Tolak isteri dari tingkat 18 selepas curiga curang

MALAYSIA DATELINE

Seorang tukang masak di Georgetown ditahan kerana disyaki menolak isterinya jatuh dari tingkat 18 di Kondominium Bukit Awana, Jalan Bukit Kukus, Ayer Itam semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata lelaki berusia 34 tahun itu mengaku menolak mangsa yang juga ejen insurans menerusi tingkap di ruang tamu rumah mereka, sejurus bertengkar.

Beliau berkata, punca pertengkaran adalah disebabkan suspek curiga dengan isterinya berusia 35 tahun itu yang dikatakan menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

“Mereka sudah lebih setahun berkahwin dan belum dikurniakan anak, malah suspek turut mengaku menolak mangsa selepas pertengkaran.

“Suspek kemudian ditahan dan turut dirampas ialah botol mengandungi ketulan kristal serta plastik lutsinar mengandungi daun kering dipercayai dadah, selain dua telefon bimbit,” lapor BH.

Soffian berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek yang berasal dari Masai, Johor itu mendapati dia positif ganja tetra hydrocannibol (THC) dan tiada rekod lampau.

Katanya, suspek direman enam hari sehingga 15 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat impak jatuh dari tempat tinggi dan pengecaman mayat dilakukan oleh anak saudara mangsa,” katanya.

Semalam, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 18 bangunan itu sebelum terdampar di atas bumbung bilik panel suis milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 12.43 tengah malam.

Bomba menggunakan tangga daripada jentera bagi menurunkan mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan