Sangka anak tidur, rupanya mati dibunuh

Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: "Saya terdengar dia meraung selepas mengetahui anaknya sudah mati," kata jiran kepada kanak-kanak perempuan warga Indonesia yang dipercayai dibunuh bapa kandung di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Damansara Utama, di sini, Selasa lalu.

Marsiah Sadili, 36, berkata, dia baru saja selesai menunaikan solat Asar sebelum terdengar jeritan itu jam 6.30 petang,

"Saya terus bergegas ke rumah jiran dan dimaklumkan bahawa anak perempuan berusia tujuh tahun sudah meninggal dunia di sebuah bilik.

"Saya melihat mangsa dalam keadaan terbaring di katil serta berpakaian penuh tanpa ada kesan-kesan kecederaan fizikal yang jelas.

"Saya terus meminta suami supaya menghubungi talian kecemasan sebelum polis tiba beberapa minit kemudian," katanya ketika ditemui di rumahnya di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Marsiah berkata, menurut ibu kanak-kanak itu, dia menyedari ada sesuatu berlaku pada anaknya selepas mangsa tidak menyahut panggilannya.

"Dia kemudian mengejutkan anaknya yang disangka tidur, namun kanak-kanak itu didapati sudah tidak bernyawa.

"Jiran (ibu kanak-kanak itu) juga ada memaklumkan bahawa suaminya keluar dari rumah sejurus dia tiba. Tidak lama kemudian, kami dimaklumkan pengawal keselamatan bahawa mereka menemui mayat suami di kawasan letak motosikal," katanya.

Dia berkata, jirannya itu sudah menyewa di rumah berkenaan sejak dua tahun lalu.

"Terdapat lapan individu membabitkan tiga keluarga menyewa di rumah berkenaan termasuk ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

"Tiga bulan lalu, saya pernah mendengar pasangan suami isteri itu bergaduh, namun hanya beberapa minit.

"Saya mengenali kanak-kanak itu kerana kerap melihatnya bermain basikal di halaman rumah di tingkat ini, namun tidak pernah berbual dengannya," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh bapa kandungnya di sebuah rumah di Damansara Utama, di sini, kelmarin.

Bapa kanak-kanak berkenaan berusia 30-an yang juga warga Indonesia dipercayai membunuh diri dengan terjun dari tingkat atas bangunan kediaman terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal memaklumkan pihaknya menahan tiga individu warga Indonesia termasuk ibu kandung kanak-kanak berkenaan berusia 30-an serta 50-an bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan