Apa syarat saingan 3 penjuru untungkan PH?

ARIF ATAN

Pertembungan tiga penjuru atau lebih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak semestinya memberi banyak kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpendapat situasi pada PRU14 sudah tidak sama selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan keluar dari PH pada 23 Februari tahun lalu.

“Pertembungan tiga penjuru pada PRU14 boleh dikatakan menguntungkan PH kerana perebutan yang berlaku pada segmen pengundi Melayu.

“Jika berulang saingan tiga penjuru bahkan lebih, sebenarnya ia memberikan impak positif kepada PH.

“Tetapi jika gagal mengurus, walau nampak seakan-akan sama dengan PRU14 tetapi senario PRU14 tidak akan berulang,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Sehubungan itu, Hisommudin berkata, PH perlu melakukan strategi yang sewajarnya dalam memanfaatkan pertandingan berbilang penjuru ekoran keengganan Umno-Bersatu untuk bekerjasama.

“Hal ini perlu diamati pimpinan PH walaupun tiga atau berbilang penjuru, jika salah strategi mungkin sukar menang,” katanya lagi.

Dalam konteks pembahagian kerusi, Umno, Pas dan Bersatu dilihat berebutkan kawasan dominasi majoriti Melayu.

Keputusan PRU14 2018 menyaksikan sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen dimenangi PH selepas berlaku pertandingan tiga penjuru antara Umno, Pas dan PH.

Kesemua 30 kerusi Parlimen berkenaan melibatkan PKR 14 kerusi, Bersatu (8), AMANAH (6) dan DAP 2 kerusi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan