Selepas kecoh ada MP dinikahkan imam Narathiwat, Hadi seru ikut pemimpin ke akhirat

FAZLI RADZI

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pagi ini tampil dengan artikel sarat terjemahan al-Quran ketika orang ramai kecoh memperkatakan seorang ahli parlimen partinya menambah isteri.

Menerusi Minda Presiden Pas kali ini bertajuk “Mengikut pemimpin sampai ke akhirat“, bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu turut memetik Surah al-Hajj, ayat 41.

“Ayat di atas menjelaskan bahawa mereka yang diberikan amanah memimpin, syaratnya ialah kalangan yang erat hubungannya dengan Allah SWT, menegakkan ekonomi yang adil, melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi munkar, serta berwawasan Hari Akhirat.

“Bukanlah dilantik pemimpin daripada kalangan mereka yang fasiq, pembohong yang menipu rakyat, tidak melakukan amar ma‘ruf dan nahi munkar, serta hanya berwawasan dunia tanpa mengambil kira perhitungan pada Hari Pembalasan di akhirat kelak,” kata Hadi menerusi Facebook miliknya.

Pemimpin yang terkenal dengan Amanat Haji Hadi sejak 40 tahun lalu itu turut menyelar golongan yang enggan melaksanakan Islam atas alasan tiada persediaan dan Islam tidak sesuai pada zaman kini.

“Namun sebaliknya, secara terus-menerus melaksanakan perkara selain daripada ajaran Islam yang dikatakan lebih baik, walaupun apa yang dilakukan itu gagal menyelesaikan masalah di negara penciptanya.

“Inilah alasan mereka yang melaksanakan agenda musuh Islam yang tidak memberikan tempat dan peluang kepada Islam, atau juga alasan mereka yang buta al-Quran dan jahil ilmunya.

“Allah SWT memberikan amaran agar jangan terpengaruh dengan golongan ini,” tegasnya diikuti dengan terjemahan Surah al-Ma’idah ayat 49 hingga 50.

Tambahnya lagi, manusia sedang menyaksikan kelemahan dan kegagalan ideologi, teori dan semua ajaran lain daripada Islam.

Sehubungan itu, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri tersebut berkata, wajib bagi umat Islam kembali semula memimpin umatnya bersama ajaran Islam yang sempurna.

“Agama yang telah membuktikan kejayaannya pada zaman keemasan, sehingga ia menjadi teladan kepada seluruh manusia,” ujarnya lagi.

Sejak semalam, orang ramai heboh memperkatakan tentang seorang ahli parlimen Pas menambah isteri ketika rakyat sedang bergelut dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Majlis akad nikah pemimpin berasal dari Kelantan itu diadakan secara dalam talian dengan seorang imam dari Narathiwat, Thailand.

Tular video yang juga menunjukkan majlis nikah Timbalan Menteri itu turut dihadiri oleh dua saksi.

Berlangsung di masjid sebuah negeri di pantai timur pada 1 Julai lalu, wakil rakyat itu turut menyerahkan mas kahwin sebanyak RM11,111 kepada isteri mudanya yang dikatakan berasal dari Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan