdana Menteri.

Melalui apa yang didedahkan Azmin ini, sesuatu yang tidak sukar dinafikan ialah sementara Azmin kekal merupakan salah seorang pengkhianat, namun tok dalang sebenar yang membawa huru-hara sejak hari pertama PH menjadi kerajaan adalah Tun Mahathir sendiri.

Perkara ini juga mengingatkan kepada kata-kata seorang lagi bekas penyokong Tun Mahathir yang kini bersama Muhyiddin – tidak mungkin kami ketika itu mampu melakukan banyak perkara, bergerak ke sana sini, berjumpa orang itu ini, jika tanpa restu daripada Perdana Menteri sendiri.

Presiden AMANAH saman Harakahdaily, pimpinan Pas Selangor

FAZLI RADZI 

Presiden AMANAH Mohamad Sabu memfailkan saman terhadap lidah rasmi Pas, Harakahdaily dan seorang pemimpin Pas Selangor berhubung artikel yang dimuat naik.

Peguam Mohamad, Tetuan Amin Amirul & Partners, mengemukakan writ saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Oktober.

Kertas kausa itu menamakan Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, portal dalam talian Harakahdaily dan ketua editor akhbar Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob, dan Galeri Media Serbanika Sdn Bhd, sebagai defendan.

Roslan juga sering menjadi penulis Harakahdaily, sementara Galeri Media Serbanika adalah pengendali portal Harakahdaily dan akhbar cetak Harakah.

Tuntutan saman fitnah itu adalah mengenai artikel dalam talian yang dimuat naik di Harakahdaily pada 14 September lalu yang antara lain menyentuh mengenai peletakan jawatan Husam Musa sebagai Naib Presiden AMANAH.

Artikel itu juga merujuk kepada laporan berita dalam talian yang lain mengenai perkara berkenaan.

Pada 14 September lalu, Husam menafikan dakwaan laporan berita bahawa yang mengatakan dia berselisih dengan Mohamad berhubung peletakan jawatannya sebagai naib presiden parti.

Menurut salinan tuntutan saman yang dilihat oleh Malaysiakini, Mohamad menuntut ganti rugi am, berat dan teladan, dan faedah 5 peratus atas ganti rugi yang dikira dari tarikh writ hingga pembayaran akhir.

Mohamad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Raja dan bekas menteri pertahanan itu mendesak permohonan maaf dan menarik balik laporan berkenaan.

Permohonan maaf itu diminta dibuat di portal Harakahdaily dan akhbar cetak Harakah, dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman.

Plaintif juga menuntut injunksi untuk mengelakkan para defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah tersebut, sama ada secara lisan, atau melalui media cetak atau dalam talian.

Mohamad juga menuntut kos dan apa-apa pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Menurut Pernyataan Tuntutan, penggugat mendakwa bahawa defendan menerbitkan pernyataan fitnah yang disengajakan dengan sengaja, tanpa menggunakan usul periksa dan dengan niat jahat untuk tujuan sensasi artikel dalam talian.

Mohamad mendakwa ini dilakukan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke portal Harakahdaily untuk mendapatkan keuntungan kewangan.

Plaintif juga mendakwa bahawa laporan itu diterbitkan Harakahdaily untuk kepentingan politik Pas, yang merupakan sebahagian daripada pentadbiran PN.

Mohamad mendakwa bahawa defendan gagal mematuhi surat tuntutan yang dikeluarkan kepada mereka pada 24 September, untuk menarik balik dakwaan dalam laporan itu, meminta maaf dan membayar ganti rugi kepadanya.

Menteri Keselamatan gagal jarak jarak, tidak pakai pelitup muka

FAZLI RADZI

Menteri Keselamatan gagal jarak jarak, tidak pakai pelitup muka

Hampir setiap hari Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan sidang media memaklumkan jumlah kes pelbagai kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, Menteri Kanan (Keselamatan) itu sendiri dilihat gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal dan berkumpul tanpa memakai pelitup muka.

Kesalahan itu dikesan daripada dua gambar yang tular memperlihatkan Ahli Parlimen Bera berkenaan hadir dalam satu pertemuan di Melaka kelmarin.

Selain dua kesalahan itu, kerajaan turut menyenaraikan aktiviti pusat hiburan, rentas negeri atau daerah PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan sebagai antara kesalahan ingkar arahan PKP.

Kelmarin, Ismail yang juga Naib Presiden Umno mengumumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 648 individu kerana didapati melakukan kesalahan mengingkari arahan PKP.

Jelasnya, daripada jumlah itu seramai 594 individu dikenakan dikompaun manakala 54 individu lagi direman.

Undi belah bahagi, PH gagal ‘halang’ peruntukan JPM

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri di bawah Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 di peringkat jawatankuasa.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun mengumumkan perkara itu selepas majoriti ahli Parlimen memberi sokongan menerusi undi belah bahagi.

“Tidak hadir 20, tidak bersetuju 95 dan bersetuju 105, usul disetujukan,” kata Azhar selepas undian belah bahagi peruntukan buat 5 kementerian di bawah JPM, iaitu Hal Ehwal Undang-undang, Ekonomi, Agama, Sabah dan Sarawak dan Tugas-tugas Khas.

Dua lagi kerusi Parlimen disandang Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Hasbullah Osman (Gerik) yang meninggal dunia, masih kosong.

Terdahulu, Azhar mahu undi suara dibuat memandangkan suara ahli Parlimen Perikatan Nasional lebih kuat.

Bagaimanapun, ahli Parlimen pembangkang menggesa undi belah bahagi diadakan, dengan lebih 15 ahli Parlimen berdiri untuk memberikan sokongan.

Azhar kemudiannya memberi 10 minit untuk ahli Parlimen mengundi bagi RUU itu.

Ketika proses undian diadakan, ahli Parlimen pembangkang berdiri untuk membantah Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bahru) memasuki dewan ketika pengiraan undi.

Ahli Parlimen akan meneruskan perbahasan peruntukan untuk kementerian lain.

Khamis lalu, Belanjawan 2021 yang berjumlah RM322 bilion diluluskan peringkat dasar dengan suara majoriti, selepas ahli Parlimen pembangkang dan bebas gagal mendapatkan 15 ahli Parlimen untuk menyokong undi belah bahagi.

Pas disuruh bantu Bob Lokman bukan minta derma untuk pendakwah

FAZLI RADZI

Langkah Jabatan Dakwah Pas Pusat melalui Sekretariat Tabung Khas Bantuan Pendakwah meminta derma bagi membantu pendakwah dilihat hanya menerima kritikan warganet.

Kenyataan sekretariat itu yang dikongsi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan di Facebook rasminya mengundang pertikaian dan sindiran orang ramai.

Paling ketara apabila Pas dipersoal dalam sejauhmana menghulurkn bantuan kepada penulis lirik Bob Lokman, 56, yang umum mengetahui merupakan penyokong parti itu.

“Kenapa Pas tak bantu Bob Lokman?” soal Ben Hamid merujuk kepada pelawak yang memerlukan wang untuk kos perubatan dan membeli alat kawal degupan jantung.

Bob Lokman dilapor diberi pilihan sama ada menjalani pembedahan atau berdepan dengan risiko kematian mengejut berikutan penyakit jantung yang dihidapi sejak lebih 20 tahun semakin kronik.

Pemilik kepada nama sebenar, Mohd Hakim Lokman itu berkata, beliau perlu menjalani prosedur untuk memasang alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC) supaya degupan jantungnya dapat distabilkan.

Golongan sasaran

Ada juga membandingkan pendekatan dakwah Pas dengan pendakwah terkenal, Ebit Lew yang dianggap lebih menebarkan manfaat dan kebaikan.

Sehubungan itu, warganet berpendapat lebih baik menghulurkan sumbangan kepada Ustaz Ebit kerana sudah tentu bantuan itu sampai kepada golongan sasaran.

Rata-rata warganet mengingatkan kutipan derma di bawah Pas tidak ada audit sekali gus terdedah pada penyewengan.

Justeru, mereka mendesak Pas menghentikan tabiat mengutip derma dengan menyebutkan kembali dakwaan penyelewengan Tabung Memali.

Wang kutipan derma bagi tabung itu bagi membantu penyokong Pas yang terlibat dalam peristiwa Kampung Memali di Baling, Kedah pada 1985.

“Derma Tabung Memali pun dah hilang. Pi mana? Mana auditnya?” soal seorang warganet.

Tidak kurang yang menyindir Pas boleh sahaja meminta derma daripada Exco kerajaan negeri dan Adun di Kelantan yang menikmati kenaikan gaji pokok sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

Terdahulu, Sekretariat Tabung Khas Bantuan Pendakwah berkata, wang derma yang diterima pihaknya akan memanfaatkan dana sekurang-kurangnya kepada 500 pendakwah, guru agama dan asatizah.

Azmin dakwa idea penubuhan PN dari Mahathir

FAZLI RADZI

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa idea penubuhan PN datang dari Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, penubuhan PN pada mulanya bertujuan untuk menjadikan Mahathir seorang perdana menteri yang disokong oleh semua Ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, rancangan dibuat agar pilihan raya umum (PRU) diadakan pada Oktober tetapi tidak dapat dilaksanakan ekoran gelombang ketiga wabak Covid-19.

Beliau dalam masa sama menafikan dakwaan PN sebagai kerajaan pintu belakang.

Jelasnya, seperti dipetik wawancara khas menerusi The Star, terdapat kekosongan jawatan Perdana Menteri ketika itu.

“Saya tidak mencadangkan pada masa itu. Jika kejadian (Mahathir letak jawatan) tidak berlaku – di mana kami ketuk pintu untuk masuk ke dalam dan keluarkan dia.

“Itu bukan dalam rancangannya,” kata Azmin.

Beliau memberitahu sebelum Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut pada 23 Februari lalu, satu akaun berkanun (SD) merangkumi 131 sokongan Ahli Parlimen daripada pelbagai parti disampaikan ke Istana Negara.

“Ia menamakan dengan satu nama untuk perdana menteri – Dr Mahathir.

“Kami berusaha sehabis mungkin untuk memastikan Mahathir dapat meneruskan sebagai Perdana Menteri,” akuinya lagi.

Azmin menjelaskan hasil mesyuarat yang diadakan di rumah Mahathir pada 23 Februari, jam 4 petang itu disertai enam ketua parti politik.

Dedah Azmin lagi, selain dirinya, lima pemimpin lagi ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal, Presiden Pas Abdul Hadi Awang dan ketua Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg.

Polis tahan datuk tiri campak cucu dari apartmen

Bernama

Seorang suspek lelaki warga Nigeria ditahan kerana dipercayai mencampakkan cucu lelaki tirinya dari tingkat tiga, di sebuah apartment di Danau Kota, Setapak, di Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata suspek yang berusia 42 tahun itu, ditahan di rumahnya sejurus selepas kejadian itu kira-kira lapan pagi tadi.

Beliau berkata kejadian itu berlaku apabila suspek cuba merogol salah seorang anak perempuan tirinya berusia 24 tahun, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun.

“Mangsa (anak perempuan tiri suspek) ketika itu sedang tidur, namun perbuatan suspek telah dihalang oleh isteri dan tiga anak perempuan tiri suspek yang lain.

“Berang dengan kejadian itu, suspek telah mengamuk, memukul dan menghentak isteri dan empat anak tiri suspek yang berada di dalam rumah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Nik Ros Azhan berkata ekoran itu suspek memukul cucu tirinya sehingga lemah-longlai, sebelum mencampakkan cucunya ke luar tingkap di bilik utama sehingga jatuh.

Dia berkata isteri suspek berusia 49 tahun yang melihat kejadian itu, lalu menjerit meminta tolong dan menyelamatkan diri bersama empat anaknya yang lain, untuk mendapatkan bantuan jiran serta pengawal keselamatan apartment itu.

“Ekoran itu, suspek cuba melarikan diri melompat keluar melalui tingkap sebelum mengalami kecederaan akibat impak melompat dari tingkat tiga dan telah ditahan orang awam dan pengawal keselamatan apartment itu,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata suspek mengalami kecederaan di tangan dan beberapa bahagian anggota badan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Mayat kanak-kanak yang maut itu dikenali sebagai Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi dibawa ke HKL untuk dibedah siasat,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-Bernama