Bukan pelacur tetapi gigolo politik lebih tepat

A KADIR JASIN

1. Rasanya bukan kebetulan lagi iaitu mana-mana parti atau orang politik yang pernah berpakat dengan Pas berkesudahan dengan kekecewaan. Pas ini rasanya bukan pemain berpasukan.

2. Yang terbaru menyuarakan sentimen ini adalah Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau menggelar parti berlabelkan Islam itu sebagai “pelacur politik” dan menggesa partinya (Umno) supaya berusaha habis-habisan mengalahkan parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

3. Maksudnya Tengku Razaleigh tidak bersetuju dengan kerjasama Umno-Pas melalui Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

4. Sebagai veteran Umno yang tidak putus-putus menjadi wakil rakyat sejak tahun 1969, Tengku Razaleigh amat kenal Pas bermula dengan keahliannya dalam Dewan Undang Negeri (DUN) Kelantan pada tahun 1969. Kemudian dalam Barisan Nasional (BN), Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan sekarang PN.

5. Jadi apabila dia memberikan gelaran yang sangat cela kepada parti itu, kita perlu memberi perhatian. Namun saya tidak mahu mengulas lebih daripada itu kecuali cuba memahami dan melengkapkan semantiknya.

6. Tengku Razaleigh kata Pas “pelacur politik”. Tetapi kepada saya, oleh kerana Pas ini adalah parti patriaki di mana kepemimpinannya didominasi oleh orang lelaki, menggelarnya “pelacur politik” mungkin tidak berapa tepat walaupun ada juga lelaki yang jadi pelacur. Cuba sama-sama kita fikirkan kalau label “pelacur politik” itu boleh digantikan dengan “gigolo politik”.

7. Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan gigolo sebagai “laki-laki upahan yg dipelihara oleh seseorang wanita sebagai teman atau kekasihnya.” Dalam kaitan ini, bolehlah kita ibaratkan PN sebagai berjantina perempuan dan mengambil Pas sebagai “gigolo” dengan upahan jawatan Kabinet, Duta Khas dan GLC. Ibaratkan saja bukan sungguh-sungguh.

8. Tapi jangan pula ada mana-mana pemimpin PN yang berasa diabaikan kerana mesti ada di kalangan gigolo itu mereka yang juga biseksual (kunyit).

9. Akhir kalam, celoteh kita ini tidak mengandungi sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan Ordinan Darurat Berita Palsu sebab kita tidak sentuh sedikit pun mengenai darurat atau Covid. Jadi mohonlah berbahas dengan sopan santun, beretika dan tidak melanggar undang-undang negara. Sesiapa yang tidak puas hati silalah jawab di sini. Tak payahlah upah orang buat aduan polis. Kita gentleman lah.

Terima kasih.

Wan Rahim dilantik sebagai Pengerusi Pilihan Raya PH Kelantan

MALAYSIA DATELINE

Pakatan Harapan (PH) Kelantan hari ini telah bersetuju untuk menamakan ketua pimpinan bagi parti anggota dalam PH ke beberapa jawatan penting.

Pengerusinya, Muhammad Hussin yang telah dilantik melalui Mesyuarat Presiden PH yang bersidang pada 4 Mac lalu telah memaklumkan perkara itu selepas mengadakan mesyuarat pertama hari ini.

Mesyuarat pertama hari ini telah melantik Pengerusi MPN PKR Kelantan Datuk seri Mohamad Suparadi Md Noor sebagai Timbalan Pengerusi I dan Setiausaha DAP Kelantan, Chua Chin hui Timbalan Pengerusi II

Mesyuarat juga bersetuju untuk memperkemaskan organisasi PH Kelantan dengan melantik Rushdan Mustafa sebagai Setiausaha, Lim Chung Chai sebagai bendahari dan Roslan Putih sebagai ketua penerangan.

Bekas Pengerusi AMANAH Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah telah dilantik sebagai Pengerusi Pilihan Raya PH Kelantan.

Selain menjadi speaker DUN Kelantan beliau juga pernah diberi kepercayaan sebagai pengarah pilihan raya PAS sebelum ini

Pelantikan Muhammad yang juga merupakan pengerusi AMANAH Kelantan adalah hasil dari konsensus yang telah dicapai oleh para pemimpin parti anggota Pakatan Harapan negeri kelantan iaitu AMANAH, PRK dan DAP.

Xavier dihubungi menteri kanan diugut sokong PN, dakwa SU Agung PKR

MALAYSIA DATELINE

Keputusan yang diumum YB Datuk Dr Xavier Jayakumar hari ini berikutan dakwaan PKR bahawa wujud usaha tersusun oleh kerajaan minoriti untuk menarik sokongan ahli-ahli parlimen pembangkang dengan cara umpan dan ugutan menggunakan PDRM, LHDN dan SPRM.

Menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution perkara ini ternyata berlaku terhadap Xavier apabila beliau memaklumkan kepada pimpinan PKR bahawa pihak SPRM menjadikan beliau sasaran siasatan setelah SPRM sebelumnya menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalan beliau berkait satu kes yang sedang berjalan.

Saifuddin berkata Dr Xavier kemudiannya dihubungi seorang menteri kanan yang menyatakan beliau perlu menyokong Perikatan Nasional atau hadapi akibat yang serius.

“PKR sebuah parti reform – pendirian kami amat jelas dalam menentang rasuah, salahguna kuasa dan pelanggaran undang-undang tanpa mengira pangkat dan kedudukan,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya hal yang berlaku sekarang adalah, instrumen pemerintah termasuk SPRM sedang diperguna ahli politik kanan dalam pentadbiran Perikatan Nasional untuk mengalih sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan pembangkang kepada Perikatan Nasional.

“Ini adalah satu bentuk salahguna kuasa, terutama tatkala kita sedar isu rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan pihak Perikatan Nasional seperti tidak diambil tindakan oleh pihak berwajib.

“Amatlah jelas kerajaan minoriti hari ini berlapik dengan alasan darurat dan menggantung Parlimen sambil pada masa sama berusaha mendapatkan sokongan lebih ramai Ahli Parlimen dengan cara menggunakan agensi-agensi tertentu melalui taktik umpan habuan, tekanan dan ugutan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, sebagai seorang yang lama mengenali Dr Xavier Jeyakumar Saifuddin berkata tindakan dan alasan-alasan beliau dalam kenyataan hari ini menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Namun yang membezakan reformis tulin dengan yang lain ialah tahan diuji pada masa senang dan sukar.

“Saya ulangi gesaan agar semua Ahli Parlimen PKR untuk kekal teguh dan istiqamah berpegang kepada prinsip dan landasan perjuangan reformasi tanpa tunduk dengan umpan habuan dan ugutan.

Justeru, katanya PKR dan Pakatan Harapan akan kekal dengan halatuju sekarang yakni terus mempertingkat persiapan menuju PRU15 dan pada masa yang sama berusaha mengembalikan mandat rakyat sesuai kerangka undang-undang dan perlembagaan.

Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar hari ini mengumumkan keluar parti dan menyokong PN selepas dua ahli parlimen Larry Sng Wei Shien dan Steven Choong Shiau Yoon berbuat demikian pada akhir Februari baru-baru ini.

Dalam kenyataan, Ahli Parlimen Kuala Langat itu yang menyertai PKR sejak 1998 berkata keputusannya berkuat kuasa serta merta.

Dilema bekas penyokong Azmin, DAP dan AMANAH dipohon membantu

BORHAN AHMAD

Sekitar 10 hingga 15 pemimpin termasuk ahli Parlimen dan menteri besar dari PKR yang sebelum ini menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini dalam dilema apakah mereka perlu kekal dalam PKR atau keluar meninggalkan parti itu.

Ini kerana, mereka beranggapan, kedudukan mereka tidak akan selamat lagi dalam parti itu dan besar kemungkinan mereka tidak akan mendapat sebarang kerusi lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya yakin tidak akan dipilih lagi sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang walaupun saya kekal dalam PKR.

“Tetapi untuk lari meninggalkan PKR dan PH, itu bertentangan dengan perjuangan kami pula,” kata salah seorang pemimpin PKR berkenaan kepada Malaysia Dateline.

Dalam pilihan raya umum ke 14 lalu, katanya, beliau sendiri cuba dipindahkan ke kerusi Parlimen yang lain berbanding kerusi tradisinya kerana kesilapan lampau iaitu menyokong Azmin atau dikenali sebagai ‘geng kartel’.

Bagi beliau, harapan yang tinggal kepada mereka sekarang adalah AMANAH dan DAP yang menjadi kerabat PKR dalam Pakatan Harapan.

“Kami sangat berharap kepada AMANAH dan DAP untuk bertegas dalam isu ini. Nak kami kekal dalam PH atau menolak kami keluar,” kata beliau lagi.

Ketika mereka berhadapan dengan faktor menolak dari dalam PKR sendiri, ada faktor menarik dari kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri agar mereka menyertai beliau dalam Perikatan Nasional (PN).

“Ikutkan idealism, kami tidak akan lari dari PH tetapi kalau kami sudah tidak ada jalan, apa yang boleh kami buat,” kata beliau lagi.

Hari ini, salah seorang dari tokoh utama yang menyokong Azmin dalam pemilihan PKR ketika beliau berdepan dengan Rafizi Ramli bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan keluar dari parti itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Anuar Musa, yang merupakan penyokong kuat kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, tujuh hingga lapan lagi MP PKR akan menurut jejak langkah Xavier meninggalkan parti itu.

Perkara itu, kata Annuar, dimaklumkan sendiri oleh Xavier kepada beliau.

Walaupun Annuar Musa memberikan alasan mereka berbuat demikian kerana menyokong langkah kerajaan PN dalam menangani Covid-19, adalah dipercayai punca sebenar mereka berbuat demikian adalah kerana dilema yang dihadapi mereka.

Bagi sesetengah pemimpin PKR pula, mereka perlu mengambil sikap mengenepi kumpulan ini kerana mereka menyokong pengkhinat parti.

Namun bagi kumpulan ini pula, mereka menyokong Azmin dahulu ketika beliau berada dalam parti tetapi selepas keluar dan mengkhianati parti, mereka sudah tidak bersama Azmin lagi.

PH tidak akan berpecah, ini sebabnya… Ol

SYAZMIR HARIZ BIN NOORAZALAN

1. Semalam keputusan kajian secara rawak yang dikelolakan oleh akhbar Sinar Harian telah diumumkan kepada umum.

2. Daripada keputusan tersebut dapat dilihat parti-parti utama seperti PKR, Umno dan Pas kekal menguasai mata masyarakat.

3. Parti-parti baru seperti AMANAH, PBBM, Warisan, Muda dan Pejuang juga mendapat tempat yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

4. Lebih mengejutkan apabila AMANAH yang lebih muda berbanding Pas mencapai jumlah sokongan yang sama antara satu dengan lain.

5. Hal ini dilihat bahawa, AMANAH mampu menjadi parti masa depan dengan beberapa anjakan lebih kedepan termasuk penjenamaan AMANAH seperti dalam tulisan saya sebelum ini.

6. Apa yang ingin saya ulas adalah, penilaian sokongan parti-parti politik ini dalam kalangan masyarakat adalah mengikut parti secara berasingan, namun, apakah hasilnya jika parti-parti ini dinilai melalui gabungan mereka sendiri?

7. Andai saya mencampurkan keputusan kajian tersebut berdasarkan parti mengikut pecahan BN, PN dan PH. Hasilnya ialah BN yang terdiri daripada Umno, MIC dan MCA mendapat jumlah sokongan sebanyak 14.34%.

8. Manakala PN yang terdiri daripada PBBM, Pas dan Gerakan mendapat jumlah sokongan sebanyak 14.05%.

9. Bagi gabungan parti yang berjaya memenangi PRU14 beberapa tahun yang lalu, PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH mendapat jumlah sokongan sebanyak 34.05%.

10. Berdasarkan campuran undian ini, dapat dilihat bahawa PH menjadi sandaran rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.

11. Jika dipecahkan mengikut parti masing-masing, memang benar PKR adalah parti paling tinggi sokongannya, namun tiada parti yang mampu memperoleh peratusan sehingga 50% sebagai tanda parti itu mampu membentuk kerajaan dengan jumlah sokongan kepada satu parti sahaja.

12. Ini hakikat yang semua pemain politik dan pemerhati politik akui bahawa tiada parti yang mampu mendominasi sokongan masyarakat melainkan parti-parti perlu bergabung.

13. Saya berpandangan gabungan parti komponen PH harus mengekalkan kesatuannya sebagai sebuah pakatan kerana dari jumlah sokongan yang dinilai, PH kekal sebagai gabungan paling mendapat sokongan masyarakat.

14. Maka tiada sebab untuk komponen PH bercerai-berai.

15. Kesatuan PH ini sering kali ditegaskan dalam setiap kenyataan media dan mesyuarat pimpinan PH, namun gambaran bahawa parti komponen PH membawa haluan masing-masing sering dimainkan oleh pihak musuh. Apa sebabnya?

16. Saya melihat ruang itu terbuka akibat kesemua komponen bergerak mengikut parti masing-masing dan tidak mendahulukan jenama PH sebagai imej mereka.

17. Program kebajikan dilakukan mengikut parti-parti yang menang dikawasan tersebut, parti komponen PH yang tidak bertanding di situ tidak akan berperanan bersama. Ini satu gambaran koordinasi parti komponen PH diperingkat akar umbi belum diselaraskan seperti BN.

18. Nama program menggunakan nama parti sahaja dan logo PH hanya dijadikan cukup syarat sahaja berada dalam kain rentang. Ia sudah menujukkan bahawa jenama PH tidak mampu diangkat dikalangan masyarakat.

19. Maka langkah-langkah ini juga perlu dilakukan segera oleh PH bagi memastikan bukan agihan kerusi sahaja yang mampu diselesaikan tetapi kesinambungan peranan setiap parti komponen PH dapat diseleraskan.

20. Selain, setiap parti komponen PH menjalankan tugas masing-masing, jenama PH harus dipasar luaskan dan logo PH perlu menjadi keutamaan dalam setiap gerak kerja.

21. Untuk menambah sokongan, PH juga boleh mengadakan kerjasamanya bersama Warisan, Muda dan Pejuang  yang menjumlahkan sokongan sebanyak 12.79%.

22. Hasilnya jika semua parti ini bergabung, jumlah sokongan menjadi 46.84%. Ia lebih mengukuhkan, berbanding Warisan, Pejuang dan Muda menyokong PN atau BN, ia akan memberi kekuatan sama pada PH, BN dan PN.

23. Saya tidak mengaitkan PH dan komponen lain termasuk Umno kerana hanya Warisan, Muda dan Pejuang yang tidak mempunyai blok.

24. Maka saya menggambarkan 3 parti itu sahaja yang boleh bekerjasama dengan PN, BN mahupun PH.

25. Jika ada kedengaran usaha kerjasama antara komponen PH dan Umno, hanya satu saya nyatakan, jika bersama Umno menyebabkan PH berpecah, ia tidak wajar dilakukan.

26. Namun, harus diingati, sebelum mengintai kesatuan dengan parti komponen lain, kesemua parti komponen PH harus memastikan kesatuan mereka bertiga telah utuh dan isu berbangkit antara mereka diselesaikan. Ingat, selesai dari atas kebawah, bukan atas sahaja, bukan bawah sahaja.

27. Jika, melibatkan parti dalam komponen lain menyebabkan PH berpecah-belah, usaha mengukuhkan PH perlu dilakukan terlebih dahulu.

28. Yang penting PH, tidak akan bercerai-berai!

Bekas menteri dari Sabah akan ikut jejak Dr Xavier, dakwa aktivis

BORHAN AHMAD

Selain Dr Xavier Jayakumar, seorang lagi bekas menteri kerajaan Pakatan Harapan dijangka akan meninggalkan Pakatan Harapan, dakwa aktivis politik Kamaruzaman Yaacob.

“Dua orang bekas menteri akan meninggalkan PH. Dr Xavier telah membuktikannya. Seorang lagi dari Sabah.

“Tunggu. Hanya tunggu masa sesuai,” kata beliau dalam satu kumpulan Whatsapp Bicara Minda Nusantara (BMN), yang banyak mengumpulkan pengkaji politik di negara ini.

Menurut Kamaruzaman, bekas aktivis pelajar Universiti Malaya itu, mungkin jumlah yang akan beralih sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin melebihi 10 orang.

“Jangan terperanjat, mungkin jumlahnya melebihi 10 orang. Sudah dua orang. Tiga campur Xavier,” kata beliau dalam kumpulan itu.

Sebelum ini, dua Ahli Parlimen PKR yang meninggalkan parti itu adalah Larry Sng dari Julau dan Stephen Choong dari Tebrau.

Menurut Kamaruzaman, bila terdapat 10 lebih MP mengalihkan sokongan kepada Muhyiddin, seorang pemimpin Umno akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

“Bila jawatan TPM diberikan kepada Umno, maka kerajaan PN Muhyiddin menjadi begitu kukuh.

“Saya percaya, Muhyiddin akan mendapatkan undi kepercayaan di Dewan Rakyat,” kata beliau lagi.

Dengan cara itu, katanya, Muhyiddin akan dapat mendiamkan mereka yang suka berkata kerajaan Muhyiddin sebagai kerajaan minoriti.

“Dengan itu dia dapat menjahit semua mulut yang mengatakan dia tiada majoriti,” katanya lagi.

Menurut beliau, apabila Muhyiddin mendapat sokongan antara 118 – 120 ahli parlimen, sokongan kepada PH akan tinggal sekitar 80 sahaja.

“(Ketika itu) Muhyiddin boleh teruskan kerajaan PN hingga habis penggal, sekiranya beliau ingin berbuat begitu,” kata beliau lagi

SEJARAH SEBELUM MELOMPAT

Tekanan terhadap Dr Xavier agar melompat parti meninggalkan PH bermula sejak 17 Februari 2021 lagi apabila media melaporkan SPRM menyiasat bekas pegawai khas menteri serta merampas wang tunai berjumlah RM1.2 juta di rumah dan pejabat. Menteri yang dikaitkan ialah Xavier Jayakumar, Menteri Air, Tanah dan Tenaga.

Pada 24 Februari 2021, SPRM tidak menafikan bahawa Xavier Jayakumar juga turut disiasat.

Dan pada hari ini, 13 Mac 2021 Xavier mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan keluar parti serta seterusnya isytihar menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Selain faktor menarik yang berupa ugutan dan tawaran, ada juga faktor menolak dari dalam PKR sendiri apabila Xevier dikatakan pengikut Datuk Seri Azmin Ali yang dinamakan ‘Geng Kartel’.

Terbaru!! Naib presiden PKR keluar parti, sokong PN

Malaysiakini

Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar mengumumkan keluar parti yang disertainya sejak tahun 1998, berkuat kuasa serta merta.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu juga mengumumkan akan menjadi ahli parlimen bebas dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya akan terus terus berkhidmat di kawasan saya dan menyokong kerajaan sebagai ahli parlimen bebas dan saya akan penuhi janji-janji pilihan raya kepada rakyat di Kuala Langat," katanya dalam satu kenyataan.

Langkah itu diambil selepas dua ahli parlimen PKR, Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) meninggalkan parti itu pada penghujung Feb lalu.

Perkembangan terbaru ini juga menyaksikan PKR kini hanya memiliki 35 anggota parlimen berbanding 47 kerusi yang dimenananginya pada pilihan raya umum lalu.

Sebelum ini PKR mendakwa wujud usaha untuk 'mengumpan' dan menawarkan habuan kepada ahli-ahli parlimennya agar menukar sokongan.

Pada 17 Feb lalu, Xavier menafikan dakwaan dirinya merestui amalan rasuah, susulan penangkapan SPRM terhadap Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Thinagaran - yang akrab dengannya.

Kecewa dengan PKR

Dalam kenyataannya hari ini, Xavier berkata dia "sangat kecewa" dengan parti itu sejak setahun lalu, yang mendorongnya membuat keputusan meninggalkan PKR.

Katanya, keutamaan sekarang adalah untuk menyokong usaha kerajaan membendung wabak Covid-19, menciptakan peluang pekerjaan dan membangunkan semula ekonomi.

Katanya lagi, sekurang-kurangnya 18 bulan diperlukan untuk melaksanakan program vaksinasi dan lebih dua tahun untuk ekonomi pulih sepenuhnya.

"Ini memerlukan sokongan bipartisan untuk memastikan usaha kerajaan dipenuhi.

"Orang ramai mahukan kestabilan dan memulakan semula sektor ekonomi kita yang sakit. Ke arah ini, kita perlu bekerjasama, bukan saling menentang," katanya.

Xavier menjadi anggota PKR sejak 1998 ketika parti itu dinamakan Parti Keadilan Nasional.

Sejak itu politiknya bersinar dan dia terpilih sebagai naib presiden semasa pemilihan PKR dengan menyokong kem timbalannya ketika itu, Azmin Ali.

Azmin bersama sebilangan besar penyokongnya meninggalkan PKR pada Februari tahun lalu sebelum menyertai Bersatu.

Beri makan daging manusia kepada kucing

Metro

Agensi

Almaty: Gara-gara mabuk, seorang lelaki di Kazakhstan bertindak di luar kawalan dengan menikam rakannya hingga mati sebelum memotong anggota badan mangsa.

Lebih mengerikan apabila dia memberi makan daging mangsa kepada kucing liar.

Daily Star melaporkan suspek, Arman, 33, disyaki melakukan perbuatan itu pada 2 Mac lalu selepas mengundang mangsa, Daniyar ke rumahnya untuk berparti.

Difahamkan, suspek dan mangsa sempat minum alkohol bersama-sama sebelum mereka bertengkar.

Suspek yang hilang kawalan terus mengambil pisau di dapur sebelum menikam rakannya hingga mati.

Tidak cukup dengan itu, suspek turut mengerat anggota badan rakannya dan memberi daging itu kepada kucing liar.

Tindakan itu dipercayai bagi menghapuskan bukti.

Namun, jirannya, Dmitriy Postnikov ternampak titisan darah dan potongan daging di balkoni rumah Arman.

"Arman memberi daging Daniyar kepada kucing bagi menutup kejahatannya," kata Postnikov.

Seorang lagi saksi yang tidak didedahkan namanya mendakwa melihat suspek melemparkan daging itu keluar rumah untuk dimakan haiwan berkenaan.

Jurucakap polis, Bakhytzhan Kudiyarov berkata, pihaknya sudah menerima laporan dan menahan suspek untuk siasatan.

"Suspek mengaku membunuh rakannya semasa bertengkar ketika parti berkenaan," katanya.

Siasatan lanjut dijalankan dan Arman boleh berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika sabit kesalahan.

Majlis Presiden PH henti perbuatan keluar parti komponen untuk masuk parti komponen lain

Adam Abu Bakar

SHAH ALAM: Ahli Parlimen dan Adun parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang keluar parti untuk menyertai parti lain dalam gabungan akan diiktiraf sebagai wakil rakyat bebas mesra PH.

Menurut Ketua Penerangan Amanah Khalid Samad, Majlis Presiden PH memutuskan mana-mana wakil rakyat dalam komponen PH yang mahu melompat parti dan menyertai parti lain, tidak akan diterima lagi sebagai ahli.

“Sememangnya tidak wajar dibenarkan atau diterima ahli parti rakan menjadi ahli parti, lebih-lebih lagi bila sudah menjadi ADUN.

“Kalau mereka bertegas mahu keluar, maka apa yang dilakukan adalah menjadikan mereka sebagai ADUN bebas, tetapi menyokong PH”, kata beliau.

Ketua Penerangan Amanah Khalid Samad.

Sebelum ini difahamkan wujud persetujuan di antara parti komponen PH untuk tidak menerima ahli sesama sendiri yang keluar parti masing-masing.

Namun, ini tidak menghalang parti komponen gabungan itu menerima mereka.

Baru-baru ini tiga wakil rakyat Amanah Johor bertindak keluar parti untuk menyertai PKR.

Mereka ialah ADUN Senggarang, Khairuddin Abdul Rahim, ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Khairuddin dilaporkan berkata, permohonannya untuk menyertai PKR dihantar Oktober lalu dan keputusannya untuk melompat parti dibuat kerana mahu bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Khalid bagaimanapun mengakui Amanah kerap memberi penekanan kepada ahli dan wakil rakyatnya supaya terus setia dengan PH.

“Kita ingat bila sudah sertai Amanah, mereka juga mestilah setuju dengan dasar dan perjuangan Amanah dan sebagainya. Kita lebih beri penekanan soal setiakawan. Malangnya penekanan untuk parti sendiri kurang diberi,” katanya kepada FMT.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, berkata, Amanah sudah menyelidik apakah sebab wakil rakyatnya bertindak keluar parti dan menyertai parti komponen PH.

Menurutnya, ia berlaku akibat perselisihan faham antara ADUN berkenaan dengan ketua atau pengerusi parti di peringkat kawasan.

“Ia berlaku selepas pemilihan parti, apabila ada yang tidak bersependapat dengan ketua kawasan atau pengerusi negeri,” katanya.

Khalid bagaiamanapun berkata, beliau sendiri secara peribadi tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam isu ini, namun percaya Amanah sudah tersilap memilih calon semasa pilihan raya umum ke-14 lalu dan akan memperbaikinya pada masa hadapan.

“Kami anggap kami tersilap dari segi pemilihan calon kerana kita perlukan orang yang bersifat amanah, bukan sekadar kepada pengundi, tetapi juga terhadap parti.

“Dia dimenangkan oleh pengundi dan dia menang atas nama PH, jadi mereka ini rasa tidak khianat pengundi serta tidak ada masalah.”

Tambah Khalid, tidak perlu culik-menculik atau mempelawa ADUN partinya masuk ke parti lain, kerana ia boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan.

“Saya juga nasihatkan kepada ADUN yang tinggalkan Amanah, ingat kembali bahawa khianat itu bukan sekadar khianat kepada rakyat yang mengundi, tetapi khianat kepada parti yang memilih sebagai calon.

“Jadi ia adalah satu perkara tidak berakhlak yang dilakukan,” katanya.

Ketika ditanya apakah persediaan Amanah khususnya dalam usaha menawan hati pengundi Melayu di kawasan luar bandar yang sebelum ini dilihat berjaya dikuasai PAS dan Umno, Khalid berkata, ia bukanlah perkara yang mudah dilakukan memandangkan dua parti itu sudah berakar umbi di kawasan berkenaan.

“Untuk Amanah sebagai parti baru memecahkan keadaan ini amat sukar, bukan sahaja di Pantai Timur, yang mana PAS dan Umno jauh lebih mantap dan berakar umbi, malah di Selangor juga.

“Masjid dan surau masih lagi sebahagiannya dikuasai orang PAS dan kami dilemparkan dengan tuduhan merupakan alat DAP.

“Untuk pecahkan keadaan ini bukannya mudah, tetapi ikita yakin dalam pilihan raya umum akan datang, sokongan kepada Amanah dapat dipertingkatkan.

“ini kerana kita lihat sokongan untuk PAS dan Umno semakin berkurangan,” katanya.

Bagi Khalid, berdasarkan keputusan pilihan raya umum ke-14, PAS kurang berpengaruh di negeri Pantai Barat, khususnya Selangor Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, namun masih kukuh di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

“Secara amnya, PAS sudah hilang kedudukan di Selangor, yang dahulu mempunyai begitu ramai ADUN dan Ahli Parlimen.

“Masyarakat sudah tidak lagi bersama PAS, hanya masih ada pengaruh di Kedah dan di Pantai Timur ,” katanya.

Ordinan Darurat: Persoalan sebelum ini akhirnya terjawab

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ordinan Darurat: Persoalan sebelum ini akhirnya terjawab, kata Kit Siang

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengulas kenyataan terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang mengatakan bahawa pengistiharan darurat oleh Muhyiddin kerana takut hilang majoriti di Parlimen, adalah contoh berita palsu.

Kit Siang berkata, persoalan yang diutarakannya sebelum ini akhirnya terjawab apabila Takiyuddin berkata mereka yang membuat tuduhan seperti itu akan dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah di bawah peruntukan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Kit Siang sebelum itu telah mempersoalkan sama ada tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) bersama pakar nefrologi, Dr Rafidah Abdullah akan didakwa di bawah Ordinan Darurat berita palsu kerana mereka antara yang menolak alasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menganggap darurat adalah langkah Muhyiddin untuk menyelamatkan diri.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga pemimpin PH itu bakal berhadapan dengan penangkapan dan pendakwaan di bawah Ordinan Darurat.

“Ianya bukanlah berita palsu apabila mendakwa Islam akan terancam dan ditindas sekiranya Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD), biarpun 48 buah negara telah meratifikasi perjanjian itu.

“Tetapi ianya dianggap jenayah berita palsu jika mengatakan bahawa kerajaan Muhyiddin terpaksa menggunakan pengisytiharan darurat selepas kehilangan majoriti di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin berkata tuduhan dan andaian terhadap darurat yang dikaitkan dengan sokongan terhadap Muhyiddin, boleh dikenakan tindakan serta pertuduhan mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa perlu) (No 2) 2021, yang berkuat kuasa hari ini.

Ordinan itu turut menetapkan denda sehingga RM100,000, denda sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali sekiranya menyebarkan maklumat palsu berkaitan Covid-19.

Sementara itu, Kit Siang berkata, Malaysia sedang berhadapan dengan zaman yang paling gelap dalam sejarahnya, di mana Bahagian II Perlembagaan Persekutuan mengenai Hak-hak Kebebasan Asasi seseorang, kebebasan bersuara, berhimpun, dan berpersatuan, telah hilang maknanya.

Bakar kawan kerana RM50, polis tahan lelaki bantu siasatan

Bernama

Semalam, seorang lelaki dilaporkan melecur tahap dua selepas dipercayai dibakar oleh rakannya. (Gambar Facebook)

ALOR GAJAH: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes seorang penganggur disimbah petrol dan dibakar sehingga mengalami lecur tahap dua dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Lendu di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Arshad Abu berkata lelaki berusia 23 tahun itu yang juga rakan mangsa, ditahan di Taman Dimensi Lendu di sini, kira-kira 1.25 pagi tadi.

“Lelaki berkenaan mengaku berada di tempat kejadian bersama suspek utama dan mangsa ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine itu juga mempunyai tujuh rekod lampau melibatkan kes dadah dan samun.

Katanya motif kejadian dipercayai berkaitan hutang RM50 yang dipinjamkan oleh suspek utama kepada mangsa.

Gerakan mengesan suspek utama berusia 29 tahun tersebut yang juga rakan mangsa, giat dijalankan dan kes disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki berusia 23 tahun melecur tahap dua selepas dipercayai dibakar oleh rakannya dalam kejadian kira-kira 5 petang 9 Mac lepas.

‘Nak jadi menteri bukan ini caranya’, nasihat Husam kepada Takiyuddin

NASUHA RAHMAN

Senator Datuk Husam Musa hari ini menasihatkan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Datuk Takiyuddin Hassan agar Pas menarik diri daripada kerajaan yang tidak cukup majoriti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yaasin demi imej sebuah parti Islam.

Menurut Husam, Pas sebagai kumpulan Islamis yang menjadi barisan hadapan menggunakan darurat untuk melanggar hak demokrasi di sebalik pandemik COVID-19.

“Hari ini kumpulan Islamis inilah yang menjadi barisan hadapan untuk membetulkan dengan nas-nas agama dengan langkah yang salah dari segi demokrasi.

“Darurat politik ini tujuan mengambil kuasa tetapi berselindung disebalik Covid-19, alasan ini kerana Tan Sri Muhyiddin tidak cukup majoriti,” kata beliau.

Beliau berasa malu sebagai sebuah gerakan Islam dan membawa imej Islam tetapi tiba-tiba Haji Hadi dan Takiyuddin menjadi sebahagian daripada proses mendaruratkan negara.

“Adakah Islam menyokong pengisytiharan darurat sehingga memudaratkan kehidupan rakyat bukan sahaja dari segi politik tetapi dari segi cari makan, pelaburan, peluang kerja dan banyak lagi,” katanya.

Justeru, Husam berkata Pas harus tarik diri dari kerajaan yang tidak ada majoriti ini barulah imej Pas dan kedudukan Pas sedikit sebanyak dapat dipulihkan.

“Kalau Pas terus bersekongkol dengan kerajaan tidak cukup majoriti atas asalan darurat bukan sahaja di kutuk di dunia mereka akan bertanggungjawab di hari akhirat dengan begitu beban yang berat.

“Datuk Taki please consider, kalau hendak jadi menteri ini bukan caranya.

“Haji Hadi please kalau hendak jadi kerajaan pun ini bukan jalannya,” kata beliau.

Husam berkata, masih banyak lagi cara lain untuk mereka jadi pemimpin atau jadi menteri dengan cara yang bersih, terhormat dan demokratik.

“Dalam Islam kita tidak boleh curi mandat kalau hendak jadi kerajaan pun mesti melalui jalan yang bersih dan demokratik.

“Bayangkan anak muda melihat negara telah hilang kompas moral, kita terikat dengan undang-undang atau jika tidak ada undang-undang paling tidak kita terikat dengan moral kalau kita hilang moral sekali pun kita akan terikat dengan hati kecil kita.

“Bagaimana kita ada ikatan dalam hati kita untuk menolak keburukan,” katanya.

Husam menasihatkan Haji Hadi bermuhasabah dan berjumpa Muhyiddin serta memberi nasihat kepadanya dengan cara yang betul.

“Ingat Allah tidak bisu dan Allah tidak tuli,” kata beliau.

Fuad Zarkashi sekolahkan PAS

Rupanya main dua kolam ada yang halal dan ada yang haram.

Yang halal ialah yang ditandatangani secara sah.

Menarik juga pandangan sahabat saya Ustaz Nik Abduh ini. Menurut beliau PAS memang main dua kolam.

Tetapi secara sah. Maksudnya kolam kolam itu ada logo halal. Atau kolam yang disembelih.

Memang tidak dinafikan, PAS sign MOU dengan UMNO melalui Piagam Muafakat Nasional.

Dalam masa sama PAS adalah ahli berdaftar PN. PN juga sembelihan halal pada PAS.

Pendirian saya tetap sama. Dalam kerjasama politik, sah atau tidak, halal atau sembelih yang penting ialah “Kejujuran politik”.

DR. PUAD ZARKASHI

Ahli MT UMNO

12 Mac 2021.

Selepas tiga jam, lebih 1500 sudah tandatangan kempen Tamat Darurat

BORHAN AHMAD

Selepas tiga jam, lebih 1500 sudah tandatangan kempen Tamat Darurat

Selepas dua jam kempen TamatDarurat dilancarkan lebih 1500 sudah menandatangani kempen itu.

Sehingga berita ini ditulis, 1556 orang sudah menandatangani rayuan agar darurat di tamat melalui laman webnya tamatdarurat.com.

Pengerusi Jawatankuasa kempen itu, Khalid Abdul Samad berkata, rayuan ini akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong menjelang Ramadhan nanti.

Ramadhan tahun ini dijangka akan bermula 13 April 2021.

“Kami mensasarkan ratusan ribu akan menandatangani kempen ini bagi merayu Yang Dipertuan Agong agar menamatkan tempoh daurat ini,” kata Khalid kepada media selepas pelancaran itu pagi ini.

Kempen itu dilancarkan jam 11.30 pagi tadi di sebuah hotel dekat Kuala Lumpur oleh 23 anggota Jawatankuasanya yang dipengerusikan oleh Khalid.

Kesemua jawatankuasa itu menyertai badan kempen itu atas nama individu mereka bukan mewakili parti.

Namun sehingga kini, tidak ada individu dari penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyertainya.

Menurut Khalid, sehingga kini badan ini disokong oleh individu dan berpuluh-puluh badan NGO.

“Kempen ini perlu disokong untuk kepentingan ekonomi, sosial dan kebaikan rakyat dan negara,” kata Khalid.

Ordinan Darurat: Adakah 3 pemimpin PH dan Dr Rafidah bakal didakwa?

MALAYSIA DATELINE

Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021, berkuat kuasa hari ini di mana kerajaan telah mewartakan ordinan bagi mengekang apa yang disifatkan sebagai “berita tidak benar” berkenaan wabak Covid-19 dan proklamasi darurat.

Ia dilihat memberi kuasa besar kepada kerajaan terhadap berita yang disifatkan tidak benar.

Menurut warta itu, mana-mana pihak yang “mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan” berita tidak benar dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain boleh dikenakan tindakan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Lim Kit Siang dalam kenyataannya mempersoalkan adakah pakar nefrologi dan petugas barisan hadapan, Dr Rafidah Abdullah, dan tiga orang pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, dan Mohamad Sabu boleh didakwa di bawah Ordinan Darurat berita palsu yang kononnya dirangka untuk melawan berita palsu berkenaan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat?

Sehubungan itu, beliau tidak menolak ketiga-tiga pemimpin Pakatan Harapan itu bakal berhadapan dengan penangkapan dan pendakwaan di bawah Ordinan Darurat.

Ini berikutan, kenyataan bersama mereka pada 12 Januari yang menolak penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai keperluan pengisytiharan darurat untuk melawan gelombang ketiga wabak Covid-19 sebagai alasan untuk menggantung sidang Parlimen dan pilihan raya.

Begitu juga Dr Rafidah katanya bakal berhadapan dengan pendakwaan di bawah Ordinan Darurat mengenai berita palsu dan berhadapan dengan kemungkinan didenda sehingga RM100,000 denda, dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, yang juga merupakan menteri koordinasi Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan telah mengatakan yang kerajaan memandang serius pendedahan melalui media sosial mengenai potongan barisan untuk mendapatkan vaksin Covid-19, dan bahawa pasukan beliau akan menyiasat aduan yang dilaporkan.

Dr Rafidah menjadi sebutan ramai apabila beliau bercakap mengenai kesaksamaan vaksin seperti yang digalakkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan memaklumkan kepada kerajaan mengenai masalah “Dua Darjat 2.0” dan menggesa pihak berkuasa untuk “menjaga kebajikan petugas-petugas kesihatan-hospital, swasta & komuniti; bukan yang berberdarjat”.

Walaupun lebih daripada 330 juta dos vaksin Covid-19 telah diedarkan di lebih daripada 121 buah negara, seruan WHO untuk memastikan kesaksamaan vaksin masih lagi relevan, memandangkan para petugas kesihatan yang berada di barisan hadapan namun mereka masih lagi kerap berada dalam situasi yang tidak dilindungi sepenuhnya dan berhadapan dengan pendedahan yang tinggi terhadap wabak ini.

Beliau berkata, WHO menekankan bahawa “pengedaran vaksin Covid-19 secara pantas dan adil penting untuk menamatkan penularan wabak Covid-19, untuk memulakan semula ekonomi negara ini.

PAS macam pelacur, Umno perlu lawan PRU15 - Ku Li

Malaysiakini 

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah melabelkan PAS sebagai "pelacur politik" yang perlu ditewaskan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal itu berkata tindak-tanduk PAS dalam pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan parti itu tidak boleh dipercayai.

“Di (pilihan raya kecil) Tanjung Piai, ketika mereka dah bersama dengan kita, PAS tidak mengundi kita, mereka ada 3,000 ahli di Tanjung Piai tapi tidak sampai 1,000 yangundi kita. Mereka bukan rakan kongsi yang jujur. Begitu juga di Semenyih.

"PAS macam pelacur, sekejap (sokong) DAP, sekejap Semangat 46," kata bekas presiden Semangat 46 itu merujuk kepada parti yang pernah dipimpinnya pada penghujung 1980 -an sebelum kembali menyertai Umno pada tahun 1996.

Ku Li mengasaskan Semangat 46 setelah tewas dalam pemilihan Umno pada 1988 apabila dia mencabar Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno. 

Pada masa itu kumpulan Ku Li mendakwa terdapat cawangan Umno tidak berdaftar, yang kemudiannya menyaksikan parti itu diharamkan oleh mahkamah.

Semangat 46 kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan PAS di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bagi menghadapi pilihan raya umum 1990.

Ku Li berkata isu PAS mengganggu Umno bukan perkara baru.

“Dah lama kita lawan PAS. Bukan baru semalam, tapi sejak 1951, PAS mengacau Umno sejak itu, sampai sekarang, bukan benda baru,” katanya.

Justeru Ku Li turut menolak idea kerjasama antara Umno dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kita tak boleh setuju kerana macam mana nak lakukan stategi setuju tiga penjuru di sini tapi satu lawan satu di tempat lain.

“Saya sokong kita lawan PAS (dalam pilihan raya umum akan datang),” kata pengerusi lembaga penasihat Umno itu.

Umno sebelum ini mengumumkan parti itu akan menentang Bersatu pada PRU15. 

Bagaimanapun setiausaha agung parti itu Ahmad Maslan pada Rabu lalu berkata rundingan kerusi dengan PAS sedang berlangsung untuk mengelakkan pertembungan antara kedua-dua parti.

'Di Gua Musang, Bersatu cuma ada 5 ahli'

Selain itu, Ku Li menegaskan bahawa Umno tidak akan memberikan kerusi mereka kepada Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

“Bersatu parti baru, tidak ada pengikut. Di Gua Musang mereka hanya ada empat ke lima orang ahli.

“(Setiausaha Agung Bersatu) Hamzah Zainuddin juga tidak ada tempat sebab itu kita beri di Larut kerana dia tidak boleh bertanding di Ipoh.

“(Ahli Parlimen Jeli) Mustapa Mohamed pula kita akan ambil balik kerusi itu. PAS kuat di sana tapi kita pernah kalahkan mereka.

“Lawan Bersatu lebih mudah daripada PAS tapi mereka mahu PAS tolong mereka, mereka juga harap Umno pun tolong.

“Kalau Umno tolong mudahlah (bagi Bersatu), tapi saya tak rasa kita akan tolong pengkhianat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan gaya bahasa yang digunakan Ku Li sehingga menggelarkan PAS sebagai 'pelacur'.

"Ini bukan adab yang baik. Sudah pasti ramai yang tak senang. 

"Politik yang kita perlu bawa ialah politik yang sihat dan bertamadun. Gelaran pelacur sama sekali tidak wajar digunakan," katanya dalam catatan Facebook hari ini.

PRU15: "Saya tak bertanding pun tak apa" - Husam Musa

Tanding PRU15: Husam serah pada pucuk pimpinan parti

KOTA BHARU - Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan parti itu sama ada beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau sebaliknya.

Husam yang juga Ketua Amanah Kota Bharu berkata, beliau mengikut arahan yang ditetapkan pucuk pimpinan sekiranya parti berasakan calon muda serta 'kuat' lebih sesuai untuk bertanding PRU15 berbanding beliau. 

"Sekiranya betul apa yang dispekulasikan, kita tengoklah macam mana.

"Saya ini hanya ikut perintah sahaja. Kalau ada individu yang lebih muda dan kuat daripada saya, saya tak bertanding pun tak apa," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada 25 pemandu teksi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di sini pada Khamis.

Husam mengulas spekulasi di media sosial yang tular baru-baru ini mendakwa beliau akan bertanding di kawasan Parlimen Gombak di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menentang bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

- Bernama

PH akan menang PRU-15, kata data kajian Sinar dan Sin Chew

BORHAN AHMAD

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh dua organisasi media, Sinar Harian dan Sin Chew Daily, Pakatan Harapan dijangka akan membentuk semula kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang jika ia diadakan dalam masa terdekat.

“Di Semenanjung PH++ boleh dapat dalam 98 kerusi, tambah dalam 17 kerusi dari Sabah dan Sarawak.

“PH++ boleh dapat sehingga 115, cukup untuk bentuk kerajaan pusat walaupun tanpa sokongan Warisan,” kata penganalisis berkenaan berdasarkan kajian itu.

Data sokongan kepada parti-parti politik berdasarkan kajian yang dibuat oleh Sinar Harian dan Sin Chew Daily baru-baru ini.

Kajian yang dibuat oleh Sinar Harian dan Sin Chew Daily itu mendapati, tiga parti Pakatan Harapan akan mendapat sokongan sehingga 34.05 peratus undi,  iaitu yang tertinggi dalam gabungan parti-parti yang ada.

Dalam kajian itu, PKR dikatakan akan mendapat 14.41 peratus, DAP (12.06) manakala AMANAH pula 7.58 peratus.

POPULARITI AMANAH SAMA DENGAN PAS

Yang menariknya, populariti AMANAH adalah sama sahaja dengan parti induknya Pas yang mendapat 7.58 peratus undi juga.

Dalam kajian yang dibuat oleh Sinar Harian dan Sin Chew Daily itu juga, gabungan PN tanpa Umno (Bersatu, Pas, Gerakan dan GPS) pula akan mendapat 16.34 peratus sahaja.

Barisan Nasional (Umno – 10.46), MCA – 2.66 dan MIC – 1.22) pula akan mendapat 14.54 peratus undi sahaja.

Ini bermakna, jika digabungkan antara undi PN dan BN, jumlah peratusan undi yang mereka perolehi hanya 30.88 peratus sahaja, lebih rendah dari PH.

Apatah lagi kalau kedua-dua mereka, Umno dan Bersatu tidak boleh bekerjasama dan berlaku pertandingan tida penjuru dalam pilihan raya umum akan datang.

Dari survei Sinar dan Sin Chew Daily itu juga didapati populariti Pas jatuh mendadak dari sekitar 20 peratus pada PRU14 jatuh ke sekitar 10 peratus sahaja.

Berdasarkan data itu, seorang pengkaji meramalkan, keputusan pilihan raya umum akan datang jika diadakan dalam masa terdekat tidak banyak beza dengan PRU 14 lalu.

“Sekiranya parti-parti dalam kerajaan PN sekarang kekal bergabung, MN + PN mereka masih boleh dapat dalam 67 kerusi di Semenanjung + 11 kerusi dari Sabah menjadikan mereka akan mendapat 78, iaitu mengekalkan kebanyakan kerusi yang ada dan menjadi quite a respectable opposition.

“Tetapi kalau 3 penjuru mereka akan kalah teruk,” kata penganalisis itu berdasarkan kajian kedua-dua media itu.

Apabila Menteri Kanan dikatakan gagal

AZIZI AHMAD

Seorang pakar kajian antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menamakan Menteri Kanan Pendidikan dan Menteri Kanan Ekonomi sebagai menteri yang paling gagal dalam kerajaan Perikatan Nasional. (11/3/2021)

Kedua Menteri kanan ini dikatakan tidak tahu berbuat apa kecuali ‘bermain politik’ untuk mengekal jawatan Menteri.

Sungguh pun mereka kelayakan tinggi namun tetap dikatakan gagal dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kepimpinan Gagal-Toleran adalah kemampuan pemimpin untuk menerima kegagalan sebagai tidak lebih dari kegagalan sementara dalam perjalanan menuju kejayaan akhirnya.

Dari sudut pandang pemimpin seperti itu, kegagalan ketika ini bukanlah kegagalan mutlak, tetapi jika ditangani dengan baik, ia dapat digunakan sebagai panduan strategi masa depan, dan pemangkin yang akan mendorong kejayaan masa depan.

Pemimpin Gagal-Toleran tidak hanya memiliki kemampuan untuk melihat kebaikan yang berpotensi datang dari kegagalan, tetapi mereka juga memiliki kemampuan luar biasa untuk menyampaikan visi optimis dan berorientasikan kejayaan mereka kepada orang lain.

Daripada melihat dan memprojeksikan sisi kegagalan yang negatif, seperti kebanyakan orang lain yang cenderung melakukannya, mereka menyedari bahawa dengan setiap kegagalan akan hadir peluang yang sesuai.

Peluang tersebut hadir ketika mereka mengambil pandangan yang dikumpulkan melalui kegagalan dan menggunakannya untuk menempa strategi yang sama sekali baru untuk kejayaan (sama ada tujuan asal atau yang baru diubah).

Pemimpin Gagal-Toleran menyedari bahawa dalam setiap tugasan penting, akan selalu ada risiko kegagalan yang besar.

Setiap potensi pastinya akan ada kekurangannya seiring dengan sebarang usaha untuk mencapainya, dan Pemimpin Gagal Toleran mengetahui hal ini.

Inilah salah satu sebab mengapa Pemimpin Gagal-Toleran kelihatan tidak bertindak balas terhadap kritikan peribadi ketika mereka dikatakan gagal mencapai tujuan, tetapi menggunakan kedua-dua kajian objektif mengenai strategi yang digunakan dan penilaian yang seimbang di mana rancangan itu mungkin tidak sesuai dan mengapa.

Pemimpin yang Gagal-Toleran menyedari bahawa serangan peribadi terhadap mereka di atas kesalahan, kekurangan, kurang pengalaman, kegagalan dalam penilaian, atau keputusan yang tidak bijak adalah kontra-produktif dan hanya cenderung untuk menjamin bahawa corak kegagalan tidak akan berulang pada masa akan datang, kerana mereka menjadi lebih berhati-hati dalam mengambil risiko.

Pemimpin Gagal-Toleran, sebagai gantinya, memprojeksikan kepada karyawan bahawa mereka bekerja sama untuk mencari jalan keluar untuk masalah bersama – yang keduanya mempunyai kepentingan yang sama.

Dengan cara ini, Pemimpin Gagal-Toleran menyegarkan orang ramai, agar menanamkan keyakinan dengan mereka bahawa mereka perlu keluar dan mencubanya sekali lagi, untuk cukup berani memikirkan keadaan, meneroka jalan baru, mengembangkan strategi yang unggul , dan mengambil risiko lain yang dikira dengan teliti.

Pendek kata, Pemimpin Gagal-Toleran mendorong orang ramai menerapkan sikap berani; berani bermimpi, merancang, berharap, berusaha mencapai matlamat, dan mungkin yang paling penting, mempercayai kemampuan mereka sendiri untuk mencapainya, jika bukan kali ini, maka mungkin seterusnya.

Umno tidak sebulat suara sokong Anwar punca PH gagal rampas Putrajaya, kata Khalid

Adam Abu Bakar

SHAH ALAM: Tindakan pemimpin Umno yang tidak sebulat suara dalam menyatakan sokongan secara terbuka terhadap Anwar Ibrahim menyebabkan hasrat Pakatan Harapan menawan Putrajaya kembali, sepertimana diumumkan presiden PKR sebelum ini gagal, kata Khalid Samad.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, tindakan Umno itu juga menyebabkan dakwaan Anwar, bahawa beliau mempunyai majoriti kerusi Parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan tidak dapat direalisasikan dan sehingga kini dipertikaikan ramai.

“Umno tidak sebulat suara dan tidak sanggup nyatakan secara terbuka, walaupun Anwar dikatakan mempunyai lebih daripada 112 kerusi.

“Keengganan mereka menyatakan secara terbuka dengan berani bahawa Umno sokong Anwar sebagai calon perdana menteri menyebabkan kenyataan Anwar dipertikai,” kata beliau kepada FMT.

September lalu, Anwar dalam sidang media mendakwa mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Kata beliau, Ahli Parlimen yang menyokongnya adalah daripada pelbagai parti, namun enggan mendedahkan bilangan mereka.

Namun, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menjelaskan, Anwar sekadar mengemukakan bilangan Ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau, tanpa mengemukakan senarai nama mereka untuk menyokong dakwaannya.

Khalid bagaimanapun berkata, parti beliau, Amanah, secara dasarnya memberi ruang dan hormat kepada Anwar untuk mencari sokongan bagi membentuk kerajaan Persekutuan, walaupun Amanah sendiri bersedia untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad serta rakan sekutunya, termasuk Shafie Apdal dari blok Sabah.

“Amanah hormati pilihan mereka dan menganggap Anwar sebagai calon perdana menteri. Memang perlu diberikan ruang untuk mengusahakan sokongan Ahli Parlimen, Umno dan BN.

“Itu haknya, kita tidak halang. Kedudukan Anwar sebagai Pengerusi PH dan sebagai (calon) perdana menteri tidak terjejas.

“Namun,walaupun Amanah tidak menghalang Anwar untuk cuba (dapatkan sokongan Ahli Parlimen), memandangkan dia juga kenal Ahli-ahli Parlimen Umno dahulu, bagi kami, pendekatan lebih mantap dan berkemungkinan capai kejayaan adalah Mahathir, Shafie dan Syed Saddiq,” kata beliau.

Mengulas berkenaan dakwaan Amanah kini terbahagi kepada dua kem – satu berpihak kepada Mahathir dan satu lagi kepada Anwar – Khalid menafikan perkara itu, memandangkan 11 Ahli Parlimen Amanah sudah memutuskan untuk terus menyokong Anwar sebagai perdana menteri seterusnya.

“Dalam konvensyen Amanah hujung tahun lepas, kita sudah buat satu keputusan untuk usahakan sebuah ‘gabungan besar’ yang dipimpin oleh PH, yang pula diterajui Anwar. Ia adalah untuk satukan pembangkang, termasuklah Pejuang,” kata beliau.

Jelas beliau, hasrat Amanah adalah supaya parti-parti pembangkang dapat bergabung kembali sepertimana yang berlaku pada 2018 sehingga menjatuhkan pentadbiran Barisan Nasional di peringkat Persekutuan.

“Strategi ini dikatakan sudah bermula sejak 1999 sewaktu zaman reformasi. PKR masuk pilihan raya bersama-sama dengan PAS, parti-parti pembangkang bersatu. Ia merupakan strategi yang semakin berkesan. Akhinya pada 2018, kita capai kejayaan dengan menyatupadukan semua parti pembangkang,” kata beliau.

Zahid guna hampir RM1.5 juta dana termasuk bayar cukai jalan 20 kenderaan

MALAYSIA DATELINE

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggunakan dana Yayasan Akalbudi miliknya berjumlah RM1,469,547.36 untuk membayar kad kredit, insurans dan cukai jalan 20 kenderaan miliknya.

Presiden Umno itu didapati membayar sembilan kad kredit beliau dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis atas penggunaan peribadi berjumlah RM1,362,037.81, manakala RM107,509.55 lagi untuk pembayaran insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan milik mereka.

Hal itu diberitahu saksi pendakwaan terakhir pada perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi hari ini.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khairudin Kilau, 44, berkata hasil siasatannya mendapati Zahid menggunakan wang Yayasan Akalbudi untuk membayar kad kredit AmBank Islamic sebanyak RM1,296,715.98, Maybank (RM34,686.03) dan American Express (RM30,635.80).

“Kad kredit AmBank Islamic dan Maybank mempunyai kad tambahan atas nama Hamidah Khamis.

“Hasil semakan dan penelitian ke atas penyata akaun bagi semua kad kredit itu mendapati banyak perbelanjaan dibuat di luar negara dan dibayar menggunakan cek Affin Bank Berhad milik Yayasan Akalbudi antara 2014 hingga 2016,” katanya membacakan penyataan saksinya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt.

Saksi pendakwaan ke-99 itu berkata demikian pada hari ke-51 perbicaraan kes Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Ibu buat laporan dakwa anak dipukul polis hingga kaki terpaksa dipotong

B Nantha Kumar 

Seorang wanita hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan anaknya dipukul ketika dalam tahanan, sehingga menyebabkan kakinya perlu dipotong.

S Thanaletchumy, 60, mebuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak hari ini. Turut bersamanya adalah peguamnya, K Ganesh.

Dalam laporan itu yang dilihat Malaysiakini, Thanaletchumy berkata anaknya, A Ganapathy, 40, ditahan pada 24 Februari bagi membantu siasatan terhadap seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis.

"Sebelum dia ditahan, anak perempuan saya melihat dia sedang berbincang dengan anggota polis di sebuah kedai motor. Dia nampak sihat dan gembira.

"Ganapathy memberitahu adiknya bahawa ia tidak apa-apa...Kemudian pada sebelah malam, kami dapat panggilan daripada seorang kawan yang beritahu Ganapathy telah ditahan," menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, Thanaletchumy berkata anaknya dalam keadaan sihat ketika ditahan walaupun mempunyai sejarah penyakit diabetes dan masalah jantung.

"Selepas dua hari ditahan polis, polis menelefon anak perempuan saya dan minta bawa ubat diabetes dan sakit jantung. Dia bawa ubat dan minta untuk jumpa Ganapathy tetapi tidak dibenarkan.

"Tiba-tiba pada 8 Mac, saya menerima panggilan daripada seorang sarjan yang memaklumkan anak saya dibebaskan dan dimasukkan di ICU (unit rawatan rapi) Hospital Selayang. Dia juga dibersihkan daripada apa-apa kesalahan," katanya.

Ketika melawatnya di hospital, kata Thanaletchumy lagi, anaknya memberitahu dia dipukul oleh polis dengan paip getah.

"Keadaan anak saya sihat tetapi kini dia ada masalah buah pinggang dan kakinya dipotong. Ini disebabkan dia telah dipukul dengan teruk, saya tahu kerana kakinya bengkak dan lebam," katanya lagi.

Thanaletchumy juga memaklumkan anaknya bekerja sebagai peniaga susu lembu dan mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun.

Malaysiakini telah menghubungi IPD Gombak untuk mendapatkan maklum balas berkenaan perkara ini.

Sementara itu, Ganesh bertanya bagaimana seorang lelaki yang sihat sebelum ditahan tiba-tiba boleh sakit kritikal sehingga kakinya dipotong dan buah pinggang rosak.

"Buat masa ini, kami menunggu apakah tindakan polis. Kemudian, sudah tentu isu ini akan dibawa ke mahkamah.

"Kami nak keadilan kepada pihak keluarga dan mangsanya yang telah pun musnah kehidupannya," katanya lagi.

Abdul Hadi menderita “rohab”?

 A KADIR JASIN

1. Tajuk berita Sinar Harian ini adalah manifestasi bahawa Presiden Pas merangkap Duta Khas bertaraf Menteri, Abdul Hadi Awang sedang menderita “rohab” yang kronik.

2. Dia amat takut kepada kemungkinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang dan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa sama ada serta-merta atau selepas pilihan raya umum akan datang. Abdul Hadi dan Pas sudah merasa betapa lazatnya nikmat menjadi kerajaan pusat.

3. Keadaan psikologi Abdul Hadi ini adalah kesan daripada pengalaman pahit bertukar-tukar pasangan pilihan raya tetapi gagal membawa hasil. Perkongsian dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) mandul kerana gagal menghasilkan kemenangan dalam pilihan raya umum 2013.

4. Sebaliknya Pas teruk dibelasah oleh Umno yang menuduhnya mengikut telunjuk DAP. Akhirnya Pas tunduk kepada diayah Umno itu dan keluar untuk bertanding bersendirian dalam PRU 2018 dengan memenangi hanya 18 daripada 157 yang ditandingi berbanding 21 kerusi ketika bersama PR.

5. Rohab (fobia/ketakutan) paling dahsyat yang melanda Abdul Hadi adalah melihat DAP membentuk kerajaan bersama PKR dan Bersatu selepas PRU lalu. Sejarah akan menghukum Abdul Hadi sebagai Presiden Pas yang gagal.

8. Pucuk dicita ulam mendatang bagi Abdul Hadi apabila Muhyiddin Mohd Yassin dan gerombolannya mengajak Pas ikut serta dalam rampasan kuasa luar Parlimen melalui Gerakan Sheraton pada 23 Februari tahun lalu.

9. Tetapi Abdul Hadi telah terlepas cakap kerana kecewa tidak mendapat jawatan atau apa-apa lantas melabelkan kerajaan Melayu-Islam PN yang Muhyiddin tubuhkan itu sebagai kerajaan tebuk atap. Label itu tidak kedengaran lagi apabila Muhyiddin melantiknya Duta Khas Timur Tengah bertaraf Menteri.

10. Sekarang kerajaan pintu belakang PN menghadapi cabaran besar kerana Umno telah membuat keputusan untuk tidak bersama Bersatu dalam PRU akan datang. Abdul Hadi tengah fobia dan dalam dilema hendak pilih siapa. Kekal dengan Bersatu dalam PN atau rujuk balik dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

11. Inilah maladi dan fobia kerana tidur dengan banyak sangat pasangan rambang. Takut kena maladi dan tidak ada siapa lagi mahu berkongsi ranjang.

Wallahuaklam.

‘Tajuddin baru tahu perangai Pas, ahli Pas kena tipu hidup-hidup’

MALAYSIA DATELINE 

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar menyifatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman baru mengetahui sikap berdolak-dalih Pas.

Dalam masa sama, beliau berpendapat ahli Pas juga dibohongi pemimpin parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berhubung kerjasama dengan Umno.

“Tajuddin baru tahu perangai Pas. Ahli Pas pun kena tipu hidup-hidup dengan pimpinan Pas.

“Pimpinan Pas kata tidak akan bekerjasama dengan Umno. Pas kata kerjasama dengan Umno macam tanggung biawak hidup. Inikan Umno yang Pas musuhi 60 tahun,” katanya.

Mahfuz berkata demikian mengulas amaran keras Pengarah Pilihan Raya Umno itu kepada Pas agar tidak membantu Bersatu di kerusi yang ditandingi Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kelmarin, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, meskipun Umno menghormati keputusan Pas untuk masih bersama Bersatu, namun, partinya juga berharap Pas akan juga kekal menyokong Umno.

“Kalau dia (Pas) tengok Bersatu bertanding di Bukit Bintang, sokonglah sebab Umno tak tanding.

“Bersatu nak tanding Kepong, tandinglah, Pas nak turun ramai-ramai berkempen untuk Bersatu pun tiada yang halang.

“Tapi kalau Pasir Salak, Bersatu tanding, Pas jangan sokong Bersatu. Kalau sokong kau siap. Warning tu,” tegas Tajuddin yang dilantik sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) berkuatkuasa 11 Mei 2020 itu lagi.

Selepas buat musuh dengan PH, Umno Perak pertegas perlu ramai kawan

MALAYSIA DATELINE

Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, parti itu perlu meramaikan ‘sahabat’ dan mengurangkan lawan dalam menghadapi konflik politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Perak berkenaan berkata, kawan politik itu mestilah yang mempunyai prinsip setia dan ikhlas dalam menjalin apa juga bentuk kerjasama.

“Pada pendirian saya, dalam politik ini kita kena ramai kawan, kurang musuh, kawan yang ramai itu maknanya kena cari yang setia, ikhlas dan jujur.

“Siapa yang jujur, maka bolehlah jadi kawan, kalau tidak ikhlas kita tidak mahu,” ujarnya.

Saarani berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Executive Talk Menteri Besar Perak bersama Warga Pendidik daerah Kerian di Dewan Kerian Permai di Parit Buntar semalam.

Walau bagaimanapun, dia tidak mengulas lanjut siapa kawan dan lawan yang dimaksudkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin yang tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Umno pada PRU15.

Kenyataan itu dibuat susulan pendirian Umno pada minggu lalu untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya akan datang.

Katanya lagi, kerjasama politik sama ada dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) atau tidak, itu bergantung kepada keikhlasan dan kejujuran mereka.

Radzi dan Azmin menteri paling gagal, kata pensyarah UUM

BORHAN 

Seorang pakar kajian antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menamakan Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai menteri yang paling gagal dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, bukan sahaja golongan pertengahan dan berpendidikan mengutup Radzi selaku Menteri Pendidikan, “makcik-makcik bawang pun banyak juga mengutuk YB Menteri Pendidikan ini.”

Untuk Azmin pula, kata pensyarah UUM itu, beliau tidak tahu apa yang dibuat oleh beliau selaku Menteri Kanan Ekonomi.

“Menteri yang kedua yang saya rasa tak berapa nampak penonjolan ataupun kehadirannya ialah YB Azmin Ali, saya pun tak tahulah apa yang dia buat,” kata pensyarah UUM itu dalam temubual anjuran Pintar sempena “Setahun Pemerintahan Perikatan Nasional”.

Temubual itu dibuat oleh rakan beliau dari UUM yang juga kolumnis media Pas, Dr Kamaruzzaman Yusof.

Menurut Dr Achmad Dzariean, serangan kepada Radzi bermula apabila beliau mengumumkan penutupan sekolah secara mengejut pada 20 Januari 2020 tetapi mengumumkan pembukaan sekolah balik selepas itu ketika ibu bapa bersusah payah menyediakan kelengkapan untuk pembelajaran di rumah.

“Ya, dia umumkan, saya rasa itulah keputusan yang paling buruk pernah dilakukan ya, kerana pada pandangan saya, sebagai seorang Menteri, beliau sudah tentu mempunyai maklumat, maklumat dan infomasi mengenai peningkatan kes wabak Covid-19 yang berlaku pada ketika itu, mustahil dia tidak tahu, tetapi mengapa diumumkan perkara itu secara tergesa-gesa ya?

“Saya rasa benda itu dia dah tahu lama dah, dia dah tahu lama kes akan meningkat pada period ini, sepatutnya pengumuman itu dilakukan pada awal tahun,” kata beliau.

Bagi beliau, pada ketika itu, orang ramai telah bersiap sedia dengan pelbagai peralatan sekolah, tiba-tiba diumumkan sekolah ditutup, jadi ini sebenarnya menimbulkan kemarahan orang ramai sehingga hari ini,” kata beliau.

Menurut beliau, apabila murid-murid menjalani kelas di rumah melalui PDPR, sebahagiannya besarnya sudah membeli gajet tetapi tiba-tiba diumumkan pula sekolah dibuka.

“Dah beli tab, umum pulak sekolah nak buka,” kata beliau yang menceritakan kemarahan orang ramai kepada Radzi.

“Kita boleh imagine orang B40 di mana anaknya tak ada tab, anaknya tak ada kemudahan smart phone ya, terpaksa tunggu bapa balik dari kerja apa semua, kemudian buat homework tunggu bapa apa semua.

“Benda ini bukanlah satu perkara yang mudah dan ia pada padangan saya dianggap menyusahkan, menyusahkan ibu bapa, jadi oleh kerana itu banyak juga kecaman yang diterima oleh Menteri Pendidikan ini,” kata beliau.

Berkait dengan Azmin pula yang sebelum ini disenaraikan sebagai pemimpin yang paling dibenci oleh Twitter, Dr Achmad Dzariean berkata, menteri yang kedua yang beliau rasa tak berapa nampak penonjolan ataupun kehadirannya ialah Azmin Ali,

“Saya pun tak tahulah apa yang dia buat,” kata beliau dalam temubual itu.

Ia berdasar satu laporan, Malaysia sebenarnya sekarang ini berada di kedudukan yang terbawah dari segi kehadiran pelabur asing, kata beliau.

“Kalau nak compare dengan negara-negara lain saya ingat Indonesia lebih ke depan, Vietnam lebih ke depan, tetapi apa sudah jadi dengan Malaysia?

“Saya rasa semua orang tahu dengan apa yang sudah berlaku dengan keadaan ekonomi kita dengan perdagangan antarabangsa kita, dan it is a fact kan, kita kena terima hakikat ini adalah faktanya.

“Jadi saya tak nampaklah dia punya penonjolan dia sebagai seorang Menteri dan juga prestasi yang telah beliau lakukan selama dia menjadi Menteri dalam masa setahun ini ya.

“Yang nampaknya ialah dia berjaya tarik ahli-ahli PKR untuk join PM, that was his political acumen kan, kita tak boleh nafikan, itu sajalah yang berjaya tapi dari segi apa?” kata beliau lagi.

Wakil rakyat DAP diminta keluar parti dan tubuh parti baru, dakwa Ahli Parlimen

Durie Rainer Fong

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, wakil rakyat DAP Sabah menolak langkah menarik mereka keluar parti.

KOTA KINABALU: Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin mendakwa langkah sedang diatur untuk wakil rakyat meninggalkan parti itu bagi menubuhkan parti Cina tempatan baru yang akan menyokong Gabungan Rakyat Sabah.

Chan, yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, mendakwa ejen, yang turut termasuk “pemimpin perniagaan terkenal”, cuba meyakinkan wakil rakyat untuk meninggalkan DAP.

“Memang benar ada ramai orang tengah atau ejen yang menghubungi beberapa wakil rakyat kami untuk meyakinkan mereka keluar parti,” katanya kepada FMT.

“Saya tidak akan sebut wakil rakyat mana atau siapa ejen ini.

“Tetapi alasan mereka ialah tiada wakil rakyat Cina dalam Kabinet negeri, jadi GRS memerlukan seseorang yang boleh mewakili masyarakat Cina.

“Bagaimanapun, saya hanya boleh cakap terima kasih atas pelawaan mereka, tetapi tidak. Setakat ini, DAP Sabah masih utuh.”

Chan berkata, tiada komunikasi lanjut dengan individu terbabit selepas mereka menolaknya.

Beliau mengulas dakwaan di media sosial yang pemimpin DAP Sabah sedang berbincang dengan seorang pemimpin GSR untuk membentuk parti baru yang akan menyokong gabungan kerajaan negeri.

Spekulasi juga timbul yang wakil rakyat DAP Sabah antara kumpulan ahli politik berikutnya yang akan melompat parti selepas pembelotan di peringkat persekutuan dan negeri baru-baru ini.

Chan bagaimanapun menolak dakwaan ahli partinya mempertimbangkan idea penubuhan parti baru dan mengadakan “pertemuan rahsia” dengan GRS atas tujuan melompat parti.

“Cerita sebegini sangat hangat di pasaran sekarang. Ramai yang bercakap mengenainya dan saya tidak menolak kemungkinan seseorang sedang mereka cerita itu.

“Tidak benar DAP Sabah mengadakan pertemuan rahsia dengan seorang pemimpin tertinggi GRS. Jika ada sebarang pertemuan sekali pun, ia secara dasarnya dibuat atas kapasiti mereka sebagai wakil rakyat.

“Sebagai contoh, ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe dan saya memeriksa sebuah jejambat rosak sebelum ini dengan Timbalan Ketua Menteri, Bung Moktar Radin (yang juga ADUN Lamag)…jadi pertemuan sebegini dianggap pertemuan rahsia dengan seorang pemimpin tertinggi GRS?” soalnya.

Beliau berkata, malah wakil rakyat pembangkang perlu berkomunikasi dengan kerajaan GRS kadangkala, jika mereka perlu menyampaikan maklumat atau menyelesaikan masalah di kawasan masing-masing.

“Tetapi, jika anda bercakap mengenai pertemuan rahsia, itu sama sekali tidak benar.”

Chan menegaskan enam ADUN dan tiga Ahli Parlimen DAP berdiri teguh bersama Warisan Plus, yang terdiri daripada pakatan longgar antara Warisan, PKR, Amanah dan Upko, selain DAP.

Katanya, dakwaan itu hanya cubaan pesaing politik untuk menyebabkan pembangkang tidak stabil dan mengalih perhatian daripada isu politik semasa.

“Semua orang tahu Umno dan PPBM tidak berada dalam keadaan baik di peringkat nasional. Jadi, walaupun GRS berkata mereka masih utuh ketika kekecohan berlaku di Semenjung, politik sentiasa dinamik.”

Pemangku ketua DAP Sabah, Frankie Poon turut menolak dakwaan itu dengan menyifatkan ia pembohongan yang disebarkan lawan mereka.

“Tiada sebab kenapa kami mahu berbuat demikian (keluar parti dan menubuhkan parti baru), tetapi tentunya saya tidak terkejut dengan cubaan pihak lawan mencetuskan ketidaktentuan politik.”

Chan berkata, tindakan DAP Sabah jelas menunjukkan kesetiaan mereka.

“Baru-baru ini, kami baru merasmikan pejabat yang juga pusat khidmat baru untuk rakyat, Dan kami juga baru mengadakan dua mesyuarat Warisan Plus.

“Pendirian DAP yang menentang katak (lompat parti) sentiasa konsisten. Perpaduan masih menjadi keutamaan dalam kalangan pembangkang walaupun pelbagai godaan yang datang kepada kami.

“Lihat apa yang kami lakukan, bukan apa yang orang katakan. Cubaan mereka menunjukkan mereka terdesak.”

Ku Li - Tak mustahil Umno boleh bekerjasama dengan PH

Malaysiakini 

Tidak mustahil Umno akan menjalinkan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, ahli politik veteran itu ditanya apakah Umno berpeluang memenangi PRU sekiranya bekerjasama dengan gabungan berkenaan.

"Berpeluang (menang), manalah saya tahu, tu Tuhan je tahu.

"Tak ada yang mustahil, kalau Tuhan mahu kita menang, tetapi banyak perkara yang mesti masuk ke dalam menu. Kita hadapi pilihan raya, apa manifesto yang kita tawar iaitu khidmat dan rancangan yang kita nak bagi, harapan kepada mereka dalam lima tahun akan datang.

"Itu terpulang kepada strategi macam mana kita kemukakan cadangan-cadangan kita, menepati kehendak muda, tua, perempuan dan lelaki.

"Saya bangkit soal keabsahan kerajaan sekarang bukan saya mahu tentang perdana menteri sekarang, tidak. Soalnya orang-orang tanya saya, sah tak sah kerajaan sekarang.

"Dia kata Agong bagi angkat sumpah depan dia, sudah sah ke? Saya kata memanglah, itu tanggungjawab Agong, apa yang dilakukan Agong tu memang ikut perlembagan.

"Tetapi apakah sekarang ni dia (Muhyiddin) masih ada sokongan di dalam Dewan Rakyat, bukan soal surat sumpah. Kena 112 orang mengundi paling kurang di Dewan Rakyat," kata Tengku Razaleigh, yang lebih terkenal dengan julukan Ku Li itu.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata adalah penting untuk memastikan apakah Muhyiddin masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

"Kalau tak ada 112, out you go.

"Jadi kenalah orang yang memegang jawatan sekarang berani menghadapi Dewan Rakyat, pilihan rakyat, menentu sama ada dia ada sokongan atau tidak. Kalau dia kekal ada sokongan jalanlah, takkan ada siapa rebut kedudukan itu. 

"Tetapi kalau dia sudah rasa tidak ada lagi sokongan, berhentilah, mengikut perlembagaan.

"Itu perlembagaan kita, kita semua patuh perlembagaan, kita semua angkat sumpah dari Agong sampai ke bawah. Kita kena pertahankan apa yang diperuntukkan dalam perlembagaan. Kalau tak ada sokongan you get out lah," kata wakil rakyat selama 12 penggal itu.

Tengku Razaleigh berkata, ramai berpendapat bahawa pemimpin Umno yang didakwa di mahkamah, tidak boleh diturunkan sebagai calon pilihan raya akan datang.

"Saya tak boleh cakap apa yang perlu diperbaiki, saya nak dengar daripada ahli-ahli Umno apa yang dia rasa patut dibaiki dan juga daripada pandangan rakyat sendiri yang ada hak mengundi.

"Saya dengar cakap-cakap mengatakan elok kita adakan barisan pimpinan untuk ditawar berkhidmat bagi rakyat di kawasan masing-masing, orang yang tak ada terlibat dengan kes mahkamah. Ini salah satu," katanya.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan PH bekerjasama dengan Umno pada pilihan raya umum akan datang setelah parti Melayu itu memutuskan kerjasama dengan Perikatan Nasional.

Pas jangan lupa ‘politik suku agama suku’

MOHD ALI HASHIM

Pas jangan lupa ‘politik suku agama suku’

Pas bijak dan telah menjadi lumrah mahu pun asam garam parti tersebut apabila berkata-kata sehinggakan mampu menyembunyikan siapa yang dimaksudkan dengan ganti nama yang lain tetapi tepat kena pada sasarannya.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, Pas cekap menggunakan kata istilah dwi makna atau pun ‘double meaning’ dan berselindung disebalik kata-kata.

Malah ujar beliau, contoh ketara yang boleh diambil ialah Amanat Kg Paradong dimana satu ucapan penuh ‘berapi’ ketika masa itu difahami dan ditujukan kepada Umno dengan apa yang dizahirkan seperti ‘kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi menjadi Kafir dengan mengamalkan’ politik suku, agama suku’.

“Masa dan keadaan tatkala itu jelas bermaksud Umno mengamalkan ‘politik suku, agama suku’ tetapi ia dibiarkan kepada pendengar untuk memahaminya, sedangkan dalam wawancara ‘Pertembungan Presiden dan MB Kelantan’ ada menzahirkan sudah berlaku anjakan paradigma dalam Umno dan Umno kini tidak lagi mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.

“Pas jangan lupa kata-kata keramat yang sering dizahirkan, kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno, kita menentang BN bukan kerana ia lama memerintah kerajaan, tetapi kita menentang dia kerana mengekalkan Perlembagaan Penjajah, mengekalkan Undang-undang Kafir dan mengekalkan peraturan Jahiliyah.

“Jangan lupa sejarah berlakunya solat dua imam, daging sembelihan haram, cerai-berai suami isteri dan luahan yang kerap diluahkan ‘perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan bergantunglah kita kepada Allah dengan menghadapi puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid, mati kita adalah Islam, ” tegas Dr Zaidi lagi.

Tambah beliau sebaik-baiknya ialah ulama-ulama Pas yang istiqamah mengatakan dengan maksud tersembunyi maupun terselindung ‘Umno itu kafir’ sebaik-baiknya bertaubat serta perlu menyedari bahawa menubuhkan MN dan PN, sesekali tidak membatalkan atau ‘terdelete’ maksud ucapan, tulisan dan kata-kata yang telah dizahirkan suatu ketika dahulu.

Lelaki tetak mati kawan baik disangkakan kerbau

Durie Rainer Fong

Suspek yang merupakan warga Indonesia menerima rawatan tradisional untuk penyakit mentalnya.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dengan masalah mental menetak kawan baiknya sehingga maut, mendakwa beliau menyangkakan seekor kerbau meluru ke arahnya di sebuah ladang kelapa sawit di Tawau, pantai timur Sabah semalam.

Saksi ternampak suspek, warga Indonesia berusia 31 tahun, menghayun parangnya ke arah mangsa, yang sedang menunggang motosikal, dalam kejadian 1 tengah hari di ladang itu, melalui Jalan Sin Onn.

Ketua Polis Tawau, Peter Umbuas, berkata mangsa yang berusia 57 tahun, juga warga Indonesia, kawan baik suspek.

“Tidak pernah timbul sebarang salah faham antara mereka sebelum ini. Kami percaya penyerang, yang menjalani rawatan tradisional untuk penyakit mentalnya, berhalusinasi ketika itu.”

Peter berkata, suspek cuba melarikan diri selepas kejadian, tetapi ditahan pekerja yang kemudian menyerahkannya kepada polis.

Pas lebih kuat dalam PN bukan Bersatu, kata Tengku Razaliegh

NASUHA RAHMAN

Veteran Umno Tengku Razaliegh Hamzah berkata, Bersatu bukanlah sebuah parti yang kuat di dalam Perikatan Nasional sebaliknya parti Pas yang lebih menonjol dan dominan di dalam gabungan itu.

“Pas yang kuat dalam PN, mana ada Bersatu. Sila datang kawasan saya, hanya ada satu komiti sahaja. Tak ada Bersatu,” katanya dalam segmen temubual bersama Malaysian Insight yang disiarkan secara langsung hari ini.

Oleh sebab itu menurut Tengku Razaliegh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, akar umbi Umno melahirkan rasa bimbang kerana tidak mempunyai kawan di peringkat kawasan sehinggakan mereka tertanya-tanya yang mana satu kawan mereka.

“Mana kawan kita, dengan Pas ramai. Saya daripada dahulu lagi lawan Pas saja,” katanya.

Justeru katanya, Umno tidak perlu takut untuk bergerak solo dalam PRU15 nanti kerana Umno telah lama malah berpuluh-puluh tahun mempunyai pengalaman bergerak sendirian.

“Hendak berasingan, dan solo, apa hendak takutnya. Kita tak pernah henti berlawan dah bertahun-tahun,”ujar beliau.

PRU15 bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja lagi, pertelagahan di dalam Perikatan Nasional antara Umno dan Bersatu masih tidak dapat diselesaikan malah Pas yang menjadi orang tengah dalam menyatukan kedua-dua parti ini pun sudah buntu.

Tawaran jawatan: Sediakah SPRM siasat Muhyiddin?

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Parlimen DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia membuktikan mereka sebagai badan yang bebas dan berkecuali, dengan melakukan penyiasatan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia ekoran pengakuan terbaharu Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong bahawa Muhyiddin telah menjanjikan satu jawatan rasmi untuknya yang akan memberikan platform kepadanya untuk membina semula ekonomi negara.

Guan Eng turut menyokong kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam bahawa wakil rakyat yang melompat parti telah diumpan dengan politik wang.

“Tidakkah ini satu umpan habuan untuk Steven Choong melompat parti?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, apa yang berlaku mengingatkannya tentang rakaman audio Muhyiddin tahun lalu, yang didakwa menawarkan jawatan politik dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pertukaran untuk sokongan politik.

Selain itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Umno) juga pernah mendedahkan dirinya ditawar jawatan Pengerusi Petronas oleh Muhyiddin.

“Sekurang-kurangnya, SPRM perlu menyatakan secara terbuka bahawa melompat parti kerana politik wang atau melalui pertukaran habuan adalah salah di sisi undang-undang dan merupakan satu amalan rasuah.

“Ironinya, Perdana Menteri telah menjadikan pencegahan rasuah sebagai salah satu komitmen utamanya dalam kerajaan. 

“Namun hakikat sebenar tidak menyebelahi retorika Muhyiddin kerana Indeks Persepsi Rasuah (CPI) merosot enam tangga,” katanya.

Umno beri amaran pada PAS, Azmin kata: Ketepi agenda peribadi

Shakira Buang

Sekarang adalah waktu terbaik untuk memperkukuh kedudukan sesama parti dan mengetepikan kepentingan peribadi, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Mohamed Azmin Ali.

Menurut menteri kanan PN itu ia boleh dilakukan walau ketika semua orang boleh memberikan pandangan sendiri mengenai gabungan berkenaan.

“Semua orang boleh beri pandangan tetapi pada pandangan saya, inilah masa terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan.

"Kita tidak mahu kekuatan yang kita bina ini diruntuhkan oleh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tertentu," katanya dalam sidang media selepas perhimpunan sempena ulang tahun pertama perkhidmatannya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, di Kuala Lumpur, hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Azmin diminta mengulas amaran Umno agar PAS tidak membantu Bersatu jika calon mereka bertembung pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Amaran itu dibuat Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman semalam.

Untuk rekod hubungan Umno dan Bersatu terus tegang di sebalik penyertaan beberapa ahli parlimennya dalam kerajaan PN dipimpin Muhyiddin Yassin.

Dalam keadaan begitu, PAS pula kekal menjalin kerjasama rasmi dengan kedua-dua parti, masing-masing melalui PN dan Muafakat Nasional.

Tajuddin yang juga ahli parlimen Pasir Salak berkata meskipun Umno menghormati keputusan PAS untuk kekal bersama Bersatu, namun partinya juga berharap PAS akan juga kekal menyokong Umno.

Jari pun tak sama panjang

Pada masa sama hubungan Umno-PAS di negeri tertentu - misalnya Terengganu - juga tidak menunjukkan persefahaman yang jitu apabila pemimpin parti terbabit berikrar untuk meletakkan calon di semua kerusi yang ada di negeri itu.

Hal itu diumum Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said beberapa kali, termasuk terbaru pada 4 Jan lalu. 

Hari ini Bersatu Terengganu pula mengumumkan mereka sedia meletakkan calon di semua kerusi yang akan ditandingi Umno di Terengganu hal itu akan dirundingkan dengan menteri besar negeri itu Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Azmin berkata semua pihak wajar duduk bersama dan berbincang bagi mencari penyelesaian isu berkenaan.

“Saya bertanggungjawab untuk menganjur perpaduan, saya tidak mahu jadi ejen perpecahan.

"Saya mahu semua pihak ketepikan kepentingan peribadi, duduk dan bincang,” katanya.

Mengulas lanjut, ahli parlimen Gombak yang meninggalkan PKR itu berkata rakyat hari ini juga sudah letih dengan permainan serta pergaduhan politik pemimpin negara.

“Rakyat sudah penat, dah letih dengan pergaduhan begini yang berterusan. Ia tidak membantu dan sudah tentu saya sebagai salah seorang pemimpin dalam kerajaan saya nak menganjurkan perpaduan.

“Memang ada pandangan berbeza, pendekatan yang berbeza, kita punya jari pun tak sama panjang, ada pendek, ada kecil dan ada besar.

“Tetapi kalau kita satukan dia menjadi satu kekuatan, kamu boleh genggam, kamu boleh makan tapi kalau satu jari macam mana kita nak makan? Itu maksud saya,” katanya berkias.

Tambah Azmin, perbezaan pandangan sudah tentu ada namun dia yakin ia dapat diselesaikan melalui perbincangan.

“Dan kalau kamu tanya rakyat di bawah pastinya mereka mahukan kerajaan yang kukuh.

“Mereka nak lihat semua pihak dalam kerajaan atau di luar kerajaan dapat bekerjasama sebab akhirnya nanti kita nak pastikan rakyat mendapat jaminan untuk melindungi kesihatan mereka.

“Itu jawapan terus daripada hati nurani saya,”tambahnya.

Sebelum ini, Umno mengesahkan menghantar surat kepada Muhyiddin bagi memaklumkan keputusan majlis tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN menjelang PRU15.

Larang bukan Islam guna Allah tidak sah - Mahkamah Tinggi

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah "Allah" pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah "Allah" untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Hakim Nor Bee Ariffin hari ini membenarkan tindakan undang-undang oleh Jill Ireland dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun.

Pada 11 Mei 2008, CD berjudul 'Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah', 'Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah', telah dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Wanita Melanau itu kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 untuk menuntut pemulangan CD yang dirampas itu serta bayaran gantirugi.

Mahkamah Rayuan pada 23 Jun 2015, mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya CD itu dipulangkan kepada Ireland.

Mahkamah juga memerintahkan bahawa pengisytiharan yang dipohon oleh Ireland mengenai penggunaan kalimah 'Allah' didengar semula.

MIC, MCA ingin Tok Mat jadi nakhoda Umno?

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Dengan pensabitan Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi berdepan pelbagai tuduhan, siapa yang akan mengetuai kempen Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang? Kalau ditanya pada pemerhati politik, Timbalan Presiden Mohamad Hasan mungkin boleh menjadi pemimpin itu.

Spekulasi bertiup kencang mengatakan sekutu Umno dalam BN sudah merangka “Plan B”, melibatkan Mohamad menggantikan Zahid sebagai presiden.

“Dalam Plan B itu, ahli-ahli MIC dan MCA mencadangkan Mohamad jadi pilihan seterusnya. Ada kebimbangan terhadap tuduhan-tuduhan mahkamah itu,” kata sumber kepada FMT.

Sumber berkata, kemungkinan Zahid terbeban dengan kes-kes mahkamah, yang sedang berjalan di kala darurat, juga membimbangkan mereka.

Katanya, Mohamad bukan sekutu rapat Perikatan Nasional dan mungkin tidak akan bekerjasama dengan gabungan itu, serta “tidak akan jual BN kepada PN”.

Sumber berkata, MCA dan MIC berharap dua perkara akan dapat diselesaikan – penggunaan lambang Barisan Nasional pada PRU15 dan pengagihan kerusi secara adil.

“Mohamad mungkin pilihan terbaik untuk menggantikan Zahid. Beliau agak berkarisma dan disukai masyarakat bukan Melayu.

“Beliau juga faham perniagaan dan ekonomi. Masyarakat bukan Melayu tiada masalah dengannya,” tambahnya. 

Hubungan Umno dan PPBM teruji sejak September tahun lalu, dan keadaan menjadi semakin genting dengan surat Zahid kepada Presiden PPBM Muhyiddin Yassin, menyatakan bahawa tiada kerjasama antara mereka apabila Parlimen dibubarkan untuk PRU15.

Bukan MCA dan MIC sahaja yang berharap Umno akan menggantikan Zahid dengan Mohamad. Menurut sumber itu, PPBM dan gabungan pimpinannya, Perikatan Nasional juga mengharapkan perkara sama.

Sumber PN memberitahu FMT gabungan itu berharap Umno akan mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya nanti.

“Baguslah kalau begitu. Kami sedar ada sebilangan kerusi yang Umno dan PPBM mungkin tidak boleh bersetuju, tetapi kita sasar persetujuan bagi sekurang-sekurangnya 95% kerusi,” katanya.

Beliau berkata PN berharap suatu persetujuan boleh dicapai dengan Mohamad bagi mengelakkan pertembungan antara Umno, PPBM, dan PAS.

“Dengan Zahid, mungkin kita tidak akan dapat elak. Selepas pilihan raya nanti, terpulang kepada Umno untuk bekerjasama dengan kami atau tidak, tapi sebelum pilihan raya, kami harap kita tidak akan berebut kerusi,” katanya.

Mohamad, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, kini dalam penggal keempat sebagai ADUN Rantau.

Pengalaman 20 tahun timbalan presiden Umno itu dalam sektor korporat dilihat sebagai penyumbang utama kepada rekod beliau.

Antara dasarnya yang paling penting adalah mengehadkan penggal khidmat exco kepada dua penggal. Semasa beliau mentadbir Negeri Sembilan, pertumbuhan ekonomi negeri dilaporkan meningkat sebanyak 5.2% dan 6.2% pada 2011 dan 2012.

Sebelum pilihan raya 2018, Mohamad berkata, beliau dapat mengurangkan hutang negeri kepada Putrajaya daripada RM2 bilion kepada RM700 juta, meningkatkan rizab tunai kepada RM500 juta, dan menyediakan rancangan pembangunan untuk 30 tahun akan datang.

Duit tidak pernah tidur, ramai pemimpin Umno bakal diumpan Bersatu

SHAHBUDIN HUSIN

Hanya beberapa hari selepas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis merangkap Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan tindakannya menolak keputusan Majlis Tertinggi Umno yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, sebaliknya akan terus bekerjasama dengan parti tersebut dalam PRU15 akan datang, habuan sebagai Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) pun jatuh ke ribaannya.

Hakikat ini dengan sendirinya menunjukkan Bersatu memang memerlukan watak-watak dalam Umno yang sedia jadi pemecah-belah, lalu kemudian akan diberikan habuan yang lumayan sebagai ganjaran.

Sekali gus juga ini memperlihatkan Bersatu kini beralih arah kepada usaha melemah dan memecah-belahkan Umno setelah cubaan mendapatkan sokongan parti itu melalui rundingan dan hubungan baik telah menemui kegagalan.

Sehingga ini, berdasarkan keputusan MT Umno, usul yang diluluskan majoriti bahagian-bahagian dan surat Ahmad Zahid Hamidi kepada Muhyiddin Yassin, Umno memang kekal dengan pendirian tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU akan datang.

Pendirian Umno itu tidak dinafikan adalah suatu tamparan dan merupakan halangan terbesar dalam usaha Muhyiddin mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Tanpa kerjasama Umno dan tanpa kesediaan Umno berkongsi kerusi, walaupun andai kata terus disokong oleh Pas, Bersatu tidak cukup kekuatan untuk memastikan Muhyiddin berupaya mengekalkan lagi kedudukannya.

Pilihan terbaik untuk Muhyiddin kekal ialah hanya dengan adanya kerjasama daripada Umno, tetapi langkah tersebut jika dipersetujui bermakna Umno seperti meminum racun membunuh diri dan masa depannya sendiri.

Memandangkan usaha tersebut sudah dikira gagal, Bersatu kini nampaknya beralih kepada pendekatan melemah dan menghuru-harakan Umno pula.

Setakat ini, selain Shahidan, seorang lagi pemimpin yang berwatak duri dalam daging atau di luar berbaju Umno tetapi berhati Bersatu ialah Annuar Musa.

Semenjak dua menjak ini, dalam usahanya melawan arus semua keputusan Umno dan ingin memastikan parti itu akhirnya sedia mengalah untuk terus mengekal dan mempertahankan Muhyiddin, beliau seolah-olah sudah menjadi muncung meriam yang sedia melepaskan tembakan kepada kepimpinan partinya sendiri pada bila-bila masa.

Dengan Shahidan sudah diberikan ganjaran lumayan secara serta-merta susulan keberaniannya menolak keputusan MT Umno tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, malah mengumumkan Umno Perlis terus akan bekerjasama bersama Bersatu dan Pas, ini sebenarnya adalah bahaya yang mula mengancam kedudukan Umno.

Tidak mustahil selepas ini akan muncul lagi beberapa pemimpin Umno bersuara senada dengan Shahidan, lalu kemudiannya mereka turut diberikan habuan serta ganjaran lumayan sepertinya juga.

Dalam dunia sekarang di mana nilai perjuangan bergantung kepada tebalnya poket, tidak mengejutkan kiranya apa yang dilakukan kepada Shahidan itu adalah umpan untuk Bersatu dan Muhyiddin memperolehi lebih banyak sokongan daripada pemimpin Umno melalui pintu belakang.

Kiranya ia berterusan berlaku dan sampai ke tahap tidak dapat dibendung lagi, bukan saja keputusan MT Umno akhirnya boleh diterbalikkan, malah kedudukan Ahmad Zahid sendiri bakal dipelantingkan.

Apa yang nyata di sini, sementara Umno menetapkan pendirian enggan bekerjasama dengan Bersatu, tetapi membiarkan dirinya terus kekal dalam kerajaan PN sehingga Parlimen dibubar, ia adalah suatu keputusan yang salah dan merbahaya.

Ia memberi ruang terbuka kepada Bersatu untuk mengumpan dan menawarkan habuan kepada pemimpin Umno yang barangkali ramai tengah lapar dan dahaga atau mahu kekal bergaya seperti sebelum ini.

Maka, untuk menyelamatkan diri dan bagi mengelakkan lebih ramai watak seperti Shahidan terus muncul, menikam dan menghuru-harakan parti, Umno sebaiknya harus keluar segera daripada kerajaan PN ini dengan serta-merta.

Selain duit tidak pernah tidur, mereka dalam Bersatu yang takut kehilangan kuasa juga tidak pernah tidur daripada berusaha dan mencari jalan bagi menyelamatkan diri masing-masing daripada tenggelam begitu saja.

Spekulasi Husam bertanding di Gombak hanya mahu lagakan PKR, AMANAH

FAZLI RADZI

YouTuber, Iswardy Morni menyifatkan wujud seolah-olah usaha mahu melagakan PKR dengan AMANAH selepas beberapa ADUN AMANAH melompat ke dalam PKR.

Penyokong PKR dari Sarawak itu berkata, keputusan muktamad mengenai pemilihan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terletak pada keputusan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Spekulasi Husam menyertai PKR sudah lama. Namun, buat masa ini tiada ketetapan Husam akan menyertai PKR lagi.

Dan kalau dia menyertai (PKR) pun, belum tentu dia akan menjadi calon,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas spekulasi yang mendakwa bahawa Naib Presiden AMANAH, Husam Musa akan bertanding di Gombak di bawah tiket PKR.

Sementara itu, sumber dalaman PKR turut menolak kemungkinan Husam untuk bertanding di Parlimen Gombak pada pilihan raya umum akan datang.

“Mana pula datangnya (spekulasi) Husam (yang akan bertanding),” katanya kepada Malaysia Dateline.

Belum tentu

Bagi desas-desus yang tular mengatakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar akan bertanding di Ampang, Iswardy tidak menafikan spekulasi tersebut.

“Saya tidak menafikan. Tetapi yang menentukan calon bertanding adalah Presiden.

“Anwar tidak menentukan calon bertanding secara semberono. Dia berdasarkan laporan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.

“Jawatankuasa ini akan mendapat maklumat daripada setiap Majlis Perwakilan Negeri (MPN). MPN pula akan mendapat maklumat daripada setiap Cabang,” katanya.

Jelasnya, tiada siapa belum tentu menjadi calon di mana-mana kawasan melainkan setelah diberi watikah oleh Presiden parti.