Apa Itu Amalan Garfu Tala? Yang Dikatakan Syirik

 

Serupa tilik nasib

Muhammad Saufi Hassan

saufi@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Amalan 'garfu tala' mirip kepada perbuatan menilik nasib dan tindakan yang menyerupai amalan tilikan adalah dilarang di dalam Islam.

Menerusi siaran al-Afkar terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP), ia menjelaskan bahawa hukum tenung nasib atau tilik nasib serta sebarang perbuatan yang menyerupai tindakan itu adalah diharamkan oleh Allah SWT. 

Amalan garfu tala itu sendiri menggunakan terjemahan ayat suci al-Quran untuk menilik sesuatu yang berlaku pada kehidupan harian seseorang individu.

Teknik amalan ini memerlukan pengikutnya atau individu membuka sebarang muka surat di dalam al-Quran mengikut gerak hati atau pemilihan rawak.

Selepas itu, setiap ayat terjemahan pada helaian yang dibuka oleh individu berkenaan akan diperhalusi dan memilih mana-mana ayat yang dirasakan 'kena' dengan kehidupan seseorang.

Tindakan itu juga mirip kepada perbuatan menilik turut mendapat perhatian daripada beberapa individu berstatus public figure yang dilihat menggunakan teknik sama.

Pada masa sama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam perbincangan dengan pihak berkaitan mencadangkan supaya amalan seumpama ini dibawa ke Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) untuk pandangan lanjut.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, pihaknya sedia maklum berhubung amalan garfu tala yang mencetuskan kegusaran awam.

"Walaupun menggunakan kitab suci al-Quran namun apa saja kaedah amalan yang mirip dengan amalan menilik nasib, maka ia adalah dilarang berdasarkan kepada dalil yang sahih.

"Jakim mengambil maklum tentang kegusaran awam terhadap satu amalan mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah dengan menggunakan mushaf al-Quran ataupun istikharah al-Quran.

"Kitab al-Quran diturunkan adalah sebagai pedoman serta diambil isi kandungannya sebagai panduan hidup," katanya kepada Metro Ahad.

Abdul Aziz berkata, ia bukanlah untuk dijadikan amalan yang tiada asas atau pun amalan baharu yang direka cipta dan bertentangan dengan ajaran al-Quran itu sendiri.

Kata Abdul Aziz, Jakim menyeru seluruh umat Islam agar mengelakkan diri daripada mempercayai serta mengamalkan ajaran yang tiada asas sumbernya daripada hukum syarak.

"Umat Islam diseru mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pegangan akidah, syariah dan akhlak sebagaimana diajar Nabi Muhammad SAW melalui saluran yang betul dan guru yang diiktiraf keilmuannya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan