Keputusan koroner kes Adib tak masuk akal, bercanggah bukti polis

Malaysiakini 

Kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada 2018 merupakan detik yang memecah-belahkan negara dan menghantui Tommy Thomas ketika menjadi peguam negara.

Kematian Adib dan kekurangan pendakwaan terhadap mana-mana suspek telah digunakan sebagai senjata politik, terutama oleh mereka yang berada dalam Umno, untuk 'menikam' Thomas dan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Thomas sering dituduh melepaskan suspek yang didakwa menyebabkan kematian Adib.

Mengenang peristiwa itu dalam memoirnya, bekas peguam negara berkata polis telah menjalankan siasatan dengan penuh hati-hati dan teliti pada hari-hari selepas Adib mengalami kecederaannya semasa rusuhan di luar Kuil USJ Seafield Sri Maha Mariamman pada bulan November 2018. 

Walaupun pada masa itu ramai yang berkata Adib dicederakan perusuh, polis mendapati tiada unsur perbuatan khianat.

"Dikatakan, Adib cedera apabila jentera bomba itu berundur ke belakang, menolak kenderaan yang Adib tumpang.

"Selanjutnya, tidak mungkin polis menangkap sebarang orang atas jenayah yang tidak ada. Dan itulah penemuan setelah banyak kali siasatan oleh beberapa unit polis," tulis Thomas.

Bagaimanapun, apabila Adib meninggal dunia tiga minggu kemudian pada 17 Disember, Thomas berkata kemarahan tercetus, yang ditimbulkan sentimen perkauman, mendakwa Adib dibunuh oleh perusuh di luar kuil Hindu.

"Hanya jika beberapa orang India didakwa atas kesalahan membunuh, gerombolan yang marah itu akan puas hati," katanya.

Ini, katanya, mendorong beliau untuk mengadakan inkues bagi mencari punca kematian allahyarham Adib.

Menurut Thomas, keterangan yang dikemukakan semasa siasatan mengesahkan penemuan polis bahawa Adib cedera akibat kemalangan dan tidak dipukul.

Bagaimanapun, Koroner Rofiah Mohamad mendapati kematian Adib disebabkan tindakan jenayah yang dilakukan oleh dua atau tiga penyerang yang tidak dikenali semasa rusuhan itu.

Dia juga mendapati kegagalan polis dan FRU untuk mengawal rusuhan telah menyebabkan kematian Adib.

Penemuan itu, kata Thomas, sukar dibayangkan (mind-boggling).

"Bagaimana dia dapat mencapai penemuan ini sukar dibayangkan, ketika polis, dengan pengalaman, kepakaran, tenaga kerja dan sumber daya mereka, tidak dapat merumuskannya.

"Koroner juga spesifik: Dua atau tiga orang. Mengapa tidak seorang? Mengapa tidak lima atau lebih? Ini keputusan pelik, yang dikritik oleh banyak pihak," katanya.

Thomas berkata ramai pegawai di Jabatan Peguam Negara mahu dia membuat rayuan terhadap penemuan itu di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, dia tidak berbuat demikian kerana koroner hanya memutuskan supaya polis melanjutkan siasatan mereka dan katanya dia tidak keberatan dengan hal tersebut.

Polis pada tahun lalu mencadangkan satu inkues diadakan semula berhubung kes kematian Adib, dengan saksi-saksi baru dipanggil memberi keterangan.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada 7 Ogos 2020 berkata ia berikutan terdapat saksi baru yang akan tampil memberi keterangan berhubung kematian anggota bomba itu.

"Sehingga kini seramai 54 saksi baru dirakamkan percakapan melibatkan saksi polis, saksi awam dan saksi pakar yang membawa kepada 115 orang telah dirakam percakapan sepanjang siasatan kes ini berlangsung.

"Saya mahu berlaku adil kerana tiada apa yang nak disembunyikan, apa pun siasatan penuh telah dibuat namun kami tidak temui bukti kukuh menyatakan bahawa ada seseorang yang nampak arwah ditangkap, dipukul dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, setakat Ogos tahun lalu, polis masih belum menemui bukti yang menyokong penemuan koroner bahawa Adib dipukul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan