Memahami muslihat Umno tarik sokongan kepada Mahiaddin
Mohd Sayuti Omar
KONSENTRASI khalayak kepada isu penebangan tidak berhati perut lebih 200 pokok durian musang
king di Raub, Pahang beberapa hari lalu terganggu dengan kenyataan penarikan dan penamatan sokongan Umno kepada Mahiaddin Md Yassin sebagai perdana menteri.
Orang terlupa kepada tindakan penguatkuasaan yang bertanggungjawab menebang pokok-pokok durian musang king tidak berdosa yang ditanam oleh "orang-orang berdosa" itu sedang berbuah dan menanti masa, tidak sampai beberapa hari lagi untuk gugur. Ia satu tindakan kejam terhadap alam. Ia dilakukan oleh mereka yang kering perasaan kasih sayang sesama makhluk dan berjiwa syaitan.
Hebat, fokus politik orang ramai kepada politik negara ini mengatasi soal-soal tindakan diluar perikemanusiaan (humaniti) terhadap pokok durian musang king itu. Selepas keluar kenyataan penarikan dan penamatan sokongan Umno kepada Mahiaddin, isu musang king pun reda terus "luyup".
Selalunya begitulah sikap dan nilai perjuangan orang Melayu kepada sesuatu perkara, hangat-hangat tahi ayam atau wangi-wangi bunga tahi ayam sahaja.
Bagi mereka yang tohor ilmu politik memang menerima pengumuman presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi itu suatu mengejut dan menyeronokkan. Ia seperti bakal mencetuskan gelombang baru di samping menghangatkan suhu politik. Apa lagi oleh mereka yang menumpang "tui" daripadanya, merasa sesuatu yang bakal memberi kebaikan kepada mereka dan terubahnya senario.
Semua orang mengira apabila Zahid berkata, hubungan Umno dengan Mahiaddin putus dan ditamatkan serta merta, ia membawa konotasi Umno juga akan memutuskan hubungan dengan kerajaan PN. Natijah daripada itu boleh menyebabkan jatuhnya kerajaan curitokrasi PH. Itu yang menyeronokkan.
Tetapi tidak begitu rupanya. Alur politik itu memang berkelok dan berlingkar-lingkar. Pengumuman Zahid itu membawa motif lain yang lebih spesifik. Selepas beberapa jam kenyataan itu dikeluarkan dan orang memahami Umno juga menamatkan kerjasama dengan kerajaan PN, dan saat orang sudah mula mengira bila kabinet baru dibentuk atau perdana menteri dilantik, Umno muncul secara bersiri membuat penjelasan, meralat kekeliruan penegasan itu dengan menyebut, mereka hanya memutuskan hubungan dengan Mahiaddin tetapi tidak dengan kerajaan PN.
Apa dikandung dalam kenyataan itu, Umno bukan mahu hancurkan kerajaan PN tetapi mereka mahu buang Mahiaddin. Jauh sekali sebagai memberi muka kepada Anwar Ibrahim sebab di akhirnya ada perkataan "No Anwar dan No DAP".
Sebabnya kalau kita tidak gaduh, awal-awal lagi kita sudah dapat membaca gerak tari dan memahami paluan gendang Umno dengan kenyataan itu. Dalam kenyataan Zahid itu sudah menyebut, Umno mendesak Mahiaddin berundur dengan segera. Dalam frasa lain kenyataan Zahid itu menyebut, perlu dilantik seorang perdana menteri yang berkhidmat untuk menangani masalah Covid. Sesudah masalah itu selesai, perdana menteri baru itu hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan parlimen. Jelas.
Tetapi oleh mereka yang mengharap laba dan untung, daripada keputusan Umno itu jadi excited terus membuat tafsiran yang Umno turut memutuskan hubungan dengan kerajaan PN. Memang mereka mahukan Umno menamatkan kerjasama dengan kerajaan PN, bukan dengan Mahiaddin sahaja. Malahan bagi mereka lebih bermakna dan besar untungnya bakat diraihnya kalau Umno memutuskan hubungan dengan kerajaan PN.
Penjelasan semula Umno itu tidak perlu pun sebab bagi mereka yang sudah mengenal hati budi dan sepak terajang politik Umno amnya, dan Zahid khasnya tidak rasa pelik pun. Sesiapa yang mengenali Zahid dan tahu kelicitan (slickness) politik Umno tidak perlu mudah mempercayainya. Bahkan apa-apa sahaja janji, kenyataan dan kata-kata Umno tidak boleh diyakini, setengahnya ia lebih huduh daripada kata-kata dan sabda Abdul Hadi Awang.
Pandangan saya.
Disini saya mempunyai tafsiran baru mengenai apa yang berlaku itu apa lagi selepas beberapa orang pemimpin Umno menjelaskan kenyataan Zahid itu. Ada mengatakan kenyataan Zahid itu tidak membayangkan hasrat dan kehendak keseluruhan MKT Umno, dan juga ahli Parlimen Umno seramai 35 orang. Ada juga maklumat mengatakan, mesyuarat MKT malam itu kononnya hangat dan sebagainya. Itu daripada versi pembangkang.
Bekas presiden Umno Najib Razak juga turut menjelaskan, yang Umno mahu Mahiaddin berundur bukannya memutuskan hubungan dengan kerajaan PN. Tambah Najib lagi perdana menteri baru nanti cukup berkhidmat sekitar enam bulan sahaja untuk mengatasi pandemik selepas parlimen dibubarkan.
Tindakan Umno itu jelas ia dibuat untuk kepentingan Umno. Sama sekali tidak untuk kepentingan pihak-pihak di luar terutamanya mereka yang memburu jawatan PM, seperti Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh Hamzah atau Mahathir Mohamad dan lain-lain. Dalam kata lain mereka yang terpesona dengan tindakan Umno menarik sokongan kepada Mahiaddin itu tertipu hidup-hidup?
Kita perlu ingat, sebelum Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai timbalan perdana menteri, sudah ada pertemuan di kalangan pemimpin Umno di dua lokasi secara rahsia. Pertama di Bellamy dan kedua di Wisma Perwira. Kedua-dua pertemuan itulah yang membawa kepada pelantikan Ismail Sabri sebagai timbalan perdana menteri. Kebetulan kedua-dua premis itu milik Ismail Sabri sebagai Menteri Pertahanan.
Apakah kerana ia diadakan dipremis Ismail Sabri, kedua pertemuan dan rancangan itu dikepala oleh Ismail Sabri? Mungkin dan boleh tidak mungkin.
Saya sudah sebut akan kejanggalanya Umno dalam menepati protokol, apabila Zahid Hamidi menghambakan diri untuk datang bertemu Ismail Sabri di Wisma Perwira. Kenapa begitu murah sekali Zahid menjual diri? Apakah ruang di PWTC di Ibu Pejabat Umno tidak cukup untuk menampung pertemuan itu?
Apabila presiden terpaksa pergi dan mengunjungi ke Wisma Perwira jelaslah bahawa presiden sedia mengikut ke mana sahaja, menuruti pelan yang disediakan, walaupun dengan cara itu menjejaskan kredibiliti dan "jiha" dia sebagai presiden.
Di sinilah, saya mengira ada berlaku perundingan, deal, strategi dan taktik. Pertemuan di kedua lokasi itu pula ikut ditunggu oleh pembangkang takut-takut ia memberi keuntungan kepada mereka. Pembangkang mudah bersangka baik dengan pertemuan itu memberi keburukan kepada Umno dan membawa kebaikan buat mereka. Pembangkang suka kalau Umno berpecah sesama sendiri apa lagi perpecahan itu akan meretakkan kerajaan PN. Sayang dua pertemuan rahsia itu tidak banyak membawa keuntungan kepada pembangkang. Berlaku salah tembak di sini?
Apa juga yang dapat diterjemahkan, bahawa Umno memang mahu Ismail Sabri dilantik menjadi timbalan perdana menteri. Itu perancangan mereka. Dengan jawatan itu Umno dapat manfaat dalam proses memulihkan kedudukan dan imejnya. Umno sangat takut kalau jawatan itu diisi daripada wakil PBBM.
Apa diharap oleh Umno khasnya oleh pemimpin Umno mereka yang berhadapan dengan masalah, mengharapkan posisi itu nanti dapat juga membantu mereka. Jawatan itu akan menjadi syufaat kepada mereka. Dan dengan mempercayai jawatan PM boleh merubah segala-galanya, setidak-tidaknya menjauhkan pintu penjara Sungai Buloh daripada mata setengah pemimpinnya, maka Umno mahukan jawatan itu segera. Apa lagi yang terbaik harus diusahakan kalau bukan itu?
Justeru itu mereka suka atau berkenan kalau Ismail Sabri jadi TPM. Sebab itu ada kenyataan didedahkan oleh seorang MKT bahawa pelantikan Ismail Sabri sebagai TPM dipersetujui oleh presiden Umno. Dan Najib Razak sendiri mengalu-alukan pelantikan itu. Bahkan Zahid sendiri mengucapkan tahniah atas pelantikan itu.
Jika benar Ismail Sabri menerima jawatan itu tidak ada sesuatu, masakan Ismail Sabri yang dikenali sebagai seorang ahli politik yang sederhana, kurang agresif sanggup untuk melanggar keputusan MKT Umno yang dibuat di Janda Baik, bahawa Umno tidak akan membenarkan sesiapa menerima jawatan TPM.
Ada orang berpendapat ia tidak mungkin direstui oleh Zahid Hamidi kerana ia boleh mengerhanakan kedudukannya dalam Umno. Kononnya apabila Ismail Sabri jadi TPM, penumpuan kuasa nanti dari kalangan Umno akan tertuju kepada Ismail Sabri dan tidak kepada presiden lagi. Atas alasan itu dikatakan tidak mungkin Zahid merelakannya. Hujah ini juga cetek dan naif.
Itu tidak berbangkit saya rasakan sebab Zahid sudah perolehi jaminan yang dia tetap akan jadi tumpuan apabila terus memegang jawatan presiden parti. Zahid telah berjaya mendapat jaminan itu apabila mendapat kebenaran dan mandat menangguhkan perhimpunan agung Umno (PAU). Selagi tidak diadakan PAU, maka Zahid tetap memiliki kuasa presiden dan berhak menentukan calon-calon Umno dalam Piraum ke-15 kelak.
Apapun yang penting bagi Zahid bukan kuasa dalam Umno lagi pada waktu ini. Yang beliau terngiau-ngiau kini atau pun ternanti-nanti penyelesaian kepada kes-kes dihadapinya di mahkamah. Zahid lebih terbeban dengan kes mahkamah dengan masalah Umno. Lantaran itu bagi Zahid, soal kuasa dan jawatan tidak menjadi keutamaan lagi berbanding dengan mendapat pengurangan dan lepas dari penjara. Berada dalam penjara lebih teruk daripada kehilangan kuasa dan jawatan.
Percaya dan yakinlah Umno dengan peranan Zahid dan bekas presiden Najib akan berusaha untuk menobatkan Ismail Sabri sebagai perdana menteri. Kerana bagi mereka pencapaian itu akan lebih bermakna dan menggembirakannya. Beliau lebih berharap dan mempercayai pertimbangan daripada Ismail Sabri sebagai perdana menteri berbanding dengan Mahiaddin atau orang lain.
Untuk memahami apa yang disebut itu senang. Sebab itu dalam kenyataan dan ketegasan itu, Zahid dan Najib mendesak supaya Mahiaddin bagi seorang PM baru dilantik. PM baru itu adalah Ismail Sabri. Dan apa diharap itu sudah pun berjaya apabila kini Ismail Sabri sudah dilantik menjadi TPM.
Pelantikan Ismail Sabri sebagai TPM itu menguntungkan dua pihak, Mahiaddin dan Umno tetapi sedikitpun bukan kepada pembangkang.
Sebagai konklusinya pembangkang usahlah bermimpi dan rajin menangguk di air keruh dengan isu dicetuskan Umno itu, sebab ia tidak akan berpihak kepada mereka. Atas apa-apa isu, strategi dan taktik Umno, pembangkang hanya tetap mengigit jari. Kata orang tangguk rosak, lengan terkena selut, ikan tidak kedapatan.
Tidak ada paling afdal untuk pembangkang berjaya atau berhasil meletakkan wakil mereka sebagai perdana menteri melainkan kena berusaha sendiri, mengharap kuasa rakyat menerusi Piraum ke-15 kelak. Pembangkang khasnya PH bersiap sedialah untuk hadapi pilihan raya dengan kekuatan kendiri tanpa lagi menumpang kasih dan laba daripada mana-mana pihak yang berpura-pura dengan kita. [wm.kl.12:08 pm 09/07/2021]