Salahuddin: Mesyuarat Khas Parlimen hari ini: ‘Tunggu apa yang kami akan lakukan’

ARIF ATAN

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan tugas pertama Ahli-Ahli Parlimen hari ini ialah memastikan aturan urusan mesyuarat (AUM) menepati titah Yang di-Pertuan Agong, peraturan mesyuarat dan Perlembagaan Malaysia.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, wakil rakyat dari blok pembangkang akan berusaha memperjuangkan kepentingan rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Tunggu apa yang kami akan lakukan. Selamatkan demokrasi dan perjuangan rakyat yang semakin sengsara. #KerajaanGagal,” kata Timbalan Presiden AMANAH itu dalam ciapan di Twitter.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bermula hari ini hingga 29 Julai dan disambung pada 2 Ogos.

Tiada sidang hibrid dan tiada had jumlah Ahli Parlimen untuk berada dalam Dewan Rakyat ditetapkan.

Bahkan, semua 220 Ahli Parlimen termasuk mereka yang belum divaksin dibenarkan untuk hadir.

Dewan Rakyat dibuka buat pertama kali tahun ini dalam suasana negara masih berdepan penularan pandemik dengan jumlah jangkitan semalam sudah melepasi satu juta.

Dalam hal berkaitan, Ahli Parlimen akan diberi ruang untuk mengemukakan pertanyaan, pendapat dan berbahas dalam sidang khas tersebut.

Dalam sidang media secara maya, 23 Julai lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata hal tersebut sudah dimaklumkan dalam notis pemberitahuan sidang khas kepada Ahli Parlimen.

“Saya nyatakan dengan terang dan jelas, bahawa saya akan membenarkan soalan, membenarkan cadangan, semua perbincangan dan segalanya.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya persepsi yang menganggap saya tidak akan benarkan sebarang perbahasan,” kata Azhar.

Dewan Rakyat mengandungi 222 kerusi Parlimen tetapi pada masa ini hanya mempunyai 220 Ahli Parlimen selepas dua daripadanya meninggal dunia.

Untuk rekod, kerajaan Perikatan Nasioal (PN) pada masa ini hanya didukung 77 kerusi Parlimen manakala blok pembangkang menguasai 143 kerusi susulan keputusan Umno menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Daripada 77 kerusi kerajaan PN itu, terdapat 32 kerusi Parlimen Bersatu yang diterajui Mahiaddin, Pas (18) dan STAR satu Parlimen.

Kerajaan PN juga disokong Gabungan Parti Sarawak atau GPS (18), Bebas (3), MCA (2) manakala satu kerusi masing-masing dari MIC, PBRS, PBS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan