Pergeseran Umno-Bersatu: Siapa penggerak langkah seterusnya?

BAHA M. ISA 

Sentimen penolakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam kalangan segelintir pemimpin Umno adalah sesuatu yang nyata.

Ia diterjemahkan melalui kenyataan beberapa wakil rakyatnya yang menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan PN.

Mereka antaranya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Masing-masing menarik sokongan mereka terhadap kerajaan yang diketuai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini ditambah dengan wujudnya usul dari bahagian Umno untuk menolak kerjasama parti itu dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), yang kini akan diabsahkan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) akan datang.

Sebelum ini juga berlaku beberapa pergeseran dalam kalangan kepimpinan kedua-dua parti yang menyaksikan mereka saling berbalas kenyataan sekali gus menggambarkan hubungan Umno-Bersatu yang kian merosot.

Namun begitu, adakah pemimpin-pemimpin Umno dapat melakukan apa-apa ketika ini terutama apabila negara sedang berada dalam darurat?

Dapatkah usul itu diabsahkan pada PAU akan datang? Apakah langkah seterusnya bagi kedua-dua parti?

Bagi pemerhati politik, Prof. James Chin, beliau melihat Umno tidak dapat melakukan apa-apa ketika tempoh darurat sehingga paling lewat 1 Ogos depan.

Sehubungan itu, beliau berpendapat situasi semasa masih perlu ‘tunggu dan lihat’.

“Menjelang Julai atau Ogos, sentimen terhadap Abah (Muhyiddin) akan berubah. Semua bergantung kepada (keadaan) Covid-19 dan ekonomi.

“Jika ia menjadi lebih teruk, maka Abah akan menghadapi masalah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

James berpendapat, Muhyiddin akan cuba mempengaruhi kumpulan-kumpulan dalam Umno untuk menyokongnya dalam beberapa bulan akan datang.

“Jangan terkejut semua pilihan ada di atas meja, termasuk penggabungan jika syaratnya betul,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan