Shahbudin Husin
Kes baru Covid19 terus menunjukkan peningkatan dengan angkanya hari ini sebanyak 4,498.
Ini adalah angka tertinggi sejak Februari lalu.
Ini tentunya sesuatu yang menyedihkan kerana peningkatan itu berlaku ketika PKP sudah diadakan sebanyak tiga kali beserta darurat yang masih lagi berkuatkuasa.
Maknanya apa semua ini?
Maknanya, PKP 1.0 dan PKP 2.0 yang diaadakan separuh masak sebelum ini adalah gagal.
Darurat yang dipertahankan oleh kerajaan PN sebagai cara berkesan memerangi Covid19 juga ternyata telah gagal.
Kenapa darurat yang dilaksanakan sejak 11 Januari, tetapi kes terus meningkat menjelang Mei?
Jika darurat sebagai kaedah yang berkesan, bukankah sepatutnya kes sekarang ini makin berkurangan?
Dengan kegagalan PKP 2.0 yang dilaksanakan secara separuh masak sebelum ini, besar kemungkinan PKP 3.0 yang lebih longgar sekarang juga akan terus menemui kegagalan.
Trend angka kes sejak semalam jelas memberi petunjuk ke arah itu.
Jika PKP 2.0 dianggap separuh masak, PKP 3.0 yang longgar ini lebih layak dipanggil PKP mentah atau PKP main-main.
Gagalnya PKP dan darurat untuk melawan Covid19 ini hanya memberi satu petunjuk – kerajaan yang gagal.
Jika dilihat sejak awal, kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Md Yasin tidak benar-benar serius untuk menangani Covid19 dan melindungi rakyat daripada wabak tersebut.
Terlihat PKP dan darurat lebih dipergunakan sebagai alasan untuk beliau mengekalkan kuasa dan mengelakkan dirinya daripada dijatuhkan, bukan benar-benar untuk memerangi Covid19.
Dalam erti kata lain, Mahiaddin tidak ikhlas untuk memerangi wabak yang sedang mengancam manusia di seluruh dunia ini.
Keinginannya lebih untuk mempertahankan kuasanya semata-mata dan beliau ternampak lebih sayang jawatannya berbanding menyayangi nasib serta nyawa rakyat.
Sepatutnya, Mahiaddin sedar ketidakmampuannya mengurus negara ketika pandemik dan tidak terus memperjudikan nasib rakyat kerana kegagalannya itu.
Ertinya, kegagalan kerajaan sekarang adalah disebabkan kegagalan Mahiaddin yang menjadi satu lagi bukti bahawa busuknya ikan adalah bermula daripada kepala.
Apabila kepala sudah busuk, keseluruhan ikan tidak boleh lagi dimakan dan sudah patut dibuang ke dalam tong sampah.
Tetapi, sampai bilakah kita harus membiarkan diri kita bernasib malang berkerajaankan sebuah kerajaan yang gagal dan berketuakan seorang Perdana Menteri yang gagal ini? (ShahbudinHusin 07/05/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan