Speaker Dewan Rakyat disekolahkan oleh bekas speaker

Anda speaker untuk semua dan perlu adil, Azhar diberitahu

Robin Augustin

Bekas speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof (kiri) memberitahu Azhar Azizan Harun, tugasnya bukan untuk melindungi mana-mana menteri atau memberikan jawapan kepada menteri dalam persidangan Dewan Rakyat.

PETALING JAYA: Bekas speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof mengingatkan penggantinya, Azhar Azizan Harun menjalankan tugasnya dengan “adil”.

Beliau berkata, kritikannya terhadap Azhar berhubung sifat tidak berat sebelah.

“Sebagai speaker Dewan Rakyat, anda perlu adil. Anda tidak boleh memihak kepada eksekutif.

“Speaker ialah speaker untuk seluruh Dewan, tolonglah. Seseorang perlu memberitahunya.

“Beliau perlu saksama. Anda tidak boleh melindungi mana-mana menteri. Anda tidak boleh memberi jawapan kepada menteri<” katanya menerusi forum dalam talian bertajuk “Whither Democracy and Constitutional Monarchy in Malaysia today?” anjuran OHMSI Perdana Forum.

Ariff berkata, ini sebabnya Speaker sekarang didakwa tidak mematuhi peraturan dan kelaziman jawatannya.

Azhar sebelum ini didakwa berpihak ketika mencelah dalam perbahasan di Dewan Rakyat antara Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengenai penyelesaian 1MDB.

Lim bertanya kepada Tengku Zafrul sama ada perjanjian penyelesaian ASD3.9 bilion dengan Goldman Sachs sudah dibincangkan dan dipersetujui Kabinet.

Sebelum Tengku Zafrul dapat menjawab soalan itu, Azhar berkata: “Ini keputusan Kementerian Kewangan dan tentunya ia sudah dibawa ke Kabinet.”

Selepas itu, Azhar menepis dakwaan beliau berpihak.

Ditanya apa yang tidak kena dengan Parlimen, berhubung kelakuan buruk sesetengah Ahli Parlimen, Ariff berkata, semua orang perlu tanya diri soalan itu.

“Kita perlu tanya apa yang tidak kena dengan kita? Apa yang tidak kena dengan saya? Kita mempunyai sekumpulan ‘jokers’ yang mencetuskan masalah di Dewan.

“Kita letak ‘jokers’ itu di sana, melalui perancangan politik.

“Tetapi, ramai daripada kita yang ikut membuta tuli, menurut secara membuta tuli dasar parti, tidak kira apa yang berlaku. Di sinilah keadaan perlu berubah.”

Zahid Hamidi: Umno parti cakap serupa bikin, tidak perlu ‘spin’ itu ini

MALAYSIA DATELINE

Presiden Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Umno merupakan parti yang cakap serupa bikin dan akan buat apa sahaja demi kepentingan rakyat dan negara.

“Apa yang Umno kata Umno akan buat,” katanya melalui posting di Facebook hari ini.

Beliau membidas pasukan siber lawannya agar berhenti daripada cuba mengelirukan rakyat dan tidak perlu memutar belit mengenai tindakan Umno.

Beliau berkata demikian susulan tindakan Umno yang menarik balik sokongan terhadap Mahiaddin Md Yassin berdasarkan keputusan mesyuarat MKT Umno baru-baru ini.

Zahid turut menyenaraikan kronologi bagaimana kerajaan Perikatan Nasional yang seolah-olah tidak menghiraukan titah YDPA untuk membuka sidang Parlimen dengan segera menyebabkan Umno membuat keputusan mengejutkan itu.

“Pada 16 Jun 2021 Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah menitahkan supaya Parlimen bersidang secepat mungkin.

“Pada 15 Jun 2021 Perdana Menteri memaklumkan Sidang Parlimen hanya boleh diadakan pada September atau Oktober.

“Pada 21 Jun 2021 Umno mendesak supaya Parlimen diadakan lebih awal. Titah secepat mungkin bermaksud segera. Umno beri tempoh 14 hari.

“Jika gagal dipenuhi maka Mesyuarat Khas MKT Umno akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.

“Pada 29 Jun 2021 Yang di-Pertuan Agong sekali lagi bertitah supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

“Pada 5 Julai 2021 Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Mesyuarat Khas Parlimen hanya akan diadakan bermula 26 Julai.

“Tempoh itu melebihi 14 hari ditetapkan Umno dan dilihat masih tidak menepati titah Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu.

Pada 7 Julai 2021 Mesyuarat Khas MKT Umno diadakan untuk menetapkan tindakan selanjutnya dan tindakan selanjutnya diambil berdasarkan tujuh pertimbangan utama,” katanya.

Tepuk dada, tanya selera, siapa belakangkan perpaduan ummah, Puad beritahu PAS

Robin Augustin dan Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Ummo membidas dakwaan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin bahawa keputusan Umno menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin  memberi kesan terhadap usaha penyatuan ummah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, berkata, berkata jika PAS serius mengenai perkara itu dan keutuhan Muafakat Nasional (MN), parti itu sepatutnya tidak membelakangkan Umno apabila menyertai Perikatan Nasional (PN) secara formal.

“Kenyataan Hashim Jasin bahawa keputusan Ummo dianggap menghancurkan usaha penyatuan ummah tidak mengejutkan.

“Tepuk dada tanya selera. Tidak perlu salahkan Umno,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Hashim bahawa usaha penyatuan ummah yang diusahakan PAS bersama Umno serta Bersatu demi kepentingan rakyat negara ini seolah-olah hancur ekoran keputusan Umno menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan perdana menteri.

Hashim menegaskan, keputusan Umno itu secara tidak langsung memberi kesan kepada hubungan di dalam MN yang pada asas penubuhannya ialah demi penyatuan ummah parti-parti politik Melayu Islam di negara ini.

Bagaimanapun, Hashim yakin masih ada ruang bagi ketiga-tiga parti Melayu Islam itu memperbaiki keadaan supaya tidak memberi ruang serta peluang kepada pihak musuh.

Dalam pada itu, Puad berkata MN sudah wujud dan sudah ada Piagam yang dimeterai.

Katanya, sepatutnya fokus dahulu untuk kukuhkan MN yang berjaya menggagalkan ICERD dan Statut Rome.

“Adalah tidak munasabah menyertai dua gabungan parti politik yang berbeza seperti yang dilakukan oleh PAS.

“PAS tahu, rival Umno ialah PPBM. Ramai pemimpin PPBM datang dari Umno, ramai Ahli Parlimen Bersatu ialah mereka yang melompat daripada Umno.

“Mereka itu bekerja untuk memusnahkan Umno, maka penyatuan ummah apa yang PAS mahu perjuangkan.,” soalnya.

Beliau juga menyindir dan mempersoal adakah logik jika PAS menjemput Amanah menyertai PN, MN atau anggota Kabinet kerajaan PN.

“Mahukah PAS? Saya yakin PAS tidak akan setuju. Sebab Amanah adalah rival kepada PAS. PAS sudah tentu tidak mahu berkongsi suami.

“PAS sudah tentu mahu menuntut balik kerusi yang Amanah menang. Mereka anggqp itu kerusi milik PAS,” katanya.

Puad juga berkata Hashim sepatutnya bantu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin jawab tujuh perkara yang menjadi alasan kukuh kenapa Umno tarik sokongan kepada Muhyiddin, kecuali jika PAS menganggap ini bukan kerajaan yang gagal.

“Contohnya bolehkah Hashim Jasin jelaskan apa faedah proklamasi darurat selama tujuh bulan kepada kehidupan rakyat termasuk dalam mengurangkan pandemik Covid-19.

“Bahkan apabila Umno menuntut moratorium automatik dan pengeluaran “one off” RM10,000 dari akaun KWSP, Ahli Parlimen PAS tidak mahu menyokongnya. Maka apa keutamaan PAS? Rakyat atau survival politik parti,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Khaled Nordin berkata, Umno hanya mahu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ditukar.

Katanya, Umno tidak berkata mahu meninggalkan PN.

“Umno tidak cakap nak tinggalkan PN yang PAS adalah parti komponennya. Umno hanya mahu kapten ditukar dari kalangan parti-parti yang sedia ada bersama kerajaan,” katanya.

Bersatu, Pas mula meroyan bila Umno tarik balik sokongan

MALAYSIA DATELINE

Keputusan Umno menarik balik sokongan kepada Mahiaddin Md Yassin membuatkan parti dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional seperti Bersatu dan Pas, menunjukkan tanda meroyan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, apabila Umno menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri menyebabkan maruah Bersatu terjejas kerana Mahiaddin merupakan Presiden Bersatu.

“Mereka bimbang jika Kerajaan PN tumbang, mereka hilang kedudukan dan jawatan.

“Itu berlaku di Johor, Melaka, Perak dan Kedah. Apabila Kerajaan PN jatuh ramai orang PPBM hilang jawatan Exco, GLC negeri, ahli Majlis dan Ketua Kampong,” katanya.

Selain tindakan Umno tarik balik sokongan, katanya tindakan Mahiaddin yang memberi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Umno turut mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan Bersatu.

“Kedua, mereka meroyan kerana jawatan TPM diberi kepada Umno. Kenapa tidak bagi pada Azmin dan Hamzah?

“Kenapa Umno diberi keistimewaan? Mesti ada orang PPBM tidak berpuasa hati. Itu bunuh parti sendiri,” kata beliau.

Mahiaddin katanya akan berdepan pemberontakan dari dalam kerana beliau akan dituduh mahu lepas tengkuk sendiri menyebabkan orang sendiri terkapai-kapai.

Beliau percaya PAS juga meroyan kerana berhempas pulas mempertahankan kerajaan PN malangnya jawatan ‘menteri kanan’ langsung tidak dapat merasa.

“Makin kuatlah tekanan kepada PM 8 untuk letak jawatan,” ujarnya.

Boleh pula Annuar Musa ziarah Pak Lah dan makan tengah hari bersama masa lockdown

'Boleh tak kami nak ziarah ibu bapa' - Soal netizen lepas Annuar ke rumah Pak Lah

Malaysiakini 

Netizen bertanya sekiranya mereka boleh berbuat perkara sama selepas Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengunjungi bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi di kediamannya di Kuala Lumpur walaupun lawatan ke rumah dilarang semasa PKPD Covid-19.

Annuar, yang juga Ahli Parlimen Ketereh mendedahkan lawatannya di Twitter tetapi memadamkan ciapan itu setelah menimbulkan kemarahan orang ramai.

"Hari ini kami suami isteri ambil peluang ziarah Tun Abdullah Badawi dan Tun Jeane Abdullah di kediaman mereka di Bait Badawi di Kuala Lumpur.

"Lebih dua jam bersama dan makan tengah hari masakan Tun Jeane.

"Semoga Allah SWT sentiasa merahmati Pak Lah seisi keluarga," katanya.

Susulan hantaran tersebut, netizen membalas dengan tangkap layar SOP 'total lockdown' yang menyatakan lawatan ke rumah tidak dibenarkan.

"Walaupun anda tidak pandai, sekurang-kurangnya jadilah teladan yang baik," kata seorang pengguna Twitter.

Sementara itu, pengguna lain pula mengeluh mereka sudah lama tidak bertemu keluarga dan bertanya adakah mereka juga boleh mengunjungi ibu bapa.

"Sudah hampir dua tahun. Anda dapat bergambar raya bersama keluarga manakala yang lain tidak dapat. Ini tidak adil," kata pengguna Twitter lain.

Seorang pengguna Twitter lain berkata: "Anda bernasib baik kerana dapat berkunjung. Bagi yang lain, mereka tidak dapat mengunjungi ibu bapa dan sanak saudara mereka.

"Oleh kerana anda bercakap tentang makan tengah hari, adakah anda sudah melawat kawasan (parlimen) anda? Adakah orang di sana cukup makan?".

Pada bulan Januari, Annuar juga menimbulkan kontroversi ketika dia dilihat berjoging dengan dua orang lain dari isi rumah yang berbeza.

Dia kemudian mengaku telah bertemu dengan dua yang lain itu secara kebetulan di jalan.

Pada bulan Februari, dia juga dilihat makan bersama sekumpulan orang walaupun acara jamuan makan dilarang semasa penutupan.

Negara ini mencatatkan 9,353 kes Covid-19 baru hari ini, rekod tertinggi baru untuk hari kedua berturut-turut.

Azmin dikejar ke mana sahaja hatta ke ‘lubang cacing’














MALAYSIA DATELINE

Rakyat Malaysia terus mengejar Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali walau ke mana pun beliau pergi, termasuk ke Austria dan Dubai hatta setelah tidak membenarkan lagi sebarang komen dalam media sosial beliau.

Ia umpama kata bidalan Melayu, kejar sehingga ke lubang cacing.

Beliau sentiasa sahaja dipersoalkan oleh rakyat negara ini dengan mendakwa beliau adalah punca kes-kes baharu Covid-19 tidak turun di negara ini.

Mereka mendakwa kementerian pimpinan beliaulah yang membenarkan kilang, industri dan tempat kerja terus dibuka di negara ini sehingga menjadi punca kluster baharu Covid-19.

Ketika beliau tidak lagi membenarkan komen dibuat di media sosial beliau, rakyat negara ini menyerbu laman rakan sejawatnya dari Austria yang menyiarkan pertemuan mereka baru-baru ini.

Ekoran itu, Facebook milik Menteri Hal Ehwal Digital dan Ekonomi Austria, Margarete Schrambock telah diserang oleh rakyat negara ini apabila beliau menyiarkan pertemuannya dengan Azmin semalam.

Sehingga berita ini ditulis, 3,900 komen telah diterima menteri Austria itu yang kebanyakannya dari rakyat Malaysia yang marahkan Azmin.

Mereka menyerang Azmin di situ dengan mempertikaikan kenapa beliau menutup semua ruang komen dalam media sosial beliau.

Zubaidi Sudin menulis, “#MinCiRIT..Hg tutup ruang komen kan? Mana mau lari hah??”

Walaupun tulisan asal Menteri Austria itu dibuat dalam bahasa Austria, kebanyakan komen yang diterima adalah Bahasa Malaysia yang ditujukan kepada Azmin dan Bahasa Inggeris yang ditujukan kepada menteri Austria itu.

Ada juga rakyat Malaysia yang menggunakan bahasa Austria untuk menyerang Azmin melalui facebook menteri itu.

Bagi sesetengah pelayar yang memberikan komen positif kepada Azmin, dia akan diserang habis-habisan oleh netizen lain dengan pelbagai dakwaan.

Misalnya Dayah Razif menulis, “You did a pretty well job dato .. we all so proud of you” telah diserang oleh 17 balasan yang penuh dengan kecaman dan dakwaan.

Misalnya Lan’z Aziz menulis, “Dayah Razif, ko buta ke tak tengok data yang KKM keluarkan hari2…gara2 menteri pintu belakang nii la kes harian covid negara kita x turun2 biarpun kita da buat darurat, PKP lockdown ngan PKPD.”

Asyraf Jamil pula menulis dengan mendakwa Dayah adalah petugas Jkom, badan propaganda yang ditubuhkan oleh kerajaan Perikatan Nasional apabila menulis,”Jkom ot smpai luar negara..hahaha.”

KENAPA AZMIN DISERANG

Pada 28 Jun lepas, Azmin menafikan sektor pembuatan dan perkilangan menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19.

Beliau berkata, kes positif Covid-19 melibatkan sektor tersebut hanya melibatkan lima hingga 10 peratus.

Namun sehari selepas itu, Kerajaan Selangor mengakui 91% kluster di negeri itu berpunca daripada pekerjaan iaitu 80% kluster perkilangan dan 11% kluster tapak binaan.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, mengikut angka dan data terkini sejumlah besar kes saat ini berpunca daripada kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata, sektor pengilangan terus merekodkan jumlah jangkitan baharu tertinggi bagi kluster tempat kerja.

Menurut beliau, sehingga 14 Jun, sektor berkenaan telah mencatatkan 95,156 kes melibatkan 639 kluster.

Wanita disyaki ada hubungan sulit cedera ditikam suami

Munirah Mudzamli

KUCHING: Seorang wanita mengalami beberapa kecederaan di badan selepas ditikam suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Tabuan, Kuching pada Jumaat.

Menurut sumber suspek bertindak demikian akibat berang dan tidak puas hati terhadap isterinya yang dikatakan ada hubungan dengan seorang lelaki.

Tambah sumber itu lagi, suspek turut dikatakan menyerang lelaki berkenaan dengan senjata tajam menyebabkannya cedera selain sempat menyelamatkan diri dan bersembunyi di longkang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti punca kejadian.

"Kita menerima laporan berhubung insiden itu pada pukul 1.10 petang. Dalam kes ini suspek telah ditahan selepas menyerah diri di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching pada jam 2 petang, Jumaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, wanita yang berusia 31 tahun tersebut berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebatan.

Apakah Umno kini sedang mabuk atau khayal?

MOHD ALI HASHIM

Apakah Umno kini sedang mabuk atau berkhayal setelah satu lagi episod terkini apabila keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan pimpinan PN kini.

Malah sudah kali keberapa perkataan gagal menjadi mainan mulut pimpinan Umno mahu pun politikus terhadap kerajaan sedia ada pimpinan Perdana Menteri.

Ketua Pemuda AMANAH negeri Kedah, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad berkata, kegagalan sebenar kerajaan PN ialah ketdakmampuan mereka untuk menerajui kepimpinan negara dengan baik dan cekap ketika penularan pandemik Covid-19 termasuklah percambahan kes bunuh diri ekoran kesengsaraan hidup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga kini.

“Fenomena kibarkan bendera putih pula kini mendapat sokongan rakyat yang terkesan demi kelangsungan hidup ekoran kegagalan kerajaan sehinggakan ada rakyat umpama kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang maupun sinonim dengan merempat di tanah air sendiri.

“Apakah Umno lupa mereka mempunyai 9 Ahli Parlimen yang menjadi menteri dan timbalan menteri. Manakala dua daripadanya menjadi Menteri Kanan dan utama iaitu pertahanan, sains dan teknologi serta inovasi yang menguruskan pangagihan vaksin.

” Ternyata Menteri dan Timbalan Menteri Umno tersebut juga gagal dan bernaung dibawah kepimpinan kabinet Perdana Menteri. Apakah Umno lupa, alpa dan tidak perlu dipersalahkan sedangkan mereka juga menunjangi kerajaan yang merompak mandat rakyat melalui langkah Sheraton, ” tanya beliau.

Jelas Ridhwan lagi, dalam kondisi sekarang adalah tidak wajar pelantikan TPM turut dibuat sedangkan jumlah Menteri dan portfolio kini pun sudah melebihi keperluan dan sepatutnya diminimakan dan dikurangkan saiznya dengan segera.

Sejajar dengan itu ujar Ridzwan, Pemuda AMANAH Kedah berpendapat bahawa Umno juga perlu dipertanggungjawabkan atas pelbagai polemik dan masalah kehidupan rakyat kini dan bukannya diletakkan kegagalan tersebut keatas pundak PN semata-mata.

Walau bagaimana pun tambah beliau, Umno dan PN tidak harus diberi apa jua mandat sekali lagi kerana ia akan mensengsarakan dan membuat rakyat hidup dalam kemelaratan berpanjangan sepertimana yang berlaku tatkala ini.

Malaysia menuju ke arah negara gagal - kolumnis Bloomberg

FMT Reporters

PETALING JAYA: Letusan sosial, krisis ekonomi dan politik adalah kemungkinan menjadikan Malaysia menuju ke arah negara gagal, kata kolumnis Bloomberg.

“Dimulakan dengan rayuan meminta bantuan oleh rakyat ketika pelaksanaan “lockdown”, disusuli gandaan jangkitan Covid-19, kini ia menjadi lambang merudumnya negara yang dulu boleh dibanggakan,” kata kolumnis Bloomberg, Danial Moss.

Beliau berkata, kempen bendera putih lebih memaparkan “rintihan daripada golongan yang bersedih kerana keputusan bahan makanan susulan masalah ekonomi”.

Rakyat di negara ini sudah hilang harapan dan berhasrat menggulingkan kerajaan, walaupun mereka tidak jelas sama ada masihkah ada kerajaan untuk mereka gulingkan pada hari ini, dakwanya.

Meskipun, perdana menterinya dulu dianggap sebagai mempunyai ciri kepemimpinan stabil walaupun mengekalkan ciri authoritarian, Moss berpandangan, Ahli Parlimen di Malaysia gagal membawa negara ini keluar daripada belenggu masalah.

Katanya, susulan daripada pengumuman Umno menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dan persengketaan dalaman parti, Moss berkata, tiada pemimpin yang mempunyai cukup sokongan di Parlimen atau dalam kalangan 32 juta populasi yang mampu mengganti kepemimpinan tertinggi negara.

Beliau berkata, tiada penunjuk jelas pilihan raya umum akan diadakan, di mana institusi monarki “terpaksa meninggalkan bayang istiadat untuk menjadi pengadil”.

“Jadi, bersandarkan mentaliti boleh buat atau ‘boleh’, rakyat mengorak langkah membantu kerana kegagalan pihak berkuasa menangani penderitaan yang tidak berpenghujung ketika pandemik,” katanya.

Moss ketika mengulas lanjut, berkata kesemua isu yang berlaku disebabkan negara berkenaan berterusan berdepan peningkatan jumlah kes Covid-19, kadar vaksinasi rendah dan “lockdown” berlanjutan dengan kilang diarah tutup, pengangkutan awam “dalam kapasiti minimum kerana kekurangan penumpang” dan pihak tentera digerak bertugas di sekatan jalan raya.

Beliau berkata, bagi Malaysia mencapai atau mendekati unjuran pertumbuhan ekonomi 6.5% dibuat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), negara perlu merekodkan pencapaian ekonomi “luar biasa” bagi separuh kedua tahun 2021.

“Tanpa mengira nombor dikeluarkan, kebanyakan rakyat Malaysia tidak merasai manfaat disediakan walaupun membabitkan perbelanjaan fiskal dan potongan kadar faedah masih berlanjutan,” katanya.

Moss berkata, negara yang dulunya muncul sebagai ikon ‘pasaran baharu” ketika era kepemimpinan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dari 1981-2003, bagaimanapun mula menunjukkan masalah apabila membelanjakan secara tidak perlu bagi pembinaan lapangan terbang baharu, disusuli Menara Berkembar (Petronas).

Katanya, Najib Razak pula “dibelenggu” kehilangan pesawat MH370 di mata dunia.

“Kembalinya Mahathir menerajui blok pembangkang cuma menyediakan detik samar pembaharuan. Namun, beliau tidak berputus asa berurusan dan bergelumang dengan politik meskipun sudah memasuki umur 90-an- dan membuka pintu kepada Muhyiddin menolaknya keluar dari tampuk kuasa,” katanya.

Moss menambah, ketegangan agama dan etnik semakin parah sejak akhir-akhir ini, selain kredibiliti kepemimpinan semakin terhakis sekiranya lebih panjang tempoh diambil untuk menyelesaikan vaksinasi di negeri itu.

“Ujian semasa yang berlaku ketika ini tidak mampu menyelesaikan keperluan perniagaan, kewangan mahupun menyediakan makanan di atas meja.

“Tiada negara mampu melalui pancaroba ini selama-lamanya dan menjadi contoh, selain gagal berfungsi,” katanya.

Mabuk, bogel, rempuh sekatan polis, lelaki ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki mabuk yang cuba merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Batu Kawa, Padawan, Sarawak, hari ini.

Dalam kejadian 9.38 pagi, suspek yang menunggang motosikal dalam keadaan bogel ditahan anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di SJR berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Lim Jaw Shyong berkata, ketika diarahkan berhenti, suspek cuba melanggar anggota bertugas sehingga memaksa mereka menendang tayar depan motosikal itu.

“Suspek yang terjatuh dan mengalami luka di tangan kanan dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 28 tahun itu dalam keadaan mabuk.

“Berdasarkan maklumat ahli keluarga, suspek mempunyai masalah mental namun polis menunggu laporan perubatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Muslihat Zahid untuk selamatkan tengkok pemimpin kluster mahkamah?

Memahami muslihat Umno tarik sokongan kepada Mahiaddin

Mohd Sayuti Omar

KONSENTRASI khalayak kepada isu penebangan tidak berhati perut lebih 200 pokok durian musang

king di Raub, Pahang beberapa hari lalu terganggu dengan kenyataan penarikan dan penamatan sokongan Umno kepada Mahiaddin Md Yassin sebagai perdana menteri. 

Orang terlupa kepada tindakan penguatkuasaan yang bertanggungjawab menebang pokok-pokok durian musang king tidak berdosa yang ditanam oleh "orang-orang berdosa" itu sedang berbuah dan menanti masa, tidak sampai beberapa hari lagi untuk gugur. Ia satu tindakan kejam terhadap alam.  Ia dilakukan oleh mereka yang kering perasaan kasih sayang sesama makhluk dan berjiwa syaitan.

Hebat, fokus politik orang ramai kepada politik negara ini mengatasi soal-soal tindakan diluar perikemanusiaan (humaniti) terhadap pokok durian musang king itu. Selepas keluar kenyataan penarikan dan penamatan sokongan Umno kepada Mahiaddin, isu musang king pun reda terus "luyup". 

Selalunya begitulah sikap dan nilai perjuangan orang Melayu kepada sesuatu perkara, hangat-hangat tahi ayam atau wangi-wangi bunga tahi ayam sahaja. 

Bagi mereka yang tohor ilmu politik memang menerima pengumuman presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi itu suatu mengejut dan menyeronokkan. Ia seperti bakal mencetuskan gelombang baru di samping menghangatkan suhu politik. Apa lagi oleh mereka yang menumpang "tui" daripadanya, merasa sesuatu yang bakal memberi kebaikan kepada mereka dan terubahnya senario. 

Semua orang mengira apabila Zahid berkata, hubungan Umno dengan Mahiaddin putus dan ditamatkan serta merta, ia membawa konotasi Umno juga akan memutuskan hubungan dengan kerajaan PN. Natijah daripada itu boleh menyebabkan jatuhnya kerajaan curitokrasi PH. Itu yang menyeronokkan. 

Tetapi tidak begitu rupanya. Alur politik itu memang berkelok dan berlingkar-lingkar. Pengumuman Zahid itu membawa motif lain yang lebih spesifik. Selepas beberapa jam kenyataan itu dikeluarkan dan orang memahami Umno juga menamatkan kerjasama dengan kerajaan PN, dan saat orang sudah mula mengira bila kabinet baru dibentuk atau perdana menteri dilantik, Umno muncul secara bersiri membuat penjelasan, meralat kekeliruan penegasan itu dengan menyebut, mereka hanya memutuskan hubungan dengan Mahiaddin tetapi tidak dengan kerajaan PN. 

Apa dikandung dalam kenyataan itu, Umno bukan mahu hancurkan kerajaan PN tetapi mereka mahu buang Mahiaddin. Jauh sekali sebagai memberi muka kepada Anwar Ibrahim sebab di akhirnya ada perkataan "No Anwar dan No DAP". 

Sebabnya kalau kita tidak gaduh, awal-awal lagi kita sudah dapat membaca gerak tari dan memahami paluan gendang Umno dengan kenyataan itu. Dalam kenyataan Zahid itu sudah menyebut, Umno mendesak Mahiaddin berundur dengan segera. Dalam frasa lain kenyataan Zahid itu menyebut, perlu dilantik seorang perdana menteri yang berkhidmat untuk menangani masalah Covid. Sesudah masalah itu selesai, perdana menteri baru itu hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan parlimen. Jelas. 

Tetapi oleh mereka yang mengharap laba dan untung, daripada keputusan Umno itu jadi excited terus membuat tafsiran yang Umno turut memutuskan hubungan dengan kerajaan PN. Memang mereka mahukan Umno menamatkan kerjasama dengan kerajaan PN, bukan dengan Mahiaddin sahaja. Malahan bagi mereka lebih bermakna dan besar untungnya bakat diraihnya kalau Umno memutuskan hubungan dengan kerajaan PN.

Penjelasan semula Umno itu tidak perlu pun sebab bagi mereka yang sudah mengenal hati budi dan sepak terajang politik Umno amnya, dan Zahid khasnya tidak rasa pelik pun. Sesiapa yang mengenali Zahid dan tahu kelicitan (slickness) politik Umno tidak perlu mudah mempercayainya. Bahkan apa-apa sahaja janji, kenyataan dan kata-kata Umno tidak boleh diyakini, setengahnya ia lebih huduh daripada kata-kata dan sabda Abdul Hadi Awang.

Pandangan saya.

Disini saya mempunyai tafsiran baru mengenai apa yang berlaku itu apa lagi selepas beberapa orang pemimpin Umno menjelaskan kenyataan Zahid itu. Ada mengatakan kenyataan Zahid itu tidak membayangkan hasrat dan kehendak keseluruhan MKT Umno, dan juga ahli Parlimen Umno seramai 35 orang. Ada juga maklumat mengatakan, mesyuarat MKT malam itu kononnya hangat dan sebagainya. Itu daripada versi pembangkang. 

Bekas presiden Umno Najib Razak juga turut menjelaskan, yang Umno mahu Mahiaddin berundur bukannya memutuskan hubungan dengan kerajaan PN. Tambah Najib lagi perdana menteri baru nanti cukup berkhidmat sekitar enam bulan sahaja untuk mengatasi pandemik selepas parlimen dibubarkan. 

Tindakan Umno itu jelas ia dibuat untuk kepentingan Umno. Sama sekali tidak untuk kepentingan pihak-pihak di luar terutamanya mereka yang memburu jawatan PM, seperti Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh Hamzah atau Mahathir Mohamad dan lain-lain. Dalam kata lain mereka yang terpesona dengan tindakan Umno menarik sokongan kepada Mahiaddin itu tertipu hidup-hidup?

Kita perlu ingat, sebelum Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai timbalan perdana menteri, sudah ada pertemuan di kalangan pemimpin Umno di dua lokasi secara rahsia. Pertama di Bellamy dan kedua di Wisma Perwira. Kedua-dua pertemuan itulah yang membawa kepada pelantikan Ismail Sabri sebagai timbalan perdana menteri. Kebetulan kedua-dua premis itu milik Ismail Sabri sebagai Menteri Pertahanan.

Apakah kerana ia diadakan dipremis Ismail Sabri, kedua pertemuan dan rancangan itu dikepala oleh Ismail Sabri? Mungkin dan boleh tidak mungkin. 

Saya sudah sebut akan kejanggalanya Umno dalam menepati protokol, apabila Zahid Hamidi menghambakan diri untuk datang bertemu Ismail Sabri di Wisma Perwira. Kenapa begitu murah sekali Zahid menjual diri? Apakah ruang di PWTC di Ibu Pejabat Umno tidak cukup untuk menampung pertemuan itu? 

Apabila presiden terpaksa pergi dan mengunjungi ke Wisma Perwira jelaslah bahawa presiden sedia mengikut ke mana sahaja, menuruti pelan yang disediakan, walaupun dengan cara itu menjejaskan kredibiliti dan "jiha" dia sebagai presiden.

Di sinilah, saya mengira ada berlaku perundingan, deal, strategi dan taktik. Pertemuan di kedua lokasi itu pula ikut ditunggu oleh pembangkang takut-takut ia memberi keuntungan kepada mereka. Pembangkang mudah bersangka baik dengan pertemuan itu memberi keburukan kepada Umno dan membawa kebaikan buat mereka. Pembangkang suka kalau Umno berpecah sesama sendiri apa lagi perpecahan itu akan meretakkan kerajaan PN. Sayang dua pertemuan rahsia itu tidak banyak membawa keuntungan kepada pembangkang. Berlaku salah tembak di sini?

Apa juga yang dapat diterjemahkan, bahawa Umno memang mahu Ismail Sabri dilantik menjadi timbalan perdana menteri. Itu perancangan mereka. Dengan jawatan itu Umno dapat manfaat dalam proses memulihkan kedudukan dan imejnya. Umno sangat takut kalau jawatan itu diisi daripada wakil PBBM. 

Apa diharap oleh Umno khasnya oleh pemimpin Umno mereka yang berhadapan dengan masalah, mengharapkan posisi itu nanti dapat juga membantu mereka. Jawatan itu akan menjadi syufaat kepada mereka. Dan dengan mempercayai jawatan PM boleh merubah segala-galanya, setidak-tidaknya menjauhkan pintu penjara Sungai Buloh daripada mata setengah pemimpinnya, maka Umno mahukan jawatan itu segera. Apa lagi yang terbaik harus diusahakan kalau bukan itu?

Justeru itu mereka suka atau berkenan kalau Ismail Sabri jadi TPM. Sebab itu ada kenyataan didedahkan oleh seorang MKT bahawa pelantikan Ismail Sabri sebagai TPM dipersetujui oleh presiden Umno. Dan Najib Razak sendiri mengalu-alukan pelantikan itu. Bahkan Zahid sendiri mengucapkan tahniah atas pelantikan itu. 

Jika benar Ismail Sabri menerima jawatan itu tidak ada sesuatu, masakan Ismail Sabri yang dikenali sebagai seorang ahli politik yang sederhana, kurang agresif sanggup untuk melanggar keputusan MKT Umno yang dibuat di Janda Baik, bahawa Umno tidak akan membenarkan sesiapa menerima jawatan TPM.

Ada orang berpendapat ia tidak mungkin direstui oleh Zahid Hamidi kerana ia boleh mengerhanakan kedudukannya dalam Umno. Kononnya apabila Ismail Sabri jadi TPM, penumpuan kuasa nanti dari kalangan Umno akan tertuju kepada Ismail Sabri dan tidak kepada presiden lagi. Atas alasan itu dikatakan tidak mungkin Zahid merelakannya. Hujah ini juga cetek dan naif. 

Itu tidak berbangkit saya rasakan sebab Zahid sudah perolehi jaminan yang dia tetap akan jadi tumpuan apabila terus memegang jawatan presiden parti. Zahid telah berjaya mendapat jaminan itu apabila mendapat kebenaran dan mandat menangguhkan perhimpunan agung Umno (PAU). Selagi tidak diadakan PAU, maka Zahid tetap memiliki kuasa presiden dan berhak menentukan calon-calon Umno dalam Piraum ke-15 kelak.

Apapun yang penting bagi Zahid bukan kuasa dalam Umno lagi pada waktu ini. Yang beliau terngiau-ngiau kini atau pun ternanti-nanti penyelesaian kepada kes-kes dihadapinya di mahkamah. Zahid lebih terbeban dengan kes mahkamah dengan masalah Umno. Lantaran itu bagi Zahid, soal kuasa dan jawatan tidak menjadi keutamaan lagi berbanding dengan mendapat pengurangan dan lepas dari penjara. Berada dalam penjara lebih teruk daripada kehilangan kuasa dan jawatan. 

Percaya dan yakinlah Umno dengan peranan Zahid dan bekas presiden Najib akan berusaha untuk menobatkan Ismail Sabri sebagai perdana menteri. Kerana bagi mereka pencapaian itu akan lebih bermakna dan menggembirakannya. Beliau lebih berharap dan mempercayai pertimbangan daripada Ismail Sabri sebagai perdana menteri berbanding dengan Mahiaddin atau orang lain.  

Untuk memahami apa yang disebut itu senang. Sebab itu dalam kenyataan dan ketegasan itu, Zahid dan Najib mendesak supaya Mahiaddin bagi seorang PM baru dilantik. PM baru itu adalah Ismail Sabri. Dan apa diharap itu sudah pun berjaya apabila kini Ismail Sabri sudah dilantik menjadi TPM.

Pelantikan Ismail Sabri sebagai TPM itu menguntungkan dua pihak, Mahiaddin dan Umno tetapi sedikitpun bukan kepada pembangkang. 

Sebagai konklusinya pembangkang usahlah bermimpi dan rajin menangguk di air keruh dengan isu dicetuskan Umno itu, sebab ia tidak akan berpihak kepada mereka. Atas apa-apa isu, strategi dan taktik Umno, pembangkang hanya tetap mengigit jari. Kata orang tangguk rosak, lengan terkena selut, ikan tidak kedapatan.  

Tidak ada paling afdal untuk pembangkang berjaya atau berhasil meletakkan wakil mereka sebagai perdana menteri melainkan kena berusaha sendiri, mengharap kuasa rakyat menerusi Piraum ke-15 kelak. Pembangkang khasnya PH bersiap sedialah untuk hadapi pilihan raya dengan kekuatan kendiri tanpa lagi menumpang kasih dan laba daripada mana-mana pihak yang berpura-pura dengan kita.  [wm.kl.12:08 pm 09/07/2021]

Tarik diri: Umno akan kehilangan sengatnya jika terus bermain-main

DR SHAHNOR BASRI

Keadaan politik agak bercelaru dan tak keruan ketika ini. Awal pagi semalam (8 Julai 2021) penulis berseloroh denagn mantan Yang Di Pertua YADIM bahawa seseorang sedang menelaah kitab mencari dalil untuk mempastikan Perdana Menteri Tan Sri Mahaiddin Yassin tidak meletak jawatan dan tidak gugur dari jawatan yang disandang.

Secara berseloroh mantan YDP YADIM pula membalas seloroh penulis dengan menyatakan ‘orang itu’ tidak akan terjumpa dalil di dalam kitab untuk mengabsahkan dalilnya! Saya hanya tersenyum dengan jawapan spontan beliau. Belum pun habis tawa saya telah keluar kenyataan bahawa “Pas mempertegaskan sokongan sepenuhnya kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, termasuklah sokongan tidak berbelah bahagi sekelian YB Parlimen Pas”.

Mungkin dalil telah terjumpa, seperti mana dalil-dalil keterlibatan menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat dalam PRU 14, dalil pada satu ketika dahulu “wajib sokong DAP, haram sokong Umno sehingga kiamat” dan pelbagai ‘fatwa kontemporari’ di keluarkan demi kepentingan politik.

Baru-baru ini berfatwa pula bahawa kerajaan PH tumbang secara demokratik. Apakah maksud tumbang secara demokratik? Ketika rampasan kuasa terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Perak berlaku, tindakan rampasan kuasa BN pernah diselar sebagai perbuatan ‘BIADAP’.

Banyak sungguh ‘fatwa kontemporari’ yang boleh dicatatkan untuk kajian para sarjana. Namun ia hanya bertujuan menyokong keabsahan dalil demi menghalalkan keputusan atau tindakan organisasi bukan demi ummah atau rakyat!

Diawal pagi 8 Julai 2021, Datuk Seri Zahid Hamidi (DSZH) selaku Presiden Umno telah bersiaran secara ‘live’ untuk menjelaskan keputusan MT Umno yang pada asalnya mendokong TSMY berdasarkan dua panduan; aspirasi rakyat benar-benar direalisasikan dan kedua harus menangani kelembapan ekonomi serta melakarkan

pelan tindakan efektif menangani pandemik COVID-19.

DSZH telah dengan tuntas menggariskan tujuh KEGAGALAN KERAJAAN dan merumuskan keputusan MT

Umno menarik balik sokongan terhadap TSMY selaku Perdana Menteri dan sokongan tersebut diTAMATkan serta merta. Walaubagaimana pun penulis tidak terjumpa satu patah perkataan pun yang menyatakan penarikan anggota kabinet yang mewakili Umno didalam kabinet TSMY dan PN.

Bagaimana pula kedudukan kerusi ahli parlimen Umno dalam Dewan Rakyat sekiranya perkara ini berlarutan hingga ke persidangan parlimen mulai 26 Julai ni? Sebenarnya makin banyak persoalan boleh dibangkitkan daripada penyelesaian.

Secara konvensyen apabila satu parti yang bergabung membentuk satu pakatan yang membentuk kerajaan menarik sokongan, maka keseluruhan anggota parti tersebut yang menganggotai atau tidak kabinet secara MORALnya juga menarik sama sokongan terhadap PM dan kerajaan.

Maka, jumlah majoriti mengikut amalan demokrasi perlu dikira semula, sekiranya tidak cukup bilang untuk majoriti mudah maka kerajaan secara automatik terbubar. Bermain dengan masa amat membimbangkan dan mungkin proses ‘jual-beli’ akan mula berlaku!

Penulis sangat musykil terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Arif Peguam Negara bahawa PM dan kabinet masih boleh menjalankan fungsi eksekutif kerana pada pandangannya terbubar atau tidak sesebuah kerajaan bukan hanya disebabkan kenyataan suatu parti kompenan. Bagi beliau bahawa kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas menunjukkan TSMY tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti.

Matematik apakah yang digunakan?

Fakta sangat jelas, berapa bilangan ahli parlimen Umno yang menganggotai kerajaan PN, apabila parti mereka menamatkan sokongan, maka secara automatik jumlah bilang anggota parlimen kerajaan akan berkurangan. Matematik mudah (simple mathematics). Penulis bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Salahuddin Ayub mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa YA Peguam Negara hanya merujuk satu sahaja kitab Undang-undang tanpa merujuk apa yang telah berlaku duluan dalam negara dan kes-kes duluan dalam negara-negara Commonwealth! Jadi bijaksanalah.

Pada masa yang sama, setelah Presiden parti mengeluarkan kenyataan keputusan badan eksekutif parti iaitu MT yang mendokong keputusan-keputusan terdahulu dan juga mandat Persidangan Agong Umno (PAU) 2020, sewajibnya semua ahli parlimen Umno menarik diri dari mengaggotai blok kerajaan. Namun, kelihatan

banyak dolak dalik terutama dikalangan yang sedang berenak-enakan dikerusi empok kementerian dan GLC.

Walaubagaimanapun penulis percaya majoriti ahli Parlimen Umno yang mendokong perjuangan parti, ikhlas dalam perjuangan dan memperjuangkan aspirasi rakyat akan mengundur diri sepantas kilat KECUALI beberapa kerat yang sedang dibuai nikmat kedudukan dan pangkat.

Yang tidak mengundur diri harus dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin dan digugurkan serta-merta walaupun mereka adalah anggota kanan kabinet ataupun berada dihiraki tertinggi parti. Jika ini tidak berlaku maka Umno akan makin lama hilang sengat dan jika tidak mahu berubah dari kebongkakan maka akan dilupakan dipersada politik negara. Bibit-bibit ini telah mula kelihatan!

Bagi TSMY pula, adakah beliau masih mahu menongkat langit yang semakin hendak menghempap dirinya. Dengan pelan pemulihan yang tidak kemas, tidak berstrategi dan dengan keputusan mengenai SOP yang ‘flip-flop’ tidak akan mampu menyelamatkan negara dan rakyat. Dengan tidak berpandukan data-raya yang tepat

dan komprehensif, proses vaksinasi yang tidak terstrategi dan perlahan serta strategi membawa keluar negara dari pandemik yang sangat dangkal, ia adalah kegagalan besar.

Ribuan nyawa akan terkorban, ekonomi akan makin terjejas, pendidikan anak- anak akan terjejas teruk, aktiviti peruncitan dan perniagaan akan layu, rakyat akan ramai lagi hilang pekerjaan, SME dan SMI akan terjejas, norma kehidupan akan kacau, ramai lagi akan membunuh diri akibat tekanan dan pelabor akan makin lama

menjarakan diri dari negara ini.

Apa yang di jelaskan oleh Presiden Umno mengenai kegagalan kerajaan sebenarnya adalah realiti dan realiti ini akan menjadi barah yang terus merebak jika TSMY dan PN masih bongkak untuk meneruskan kuasa. Kuasa

memang suatu kenikmatan namun jika ia tidak dikawal maka kuasa akan mengakibatkan rakyat merana dan banyak nyawa lagi terkorban.

Pada harini juga (8 Julai) parti PEJUANG pimpinan Tun Mahathir secara kebetulan pula lulus pendaftarannya. Adakah ia secara kebetulan atau ada sesuatu tersirat untuk mencipta satu lagi kemelut politik? Penulis berharap supaya parti-parti politik arus perdana tidak perlu berasa sukacita melampau dengan kelulusan PEJUANG, hanya ucapkan tahniah sudah memadai buat masa ini. Kita tidak mahu lanskap politik ini bertambah caca-marba dan hancur, sepertimana hancurnya Pakatan Harapan.

Akhirnya, negara perlu bergerak kehadapan. Pimpinan politik harus bergerak beringinan untuk memacu negara kearah kestabilan dan membina semula politik pasca baharu yang lebih bersinar dan membawa negara ini keluar dari pandemik dan hidup normal. Jika ada insan yang mengaku hanya dia sahaja yang boleh menyelesaikan semua ketenatan yang menyelubungi rakyat negara ini, maka dia bukanlah wali besar yang mempunyai kuasa ajaib.

Semua pihak harus berkerjasama, menjalin usahasama rentas parti dan kaum. Apa jua bentuk kerajaannya, samada minority government ataupun kerajaan perpaduan, ia harus kerajaan untuk rakyat dan demi rakyat tetapi sudah pastinya bukan termasuk PN yang merupakan Kerajaan Gagal dengan memetik tujuh (7) kegagalan yang di persembahkan oleh YB Presiden Umno.

Dan kegagalan paling besar adalah dengan bermain dengan masa dan putar- belit perkataan meremahkan titah dan dekri SPB YDPA dan Raja-Raja Pemerintah supaya parlimen bersidang dan membahas perkara berkaitan Ordinan-Ordinan Darurat dan Strategi Pemulihan Negara Pasca Covid-19.

————-

Penulis adalah felo di Akademi Sains Islam yang berpusat di Jordan

Umno rancang ‘rampas kuasa’ melalui Ismail? - Mujahid

FMT Reporters

PETALING JAYA: Adakah Umno merancang untuk melakukan “rampas kuasa secara senyap” dengan menguasai kerajaan interim, melalui Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik sebagai timbalan perdana menteri, soal Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pasti didesak meletakkan jawatan “sehari dua ini”, dan Ismail akan menjadi pemangku perdana menteri, kemungkinan dilantik sebagai PM interim.

Manakala Hishammuddin Hussein yang dilantik sebagai menteri kanan pada Rabu lalu akan menjadi timbalan perdana menteri.

“Majoriti Ahli Parlimen Umno akan kekal menyokong PN sehingga bubarnya Parlimen. Kerajaan tak tumbang tetapi Umno dominan,” katanya di Facebook.

Pelantikan Ismail oleh Muhyiddin diumumkan secara tiba-tiba pada Rabu, namun Majlis Kerja Tertinggi Umno sebelum ini memutuskan untuk menolak tawaran jawatan timbalan perdana menteri.

Pejabat Perdana Menteri berharap pelantikan Ismail itu akan “memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan”.

Pengumuman itu muncul di kala Umno diuar-uarkan sedang membincangkan cadangan menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan.

Melewati tengah malam, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan Umno menarik balik sokongannya terhadap Muhyiddin dan mahu beliau meletak jawatan.

Umno menyenaraikan tujuh sebab yang membawa kepada penamatan sokongannya, dan menggesa pelantikan seorang perdana menteri interim untuk menangani situasi Covid-19 dan membuka laluan kepada PRU15 bagi sama sekali menyelesaikan isu keabsahan kerajaan.

Keesokannya, Setiausaha Agung Ahmad Maslan memaklumkan Zahid mengucapkan tahniah kepada Ismail atas pelantikannya.

Mujahid hari ini berkata menjelang PRU15, Umno akan berada dalam posisi yang lebih baik dan yakin untuk menang bergaya.

“Jika benar ianya helah Umno, Pakatan Harapan harus cekal dan kekal sebagai blok terkuat dengan 89 Ahli Parlimennya terus konsisten dengan prinsip perjuangan PH,” katanya.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) turut mendesak Muhyiddin berundur selepas Umno memutuskan untuk tidak lagi menyokong beliau.

Umno dengan 36 Ahli Parlimen adalah blok penyokong terbesar Muhyiddin di Dewan Rakyat.

Kempen #Lawan selama 3 hari bermula esok, gesa Muhyiddin letak jawatan

Malaysiakini 

Kempen secara fizikal dan dalam talian selama tiga hari yang dinamakan #Lawan bakal bermula esok (10 Julai) sebagai protes terhadap cara kerajaan menangani wabak Covid-19.

Penganjur kempen Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) menyenaraikan tiga tuntutan yang perlu dipenuhi segera, iaitu supaya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, mengadakan sidang Parlimen secara penuh dan penamatan darurat.

“Setelah hampir tujuh bulan pelaksanaan darurat dan sebulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan 3.0 (PKP 3.0), kerajaan masih gagal mengawal kes jangkitan Covid-19

“Semalam, jangkitan baru Covid-19 mencecah 8,868 kes dengan 135 kematian yang menjadikan jumlah tersebut sebagai angka kematian harian tertinggi,” kata SSR dalam kenyataan hari ini.


SR membangkitkan yang lebih daripada 5,900 orang telah kehilangan nyawa akibat wabak tersebut sejak ia mula melanda negara.

Ia juga memetik kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengesahkan masih terdapat ramai pesakit kritikal Covid-19 yang tidak mendapat penempatan atau rawatan di hospital kerana kesesakan dan kekurangan katil di wad mahupun di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin telah gagal untuk memimpin negara ini keluar daripada pandemik Covid-19,” katanya.

Kempen itu akan diadakan secara fizikal dan dalam talian dari Sabtu hingga Isnin ini (10-12 Julai).

SSR berkata bagi mereka yang ingin menyertai protes tersebut boleh melakukannya dengan memasang bendera hitam di rumah, berpakaian hitam ketika keluar membeli barangan keperluan dan mengibarkan bendera hitam pada kenderaan masing-masing.

Mereka yang menyertai protes itu diminta mengambil gambar dan memuatnaiknya di media sosial dengan tanda pagar #Lawan secara konsisten selama tiga hari bermula jam tiga petang esok.

SSR menggesa orang ramai untuk turut serta, sambil menekankan ia membawa mesej yang keadaan rakyat di negara ini sudah mencapai tahap kritikal.

“Tindakan ini juga adalah susulan kepada kempen yang telah dilaksanakan pada minggu lepas dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya perlu terus #Lawan sehingga ketiga-tiga tuntutan di atas dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini kempen "Bendera Hitam” yang menuntut Muhyiddin meletakkan jawatan menjadi sohor di media sosial apabila ramai warga maya berkongsi gambar bendera hitam sebagai tanda sokongan.

Ketika itu, tanda pagar #lawan ditulis lebih 72,000 kali, manakala satu lagi tanda pagar #BenderaHitam yang turut digunakan oleh penyokong kempen berkenaan digunakan dalam lebih 17,000 ciapan.

Najib: Seolah-olah sengaja buat silap untuk elak PRU

Malaysiakini 

Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah "sengaja mencipta kesilapan" dalam mengendalikan pandemik Covid-19 bagi mengelakkan PRU15 dijalankan.

Najib membuat dakwaan itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini, yang menjelaskan mengapa Majlis Tertinggi (MT) Umno menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Mengimbau penubuhan kerajaan PN, Najib berkata Umno ketika itu setuju bahawa PRU perlu dilakukan dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

"Sebab itu, Muhyiddin berulang kali janji akan adakan PRU sejak tahun lalu, termasuk janji terakhir pada bulan Januari bahawa dia jamin PRU akan diadakan sebaik sahaja selepas darurat berakhir.

"Tapi tak sangka kita bahawa pengendalian Covid-19 oleh kerajaan PN semakin teruk dengan pelbagai kesilapan yang diulang-ulang walaupun jelas ianya adalah kesilapan besar yang menghalang PRU - walaupun sudah diberi kuasa penuh darurat selama tujuh bulan.

"Seolah-olah kesilapan-kesilapan ini disengajakan," katanya.

Oleh sebab itu, katanya lagi, Umno menerik balik sokongan kepada Muhyiddin dan mencadangkan kerajaan sementara ditubuhkan, sebelum PRU diadakan setelah situasi Covid-19 berjaya ditangani.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan mesyuarat MT parti yang menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Menggariskan apa yang disifatkannya sebagai tujuh kegagalan Muhyiddin dalam memimpin kerajaan, Ahmad Zahid berkata seorang perdana menteri baru perlu dilantik sebelum PRU dapat dilakukan setelah negara mencapai tahap imuniti kelompok.

Pada masa sama, Umno menyerahkan kepada budi bicara ahli Parlimennya sama ada untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin ketika sidang Dewan Rakyat, ataupun sebaliknya.

Semalam, kenyataan bersama yang mendakwa mewakili "semua ahli parlimen BN" mendakwa mereka semua bersetuju untuk menyokong Muhyiddin untuk berkhidmat sebagai perdana menteri dan memastikan kejayaan Pelan Pemulihan Negara.

Bagaimanapun, kenyataan bersama itu tidak mengandungi kepala surat rasmi BN, dan juga tidak mempunyai senarai penandatangan.

Dalam pada itu Najib berkata keputusan MT Umno itu selaras dengan pendirian parti itu sejak awal penubuhan kerajaan PN.

"Bulan Februari (tahun lalu), tuntutan kita tidak mendapat perkenaan Yang di-Petuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

"Sebab itu kita terpaksa menubuh kerajaan sementara dengan Bersatu dengan syarat PRU perlu diadakan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan.

"Syarat ini juga dipersetujui dalam mesyuarat Muafakat Nasional dan dipersetujui Bersatu," dakwa Najib.

Kadir dakwa Zahid, 'kluster mahkamah' cuba jatuhkan Muhyiddin melalui Ismail

Malaysiakini 

Bekas ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin mendakwa Umno jelas mahu merampas kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi naib presidennya, Ismail Sabri Yaakob.

Kadir berkata, ia dapat dilihat setelah Umno - selepas keputusan Majlis Tertinggi - mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tetapi pada masa sama tidak mengarahkan menteri dan timbalan daripada parti itu untuk meletakkan jawatan.

Sebaliknya, katanya lagi, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dikatakan merestui pelantikan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

"Strategi Ahmad Zahid dan kluster mahkamah sangat jelas. Mereka mahu menyingkirkan Muhyiddin dengan harapan Umno boleh merampas kerajaan melalui Ismail Sabri.

"Bagi ahli-ahli Parlimen Umno pula, kerusi menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah terlalu empuk untuk dikorbankan. Slogan mereka adalah 'demi diriku, anak biniku dan konco-koncoku', (slogan) demi agama, bangsa dan negara adalah klise," dakwanya dalam satu hantaran di Facebooknya, pagi ini.

Menyifatkan langkah itu sebagai "politik orang tidak siuman", Kadir juga memetik kenyataan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan bahawa ahli Parlimen Umno boleh menggunakan "budi bicara" jika berlaku sebarang pengundian ketika sidang Parlimen nanti.

"Hasil hipokrasi dan penyundalan politik ekstrem oleh pemimpin-pemimpin atasan Umno ini, Muhyiddin kekal perdana menteri walaupun MT Umno sendiri mahu dia meletakkan jawatan," katanya lagi.

Untuk rekod, Ahmad juga berkata walapun ahli Parlimen Umno boleh menggunakan budi bicara, mereka perlu menjadikan keputusan parti sebagai "panduan".

Awal pagi semalam, Ahmad Zahid mengumumkan keputusan MT Umno untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkuatkuasa serta merta.

Menggariskan apa yang disifatkannya sebagai tujuh kegagalan Muhyiddin dalam memimpin kerajaan, Ahmad Zahid berkata seorang perdana menteri baru perlu dilantik sebelum PRU dapat dilakukan setelah negara mencapai tahap imuniti kelompok.

'Ini bukan politik orang siuman'

Dalam pada itu Kadir berkata meskipun Umno telah memutuskan menarik sokongan, kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri sukar dipastikan.

"Buat masa ini, tidak siapa tahu kedudukan sebenar sokongan ahli Parlimen terhadapnya. Kita tidak tahu sama ada kerajaan yang ada sekarang halal, haram, harus, sunat atau makruh," katanya lagi.

Baginya, apa yang berlaku pada masa ini adalah "mainan politik kluster mahkamah" dalam Umno yang juga menyelamatkan diri, selepas Muhyiddin dilihat enggan campur tangan dalam perbicaraan mahkamah yang melibatkan mereka.

"Ini memaksa kluster mahkamah berjinak-jinak dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dengan harapan dia lebih sedia bertolak ansur jika berjaya menjadi perdana menteri, walaupun Perhimpunan Agung Umno Mac lalu memutuskan 'no Bersatu, no Anwar, no DAP'," katanya lagi.

Walaupun Zahid sekali lagi menyebut keputusan menolak Anwar dan DAP pada sidang media awal pagi semalam, sebelum ini memang timbul spekulasi berhubung usaha membentuk kerjasama dengan pembangkang, khususnya PKR.

"Kluster Mahkamah" biasanya diguna untuk merujuk kepada pemimpin Umno yang berdepan perbicaraan kes mahkamah selepas kejatuhan BN dalam pilihan raya umum lalu.

"Mana-mana orang siuman yang mengikuti perkembangan politik semasa tidak akan faham sebab politik yang sedang dimainkan sekarang bukanlah politik orang siuman.

"Ia adalah politik orang yang menjadi tidak siuman kerana gila pangkat, takut masuk penjara dan tidak mahu disiasat apabila hilang kuasa," kata Kadir lagi.

Umno kini parti bebas, kata Kadir Jasin

MALAYSIA DATELINE

Umno didakwa menjadi sebuah parti bebas sekarang apabila Ahli Parlimennya boleh guna budi bicara sendiri undi sebarang usul dalam sidang Parlimen akan datang.

Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan Ahli Parlimen boleh menggunakan budi bicara sendiri untuk mengundi sebarang usul dalam sidang Parlimen akan datang.

Beliau berkata, bagaimanapun keputusan dibuat oleh parti mesti menjadi panduan bagi Ahli Parlimen Umno melaksanakan tanggungjawab mereka.

YB, Isteri, dan anak-anak

Mohsin Abdullah

Saya pernah menulis akan kritikan seorang pemimpin Umno terhadap YB atau wakil rakyat partinya serta isteri masing-masing kerana gelagat mereka yang menimbulkan kemarahan “orang kampung”.

Oleh kerana dewasa ini ramai rakyat biasa (tak kira lah orang kampung atau bandar) sedang marah wakil-wakil mereka atau Yang Berhormat, yang lazim dipanggil YB, saya memetik kembali apa yang diluahkan pemimpin Umno itu.

Pemimpin Umno yang saya maksudkan ialah Allahyarham Megat Junid Megat Ayub, bekas menteri dalam pentadbiran BN pimpinan Dr Mahathir Mohamad. Allahyarham jadi YB di kawasan Pasir Salak, Perak selama 17 tahun.

Kritikan Allahyarham terkandung dalam buku yang diterbitkan pada 2000 berjudul Getek.

Bab 3 ialah mengenai Wakil Rakyat. Di mukasurat 42, Allahyarham menceritakan cara sederhana dan rendah dirinya ketika balik ke kawasan meninjau kehidupan rakyat yang diwakilinya.

“Bukan macam wakil rakyat sekarang,” kata Megat. “Tiada jawatan pun (dalam kerajaan) pakai Mercedes, duduk di belakang, pakai ‘bush jacket’. Sampai (ke sesuatu majlis) terus ke ‘main table’ (meja utama).

“Isteri pun ikut sama. Bukan main, ‘makeup’ pun dah lain. Fesyen rambut pun dah lain. Bersalam pun dah lain. Sentuh hujung tangan sahaja. Baju mahal. Pakai barang kemas mahal-mahal. Buat apa nak tunjuk orang kampung. Buat apa nak lawan (bergaya) orang kampung .

Duduk mesti ‘main table’. Duduk mesti tepi suami (si wakil rakyat).Kalau tidak orang tak kenal. Lepas minum buka beg. Ambil cermin kecil. Ambil tisu, betul-betulkan ‘makeup’. Ambil ‘lipstick’ betulkan ‘lipstick’ di bibir.”

Kata Allahyarham lagi “orang kampung tak suka. Orang kampung meluat. Orang Perak kata ‘getek betul aku tengok’.”

Allahyarham menjelaskan “getek” bahasa orang Perak jati yang membawa erti meluat, muak, menyampah, dan benci yang amat sangat.

Menurut Allahyarham sikap, tingkah laku, perangai, pembawakan, perwatakan, dan telatah seorang wakil rakyat menjadi tumpuan semua pihak.

“Mereka tahu latar belakang kita. Macam mana bila sahaja jadi wakil rakyat sudah ada kereta besar, rumah besar, banyak barang kemas dan anak-anak hidup mewah.”

Beberapa tahun lalu, saya ada menulis mengenai menteri, timbalan menteri, juga Ahli Parlimen dan keluarga yang gemar memapar kemewahan di platform media sosial terutama Instagram dan Facebook.

Contohnya menayangkan beberapa kereta mewah dan jam tangan mahal yang dikatakan milik anak seorang menteri (ketika itu). “Posting” dimuatnaik oleh anaknya sendiri dengan megah.

Ada juga ucapan terima kasih anak remaja seorang lagi menteri (kini masih menteri ) kepada si ayah kerana menghadiahkannya beberapa pasang kasut berjenama yang dikatakan berharga ribuan ringgit setiap pasang.

Saya menulis semua itu bukan menuduh apa-apa ke atas sesiapa. Cuma ilham tercetus apabila Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM ketika itu, Azam Baki, memberitahu, catatan Facebook percutian mereka di luar negara dan barangan mewah milik mereka berkemungkinan mengundang perhatian SPRM.

Kata Azam ketika itu, walaupun bukan kesalahan kakitangan awam dan keluarga memiliki beg tangan dan jam tangan mewah “namun memiliki beberapa beg jenama Hermes, Chanel, atau Louis Vuitton boleh menimbulkan syak akan sumber kemewahan mereka”.

“Jika kakitangan kerajaan dan keluarga beli banyak barangan mewah dan memaparkannya, kami mahu tahu di mana mereka dapat wang untuk membeli semua itu,” Azam dipetik media sebagai berkata.

Lalu saya menulis, jika itu menarik perhatian SPRM tentunya perhatian yang sama akan atau boleh diberi kepada menteri, timbalan menteri, YB yang menayangkan kemewahan di media sosial. Takkan perhatian diberi kepada kakitangan awam sahaja. Betul tak?

Sekarang, rasanya masih ada amalan menunjuk kemewahan di media sosial oleh menteri dan YB terutama si isteri. Walaupun mungkin tidak serancak dahulu akibat pandemik yang menjejaskan sedikit sebanyak cara hidup mereka.

Tetapi masih ada gambar di Instagram dan Facebook YB tertentu berjam tangan mahal, merentas negeri dan negara ada kalanya. Gambar diambil sendiri dan juga oleh rakyat biasa. Maklumlah zaman ini ramai yang ada kamera telefon.

Ada juga YB dan isteri dan anak bersantai di Eropah yang gambar mereka dimuatnaik oleh si isteri dengan komen yang mengguriskan perasaan rakyat yang sedang dihimpit kesusahan pada waktu ini.

Mereka “getek”, meminjam istilah orang Perak. Apa lagi ramai yang sedang sangat marah ke atas apa yang dilihat sebagai kegagalan kerajaan membantu mengatasi kesan kesihatan dan ekonomi yang teruk akibat Covid-19.

Jelas nasihat Megat Junid 21 tahun lalu diabaikan.

Bagi saya, sekadar bertanya – adakah SPRM masih berpegang dengan pendirian bahawa kemewahan berlebihan yang dipaparkan di media sosial boleh menarik perhatian badan anti-rasuah itu?

Tidak kira sama ada mereka yang menonjolkan kemewahan itu secara sengaja atau tidak adalah kakitangan awam dan keluarga mahupun ahli politik dan anak-beranak mereka.

Kerana, dalam keadaan rakyat dan negara dalam krisis, contoh-contoh yang membuat kita “getek” terhadap sesetengah VVIP masih wujud, secara nyata.

Jadi alat, tak disukai tok arab tertentu walau bertitle Duta Khas PM Tebuk Atap?

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Kepada para pentaksub presiden parti ehem @ Duta Khas PM Tebuk Atap, tak mahu demo atau desak saman ke atas wartawan veteran ini ke?

Apapun, lazimnya wartawan veteran macam Dato Kadir Jasin ni bila depa tulis sesuatu, depa berani tulis tu sebab depa biasanya ada info yang banyak dan padu.

Tak pastilah sama ada Dato Kadir sengaja nak umpan mata kail agar pentaksub desak supaya pihak yang jadi bahan bicara itu pi saman beliau?

Dan andaikata disaman, mungkinkah lebih banyak lagi info yang akan mencurah-curah keluar seperti arus air yang deras sebab empangan pecah?

والله أعلم

Doa bapa Mahiaddin yang dilupakan

DR MUHAIMIN SULAM

Pada saat Mahiaddin bin Mohd. Yassin tegar bertahan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan di sebalik pergolakan politik terburuk dalam sejarah demokrasi tanah air, maka artikel ini saya tulis pada hari ini. Dari selepas Zohor menaip dan saya siapkan menjelang Maghrib.

Mudah-mudahan doa yang pernah dititipkan oleh Allahyarham bapa Perdana Menteri Malaysia ini dan dibaca oleh sidang pembaca sekalian akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Amin.

Saya kira, Mahiaddin tidak punya masa untuk membaca artikel ini. Apatah lagi para juak dan penyokongnya pun tidak berkesempatan menelaah artikel ini.

Saya memang bukan penyokongnya. Inilah masa sebaiknya untuk Mahiaddin memunajatkan kepada Tuhan. Kita tidak tahu, barangkali sudah berpuluh solat hajat yang dilakukan. Kita tidak tahu.

Suasana yang ada pada kebelakangan ini, setiap detik sangat bermakna. Bukan lagi dihitung hari. Tetapi dibilang saat demi saatnya.

Haji Mohd. Yassin di hadapan rumahnya di Muar.

Politik tanah air bagai gunung berapi yang laharnya terpercik-percik keluar dari muncung serombongnya. Menanti waktu untuk meletupkan lahar dan mengalir ke bumi dan meranapkan segala kehidupan.

Di kala angka mangsa positif Covid-19 mencecah 8,868 orang hari ini dan menghampiri garis kemerahan paling merah, adalah munasabah kita perbanyakkan berdoa atau membaca doa daripada tulisan ini.

Dengan angka 135 kematian dicatat hari ini adalah suatu yang sangat membimbangkan. Kita yang bukan ahli atau pemain politik utama yang sedang berkira untuk berkira jabatan atau jawatan yang hendak diisi.

Segala banyak cara sudah dilakukan oleh kerajaan dan rakyat. Tukar kerajaan, sudah. Perintah Kawalan Pergerakan, sudah. Keluarkan wang dari KWSP, sudah. Monotorium, sudah.

Darurat, sudah. Buka Parlimen, insyaAllah sudah ada bunga-bunga pintu mula dibuka. Namun, amukan Covid-19 terus mengganas tidak sudah-sudah!

Kita juga tidak sekadar pasrah kepada ahli politik melakukan sewenang-wenangnya tetapi berusaha setakat mana yahg kita mampu. Saya menulis selagi ada idea dan kudrat. Itulah tugas nasional saya setakat ini. Mudah ada hati yang terdetik membaca karangan ini.

Bapa kepada Perdana Menteri Malaysia, Mahiaddin bin Mohd. Yassin adalah seorang ulama terkenal di Johor pada tahun-tahun 50-an hingga 70-an. Beliau yang dilahirkan pada 1899 di Tanjung Bidara, Melaka dan meninggal dunia pada 1975 di Muar.

Haji Mohd. Yassin dianugerahkan Pingat Ibrahim Sultan pada 1955 dan antara ulama yang berperanan penting dalam mempertahankan doktrin Islam kaum Tua di Johor.

Ketika beliau berusia 21 tahun, beliau sudah diberikan kepercayaan mengajar agama di masjid-masjid sekitar Muar dan Batu Pahat.

Antara kitab yang dibaca semasa dalam pengajiannya adalah Aqidatun Najin, ad Dar Tsamin, Al Hikam, Minhajul Abdin, Maniat Musolli, Miftahul Abidin, Matan Jurumiah, Ihya Ulumuddin dan sebagainya.

Daripada empat perkahwinannya, beliau mempunyai anak seramai 47 anak, 28 lelaki dan 19 perempuan. Bapa Mahiaddin lebih mesra dengan panggilan ‘Cikgu Yassin’ di kalangan masyarakat setempat dan pada sekitar tahun-tahun 60-an, beliau menghimpunkan doa-doa dalam sebuah buku bertajuk ‘Doa dan Amalan Haji Mohd. Yassin bin Muhammad’.

Sebahagian himpunan doa-doa itu dicetak dan dijual bagi memungut derma untuk membiayai Sekolah Agama (Arab) Saadiah. Ada juga doa-doa yang Haji Mohd. Yassin yang diberikan kepada anak-anaknya.

Antara doa pertama yang ditulis oleh Haji Mohd. Yassin ialah tentang kesihatan dan menjauhi mala petaka.

“Dengan nama Allah Yang Maha menyembuhkan dengan nama Allah Yang Maha mencukupkan, dengan nama Allah Yang Maha menyempurnakan, dengan nama Allah Yang Maha menjadikan langit dan bumi, dengan nama Allah yang berkat menyebut nama-Nya tidak akan memberi sebarang mudarat sama ada di bumi mahupun di langit dan dengan nama Allah Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

“Dengan nama Allah yang nyawaku, dengan nama Allah pada tubuhku, dengan nama Allah pada darahku, dengan nama Allah pada dagingku, dengan nama Allah pada tulang rusukku, dengan nama Allah pada kulitku, dengan nama Allah yang tulangku.”

Setelah dibaca doa itu sebanyak tiga kali, barulah diikuti dengan doa berikut:

“Ya Allah sembuhkan sekalian penyakit kami dan sihatkan tubuh badan kami dan jauhkanlah daripada segala bala dan juga tangkal racun. Dan badan kami tahan lasak seolah-oleh tubuh badan kami penuh dengan nama Allah SWT.”

Angkatlah wabak ini. Selain mengamalkan doa penjagaan kesihatan, Haji Mohd. Yassin juga mempunyai doa membersihkan jiwa daripada segala kekotoran jiwa.

Inilah doa sebagai usaha tazkiyah al nafs dan dilakukan oleh beliau bersendirian di Surau as Saadiah, Muar. Memang Haji Mohd. Yassin suka tinggal bersunyian dengan mengamalkan zikrullah dan tekun beribadah.

Doanya bermaksud:

“Ya Allah, berikanlah kepada diriku ketaqwaan dan penyucian jiwa kerana Engkau adalah sebaik-baik yang menyucikan. Engkau Penolongnya dan Pelindungnya; ampunkan dan rahmatilahnya kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Penyayang.”

Doa yang lazim dilakukan oleh Haji Mohd. Yassin antara waktu subuh denga fajar ialah bacaan yang bermaksud:

“Wahai (Allah) Yang Maha Hidup, wahai yang sentiasa berdiri dengan sendirinya. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau (Allah).”

Bapa Perdana Menteri juga menitipkan doa bagi menjauhi seteru dan perbuatan sihir. Menurut Haji Mohd. Yassin, doa ini perlu ditambah dengan zikir Asmaul Husna ‘Ya Latif’ sebanyak 129 kali pada waktu pagi dan petang. Doa itu ditulis dalam bahasa Arab yang bermaksud:

“Dengan nama Allah, apa-apa juga yang dikehendaki oleh Allah, tidak beroleh kebaikan kecuali daripada Allah. Dengan nama Allah, apa-apa juga yang dikehendaki oleh Allah, tidak tertolak kejahatan kecuali dengan izin Allah, tidak mendapat sebarang nikmat kecuali daripada Allah, Dengan nama Allah, apa-apa juga yang dikehendaki oleh Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah.”

Di samping itu juga, Haji Yassin meninggalkan doa kepada anak-anaknya untuk menjauhi dengan segala penyakit. Mungkin juga Covid-19 termasuk. Doa itu dipetik daripada ayat al Quran dari surah al Isra:82 yang bermaksud:

“Dan Kami turunkan daripada al Quran itu apa-apa yang menjadi penyembah dan rahmat kepada orang -orang beriman dan ia tidak menambahkan kepada orang-orang zalim itu kecuali kerugian.”

Untuk akhirnya, Haji Yasin meninggalkan doa agar sentiasa dikasihi oleh mukmin. Doa ini bermaksud:

“Ya Allah! Jadikanlah aku seorang yang dikasihi di hati orang-orang mukmin. Berikan aku penglihatan yang tajam dan mendapat kekayaan sehingga 120 tahun. Maka Allah itu sebaik-baik penjaga/pemelihara dan Dia lebih mengasihi daripada segala yang menghasihani.”

Itulah sebahagian daripada ratusan doa yang diamal dan ditinggalkan kepada Haji Yasin untuk anak-anaknya dan juga orang lain. Semoga Mahiadin tidak lupa.

Rujukan:

Abd. Latif Juffri @ Al Jufri dan Amad Bahri Mardi, Tuan Guru Haji Mohd. Yassin. Tokoh Ilmuwan Islam Cemerlang, ITBM, 2012, Kuala Lumpur.

Haji Mohd. Yassin bersama anak-anaknya termasuk Mahiaddin di kanan sekali.

Kenyataan tanpa nama dakwa Ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin tersebar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Satu kenyataan tanpa nama mendakwa Ahli Parlimen Barisan Nasional menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri tersebar di media sosial.

Kenyataan itu berkata pendirian itu berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno, yang menurutnya memberi Ahli Parlimen kebebasan untuk menyokong Muhyiddin atau sebaliknya, dan jika berlaku pengundian dalam sesi Parlimen nanti.

“Dalam keadaan negara sedang berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi, kelangsungan hidup rakyat jauh lebih penting daripada percaturan parti-parti politik,” kata kenyataan itu.

Seorang pembantu kepada Ismail Sabri Yaakob, timbalan perdana menteri yang baharu dilantik, mengesahkan kenyataan berkenaan “sahih”.

Ketika berita ditulis, hanya seorang Ahli Parlimen Umno, iaitu Najib Razak, respons kepada kenyataan itu.

Petang tadi, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, memaklumkan Ahli Parlimen boleh menggunakan budi bicara sendiri untuk mengundi sebarang usul dalam sidang Parlimen akan datang.

Beliau menambah keputusan dibuat oleh parti mesti menjadi panduan bagi Ahli Parlimen Umno melaksanakan tanggungjawab mereka.

Semalam, Umno menyenaraikan tujuh sebab ia menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, semua berkaitan “kegagalan” kerajaan.

Antara tujuh sebab itu adalah gagal menangani Covid-19 secara berkesan, tidak dapat mengurus bantuan kepada rakyat dengan baik, dan memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang terpaksa berulang kali mengeluarkan kenyataan media supaya Parlimen dibenarkan bersidang.

Apa pendapat anda mengenai mereka yang mahu diangkat sebagai pemimpin?

AZIZI AHMAD

Kemelut politik negara bergoncang lagi. Mungkin kenyataan sebegini ‘sial politik apa yang melanda negara ini?’ tidak sesuai dibaca atau dipaparkan tetapi kenyataan beberapa pemimpin generasi ‘atok’ yang berbunyi antaranya ‘sedia jadi PM interim jika dilantik’ juga pada pandangan saya tidak harus dicanangkan.

Biarlah generasi atau mereka yang ‘bersih, cekap dan amanah’; tulus, jujur dan ikhlas atau mungkin ‘ahli syurga’ sahaja lah yang menerajui negara sungguhpun memang sukar atau tidak ada dalam kalangan pemimpin negeri sekarang. 

Setiap organisasi mahupun pertubuhan memerlukan pemimpin dan kepemimpinan tidak terhad kepada majlis tertinggi eksekutif dan pengurusan.

Pemimpin adalah mereka yang mengusahakan sesuatu projek yang sudah menyimpang dari radar. Pemimpin adalah mereka yang sentiasa memberi dan meluangkan masa tambahan untuk mendengar masalah bersama dan mengembangkan penyelesaian yang sesuai.

Pemimpin adalah mereka yang mendorong badan institusi mereka terus bergerak maju.

Sekiranya mereka yang mengangkat diri sendiri dan mahu dipilih sebagai pemimpin, mungkin mereka bukanlah pemimpin yang sangat baik.

Mungkin boleh diterima jika dia mengenal pasti diri sebagai ketua eksekutif, pengurus atau pengarah tetapi gelaran jawatan itu tidak secara automatik menjadikan anda pemimpin.

Tindakan betul dan bijak seseorang itulah yang menjadikan mereka pemimpin. Mereka yang benar-benar hebat sebagai pemimpin jarang menggunakan perkataan itu atau ‘mengangkat diri’ mengaku bagi mengenalpasti diri mereka sendiri kerana beberapa sebab:

1) Pemimpin yang baik terlalu sibuk dari menumpukan perhatian pada gelaran yang diberikan 

Ramai yang cenderung berfikir bahawa pemimpin selalu memimpin dari atas. Namun, kebanyakan mereka yang berada di atas sampai ke sana dengan memimpin dari dalam.

Etika kerja dan prestasi mereka yang luar biasa inilah yang membuat mereka berada di posisi “kepemimpinan” yang mereka ada sekarang kecuali mereka yang mengamalkan ‘tumbuk rusuk’ atau yang tiada integrity

Matlamat terburuk yang dapat anda tetapkan dalam kerjaya adalah menjadi pemimpin. Ia tidak hanya terlalu kabur, ia juga tidak mencetuskan tindakan segera.

Mereka (yang beretika) di jawatan pengurusan sampai di puncak akan melakukan dan melaksanakan apa yang patut dan harus buat.

Dan jika anda sibuk untuk memindahkan pasukan anda dari satu titik ke titik yang lain, anda tidak akan mempunyai masa untuk risau sekiranya orang memanggil anda sebagai pemimpin.

2) Pemimpin yang baik harus ingin menjadi sebahagian daripada pasukan, tidak terpisah daripadanya

Pemimpin yang baik harus selaras dengan apa yang sedang berlaku di semua peringkat organisasi. Mereka tidak duduk di sudut pejabat mereka dengan ‘gelaran atau kedudukan’ mereka yang mengagumkan.

Mereka harus sangat berminat dengan misi pertubuhan mereka sehingga mereka memastikan hubungan dengan orang-orang yang secara langsung mempengaruhi keadaan atau perkhidmatan yang mereka tawarkan, serta orang-orang yang paling banyak berhubungan dengan pelanggan.

3) Kepemimpinan adalah satu anugerah yang diberikan, bukan ‘menagih’

Pemimpin jarang menyebut diri mereka sebagai pemimpin kerana mereka tidak memutuskan untuk menjadi pemimpin. Sekumpulan orang biasanya memberi mereka penghormatan kerana cara mereka menjalankan tugas mereka sendiri.

Sekiranya anda ingin memimpin orang lain, anda harus mempengaruhi mereka. Sekiranya anda ingin mempengaruhi mereka, kemungkinan anda tidak bertekad untuk menjadi pemimpin.

Anda hanya mahu mempengaruhi orang lain untuk mencapai matlamat. Pengikut atau penyokong akan tentunya suka mengikuti seseorang yang mereka tahu bekerja keras untuk tujuan yang tulen, bukan hanya untuk dipanggil pemimpin.

'Muhyiddin hilang majoriti, tapi AG bertindak seperti ahli politik'

Malaysiakini 

Pakatan Harapan (PH) membidas pandangan Peguam Negara, Idrus Harun yang mengatakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin masih boleh menjalankan tugas sebagai perdana menteri walaupun Umno telah menarik balik sokongannya terhadapnya.

Majlis Presiden PH berpendapat, Muhyiddin telah kehilangan majoriti susulan pengumuman Umno untuk menarik sokongan terhadap perdana menteri itu semalam.

"Kami mengingatkan peguam negara bahawa Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sendiri telah dilantik sebagai perdana menteri berdasarkan warkah ketua-ketua parti politik yang menyokong beliau, termasuk Presiden Umno, yang telah dipersembah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 29 Februari 2020.

"Maka apabila ketua parti terbesar itu mengumum menarik sokongan seperti yang berlaku sekarang, maka perdana menteri telah hilang sokongan asas parti tersebut dan seterusnya hilang sokongan majoriti ahli parlimen.

"Jelas sekali peguam negara bertindak lebih sebagai ahli politik PN daripada mempertahankan keluhuran undang-undang," kata mereka dalam kenyataan media.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang juga ketua pembangkang, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam mengumumkan bahawa parti itu menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri pada Mac tahun lalu setelah kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Dalam kenyataan yang dibuat selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam, Ahmad Zahid juga mengatakan parti itu tidak menyokong kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH.

Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH berkata, Muhyiddin perlu meletak jawatan secara terhormat kerana telah hilang sokongan dan keabsahan sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun ia tidak menyebut siapa yang sepatutnya menggantikan Muhyiddin bagi jawatan itu.

Sebaliknya gabungan itu berkata ia akan memberi fokus kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat dan menangani Covid-19.

"Pakatan Harapan akan terus memberi fokus kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, pengurusan krisis COVID-19 dan program vaksinasi yang lebih pantas, serta langkah-langkah menghidupkan semula ekonomi negara yang lebih baik melalui dasar-dasar yang diteliti dan diumum oleh jawatankuasa-jawatankuasa Pakatan Harapan," kata mereka.

Majlis Presiden turut berpendirian bahawa waktu ini bukanlah masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum, pilihan raya negeri atau pilihan raya kecil memandangkan jumlah kes ovis-19 yang masih tinggi dan prasarana kesihatan awam yang semakin tertekan.

Muhyiddin perlu letak jawatan, desak PH

FMT Reporters

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, perlu meletak jawatan selepas kehilangan sokongan Umno susulan penamatan sokongan serta merta parti berkenaan, malam tadi.

Majlis Presiden Pakatan Harapan, dalam kenyataannya berkata Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri berdasarkan warkah ketua-ketua parti politik yang menyokong beliau, termasuk Presiden UMNO.

Peguam Negara: PM, jemaah menteri kekal berfungsi seperti biasa

Astro Awani

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan jemaah menteri sedia ada masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa Muhyiddin tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

"Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik," memetik kenyataan yang dikeluarkan beliau, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan media yang dikeluarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi lewat malam tadi.

Kedudukan Mahiaddin tergantung selagi tiada jumlah rasmi MP tarik diri

SURI LAILA

Secara teknikal, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah jatuh kerana asas sesebuah kerajaan bergantung kepada keabsahan Perdana Menteri yang perlu mempunyai keyakinan majoriti seperti mana kehendak Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun menurut Peguam yang juga Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional Faiz Fadzil, mengikut perundangan, majoriti yang dimiliki oleh Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin masih tergantung selagi mana tiada pengumuman rasmi jumlah Ahli Parlimen Umno yang menarik diri daripada Kerajaan PN.

Ini kerana katanya, Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyebut tentang sokongan Ahli Parlimen dan bukannya parti politik yang diwakili mereka.

“Secara politik pula, Tan Sri Mahiaddin telah diberikan isyarat jelas bahawa parti gabungan kerajaan PN telah menarik sokongan terhadap beliau. Maka secara politik dan moralnya, beliau perlu meletakkan jawatan sebagai PM.

“Kaedah kehilangan atau keabsahan majoriti seseorang Ahli Parlimen perlu diputuskan di dalam Parlimen sepertimana precedent kes Stephen Kalong Ningkan. Namun, precedent kes Datuk Seri Nizar, majoriti boleh ditentukan di luar Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz berkata, memandangkan titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen bersidang segera, maka penting untuk Parlimen dibuka secepat mungkin dan usul undi percaya terhadap Mahiaddin dijadikan urusan pertama.

Usul ini katanya, boleh dibawa Ahli Parlimen Pas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang pernah mengemukakannya terhadap Tun Mahathir ketika PH memerintah dahulu.

Tegasnya, jika Perdana Menteri Israel dan Sweden berani untuk diuji keabsahan di Parlimen, Mahiaddin juga perlu perlu berani mengambil langkah sama supaya keluhuran undang-undang dan perlembagaan dijunjung dan institusi demokrasi dipelihara.

“Sebaiknya, Mahiaddin hendaklah secara terhormat meletakkan jawatan sebagai PM supaya seorang Ahli Parlimen yang mempunyai keyakinan majoriti dilantik sebagai PM.

“Negara perlu dipulihkan dan bukan masanya lagi berpolitik untuk kepentingan parti atau peribadi. PH sebagai blok terbesar seharusnya diberikan peluang oleh Ahli-ahli Parlimen lain untuk mengambil alih pentadbiran negara demi kemaslahatan rakyat yang kini sengsara akibat kegagalan kerajaan PN,” ujarnya.

Bekas ratu cantik disyaki mabuk rempuh SJR, tumbuk polis

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang bekas ratu cantik ditahan kerana menumbuk anggota polis selepas merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan awal pagi tadi.

Wanita berusia 28 tahun yang dipercayai mabuk itu, ditahan ketika dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala Petaling Jaya bersama rakannya kira-kira 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, setibanya di SJR Lebuhraya Persekutuan, wanita terbabit tidak memberhentikan kenderaan, sebaliknya terus merempuh sekatan.

Katanya, anggota kereta peronda polis segera mengejar dan menahan kenderaan suspek, tetapi wanita itu menumbuk anggota polis yang cuba menahannya.

“Turut cedera adalah rakannya akibat dipukul suspek yang dipercayai mabuk. Wanita berkenaan berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya dipetik Harian Metro.

Beliau berkata, suspek itu direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis, Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Desakan Muhyiddin letak jawatan: Apa kesudahannya?

Nasser Anfani

PETALING JAYA: Pagi ini, beberapa menteri dan Peguam Negara, Idrus Harun, dilaporkan bermesyuarat dengan Muhyiddin Yassin di kediaman Perdana Menteri itu.

Hasil perbincangan tidak diketahui lagi tetapi tentunya “selamat” untuk diramalkan bahawa ia berkaitan pengumuman Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno tidak lagi menyokong Muhyiddin dan mahu beliau meletak jawatan dengan segera.

Di Malaysia, desakan supaya perdana menteri meletak jawatan lazim dibuat pembangkang dan tidak diendahkan. Tuntutan sedemikian jarang dibuat oleh parti komponen terbesar dalam kerajaan, namun itulah yang berlaku awal pagi ini.

Ramai yang menjangka MKT Umno malam tadi akan membuat keputusan sama ada untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya.

Sebaliknya, selepas lebih empat jam bermesyuarat, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memilih untuk “hanya” menuntut Muhyiddin meletak jawatan serta-merta bagi membolehkan perdana menteri baharu dilantik.

Zahid tidak menyatakan secara jelas kedudukan Umno dalam kerajaan PN, mahu pun tindakan susulan parti sekiranya Muhyiddin tidak meletak jawatan. Mungkin itu untuk fasa seterusnya.

Jika diteliti kenyataan Zahid Hamidi itu, ia boleh ditafsirkan Umno belum lagi mengangkat kaki keluar daripada kerajaan PN. Cuma parti itu, sebagaimana yang digambarkan Zahid, sudah hilang sama sekali kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin, justeru, mahu beliau meletak jawatan serta-merta.

Desakan untuk Muhyiddin meletak jawatan beralaskan tujuh ‘kegagalan’ kerajaan pimpinan beliau, termasuk sikap ‘biadab’ terhadap Raja-raja Melayu dan pengurusan wabak Covid-19 yang lembap.

Ia tekanan terbuka yang paling serius oleh Zahid terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

Dalam politik, segalanya adalah mungkin, namun sebagai ahli politik veteran, Muhyiddin tentunya tidak mahu dilihat sebagai tunduk kepada desakan Zahid untuk berundur selepas hanya menerajui negara kurang dua tahun.

Persoalannya apakah langkah Zahid jika Muhyiddin tidak akur kepada desakan itu? Apakah hanya selepas disahkan Muhyiddin tidak akan meletak jawatan baharu Zahid akan bertindak secara nyata mengeluarkan Umno daripada kerajaan PN?

Sehingga ini, masih belum jelas tahap sokongan 38 Ahli Parlimen terhadap usaha Zahid menamatkan kerjasama Umno dengan Muhyiddin, PN, dan Bersatu. Sudah tentu tahap sokongan itu diambil kira oleh Zahid sebelum menuntut Muhyiddin berundur.

Namun, sebarang keputusan untuk mengeluarkan Umno daripada PN, tidak semudah difikirkan, jika diambil kira jumlah besar pemimpin Umno yang meraih pelbagai jawatan dan ganjaran dalam kerajaan Muhyiddin.

Namun, pada masa sama, Zahid hanya memerlukan beberapa kerat Ahli Parlimen Umno untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin bagi ‘melandaikan’ terus sokongan rapuh untuk beliau di Dewan Rakyat, dengan bantuan pembangkang, khususnya, Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin dilaporkan mempunyai sokongan kira-kira 114 Ahli Parlimen berbanding 108 di sebelah pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH).

Tidak semua yang diluahkan Zahid semalam berita suram untuk PN. Hakikat bahawa Zahid sendiri mengesahkan sekali lagi bahawa Umno menolak Anwar Ibrahim dan PH, membayangkan parti itu belum bersedia menjadi sekutu pembangkang untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Bermakna, buat masa ini, Umno masih bersedia terus duduk dalam PN, tetapi mahu kaptennya (Muhyiddin) digantikan. Apakah demi menyelamatkan PN, Muhyiddin sanggup menunaikan tuntutan Zahid itu?

Atau Muhyiddin yakin beliau mempunyai sokongan untuk mengekalkan majoriti rapuh di Parlimen dan tak perlu ambil kisah dengan tuntutan Zahid itu?

Apakah peranan PAS berhubung tuntutan Zahid? PAS sebelum ini mengisytiharkan kesudian menjadi orang tengah dalam mendamaikan Bersatu-Umno demi memastikan kelangsungan kerajaan PN, khususnya dalam menghadapi PRU15.

Muhyiddin tentunya memerlukan keyakinan bahawa PAS dengan 18 Ahli Parlimennya akan terus menyokong beliau jika sokongan untuk kerajaan “diuji” menerusi sebarang usul di Parlimen.

Apakah dalam komitmen untuk memastikan PN terus berkuasa, maka PAS tidak sekadar menjadi “pemerhati” tetapi memainkan peranan lebih rancak dalam perbalahan Zahid-Muhyiddin?

Tentunya PAS akan berpandukan kepada perkiraan sendiri mengenai kelangsungan PN, sekiranya kalangan Ahli Parlimen parti itu menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

Sekalipun Muhyiddin meletak jawatan, apakah formula yang bakal digunakan untuk melantik perdana menteri baharu? Apakah Umno boleh mengidamkan jawatan tertinggi itu susulan pelantikan Ismail Sabri sebagai timbalan perdana menteri?

Namun, jika MKT merestui perlantikan Ismail sebagai TPM, bermakna ia melanggar keputusannya sendiri untuk tidak lagi menuntut atau menerima jawatan itu jika ditawarkan Muhyiddin.

Ada yang melihat sidang media Zahid selepas 1 pagi tadi menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan tetapi ia mungkin hanya strategi dalam percaturan politik yang berlaku sekarang.

Kedudukan Umno (termasuk menteri-menterinya) dalam PN masih belum jelas dari sudut pendirian MKT. Ia tidak disentuh oleh Zahid pagi tadi.

Pendirian MKT terhadap pelantikan Ismail sebagai TPM dan Hishamuddin Hussein sebagai menteri kanan oleh Muhyiddin juga tidak dikupas oleh presiden parti.

Apa pun, pemerhati politik dan banyak pihak berkepentingan dalam dan luar Umno serta PN menantikan reaksi Muhyiddin terhadap tuntutan Zahid yang mahukan beliau meletak jawatan serta-merta.

Yang pasti “drama” politik melibatkan Zahid-Muhyiddin yang berkait rapat dengan nasib atau “survival” PN dan Umno akan terus bergelodak untuk beberapa ketika lagi.

MCA, MIC kekal bersama k'jaan PN

Malaysiakini 

Rakan-rakan Umno dalam komponen BN tidak akan menyokong keputusan Majlis Tertinggi Umno semalam yang mengumumkan akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, mereka merancang untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin sehingga pilihan raya umum berikutnya.

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata penarikan sokongan Umno tidak mengubah pendirian partinya.

"Kecuali BN membuat keputusan baru dan rasmi, MCA akan terus menyokong PN sehingga pilihan raya berikutnya, sesuai dengan keputusan BN sebelum ini," katanya, petik Free Malaysia Today.

Laporan FMT itu juga memetik Presiden MIC S Vigneswaran yang tidak berapa mengambil endah gesaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi supaya Muhyiddin mengundurkan diri.

“Umno sebuah parti yang matang, mereka pun tahu… dulu ketika memerintah banyak kali desakan oleh pembangkang supaya perdana menteri mereka berundur, mereka tak buat pun sebab mereka tahu itu hanya desakan," katanya.

Vigneswaran juga berkata Zahid seharusnya meminta semua menteri parti itu meletakkan jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu, berbanding mendesak Muhyiddin berundur.

Semalam, Zahid berjaya mendapatkan mandat Majlis Tertinggi Umno, yang majoriti dikuasainya, untuk menyokong keputusan untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Pun begitu, Zahid tidak mempunyai kawalan majoriti terhadap 38 ahli parlimen Umno, yang kebanyakannya berpihak kepada Naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dan bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein.

Semalam, Muhyiddin melantik Ismail sebagai timbalan perdana menteri dan Hishammuddin sebagai menteri kanan untuk menenangkan Umno daripada keluar kerajaan PN.

Ismail dan Hishammuddin telah mengumpulkan ahli parlimen Umno untuk menghalang cubaan terdahulu Zahid untuk keluar PN.

Namun, dengan majoriti empat kerusi Muhyiddin, Zahid masih dapat menjatuhkan kerajaan PN jika hanya segelintir sahaja daripada 38 ahli parlimen Umno bersamanya.

Berikutan pengumuman Zahid, sebahagian besar ahli parlimen belum membuat pengumuman sekiranya mereka akan mematuhi keputusan parti itu atau kekal dengan kerajaan PN.

Alhamdulillah kerajaan zalim akan tumbang, kata penyokong Pas

SURI LAILA

Seorang penyokong Pas, Mohd Asri Hamid menyatakan kesyukuran dan kegembiraannya selepas Umno memutuskan untuk menarik sokongan dari Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin semalam.

Dia yang juga dikenali sebagai Asri Janggut itu berkata, kerajaan yang ketika ini sangat zalim kerana tiada timbang rasa terhadap masyarakat dan membiarkan masyarakat terus sengsara.

“Alhamdulillah kerajaan zalim akan tumbang. In shaa Allah. Kerajaan yang tutup pintu-pintu masjid akan tumbang. Kerajaan yang buat manusia porak peranda, kemiskinan berleluasa, kerajaan itu akan tumbang.

“Saya bukan orang Umno, saya orang Pas. Tapi dengan tumbangnya kerajaan ini, saya gembira sangat sebab kerajaan yang ada sangat zalim bagi saya.

“Alhamdulillah. Saya gembira sangat. Kerajaan yang ada ini betul-betul tak berguna langsung untuk agama Islam. Masjid ditutup anak-anak kita setahun tak pergi masjid. Ada pula masjid dijadikan tempat vaksinasi. Sembahyang tak boleh, solat jumaat tak boleh. Ambil vaksin boleh,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebooknya malam tadi.

Asri juga menempelak pimpinan parti Pas sebagai tidak berguna setelah mendapat kuasa kerana terus diam membisu dari memperjuangkan isu-isu Islam seperti penutupan masjid-masjid.

Dia meluahkan kekecewaannya dan menyindir Ahli-ahli Parlimen Pas yang sibuk menghantar ucapan tahniah kepada Ismail atas pelantikan jawatan baru, tetapi selama ini tidak bersuara apabila timbul hal berkaitan Islam.

“Saya orang Pas saya pun tak suka pemimpin Pas yang duduk atas tu. Tak guna dia orang atas tu. Tak berjuang pun untuk agama. Tak sebut pun perjuangan tentang agama.

“Hari ini Mahiaddin lantik Ismail jawatan baru, macam-macam ucapan dia orang hantar tapi hal masjid tutup dia orang diam. Itu gila tu. 18 Ahli Parlimen Pas tak tahu buat apa. Saya begitu kecewa dengan sikap pemimpin Pas, membisu hal agama Islam, tak tulis sepatah pun tentang masjid,” ujarnya.

Bekas isteriku kini ibuku

Agensi

New Delhi: Ibarat dalam filem, seorang lelaki berusia 22 tahun mengalami mimpi ngeri sebaik mengetahui bekas isteri, kini bergelar ibunya.

Kes itu menarik perhatian selepas lelaki dari Budaun, Uttar Pradesh membuat laporan polis terhadap bapanya yang meninggalkan rumah dan tinggal di tempat lain.

Dia memfailkan laporan selepas bapanya berhenti memberinya wang dan tinggal secara berasingan di Sambhal.

Selepas laporan itu dibuat, dia baru mengetahui bekas isterinya sudah berkahwin dengan bapanya.

Portal Indiatimes melaporkan, lelaki itu berkahwin dengan seorang gadis pada 2016, ketika kedua-duanya masih bawah umur.

Namun, selepas enam bulan, mereka berpisah.

Lelaki itu cuba untuk berbaik semula dengan wanita berkenaan, tetapi dia berkeras untuk bercerai dengan alasan lelaki itu seorang kaki mabuk.

Namun, dia tidak menyangka wanita itu berkahwin dengan bapanya menyebabkan status wanita itu kini adalah ibu baharunya.

Selepas mengetahui ayahnya mengahwini bekas isterinya, dia membuat laporan ke balai polis Bisauli dan kedua-dua pihak dipanggil untuk mengadakan pertemuan.

Gadis itu yang kini menjadi ibu tiri lelaki itu tidak mahu kembali kepada bekas suaminya dan mendakwa dia sangat gembira dengan bapa lelaki itu yang dia kahwini selepas berusia 18 tahun.

Pegawai polis mengatakan, pihaknya belum meneliti dokumen pernikahan mereka.

"Kami belum diberi dokumen pernikahan pertama ketika mereka berdua masih di bawah umur.

"Kes tidak dapat didaftarkan, kedua-dua pihak akan dimaklumkan perkembangan kes kelak," katanya.

Bapa lelaki itu pekerja pembersihan berusia 48 tahun dan mempunyai anak berusia dua tahun dengan isteri baharunya itu.

-Hmetro 

Umno desak Muhyiddin berundur secara terhormat

Malaysiakini 

Umno malam ini memutuskan untuk menarik balik sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin serta merta.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat Majlis Tertinggi Umno berpandukan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Justeru kata Ahmad Zahid, Umno mendesak agar Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baru dilantik untuk satu tempoh yang terhad.

"Tempoh Perdana Menteri yang baru akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.

"Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baru mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15. 

"Ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam Titah Yang di-Pertuan Agong," katanya selepas mesyuarat MT Umno malam ini.

Keputusan itu dibuat kurang 12 jam setelah Muhyiddin mengumumkan bahawa Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai timbalannya.

Perhimpunan Agung Umno pada Mac lalu memberikan mandat kepada Ahmad Zahid dan Majlis Tertinggi untuk memutuskan bilakah parti itu akan menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Ahmad Zahid ketika itu berkata dia yakin menteri-menteri Umno akan meletakkan jawatan apabila keputusan dibuat.

Namun, tiada pengumuman dibuat oleh Ahmad Zahid malam ini mengenai apakah Ismail dan menteri-menteri lain perlu mengundurkan diri.

Pelantikan Ismail sebagai timbalan perdana menteri dipercayai merupakan usaha Muhyiddin untuk menenangkan Umno dan melengah-lengahkan masa bagi mengekalkan pentadbirannya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat MT malam ini juga mempertegaskan pendirian untuk tidak menyokong sebarang usaha mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH)

Pendirian itu katanya, diambil sebagaimana yang telah diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno yang lalu.