Ridzuan Abdul Rahman
Kuala Lumpur: "Anda semua jangan salah faham dengan saya dan tolong sokong saya," rayu Lan Pet Pet sebelum mengakhiri video yang disiarkan di Instagramnya, hari ini.
Selepas beberapa hari mendiamkan diri, Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 52, yang ditemani peguam, Datuk Dr Aswandi Hashim tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung penularan video dia bergaduh dengan penghantar makanan baru-baru ini.
"Ceritanya bermula apabila saya menegur penghantar makanan yang sedang tengok telefon sambil menunggang motosikal.
"Saya bunyikan hon kereta dan kemudian dia tak puas hati. Dia tunjuk bahasa isyarat (lucah) pada saya menerusi cermin pandang belakang dan saya pun berhenti.
"Dia buat provokasi tapi saya sabar. Dia marah pun saya sabar. Saya serang dia kerana takkan saya nak biarkan muka saya dipukul? Jadi berlakulah pergelutan," katanya.
Menurut Lan, pada masa sama seorang wanita yang berada dalam kereta merakam video yang kemudian tular.
"Saya tengok video tular ini dalam kumpulan WhatsApp dan tak puas hati serta terus buat laporan polis. Ia sudah menjadi kes lain pula sedangkan kami bergaduh hanya dalam beberapa saat sahaja dan selesai.
"Selepas bergaduh saya pergi buat laporan polis untuk diri sendiri. Penghantar makanan terbabit hanya buat laporan beberapa hari selepas itu.
"Apa pun saya berterima kasih kepada pegawai penyiasat yang panggil penghantar makanan ini dan kes kami selesai selepas bersemuka," katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada individu itu kerana kes mereka diselesaikan secara baik.
Menurut Dr Aswandi pula kejadian yang berlaku disebabkan salah faham.
"Teguran dibuat cara baik, namun mungkin disalah ertikan oleh individu terbabit. Dalam keadaan demikian kalau dilihat bukanlah satu pergaduhan tapi lebih kepada perselisihan.
"Berkenaan video tular oleh wanita terbabit yang keluarkan komen seolah-olah menghakimi Lan menyerang, itu adalah satu prasangka.
"Saya dihubungi oleh Lan dan saya menasihatkannya supaya buat laporan polis. Ketika itu individu terbabit masih belum buat laporan polis," katanya.
Dr Aswandi berkata, penghantar makanan hanya membuat laporan selepas beberapa hari kemudian.
"Seterusnya barulah pegawai penyiasat panggil Lan untuk beri keterangan dan bersemuka dengan individu berkenaan.
"Akhirnya penghantar makanan ini menyedari kesalahannya dan menarik semula laporan polis yang dibuat. Kita dapat lihat tiada kesalahan dari pihak Lan kerana penghantar makanan ini tarik balik laporan.
"Sebenarnya kalau berlaku kesalahan yang sepenuhnya berpunca daripada Lan, saya yakin penghantar makanan ini akan kemukakan saman sivil atas mungkin kecederaan atau kerugian yang dialami," katanya.
Dr Aswandi menjelaskan kebanyakan komen video yang tular tidak menunjukkan keadaan yang sebenar.
"Komen yang tak sepatutnya akan jadi fitnah. Kita tak boleh buat kesimpulan sikap atau keadaan Lan dengan hanya satu video pendek.
"Kita juga tak boleh kaitkan semula dengan kes yang lama. Ia adalah isu berbeza. Lan seorang ahli perniagaan yang amat bergerak cergas.
"Walaupun hanya perniagaan belacan, ia sudah dikenali hingga Lan tandatangan perjanjian bersama dengan satu jenama kedai untuk bekalkan belacan kepada semua rangkaian kedai itu," katanya.
Menurutnya, sebagai peguam yang dilantik firmanya bertanggungjawab sebagai penasihat peribadi termasuk perniagaan Mazlan Pet Pet.
"Tujuan kami hanya untuk menjernihkan keadaan. Berbanding kes Pak Ya, penyelesaian kes ini berlangsung di balai polis dan bukan berjumpa individu terbabit untuk selesaikan sendiri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan