Tajuddin pesan pada Muhyiddin jangan takut

NORMAWATI ADNAN

PASIR SALAK - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu takut dengan kemungkinan undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya Parlimen dibenarkan bersidang.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebelum ini UMNO dan parti pembangkang telah memberi jaminan untuk tidak mengemukakan usul undi berkenaan terhadap kerajaan.

"UMNO adalah sebahagian kerajaan dan sebelum ini pun kita telah membuat kenyataan bahawa parti tidak berminat untuk mengadakan undi tidak percaya. Begitu juga dengan kenyataan pemimpin pembangkang seperti PKR (Parti Keadilan Rakyat), DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara).

"Jadi tiada apa lagi yang perlu ditakuti. Sidang Parlimen boleh diadakan segera kerana Perdana Menteri telah diberikan jaminan tidak akan ada undi tidak percaya dibawa kepada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) fasa kedua kepada 1,334 penerima termasuk petugas barisan hadapan di kawasan Parlimen Pasir Salak, di sini pada Sabtu.

Tajuddin menyerahkan sumbangan Bantuan Rakyat Prihatin kepada Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Langkap, Dr Noor Farhanah Tauhid Ahmad.

Antara penerima bantuan ialah anggota barisan hadapan di Balai Polis Langkap, Balai Polis Chui Chak, Balai Polis Labu Kubong, Klinik Kesihatan Langkap, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk setempat yang memerlukan.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar sesi persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Katanya, pembukaan Dewan Rakyat membolehkan Ahli Parlimen berkongsi pandangan dan cadangan yang dapat dimanfaatkan untuk membantu kerajaan menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi rakyat.

"Sekarang ini apa juga tindakan diambil sama ada berkaitan saringan dan vaksin semuanya adalah idea pihak kerajaan. Wakil rakyat yang ada ini duduk tengok sahaja, paling kurang boleh hantar barang makanan.

"Jika dapat dibuka (persidangan Parlimen) sepertimana dititahkan baginda, saya rasa kita boleh sama-sama ambil tindakan lebih berkesan dalam menghadapi Covid-19 dan kelangsungan hidup rakyat yang perit disebabkan wabak ini," katanya.

Dalam pada itu, Tajuddin berharap, lebih banyak lokaliti bagi tujuan saringan Covid-19 dibuka di kawasan pedalaman bagi memudahkan penduduk kampung menjalani pemeriksaan kesihatan.

Tambah beliau, ada sebahagian klinik kesihatan seperti di Klinik Kesihatan Langkap tidak dijadikan lokaliti saringan Covid-19 menyebabkan penduduk terpaksa membuat saringan di tempat lebih jauh.

"Sebelum ini saya dah maklumkan kepada menteri berkenaan supaya 'double up' kerana kita sudah ketinggalan. Bukan sahaja klinik kesihatan, tetapi dewan orang ramai pun boleh dijadikan pusat saringan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan