Sentimen kebencian senjata Umno untuk PRU15 dan hipokrasi Pas

ZIN MAHMUD

Apabila Ketua Pemuda Umno menimbulkan isu buku teks sejarah dengan mengaitkannya pada DAP, dapat diperhatikan bahawa kemungkinan itulah kaedah mereka berkempen pada pilihan raya umum akan datang, iaitu memainkan sentimen kebencian.

Dapat dijangka bahawa terdapat tiga perkara yang mungkin digunakan oleh Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional bagi menentang Pakatan Harapan. Pertama, serangan kepada pemimpin utama PH iaitu Anwar Ibrahim. Kedua, kritikan terhadap pemerintahan PH selama 22 bulan. Ketiga, serangan terhadap DAP.

Ini telahan saya daripada pemerhatian. Saya tidak mempunyai maklumat istimewa. Mungkin ada kalangan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional yang mentertawakan telahan saya ini kerana mereka mempunyai senjata lain yang sulit untuk menyerang PH.

Perikatan Nasional terdiri daripada Bersatu dan Pas. Muafakat Nasional pula terdiri daripada Pas dan Barisan Nasional. Sementara BN terdiri daripada Umno. MCA dan MIC. Apabila melihat kegemaran pendukung Bersatu dan Pas menggunakan perkataan “nasional” pada gabungan parti mereka, adalah dapat dikesan bahawa mereka hanyalah mahu melanjutkan dasar dan pendirian BN. Atau dari segi jangka panjangnya Perikatan Nasional mahu menggantikan BN. Sesuatu yang tentunya tidak disukai oleh pihak Umno.

Namun, tidakkah pemimpin utama Bersatu itu asalnya dari Umno? Dengan presidennya sendiri merupakan bekas Timbalan Presiden Umno, maka dapat diperhatikan bahawa itulah natijahnya kelak. Malah ketika ditubuhkan dahulu, ia mempunyai cita-cita untuk menggantikan Umno. Cuba bayangkan kalau-kalau MCA dan MIC meninggalkan BN dan menyertai Perikatan Nasional, maka ia sudah boleh menjadi BN.

Kalau melihat kain rentang untuk pilihan raya yang sedang dicetak dan tular di media sosial, Perikatan Nasional menampilkan warna biru tua seperti BN. Maka tiada bezanya dengan BN. Pada awal Langkah Sheraton itu, gabungan yang terdiri daripada Bersatu, PKR kumpulan Azmin Ali, Pas dan BN itu hendak dinamakan Pakatan Nasional. Ia seolah-olah gabungan antara bekas PH dan BN. Tetapi kerana mungkin mereka tidak mahu dikaitkan dengan PH melalui perkataan “pakatan”, maka mereka mengambil ” istilah “perikatan” .

Walaupun “perikatan” hanyalah satu perkataan sebagai nama gabungan, tetapi ia membawa makna suatu fahaman politik. Ini kerana ia merujuk pada Perikatan Umno-MCA-MIC dalam sejarah. Jadi Perikatan Nasional adalah pewaris fahaman politik Perikatan dan BN.

Dalam sejarah, Pas menentang Perikatan. Hujah utama parti itu menentang Perikatan dalam pilihan raya selepas negara merdeka ialah kerjasama Umno dengan parti bukan Islam iaitu MCA dan MIC. Tetapi kemudian Pas menubuhkan kerajaan campuran dengan Perikatan yang membawa kepada BN. Dalam BN, Pas bekerjasama parti-parti bukan Islam iaitu bukan saja MCA dan MIC tetapi juga Gerakan, PPP dan parti-parti Sarawak dan Sabah.

Selepas itu tidak ada isu bagi Pas untuk bekerjasama dengan parti bukan Islam walaupun setelah keluar daripada BN. Daripada Angkatan Perpaduan Ummah sampailah kepada Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, Pas tidak ada masalah bekerjasama dengan DAP. Sebaliknya DAP yang bimbang kehilangan undi kerana bekerjasama dengan Pas.

Apa yang menyebabkan pecahnya Pakatan Rakyat bukan disebabkan Pas tiba-tiba menolak kerjasama dengan DAP seperti yang ditampilkan pada umum. Ia adalah kerana Pas mahu bekerjasama dengan UMNO. Mula-mula secara sulit, kemudian secara rasmi. Tentulah sebahagian ahli Pas menolak kerjasama dengan Umno dan mereka inilah yang menubuhkan AMANAH.

Perjuangan menentang Umno peringkat kedua bermula dengan Pas keluar BN. Ia dipertajamkan dengan gelombang kebangkitan Islam di mana Umno dilihat sebagai parti sekular yang memegang kuasa. Tetapi ketika bekerjasama dengan parti sekular lain, ia adalah berasaskan perjuangan untuk tata kelola baik, good governance. Ini kerana Umno tidak melaksanakan tata kelola baik.

Namun selepas kemenangan di lima negeri oleh parti yang menentang Umno pada tahun 2008, tiba-tiba muncul gagasan Kerajaan Perpaduan atau Unity Government dalam Pas. Ada kalangan Pas yang mahu bekerjasama dengan Umno.

Kerjasama Umno dengan Pas menjadi kenyataan selepas pilihan raya 2018. Mereka mahu bergabung atas nama Muafakat Nasional. Matlamatnya adalah penubuhan kerajaan Melayu-Islam.

Kempen mereka bersifat perkauman dan keagamaan. Dasarnya adalah eksklusif Melayu-Islam dan sasarannya adalah kerajaan PH yang dipaparkan sebagai gabungan didominasi DAP. Mereka menonjolkan seolah-olah bahawa parti-parti Melayu dalam PH iaitu Bersatu, PKR dan AMANAH hanya menjadi alat bagi DAP.

Gagasan kerajaan Melayu-Islam mereka tidak bercakap mengenai sekularisme dan tidak menghiraukan korupsi dan kleptokrasi. Itu kelihatannya tidak penting bagi mereka. Apa yang penting adalah Ketuanan Melayu.

Sedangkan Melayu di Malaysia memerintah dalam konteks ia adalah sebahagian daripada Bumiputera yang turut berada di Sarawak dan Sabah, antaranya beragama Kristian. Di Semenanjung Malaysia pula, orang Melayu berkongsi kuasa dengan Cina dan India. Sememangnya Melayu-Islam adalah majoriti. Tetapi konsep majoriti-minoriti hanya menjadi proses politik apabila ia dilaksanakan dalam konteks negara demokrasi berperlembagaan. Sementara Perlembagaan Malaysia digubal sebegitu rupa untuk menjamin hak minoriti. Sebab itu gagasan kerajaan Melayu-Islam tidak dapat dilaksanakan di negara ini.

Dalam kempen, tentunya momokan komunis juga akan ditimbulkan. Komunisme dikaitkan dengan kaum Cina dan DAP. Mereka tidak menghiraukan fakta. Faktanya ialah zaman komunisme sudah lama berakhir. Dalam sejarah pun, komunisme tidak mengenal kaum. Beberapa tokoh PKM adalah orang Melayu. Terdapat kalangan anggotanya juga orang India. DAP dan parti asalnya, PAP pula adalah parti yang berjuang atas landasan menentang komunis. Mereka memperjuangkan penubuhan Malaysia bagi menghalang PKM daripada bertapak di Singapura dan menguasai Malaya.

Fakta sejarah itu tidak dihiraukan. Apa yang dilakukan hanya memainkan sentimen kebencian terhadap DAP dan sesiapa saja bersahabat dengan parti itu.

Maka sudah dijangka bahawa cara berkempen ini terus dibuat sehingga mereka menang dalam PRU ke-15. Tetapi pilihan raya kecil Tanjong Piai mendedahkan hipokrisi mereka. Walaupun Umno bekerjasama dengan Pas dalam menegakkan kerajaan Melayu-Islam, mereka tidak membubarkan BN. Dalam pilihan raya itu, Pas menyokong calon MCA. Maka ditimbulkan bahawa tidak salah bekerjasama dengan parti bukan Islam, asalkan parti itu menerima kepimpinan Melayu-Islam. Maka ada dua jenis orang bukan Islam. Mereka boleh menerima MCA dan MIC tetapi menolak DAP.

Sedangkan dalam PH, DAP menerima kepimpinan Perdana Menteri Melayu. Cumanya tentulah DAP hendak duduk setaraf dengan parti lain dalam gabungan itu. Orang yang ada harga diri tidak akan mahu duduk sebagai kelas kedua dalam sesuatu kerajaan. Sebab itu banyak orang Cina menolak MCA kerana parti itu kelihatan menjadi kelas kedua dalam BN.

Langkah Sheraton dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional mendedahkan satu lagi hipokrisi. Tiba-tiba Umno dan Pas berada dalam kerajaan Melayu-Islam. MCA kata janganlah kata mereka kerajaan Melayu-Islam kerana parti itu juga mempunyai wakil dalam kabinet.

Betul kata MCA itu, kerajaan Perikatan Nasional itu bukan kerajaan Melayu-Islam. Ini kerana di Malaysia, tidak akan dapat ditubuhkan kerajaan Melayu-Islam kecuali jika ditakrifkan bahawa ia merupakan kerajaan yang turut disertai wakil dari orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan