A KADIR JASIN
1. Rasanya bukan kebetulan lagi iaitu mana-mana parti atau orang politik yang pernah berpakat dengan Pas berkesudahan dengan kekecewaan. Pas ini rasanya bukan pemain berpasukan.
2. Yang terbaru menyuarakan sentimen ini adalah Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau menggelar parti berlabelkan Islam itu sebagai “pelacur politik” dan menggesa partinya (Umno) supaya berusaha habis-habisan mengalahkan parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.
3. Maksudnya Tengku Razaleigh tidak bersetuju dengan kerjasama Umno-Pas melalui Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).
4. Sebagai veteran Umno yang tidak putus-putus menjadi wakil rakyat sejak tahun 1969, Tengku Razaleigh amat kenal Pas bermula dengan keahliannya dalam Dewan Undang Negeri (DUN) Kelantan pada tahun 1969. Kemudian dalam Barisan Nasional (BN), Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan sekarang PN.
5. Jadi apabila dia memberikan gelaran yang sangat cela kepada parti itu, kita perlu memberi perhatian. Namun saya tidak mahu mengulas lebih daripada itu kecuali cuba memahami dan melengkapkan semantiknya.
6. Tengku Razaleigh kata Pas “pelacur politik”. Tetapi kepada saya, oleh kerana Pas ini adalah parti patriaki di mana kepemimpinannya didominasi oleh orang lelaki, menggelarnya “pelacur politik” mungkin tidak berapa tepat walaupun ada juga lelaki yang jadi pelacur. Cuba sama-sama kita fikirkan kalau label “pelacur politik” itu boleh digantikan dengan “gigolo politik”.
7. Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan gigolo sebagai “laki-laki upahan yg dipelihara oleh seseorang wanita sebagai teman atau kekasihnya.” Dalam kaitan ini, bolehlah kita ibaratkan PN sebagai berjantina perempuan dan mengambil Pas sebagai “gigolo” dengan upahan jawatan Kabinet, Duta Khas dan GLC. Ibaratkan saja bukan sungguh-sungguh.
8. Tapi jangan pula ada mana-mana pemimpin PN yang berasa diabaikan kerana mesti ada di kalangan gigolo itu mereka yang juga biseksual (kunyit).
9. Akhir kalam, celoteh kita ini tidak mengandungi sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan Ordinan Darurat Berita Palsu sebab kita tidak sentuh sedikit pun mengenai darurat atau Covid. Jadi mohonlah berbahas dengan sopan santun, beretika dan tidak melanggar undang-undang negara. Sesiapa yang tidak puas hati silalah jawab di sini. Tak payahlah upah orang buat aduan polis. Kita gentleman lah.
Terima kasih.