Dr Musa Mohd Nordin: 'Pelan pemulihan hanya lengahkan masa sebelum gelombang baru tercetus'

Malaysiakini 

Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan semalam, hanya melengahkan masa sebelum gelombang jangkitan baru melanda, berbanding benar-benar memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

Berikut merupakan pandangan Pengerusi lembaga penasihat Gabungan Persatuan Perubatan Islam Sedunia, Dr Musa Mohd Nordin.

Musa berkata pelan itu “bersifat rambang” dan tidak berasaskan “sains yang baik”.

“(Ia) Tak akan meredakan pandemik, hanya melengahkan masa sebelum tercetus satu lagi gelombang Covid-19 apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan kelak,” katanya dalam satu rajutan Twitter.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelan pemulihan yang menggariskan kriteria harus dicapai untuk pelonggaran sekatan. Pelan itu terbahagi kepada empat fasa.

Buat masa sekarang, hanya perkhidmatan ekonomi penting yang dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, kerajaan berharap dapat memasuki fasa 2 pada Julai, dengan sejumlah lagi sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi jika purata kes harian kurang daripada 4,000 kes.

Fasa 3 pula dijangka pada September dengan sektor sosial juga dijangka akan kembali dibuka, jika purata kes harian jatuh ke bawah angka 2,000 dan kadar vaksinasi mencecah 40 peratus.

Menjelang November, kerajaan menjangkakan pembukaan semula ekonomi secara penuh, jika purata jangkitan harian kurang daripada 500 kes dan kadar vaksinasi mencecah 60 peratus.

Musa berkata, pelan pemulihan untuk meredakan wabak memerlukan pendekatan tangkas untuk mencari, membuat, mengesan dan mengasingkan kes positif, serta usaha-usaha sokongan yang lain.

“Ini perkara asas untuk pengurusan pandemik Covid-19 yang berkesan dan cekap,” katanya.

Tambahnya, keputusan untuk pembukaan semula ekonomi haruslah berasaskan sains dan realistik.

Kriteria yang harus diambil kira termasuklah jumlah kes Covid-19, kematian, kadar kebolehjangkitan, kapasiti penjagaan kesihatan, status vaksinasi dan pematuhan awam terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Kerajaan sebelum ini terpaksa bergelut dengan lonjakan kes Covid-19 sebanyak dua kali selepas terlalu awal membenarkan pembukaan semula ekonomi dan menarik balik sekatan.

Sementara itu Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata pelan pemulihan yang diumumkan hanya seperti tindak balas susulan pertemuan khas raja-raja Melayu yang akan berlangsung hari ini, berbanding pelan pemulihan yang sebenar.

“Jelasnya, siaran langsung Muhyiddin semalam tidak lebih sekadar tindak balas terhadap perbincangan khas Raja-Raja Melayu yang akan berlangsung hari ini bagi membincangkan mengenai kegagalan kerajaan membendung penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pelan itu sangat mengecewakan dan tidak memberikan sebarang harapan kepada rakyat, sebaliknya hanya menawarkan kesamaran.

“Ia bukan tentang pemulihan negara untuk meletakkan kembali negara ini ke era prapandemik tetapi tentang cara untuk melandaikan lekuk wabak Covid-19,” katanya lagi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan