Israel serang wilayah Palestin

Malaysiakini 

Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza pada Rabu dengan mendakwa ia sebagai tindak balas ke atas pelepasan bom menggunakan belon daripada wilayah Palestin.

Serangan itu merupakan yang pertama sejak berakhirnya serangan rentas sempadan 11 hari lalu.

Menurut Reuters, pertempuran itu berlaku susulan perarakan oleh nasionalis Yahudi di Jerusalem Timur semalam, mengundang ancaman daripada Hamas yang memerintah Gaza.

Tentara Israel mendakwa serangan itu disasarkan ke atas markas Hamas di bandar Gaza dan selatan Khan Younis, dan dilaporkan berkata “bersedia untuk semua senario, termasuk pertempuran baru bagi menghadapi tindakan keganasan berterusan daripada Gaza”.

Israel mendakwa serangan bom terhadap mereka menyebabkan 20 kebakaran di padang terbuka berdekatan sempadan Gaza.

Jurucakap Hamas mengesahkan serangan Israel, dan berkata bahawa warga Palestin akan terus “bertahan dengan berani dan mempertahankan hak mereka serta tanah suci” di Baitul Muqaddis.

Beberapa jam sebelum itu, ribuan warga Israel berkumpul di Gerbang Damsyik di Kota Lama Jerusalem dengan mengibarkan bendera, sebelum menuju ke Tembok Barat suci Yahudi (Tembok Ratapan), mengundang kemarahan warga Palestin.

Israel menempati Jerusalem Timur selepas perang 1967, dan kemudian memperluas kawasannya - gerakan yang tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Ia mendakwa keseluruhan kota itu sebagai ibu kotanya. Warga Palestin pula menuntut Jerusalem Timur untuk menjadi ibu kota buat gagasan negaranya yang akan turut merangkumi Tebing Barat dan Gaza.

Sebelum perarakan pada Selasa, Israel memperkuat sistem pintasan peluru berpandu yang digelar Kubah Besi, sebagai persediaan menghadapi kemungkinan serangan roket dari Gaza.

Tetapi, sehingga perarakan bersurai selepas waktu malam, tiada tanda serangan roket yang dibimbangi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan