Umno perlu ambil tindakan ‘penyudah’ segera, kata Puad

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berpendapat sudah tiba masanya parti itu mempercepatkan tarikh penarikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika Putrajaya masih berdolak-dalik berhubung pembukaan sidang Parlimen.

Mohd Puad Zarkashi berkata, beliau menyokong pendirian Pemuda Umno yang membuat gesaan itu dan pucuk pimpinan harus mengambil tindakan “penyudah” segera kepada kekalutan berkenaan.

“Ini kerana Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu telah menitahkan supaya Parlimen mesti bersidang secepat mungkin.

“Justeru MKT wajar mempercepatkan tarikh penarikan sokongan terhadap kerajaan PN walaupun pada Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU2020) memutuskan paling lewat pada 1 Ogos depan,” katanya kepada FMT.

Puad berkata, suara PAU2020 pada Mac lalu juga memutuskan untuk memberi mandat kepada Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan dengan MKT jika terdapat tarikh lain yang lebih sesuai.

Katanya, Umno mempunyai alasan kukuh untuk membuat keputusan tegas dan penarikan sokongan lebih awal.

“Umno sudah memberi peluang lebih setahun kerajaan PN memerintah.

“Ternyata Umno tidak boleh membiarkan dirinya terus terpalit dengan kemarahan rakyat akibat kegagalan kerajaan PN dan kedegilan PM8 (Muhyiddin Yassin),” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya akan mendesak kepimpinan tertinggi parti itu untuk membuat keputusan tegas jika kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.

“Kegagalan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong itu boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan,” katanya.

Justeru, Pemuda Umno mendesak Putrajaya mengeluarkan notis panggilan segera bagi membolehkan Parlimen bersidang sebelum darurat tamat pada 1 Ogos bagi mentaati titah pandangan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Rabu lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah baginda berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pandangan baginda berhubung persidangan Parlimen tidak memperincikan bila ia perlu dilaksanakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan