PKR Sarawak dapat sisa tapi dituduh 'tamak' kerusi - Anwar

Malaysiakini 

PRN SARAWAK | Presiden PKR Anwar Ibrahim mengeluh kerana partinya dilabelkan 'tamak' sedangkan ia cuma menerima sisa kerusi Sarawak yang sedang dibahagikan.

Katanya, PKR hanya diberikan kerusi tidak boleh dimenangi yang tidak diingini oleh orang lain.

“Kerusi yang lebih berdaya saing sedang dituntut oleh semua parti ini.

"Tetapi kerusi yang mereka tidak bertapak, tiada harapan untuk parti-parti ini (mereka katakan) 'Ok PKR lebih baik bertanding (di sana) jika tidak anda akan membenarkan GPS menang tanpa bertanding' dan kami terbeban dengan ini.

"Rakyat menganggap PKR tamak. (Tetapi) kita merebut kerusi yang kita boleh menang, (kerusi) kategori A, tetapi kita diberi kerusi kategori F," katanya kepada pemberita di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Pun begitu, tegasnya PKR perlu bertanding di beberapa kerusi yang lebih sukar ini kerana mereka mempunyai kehadiran yang lebih besar daripada parti lain.

Anwar yang juga pengerusi PH itu berkata demikian ketika menjelaskan mengapa PKR meletakkan lebih sedikit calon pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

PKR Sarawak diperuntukkan 47 kerusi untuk ditandingi semasa rundingan dengan DAP awal tahun ini.

Bagaimanapun, ia kemudiannya menuntut lebih banyak kerusi untuk bertanding - yang mana DAP enggan berganjak.

Selepas usaha untuk mendapatkan lebih banyak kerusi tidak membuahkan hasil, PKR sebaliknya memilih untuk bertanding sedikit kerusi saja.

Anwar berkata mereka mungkin bertanding antara 28 atau 29 kerusi sahaja kali ini, supaya jentera parti tidak terlalu kurang.

PKR sebelum ini memenangi tiga kerusi pada pilihan raya Sarawak 2016.

Bagaimanapun, semua wakil rakyat mereka berpaling tadah daripada parti tahun lepas berikutan langkah Sheraton, dengan dua Adun menyertai PSB, dan seorang lagi menyertai Bersatu.


Lelaki ditahan guna lengan palsu cuba elak divaksin

AFP

Cubaan lelaki itu mendapatkan sijil vaksinasi menggunakan lengan palsu menyusul peraturan lebih ketat yang akan dilaksanakan ke atas individu tidak divaksin Isnin ini. (Gambar AP)

ROM: Seorang lelaki Itali yang mahu mendapatkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa perlu disuntik, cuba memperdaya kakitangan kesihatan dengan memasang lengan palsu, kata pegawai pada Jumaat.

Namun, tiada petugas yang terpedaya dengan lengan silikon itu, walaupun warna kulitnya kelihatan realistik dan lelaki berusia 50-an itu dilaporkan kepada polis susulan kejadian di Biella, barat laut Itali pada malam Khamis.

Ketua kerajaan wilayah Piedmont, Albert Cirio dalam kenyataan di Facebook menyifatkan kes itu tidak masuk akal dan tindakan itu “tidak boleh diterima berdasarkan pengorbanan keseluruhan masyarakat kita ketika pandemik, dari segi nyawa manusia, kesan sosial dan ekonomi”.

Kejadian lengan palsu itu menyusul peraturan lebih ketat yang akan dikuatkuasakan Isnin ini kepada individu yang belum mendapatkan vaksin Covid-19.

Sejak Ogos lalu, “Pas hijau” yang merupakan bukti vaksinasi, pemulihan daripada Covid-19 atau ujian saringan negatif dijadikan syarat untuk penduduk Itali makan di dalam restoran, mengunjungi muzium, teater, panggung wayang dan menyertai acara sukan.

Tetapi mulai 6 Dis ini, aktiviti terbabit dihadkan kepada pemegang “Pas hijau super” yang hanya diberikan kepada mereka yang sudah divaksin atau pulih daripada Covid-19.

Pas hijau lama itu dilanjutkan pada Oktober untuk meliputi semua tempat kerja, dan kekal sah bagi tujuan itu. Ini bermakna individu tidak divaksin masih boleh terus bekerja dengan menunjukkan keputusan ujian saringan negatif.

Sekatan terbaru yang menyebabkan bantahan kecil-kecilan diadakan di bandar seluruh Itali hampir setiap hujung minggu – diperkenalkan susulan lonjakan kes Covid-19 dan diburukkan lagi dengan kebimbangan terhadap varian Omicron baru-baru ini.

Itali ialah negara Eropah pertama yang dilanda pandemik itu pada awal 2020, tetapi keadaannya kini jauh lebih baik daripada kebanyakan negara jirannya.

Sebanyak 16,800 kes baharu Covid-19 dan 72 kematian dilaporkan pada Khamis, manakala hampir 85% populasinya yang layak (12 tahun ke atas) sudah divaksin sepenuhnya dan pilihan dos penggalak diperluaskan kepada semua orang dewasa minggu ini.

Cerita tubuh parti baharu hanya mahu ugut Mahiaddin?

MOHD SAYUTI OMAR

Konon-kononnya Zuraida Kamaruddin akan tubuh parti baharu. Cerita ini sempat juga jadi pertuturan dan buah mulut. Ada yang percaya dan membuat pelbagai spekulasi. Bagi saya tidak ada munasabahnya untuk Zuraida tubuh parti baru, buat apa?

Dia sudah jadi menteri dan kedudukan itu sudah cukup baginya. Untuk perjuangkan apa lagi dengan parti baru itu? PPBM yang beliau masuki sekarang ini sudah membolehkan dia lakukan apa sahaja.

Bagi saya, cerita Zuraida nak tubuh parti baru itu adalah sebahagian daripada strategi atau pelan untuk Azmin Ali sahaja. Boleh jadi dengan ura-ura untuk tubuh parti baru itu bagi mengecutkan presiden parti PPBM.0

Umum tahu PPBM jadi kuat apabila ada 12 orang MP Keadilan yang diheret Azmin termasuk Zuraida.

Azmin ada cita-cita terpendam untuk melonjak ke atas, menjadi Perdana Menteri. Untuk sampai ke takah itu dia harus terlebih dahulu menjadi timbalan perdana menteri.

Dengan status menteri kanan hari ini, ia bukan sesuatu yang memuaskan hati Azmin. Jawatan TPM perlu bagi dia membina kekuatannya.

Dia perlu diletakkan segera di kerusi TPM bagi mengukuhkan kedudukannya dan menguatkan sokongan. Orang ramai di luar sana akan beriya-iya menyokongnya kalau dia diberikan post itu.

Jadi, ura-ura parti baru yang dikaitkan dengan orang kanan dan kiri Azmin itu adalah tidak lebih daripada untuk mengugut Mahiaddin semata-mata, mendesak Mahiaddin melakukan sesuatu yang diingini Azmin.

Kalau Mahiaddin tidak bersedia untuk menggemburkan namanya Azmin sebagai TPM, kemungkinan Azmin akan minta Zuraida proceedkan parti baru itu.

Dalam kata lain, parti baru yang ditaja Zuraida itu untuk menaikkan minyak dan syih Azmin dan orang-orang PKR yang diheretnya sahaja. Tidak lebih dari itu.

Tak jadi bogel selepas JDT kalah Piala Malaysia

INDIVIDU yang mendakwa mahu berbogel jika KL City tewaskan JDT dalam saingan Piala Malaysia

INDIVIDU yang mendakwa mahu berbogel jika KL City tewaskan JDT dalam saingan Piala Malaysia

Kuala Lumpur: Siapakah dia. Gambar dan video daripada seorang peminat Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi tular di laman sosial selepas membuat kenyataan yang dia sanggup berbogel dari Kuala Lumpur (KL) hingga ke Johor.

Video berdurasi 33 saat dimuat naik di laman sosial Tiktok sebelum JDT tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC.

"Malam ini (semalam) Johor lawan KL. Ok bro macam ini bro, kalau KL boleh kalahkan Johor, aku bogel dari KL sampai Johor.

"Bogel tau. Aku bogel. Serius cakap punya. Bukan sembang. Tak pernah dalam sejarah KL boleh kalahkan Johor. Aku bogel dari KL sampai Johor," katanya.

Netizen kini mula mencarinya untuk menuntut dia menunaikan janjinya untuk berbogel. Namun selepas itu individu berkenaan memuat naik sekeping gambar dengan berbaju T kuning menulis 'minta maaf..tak jadi bogel KL ke Johor..saya ada sesak nafas."

Sementara itu dalam ruangan komen seorang netizen Mohd Firdaus menulis "Netizen tak minta banyak. Bogel depan tol Sungai Besi je, kira setellah hutang. Liee Hiro berkata 'Bogel ngan sesak nafas tak de kena mengena pun..hahaha sembang."

Manakala Muhd Hamizi Mizi berkata, "Jangan mungkir janji tu bang hukumnya berdosa.

Mymetro 

'Wanita berdarah emas'

‘Biar kekal sebagai rahsia’, wanita ‘berdarah emas’ minta identitinya tidak didedahkan

Zeanaaima Mohd Yusof 

Seorang wanita menjadi tumpuan orang ramai setelah tular laporan beliau mempunyai darah jenis Rh-null (Rhesus null) yang amat jarang ditemui. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Wanita dari Terengganu yang mempunyai ‘darah emas’ mahu identitinya dirahsiakan susulan tular berita beliau satu-satunya warga Malaysia antara 43 orang di seluruh dunia yang mempunyai darah unik itu.

Wanita berkenaan menyampaikan hasratnya itu kepada pihak Tabung Darah Terengganu, jurucakapnya memberitahu FMT.

Wanita itu menjadi tumpuan orang ramai setelah tular laporan beliau mempunyai darah jenis Rh-null (Rhesus null) yang amat jarang ditemui.

Bagaimanapun, hasrat orang ramai mengetahui lebih lanjut mengenai wanita berkenaan di pintas pihak Tabung Darah atas permintaan beliau sendiri.

Menurut pentadbir laman facebook Derma Darah Terengganu Kite, wanita yang berasal daripada negeri itu meminta supaya segala butiran mengenainya dirahsiakan.

“Kami tidak boleh beri maklumat penderma darah tersebut sebab dia tidak bersedia untuk ditemuramah dan minta agar identitinya dirahsiakan,” menurut pentadbir laman sosial itu.

Menurut beberapa portal, darah jenis Rh-null atau darah emas dilaporkan memberi risiko besar kepada pemiliknya, namun mempunyai kemampuan untuk menyelamatkan jutaan manusia lain.

Keunikan darah emas itu adalah ia dapat diterima oleh sesiapa sahaja kerana sifat-sifat uniknya.

Pentadbir laman berkenaan berkata wanita tempatan itu mula aktif menderma darah pada 2016.

“Kita kenalpasti jenis darah beliau (jenis) Rh-null dari ujian kumpulan darah, di mana ujian darah beliau dihantar ke makmal luar negara untuk pengesahan,” jelas pentadbir itu.

Darah wanita itu dihantar ke Pusat Darah Negara untuk disejuk bekukan dan seterusnya disimpan dalam peti nitrogen -80 darjah celsius, selama 10 tahun.

“Jika ada pesakit yang memerlukan darah jenis ini, maka darah ini akan dicairkan untuk digunakan,” menurut hantaran itu, tanpa mengulas lanjut.

Wanita itu menjadi perbualan masyarakat setelah gambar beliau menderma darah emas tular, di media sosial.

Menurut Medical News Today, jenis darah Rh-null adalah unik kerana sel darah merah tidak mengandungi antigen padanya.

Sehingga kini, hanya sembilan orang yang mempunyai darah emas adalah penderma aktif di seluruh dunia sebagai termasuk warga Malaysia berkenaan.

Seorang lagi penyerang tegar Pas, Hadi meninggal dunia, kata Mokhtar

MALAYSIA DATELINE

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Mokhtar Senik memberitahu seorang individu yang dianggapnya penyerang tegar parti itu meninggal dunia.

Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia tersebut berkata, Allahyarham sebelum ini mengkritik Presiden Pas,

“Hari ini dapat berita seorang lagi penyerang tegar Pas, TGHH (Tuan Guru Haji Hadi), pimpinan Pas dan saya pergi menemui pencipta.

“Itu sahaja nak cerita. Cerita banyak pun tak guna kerana beliau dan meninggal,” katanya ringkas tanpa memberitahu individu yang dimaksudkannya dalam hantaran di Facebook petang ini.

Norma baru pilihan raya cabaran getir buat PH

LIM HONG SIANG

Hakikatnya, peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya umum melonjak ke paras melebihi 80% hanya pada PRU13 (5 Mei 2013) dan PRU14 (9 Mei 2018). Kesemua PRU sebelumnya mencatatkan peratusan keluar mengundi di bawah paras 80%, sejak merdeka.

Jikalau dicari persamaannya, kedua-dua PRU tersebut diselubungi suasana di mana kebarangkalian kerajaan persekutuan bertukar berada pada tahap kemuncaknya.

Sebagai kesudahannya, PRU13 menyaksikan pembangkang meraih undi popular melebihi 50%, sungguhpun gagal menawan Putrajaya; dan PRU14 berakhir dengan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional buat kali pertama dalam sejarah.

Dengan kata lain, peratusan keluar mengundi pada paras 84.8% (2013) dan 82.3% (2018) dipacu dengan harapan untuk menukar kerajaan. Pengundi teruja untuk melakar sejarah baru. Malah, tidak keterlaluan andainya kita menyifatkan paras peratusan melebihi 80% ini sebagai “tidak normal”.

Ia menuntut satu suasana masyarakat di mana pengundi terpanggil untuk pulang mengundi, menyedari betapa penting nilai sekeping kertas undinya untuk mengubah masa depan, dan berbaloi meskipun terpaksa membayar harga yang tinggi, sama ada kos pengangkutan, mahupun risikonya.

Jadi, ada asasnya untuk menyatakan bahawa peratusan keluar mengundi yang rendah antara punca kekalahan Pakatan Harapan dalam PRN Melaka yang melabuh tirai pada 20 November 2021.

Malah, berdasarkan pengalaman lalu, tidak salah untuk mengandaikan bahawa mereka yang tidak keluar mengundi, berpotensi untuk mengundi pembangkang. Ringkasnya, PH berdepan dengan cabaran untuk melonjakkan peratusan keluar mengundi.

Norma baru pilihan raya

Bertitik tolak dari situ, tidak sukar untuk kita memahami mengapa sesetengah pemimpin PH menuding jari terhadap penetapan SOP yang ketat sebagai salah satu faktor kekalahan PH, kerana ia mengekang potensi pembangkang untuk menghangatkan suasana pilihan raya.

Antaranya, tiada kempen bersemuka. Maka dengan itu, tiada lagi ceramah mega, bukan sahaja menyekat penyebaran maklumat, malah gagal menghangatkan suasana.

Cuma, mungkin PH perlu bersedia untuk berdepan dengan norma baru pilihan raya ini. Sungguhpun tidak menolak unsur bahawa kerajaan Ismail Sabri menggunakan kesempatan ini untuk menyulitkan kempen gerak kerja pembangkang, tetapi alasan ini akan mendapat restu sesetengah pengundi.

Dengan situasi penularan wabak Covid-19 yang masih tidak menentu, rakyat akan cenderung untuk lebih berwaspada daripada mengambil mudah.

Lebih-lebih lagi, apabila senario politik semasa dibaca sebagai ‘perebutan kuasa politikus yang rakus’, tiada alasan rakyat menggadaikan kesihatannya, juga rezekinya (bimbang akan sekatan pergerakan yang menjejaskan ekonomi) untuk kepentingan politikus semata-mata.

Justeru itu, PH perlu membuat persediaan seandainya kempen PRU15 juga dikenakan SOP yang ketat sepanjang tempoh kempennya. Ini bermakna PH perlu menerokai saluran penyebaran maklumat baru, selain strategi tradisi seperti ceramah mega, rapat umum dan lain-lain.

Persoalan selanjutnya, apakah maklumat yang ingin disampaikan? Apakah tema manifesto PH, untuk menggarap imaginasi pengundi dalam PRU15?

Tema manifesto PH

Sekali diimbas, tema manifesto Pakatan Rakyat ketika PRU13 lebih mengutamakan reformasi institusi, misalnya menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Momentum itu bergolek sejak himpunan BERSIH 2 pada 9 Julai 2011, BERSIH 3 pada 28 April 2012 dan Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari 2013.

Pengalaman dibedil gas pemedih mata dan meriam air dalam dua perhimpunan BERSIH tersebut menjadi ingatan kolektif satu generasi yang menuntut reformasi dan demokrasi.

Tidak lupa juga beberapa isu periuk nasi rakyat yang dijuarai PH, misalnya janji populis Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak sebaik menawan Putrajaya.

Apapun, ia menyentuh masalah dan keperluan segolongan masyarakat yang terdesak dengan kos sara hidup pada ketika itu, disemarakkan apabila kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) dibingkaikan dengan ‘lembu dalam kondo’.

Pakatan Harapan dihadiahkan skandal 1MDB pada PRU14. Angkanya mencecah billion, jauh lebih tinggi berbanding skandal PKFZ yang didedahkan dalam PRU12 (2008). Pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) pula dikaitkan dengan hutang 1MDB. Kesemua isu ini bergolek sehingga meranapkan regim BN dalam PRU14.

Persoalannya, apakah tema PH untuk PRU15, yang mampu memacu keterujaan penyokongnya untuk pulang mengundi?

Dengan senario terkini, kita mungkin terpaksa lupakan himpunan mega sebelum PRU15, memandangkan wabak Covid-19 masih memperlihatkan pola penularan yang tidak menentu di seluruh dunia.

Skandal 1MDB mungkin sukar didendangkan kembali, lebih-lebih lagi Najib Razak sudah kelihatan bangkit semula dengan gaya yang megah.

Reformasi institusi? Ia sentiasa relevan, dan barangkali bab yang paling menonjolkan perbezaan antara PH dengan kerajaan BN, atau PN.

Namun, harus diingatkan bahawa PH perlu menampilkan keikhlasan ketika menjuarai isu ini, misalnya anda tidak boleh menerima katak tatkala menuduh katak yang melompat dari kem anda sebagai pengkhianat.

Saya kurang pasti apakah sikap “double standard” ini melunturkan kemarahan pengundi terhadap Langkah Sheraton.

Ia boleh dibaca sebagai PRN Melaka bukan medan untuk membalas dendam ini, tetapi ia juga boleh dibaca sebagai kekecewaan pengundi terhadap keputusan PH untuk menerima katak berprinsip. Malah, ia mungkin bukan keutamaan dalam pertimbangan pengundi ketika memangkah pada kertas undi.

Apapun, PRN Melaka ini memberi isyarat agar PH tampil dengan naratif yang lebih segar dan relevan. Sentimen ketidakpuasan terhadap layanan antara dua darjat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nampaknya tidak menular, sama ada tidak dikerah sebaik-baiknya, mahupun ia semakin luntur dari hati pengundi.

Saya tidak suka menuduh pengundi sebagai mudah lupa, tetapi saya mampu merasai keterdesakan kebanyakan orang terhadap pemulihan ekonomi dan kestabilan politik, yang tiada berpisah antara kedua-duanya. Psikologi sebegini memberi kelebihan kepada kerajaan sedia ada.

Segerakan perubahan

Akhir kata, ada kalanya kita terlalu memperbesarkan sesuatu faktor sehingga ia dilihat sebagai satu-satunya penentu, sedangkan dalam politik, kesudahannya adalah hasil adunan pelbagai unsur.

Kekal atau undurnya Anwar Ibrahim, tidak menyelesaikan kesemua masalah, sungguhpun saya mencadangkan agar beliau berundur untuk sekurang-kurangnya sementara waktu dalam artikel lalu. Pemimpin PKR, DAP dan AMANAH yang lain, juga memainkan peranan masing-masing untuk menentukan jatuh naiknya PH.

Ketidakpekaan sesetengah DAP boleh menambah kebencian pengundi Melayu terhadap PH, begitu juga keasyikan sesetengah pemimpin Amanah untuk bersaing dengan Pas, sehingga berakhir dengan ruang kebebasan yang lebih sempit, juga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan non-muslim.

Dalam isu judi dan arak misalnya, pemimpin dan penyokong Amanah mungkin berniat mendedahkan kemunafikan pesaingnya, Pas, tetapi langkah politik ini dibaca oleh non-muslim sebagai AMANAH dan Pas, berbeza tiada.

Dan jangan lupa, politik tidak terpisah dari unsur tempatan. Andainya SOP kempen tetap ketat dalam PRU15, ia memberi kelebihan kepada calon yang telah lama berkhidmat di kawasan parlimen atau DUN-nya, yang dikenali pengundi tempatan.

Dengan kata lain, rundingan kerusi dan pelantikan calon wajar disegerakan, agar mereka yang bakal bertanding, mula membina jalinan tempatan dan bekerja sekarang. Ia juga mengelakkan sabotaj cawangan tempatan apabila diturunkan calon dari helikopter pada saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon.

Jikalau iktibar boleh diambil dari PRN Melaka, maka PH hanya kalah satu pertempuran sebelum memenangi satu peperangan. Tetapi andainya tiada perubahan dilakukan selepas menyalahkan ini dan itu, kemungkinan kekalahan yang lebih besar bakal menimpa.

Ronaldo merajuk?

Agensi

RONALDO dilihat meninggalkan padang dan memasuki terowong. FOTO Agensi

RONALDO dilihat meninggalkan padang dan memasuki terowong. FOTO Agensi

London: Cristiano Ronaldo terus menuju ke terowong selepas Manchester United melakar keputusan seri 1-1 dengan Chelsea di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Ronaldo hanya bermula di bangku simpanan buat kali kedua musim ini sebelum dimasukkan minit ke-64 oleh pengurus sementara United, Michael Carrick.

Kali pertama adalah ketika bertemu Everton, Oktober lalu yang turut berakhir dengan keputusan 1-1.

Seperti ketika di Old Trafford bulan lalu, pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali itu tiada 'mood' untuk berjabat tangan atau bertepuk tangan bersama peminat sebaliknya segera beredar dari padang.

Beberapa wartawan yang berada di Stamford Bridge sempat menyaksikan bemain berstatus bintang itu terus menuju ke terowong sebaik wisel penamat ditiup yang menyaksikan Red Devils meraih satu mata.

Carrick yang menggalas tugas ditinggalkan bekas pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer berkata, beliau mengambil keputusan merehatkan Ronaldo untuk 'mengubah sedikit keadaan'.

Dia mengakui melalui perbincangan yang baik dengan bekas rakan sepasukannya itu sebelum bermulanya perlawanan.

Carrick memberitahu Sky Sports sebelum perlawanan: "Beberapa pertukaran dilakukan untuk melakukan sedikit perubahan.

"Cristiano mungkin nama paling menonjol tetapi ia hanyalah perancangan permainan. Saya sempat bercakap dengan Cristiano dan akhirnya kami ambil keputusan seperti hari ini."

PH, Umno sependapat Terengganu perlu diselamatkan dari Pas

MALAYSIA DATELINE

Pakatan Harapan (PH) Terengganu menzahirkan rasa tanggungjawab bagi memastikan Terengganu terus membangun dan kemajuan negeri tidak terbantut oleh pemerintahan kerajaan Pas hari ini.

Pengerusinya Raja Bahrin Shah berkata, ekoran itu PH Terengganu mempunyai pandangan yang sama dengan pihak Umno negeri itu bahawa Terengganu perlu diselamatkan dari pemerintahan lemah berterusan Pas yang telah menjejaskan dan membantutkan kemajuan Negeri Terengganu.

“Kesejahteraan, kebajikan serta kemakmuran rakyat Terengganu merupakan keutamaan pada kami dan mana-mana pihak yang mendahulukan rakyat dan pembangunan Negeri. 

“Dengan sumber minyak dan gas Terengganu yang makin berkurangan, perancangan yang memandang jauh ke hadapan dan lebih profesional adalah amat diperlukan,” katanya.

Raja Bahrin berkata, Umno Terengganu tidak diberi peranan dan tempat oleh Pas hari ini untuk menyumbang dalam kerajaan mempunyai pendapat dan kebimbangan yang sama.

Tambahnya, keutamaan untuk kesejahteraan dan kemakmuran masa depan rakyat Terengganu merupakan pandangan yang dikongsi bersama pihak yang prihatin masa depan rakyat tidak mengira dari parti politik mana sekali pun.

Berhubung pertandingan kerusi PRU15, beliau berkata PH Terengganu berhasrat bertanding kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

“Isu “swapping of seats”, atau pertukaran kerusi, dengan mana-mana pihak lain tidak pernah timbul,” katanya.

Dah tegur, dia tetap curi

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

am@hmetro.com.my

Ipoh: Tindakan seorang lelaki yang bersahaja mencuri tiang besi milik Telekom Malaysia (TM) di Manjoi, di sini, meskipun sudah ditegur dan dirakam orang awam sehingga video itu tular sejak semalam, mengundang padah apabila diberkas polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan, suspek berusia 41 tahun itu diberkas sekitar 12.15 pagi hari ini bersama barangan yang dicuri di sebuah bangunan kosong di Manjoi.

Beliau berkata, tangkapan dibuat berdasarkan laporan yang dibuat oleh orang awam 9.16 malam semalam di Balai Polis Jelapang.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai 11 rekod kesalahan lampau atas pelbagai kesalahan terutama dadah, melakukan perbuatan itu di sekitar Manjoi dan Jelapang.

"Saringan air kencing turut mendapati suspek positif morfin. Kini suspek dalam tahanan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

RAKAMAN video yang tular lelaki ditegur ketika mencuri tiang besi TM. FOTO Ihsan Pembaca

RAKAMAN video yang tular lelaki ditegur ketika mencuri tiang besi TM. FOTO Ihsan Pembaca

Terdahulu, dua rakaman video seorang lelaki dipercayai mencuri tiang besi milik TM di Manjoi tular di media sosial.

Berdasarkan video berkenaan, individu yang merakam 'gelagat' lelaki terbabit menegur tindakannya namun lelaki berkenaan tidak mengendahkan teguran itu.

Realiti Muafakat Nasional

Mohsin Abdullah

Bagi saya ulasan mengenai Muafakat Nasional oleh Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Umno, adalah yang paling jujur, terus-terang, dan tepat yang dibuat pemimpin parti itu setakat ini.

Perhatikan apa hujah beliau yang dimuat naik di Facebooknya tempoh hari. Ada 14 perenggan. Tetapi yang menarik perhatian saya berbunyi begini:

“Sebenarnya orang Melayu tidaklah berpecah dengan teruk. Kesatuan Umno dan PAS melalui MN pula bukanlah bermakna orang Melayu telah bersatu dan ummah menjadi kuat.

“Puluhan juta orang Melayu di luar sana tidak pun menganggotai Umno dan PAS.”

Jujur dan berterus-terang bukan? Malah berani. Sebelum ini Umno (dan PAS) ketika menubuhkan MN pada 2019 menegaskan permuafakatan itu membawa agenda “penyatuan ummah” bagi mensejahterakan Malaysia.

Annuar Musa yang ketika itu Setiausaha Agung Umno menekankan segala pertimbangan MN berasaskan kebaikan kepada ummah, bangsa, dan negara. Manakala Noh Omar Ahli Majlis Tertinggi Umno menyifatkan MN satu manifestasi suara akar umbi yang mahu umat bersatu padu.

Kesimpulannya gambaran yang dihidangkan kepada khalayak ialah orang Melayu dan umat Islam mesti bersatu dan itu boleh dicapai “hanya” menerusi MN. Mohamad atau panggilan mesranya Tok Mat ketika itu turut memberi gambaran sedemikian.

Saya rasa masa itu beliau mungkin yakin akan “keupayaan” MN. Atau mungkin beliau masa itu kurang setuju atau punya pandangan tersendiri tetapi oleh kerana itu naratif rasmi parti (ketika itu) beliau turuti juga. Wallahualam.

Apa pun yang Mohamad perkatakan sekarang pada hemat saya adalah benar. Memang orang Melayu Islam ada pertelingkahan sesama sendiri, ada perbezaan pendapat, dan pandangan serta kerap bertegang leher. Tetapi bak kata Mohamad, “orang Melayu tidaklah berpecah dengan teruk”. Ya tidaklah “bagai nak rak macam dunia nak kiamat” seperti yang digembar-gembur selama ini. Siapa yang menggembar-gembur? Terpulang kepada tafsiran masing-masing. Yang pasti saya tahu anda tahu.

Betul lagi kata Mohamad, takkan semua orang Melayu akan bersatu hanya kerana Umno dan PAS menjalin hubungan baik dalam MN. Seperti kata beliau “puluhan juta” orang Melayu bukan jadi ahli Umno atau PAS. Ya kita tahu ramai orang Melayu menganggotai pelbagai parti politik. Tidak kurang ramai yang tidak berminat jadi ahli parti politik.

Saya rumuskan apa yang beliau katakan itu ialah MN bukanlah segala-galanya. “Its not a big deal”. Kerana itu saya nyatakan tadi ulasan Mohamad berani, terus-terang, jujur.

Imbas kembali penubuhan MN tiga tahun lalu. Pandangan umum MN adalah gabungan politik yang diwujud oleh Umno-PAS untuk memenangi PRU15. Kedua-dua parti bercakap dan bertindak bagai mengiyakan pandangan sedemikian.

Malah pemimpin Umno dan PAS kerap bercakap mengenai jumlah undi yang diperolehi parti masing-masing pada PRU14 ketika bertarung antara satu sama lain. Lalu kata mereka jika undi itu dicampurkan jumlahnya mengatasi undi yang didapati calon Pakatan Harapan, terutama di kawasan majoriti Melayu. Lalu mereka menzahirkan kepercayaan dan keyakinan apabila mereka “bersatu” melalu MN; Umno-PAS akan menang PRU15. Ramai penganalisis politik menyifatkan itu perkiraan “simplistik”. Namun kedua-dua parti tetap yakin dan formula itulah yang diuar-uarkan kepada khalayak.

Sekarang Mohamad mendakwa Umno sangat jelas semasa mengasaskan MN. Bagi Umno, katanya, MN mempertemukan dua parti Melayu menjadi wadah ke arah kesatuan dan penyatuan tetapi wadah itu mesti menjangkaui politik.

Ia perlu menjadi medan segala kepentingan Melayu dan Islam dibincangkan dan dirumuskan dan “kerana itu sedari awal Umno tidak mahu ia didaftarkan sebagai sebuah perikatan politik walaupun pelbagai pihak dalam Umno dan PAS mendesak ke arah itu”.

Bercakap mengenai MN sebagai medan perbincangan dan rumusan kepentingan Melayu-Islam yang dikatakan Mohamad, teringat saya akan sesi muzakarah Umno-PAS yang diadakan pada 1980-an dan 1990-an. Tujuannya juga untuk membincangkan masalah berkait agama dan umat Islam dan mencari penyelesaian. Akan tetapi itu semua “tidak ke mana” dan dilihat ramai sebagai cara kedua-dua parti mengutip markah politik dengan menonjolkan “keislaman” masing-masing.

Apa pun dalam konteks MN, kata Mohamad, Umno mahu MN jadi wadah yang boleh memayungi semua bukan sekadar kepentingan politik Umno dan PAS “apa lagi ideologi dan pendekatan kedua-dua parti sangat berlainan”.

Menurut beliau, partinya tidak pernah membelakangkan dan meninggalkan MN. Malah cuba memperkukuhkannya “tetapi sebaik Perikatan Nasional terbentuk, MN sudah tidak lagi berseri, sudah tidak ada penarik, dan seperti sudah tidak ada erti”.

“Sebahagian pendukung MN tiba-tiba cenderung melihat PN sebagai jalan pintas untuk berkuasa. Mantera perpaduan ummah, laungan penyatuan merentas politik hilang dan dilupakan. Ramai yang mula dibuai kerusi empuk dan berasa enak memegang tampuk kekuasaan.”

Siapakah yang dimaksudkan Mohamad? Rasanya ramai yang tahu.

Namun walaupun tidak menganggap MN sudah tidak relevan, Mohamad berkata: “PAS teruslah dengan PN dan Umno teruslah dengan BN.”

Meskipun beliau juga berkata jika ada kemaslahatan ummah yang memerlukan Umno dan PAS bertemu dan berbincang, MN harus menjadi arenanya. Yang cukup menarik ialah kata-kata “PAS teruslah dengan PN, Umno teruslah dengan BN”.

Kata-kata itu jelas dan nyata. Ia ucapan selamat tinggal daripada Umno kepada MN dan PAS khususnya. Bagi saya itu kata-kata pemutus atau perpisahan.

Sekali lagi saya tegaskan itu kata-kata berani, jujur, terus-terang Timbalan Presiden Umno.

Apa pula langkah PAS?

Yang kita tahu Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhil Shaari, dilapor berkata tidak timbul soal PAS dibuai kedudukan dan jawatan sehingga gagal memilih sama ada hendak bekerjasama dengan MN bersama Umno atau PN dengan Bersatu.

“Bukan setakat dua kolam, 10 kolam pun kami boleh main demi perpaduan ummah dan memastikan PH tidak kembali berkuasa,” kata beliau.

Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, pula berkata perbincangan PAS dengan Umno akan berdepan kesukaran jika sesetengah kepimpinan parti terbabit masih bersikap seperti “abang long”.

Di sebalik kata-kata “keras” itu PAS tetap mahu menonjolkan imej “pendamai” – kononnya parti yang mahu menyelamatkan MN dan mahu mendamaikan Umno dengan Bersatu.

Dulu, PAS mendakwa hudud yang “diperjuangkannya” tidak dapat dilaksana di negara ini kerana kerajaan BN ketika itu menghalang. Sekarang PAS boleh mendakwa mereka sedaya upaya mahu menyelamatkan MN tetapi Umno yang degil.

Adakah ini yang disifatkan PAS “politik matang dan sejahtera”?

Tiga faktor PH tumbang dalam PRN Melaka

AZLAN MUSYABRI

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini telah mengejutkan banyak pihak atas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) mendapat dua pertiga majoriti iaitu sebanyak 21 kerusi DUN.

Begitu juga kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) yang tinggal hanya lima kerusi DUN berbanding 15 kerusi DUN pada PRU14 yang lalu serta wajah baharu Perikatan Nasional (PN) yang berjaya merangkul dua kerusi DUN.

Analisis kali ini akan membincangkan arus perubahan yang berlaku dalam kalangan pengundi PH, menyentuh tiga aspek iaitu sokongan mengikut kaum, peratusan keluar mengundi dan sokongan mengikut umur.

Analisis sokongan PH mengikut kaum

Dari perspektif sokongan pengundi, PH mendapat jumlah undi sebanyak 114,457 (35.8%) berbanding BN sebanyak 122,741 undi (38.4%), PN sebanyak 77,731 undi (24.3%) dan parti lain sebanyak 4,760 undi (1.5%).

Berdasarkan analisis dan perbandingan secara regresi dan agregat, didapati bahawa berlaku pengurangan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu yang mengundi PH yang mendapat hanya 14.3% sokongan Melayu berbanding 27.3% pada PRU14.

Pengundi Cina kekal sokongan mereka dan mengundi PH sebanyak 88.0% sokongan berbanding 89.3% pada PRU14 sementara pengundi India dan lain-lain menunjukkan pola menurun dengan mengundi PH sebanyak 47.0% berbanding 57.5% pada PRU14.

Kaum PRU14 PRN Melaka Perbezaan

Melayu 27.3% 14.3% -13.0%

Cina 89.3% 88.0% -1.3%

India & Lain-lain 57.5% 47.0% -10.5%

Peratusan keluar mengundi rendah – Penyokong PH tidak keluar mengundi?

Dari perspektif keluar mengundi, daripada 495,195 jumlah pengundi, sebanyak 319,689 undi diterima, menjadikan peratus keluar mengundi 64.6%.

Analisis secara regresi di peringkat negeri menunjukkan pengundi Melayu lebih ramai keluar mengundi, dengan peratus keluar mengundi sebanyak 72.3%. Sementara itu, pengundi Cina dan India/Asli tidak ramai keluar mengundi, masing-masing dengan peratusan sebanyak 52.4% dan 56.1%.

Peratusan ini kelihatan bersamaan di DUN-DUN yang ramai Melayu seperti Tanjung Bidara (71.5%) dan Serkam (72.8%), dan juga di DUN-DUN yang ramai Cina seperti Kota Laksamana (58.1%) dan Bandar Hilir (56.2%).

Tampaknya faktor takut kepada peningkatan kes COVID-19 memberi kesan kepada orang Cina dan India untuk tidak turun mengundi, dan seterusnya memberi kesan negatif kepada undi PH, meskipun sokongan mereka terhadap PH masih sama.

Sebagai contoh, di DUN Duyong, pada PRU14, undi Cina kepada PH adalah sebanyak 4,763 undi tetapi pada PRN undi Cina hanya 3,264 undi.

Jika hanya separuh lagi daripada 1,500 pengundi ini turun mengundi, pasti DAP dapat mengekalkan kerusi Duyong ini, namun itu tidak berlaku dan menyebabkan kehilangan kerusi ‘selamat’ PH, apatah lagi apabila menentang UMNO dan PAS.

Kejatuhan mendadak undi Melayu kepada PH ini memerlukan PH untuk menilai semula keberadaan mereka dalam arena politik ini dan penerimaan pengundi kepada agenda yang dibawa.

Analisis sokongan PH mengikut umur – PH hilang undi anak muda. 

Dari segi umur pula, pengundi muda dan pertengahan menunjukkan pola penurunan sokongan kepada PH yang drastik, masing-masing penurunan sebanyak 22.5% dan 17.2% dengan mendapat sokongan 32.5% dan 36.0% berbanding sokongan pada PRU14 sebanyak 55.0% dan 53.2%.

Pengundi tua pula mengekalkan sokongan mereka pada PRN kali ini sebanyak 42.3% berbanding 43.2% pada PRU14 yang lepas.

Kategori Umur PRU14 PRN Melaka Perbezaan

Tua 43.2% 42.3% -0.9%

Pertengahan 53.2% 36.0% -17.2%

Muda 55.0% 32.5% -22.5%

Undi muda yang dahulunya menjadi saluran utama penyumbang undi PH kini sudah kebocoran undi.

Namun, faktor pengundi luar juga memberi kesan, yang mana kebanyakan dari mereka yang tinggal di luar Melaka tidak turun mengundi, dengan peratusan keluar mengundi di saluran muda hanya 58%.

PH kini sudah hilang tarikan untuk undi muda. Dengan pelaksanaan Undi 18 pada PRU ke-15 akan datang, jika masih berlarutan, undi muda ini boleh menjadi penentu utama kepada kemenangan mana-mana parti bertanding, dan bukan lagi PH.

Ke mana pergi undi PH? Bagaimana PN dapat memberi saingan yang sengit meskipun masih baharu?

Apakah keputusan PRN ini dapat memberikan gambaran keputusan PRU-15 yang akan datang? Nantikan analisis seterusnya yang akan menyentuh seputar isu-isu ini.

*AZLAN MUSYABRI merupakan Penganalisis Data, Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

Polis siasat perarakan kematian guna helikopter, kuda

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

bhnews@bh.com.my

IPOH: Polis sedang menyiasat perarakan yang diiringi khidmat helikopter dan kuda di sekitar pekan Ipoh dipercayai membabitkan kematian seorang pemilik kedai pakaian tradisional India tertua di sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata satu laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya wujud sebarang kesalahan dan sama ada mereka mempunyai permit mengadakan perarakan.

Beliau berkata tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan laporan diterima berhubung kejadian yang turut tular di laman media sosial memaparkan rakaman video sebuah helikopter terbang rendah dan menaburkan bunga mengiringi perarakan itu.

"Kalau ikutkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), memang perarakan tidak dibenarkan khasnya perarakan membabitkan kematian... yang pasti memang ada pelanggaran SOP.

"Keduanya, adakan mereka mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk terbang rendah kerana kita tengok daripada video tular itu, ia (helikopter) terbang terlampau rendah. Jadi kita akan siasat dari pelbagai sudut untuk lihat ada atau tidak sebarang kesalahan yang wujud," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Pelancaran OP Cegah Jenayah Khas Polis Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, malam tadi.

Video tular berdurasi 30 saat tular memaparkan upacara perarakan kereta yang diiringi beberapa individu menunggang kuda selain kehadiran helikopter yang terbang rendah.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata pihaknya mengekalkan momentum penurunan indeks kadar jenayah membabitkan penurunan sebanyak 468 indeks apabila 2,576 indeks dicatatkan antara 1 Januari sehingga 26 November tahun ini berbanding 3,044 untuk tempoh sama tahun lalu.

Gambar dari klip video berdurasi 30 saat yang tular di Facebook memaparkan perarakan pengkebumian jenazah di Little India, pagi semalam, yang menggunakan helikopter dalam keadaan berlegar (hover) rendah seperti video tular di media sosial. Foto/ Video Tular

Gambar dari klip video berdurasi 30 saat yang tular di Facebook memaparkan perarakan pengkebumian jenazah di Little India, pagi semalam, yang menggunakan helikopter dalam keadaan berlegar (hover) rendah seperti video tular di media sosial. Foto/ Video Tular

Wanita dipaksa kahwin maut kena siram asid

Metro

Bandung: Seorang wanita di Jawa Barat maut selepas disiram 'air keras', sejenis asid selepas dikatakan berkahwin kerana terpaksa.

Sebelum ini, mangsa berusia 21 tahun itu sudah tiga kali menolak pinangan suaminya sebelum akhirnya bersetuju.

Persetujuan mangsa untuk berkahwin itu didorong desakan keluarga selain suaminya berulang kali melamarnya.

"Mangsa kelihatan seperti terpaksa kerana memikirkan keluarga," kata bapa saudaranya, Rizwan Maulana.

Suspek adalah lelaki berasal dari Timur Tengah dan menjadi rakan kongsi perniagaan ibu mangsa.

Menurut Rizwan, suspek sering berkunjung ke rumah mangsa namun jarang berkomunikasi kerana tidak fasih berbahasa Indonesia.

"Walaupun sudah enam tahun menetap di Indonesia namun suspek hanya boleh berbahasa Inggeris dan Arab saja," katanya.

Katanya, selepas berkahwin mangsa dilarang keluar rumah dan membeli barang keperluan harian selain tidak dibenarkan berinteraksi dengan orang sekeliling.

Suspek bertindak sedemikian hanya selepas bernikah walaupun sebelum ini perlakuannya disenangi keluarga isteri.

Siapa biang sebenar pecah belah ummah?

Bakar Suar

Politik Islam-Melayu di Malaysia kini dalam bahaya. Jika entiti seperti Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dungu serta tolol memahami erti perpaduan sebenar, seluruh masyarakat akan menyesal dan terperosok dalam kancah perhambaan politik.

Malah kengerian ini akan segera menjadi realiti jika pemain politik Islam-Melayu seperti PAS, Umno, dan Bersatu tidak ikhlas menguruskan peluang mencipta perpaduan sejati sesama mereka dan hanya menganggap perpaduan sebagai peluang mencari laba politik semata-mata.

Perpaduan adalah inti arkanul iman. Syahadah “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” yang apabila dijalin dengan mesej ayat “iya kanak budu” (hanya Engkau yang aku sembah) dalam surah Al-Fatihah, ia menjadi sumpah setiap Muslim, terutama para pemimpin politik, di hadapan Allah.

Ini kerana tugas utama pemimpin Islam ialah memastikan setiap muslim pimpinannya mesti mengenal Allah dan menyembah-Nya sahaja. Ini ialah tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan berjemaah yang diikat tali perpaduan; terutama dalam politik.

Perkara ini berulang kali disebut dalam Al-Quran. Sila rujuk kenyataan mutakhir Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang dilaporkan Harakahdaily. Maka yang enggan menghayati prinsip ini dikira kufur perintah Allah.

Yang menolak atau menyanggah perpaduan ummah adalah musuh Allah. Panduan menyulam perpaduan dimaktubkan dalam kitab-kitab yang diwasiatkan melalui para Rasul Allah telahpun disempurnakan dalam kitab Al-Quran.

Lantas pentafsiran ayat-ayat perpaduan mestilah dibuat dengan jujur, rukun, dan adil. Justeru, haram menentukan parameter perpaduan ummah yang berbalah dan bersengketa menurut naratif sejarah yang dipesongkan

Sudah lumrah umat Islam bertelagah dan bersengketa sesama sendiri, termasuk di Malaysia. Ia bermula dari isu adab dan hukum berpolitik, pendekatan dan metode berdakwah hingga adakala menjerumuskan pemimpin Islam dalam isu mengkafir saingannya.

Setelah lebih setengah abad bersilang pandangan dan pendekatan politik, kini PAS dan Umno kelihatan menghampiri keinsafan tentang bahaya berpecah-belah. Umno bimbang ia tidak lagi mampu terus mewakili suara dan iradat umat Islam dan bangsa Melayu.

Sementara PAS yang tidak pernah berhasil mendapat kepercayaan mutlak memimpin umat Islam dan Melayu menggunakan alasan kepentingan ummah terancam dek kuasa politik baharu yang dikenali Pakatan Harapan (PH) yang dibarisi PKR, DAP, dan Amanah bagi memperbaiki kedudukan politiknya.

Dalam PRU 2018 PH berjaya merampas hak mentadbir negara yang sebelum ini dimonopoli Umno bersama parti komponen BN. PAS dan Umno mencongak jika penyertaan masyarakat bukan Islam semakin besar dalam kerajaan, kepentingan Islam dan Melayu akan terancam.

Kebimbangan ini mendorong PAS dan Umno bekerjasama. Maka lahirlah Muafakat Nasional (MN). Kemudian atas alasan mahu melebarkan platform perpaduan ummah, PAS ikut serta dalam muafakat menubuhkan Perikatan Nasional (PN) dengan Bersatu.

Strategi PAS ini menimbulkan musykil. Dalam PRN Melaka yang baru lalu, PAS cenderung supaya Umno, Bersatu, dan PAS menjadi sekutu, walaupun maklum Umno keberatan.

Pendirian Umno wajar. Antaranya, Melaka diperintah Umno sebelum krisis politik yang memaksa PRN diadakan. Maka jika menang, Melaka bukan lagi milik Umno tetapi condong kepada PN. Sekaligus ia melonjakkan imej politik PAS-Bersatu seraya mengecilkan status quo politik Umno.

Walhal kedudukan politik PAS tidak pernah kukuh di Melaka sementara rekod politik Bersatu pula adalah sebagai parti yang mengamalkan budaya politik katak dan kewujudannya adalah didorong dendam kesumat presidennya, Muhyiddin Yassin, yang pernah dipecat Umno.

PAS juga tidak sensitif akan keperitan Umno yang ditumbangkan PH di mana Bersatu adalah salah satu komponennya bersama PKR, DAP, dan Amanah. PAS mengabaikan hakikat bahawa siasah Bersatu ini curang, tidak Islamik, dan tidak demokratik bila ia mengkhianati rakan kongsi PHnya.

Kemudian PAS tutup sebelah mata akan perangai jijik Bersatu yang memancing Ahli Parlimen PKR untuk mengurangkan majoriti PH keseluruhannya. Nampaknya yang PAS lihat dan kejar hanya peluang menjadi kerajaan.

Persoalannya ialah di mana akhlak dan nilai adil PAS? Ke mana imannya ketika menjadikan Umno sasaran kempen takfirnya tetapi kemudian berganding dengan parti (kafir itu) menubuhkan MN?

Haji Hadi menyusun ayat-ayat Quran untuk berhujah betapa perpaduan ummah itu satu perintah Allah. Hakikat tidak boleh disanggah. Bagaimanapun pelaksanaan dan strategi bertahap PAS nampaknya lebih menguntungkan PAS sahaja dan bukan ummah.

Sebenarnya, perpaduan ummah dalam sesebuah negara majmuk kaum dan agama seperti Malaysia mesti menjamin kerukunan hidup dan keadilan bagi setiap rakyat. Allah mengingatkan supaya kebencian pada sesuatu kaum itu membuat orang Islam berlaku tidak adil dan zalim.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, (Ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorongmu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana (adil) itu lebih dekat kepada taqwa. Dan, sungguh, Allah Maha teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.” (Al-Maidah: 8)

Usahlah curang dalam berpolitik. Jangan fitnah saingan ataupun buruk sangka serta benci kepada sesuatu kaum saingan kamu. Ini perintah Allah. Sebagai pemimpin, baik Umno, PAS, atau Bersatu wajib kawal kebencian terhadap sesuatu kaum membuat politikus muslim menzalimi hak kaum lain. Taatilah sempadan berpolitik yang digariskan Allah.

Mengkambinghitamkan sesuatu kaum yang dibenci adalah berdosa. Allah membaca niat di hati, termasuk pemimpin politik. Usahlah alasan memelihara dan mempertahankan kepentingan orang Melayu beragama Islam membuat umat Islam berdosa kerana menafikan hak bukan muslim.

Pendekatan politik untuk mematuhi perintah ini ialah meningkatkan silaturahim antara rakyat seluas-luasnya. Jangan terkejut dan kecewa dengan kekalahan PRU14 umat yang dipimpin Melayu sehingga hilang pedoman dan menjadikan bukan muslim musuh.

MN dan PN mesti inklusif. PH berjaya meleburkan rekod pemerintahan BN kerana ada pertimbangan yang khusus memelihara kepentingan rakyat bukan muslim. Ini baru patuh syariah Allah. PKR yang majoriti ahlinya Muslim dan parti Amanah yang lahir kerana kurang yakin dengan politik kebencian Pas juga faham dan akur pada aspirasi politik Islam ini.

Sebenarnya, konsep dan pendekatan politik Islam bukan sesuatu yang baru. Rasulullah sudah mengamalkannya menurut Piagam Madinah dan bekerjasama dengan bukan muslim. Kalau benar PAS parti Islam, ia wajib mematuhi adab politik ini.

Namun rekod ini bukanlah baru, perintah Allah sebenarnya sudah diamalkan di Malaysia melalui konsep BN. Berkat kepatuhan ini ialah kestabilan dan kemakmuran dinikmati di Malaysia sejak penubuhannya pada 1974.

Bagaimanapun nikmat ini mula ditarik balik Allah sesuai dengan kebijaksanaanNya apabila pimpinan BN mula tidak menghiraukan batas politik Allah. Banyak tindakan tidak amanah, tidak adil, dan zalim seperti mengabaikan hak orang lain.

Umno-BN hilang kuasa selama 22 bulan, tetapi menggunakan cara curang bersama PAS, Bersatu, dan beberapa parti lain untuk menumbangkan mandat PH. Amalan ini harus dihentikan. Usah guna hujah Al-Quran untuk mengekalkan kuasa.

Berpada-padalah berpolitik, jangan sampai mahu terus berkuasa sehingga rahmat yang dikendong berciciran. Generasi Muslim yang menyusul akan mencercamu.

Apabila perompak kerajaan Putrajaya disamun rakan sendiri

RAJA BAHRIN SHAH

Semasa pemerintah kerajaan Pakatan Harapan,  Menteri Kewangan ketika itu telah mengiktirafkan pemberian royalti minyak secara terus kepada Terengganu dan Kelantan mengikut formula yang telah dipersetujui dahulu.

Balasan kepada sikap baik kerajaan Pakatan Harapan ketika itu bagaimana pun dibalas dengan tuba, Pas yang memerintah Terengganu dan Kelantan mengejar ghanimah perang yang lebih lumayan dan berpakat dengan Umno dan Bersatu untuk menjatuhkan kerajaan PH.

Sekarang Menteri Kewangan telah menyatakan tiada lagi bayaran royalti tetapi hanya wang ehsan kepada Kelantan.

Kasihan Pas, akhirnya yang di kejar tak dapat dan yang di gendong berciciran. Itulah orang tua dah kata orang tamak selalu rugi.

Saya tidak hairan tindakan Umno dalam isu ini kerana wang RM10 juta di beri kerajaan pusat ke Terengganu semasa awal krisis Covid-19 langsung tidak dikongsi oleh Pas dengan Umno Terengganu sehinggalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato Seri Ahmad Said membuat aduan rasmi.

Walaupun Umno memegang 10 kerusi DUN dari 32 DUN dalam kerajaan bersama Terengganu, satu kerusi EXCO pun tidak diberi kepada Umno.

Begitu jugalah perlantikan GLC di mana ADUN Umno diketepikan.

Menteri Besar Terengganu tidak mengambil kisah rakan sama kerajaan Terengganu dari Umno kerana terlalu sibuk melayan ahli korporat luar Terengganu seperti Tan Sri Vincent Tan dan Datuk Daeng Malek yang sangat kaya.

Jadi apa nak dihairankan tentang penarikan semula royalti oleh kerajaan pusat Umno? Pas memang tak reti berkongsi dengan kawan.

Agak aneh dan lucu idea Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan jawatankuasa khas Putrajaya dan Kelantan ditubuhkan bincang isu royalti apabila Pas mempunyai beberapa Menteri dan Timbalan dalam Kerajaan!

Tidak ada jawatankuasa khas pun masa nak tumbangkan Kerajaan PH tapi boleh berjaya!

Fikirlah Pas, kerajaan PH memberi Royalti terus kepada Terengganu dan Kelantan tanpa apa apa rundingan atau tawar menawar.

PH memberi hak sebenar dengan ikhlas kepada negeri yang 97% penduduknya Melayu Islam.

Pas berada di dalam kedua-dua kolam Melayu Islam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional. Tiada DAP pun hendak “sabotaj” dalam kedua-dua kolam tersebut.

Takkanlah tiga parti besar terulung Melayu Islam mahu mengkhianati satu sama lain dalam isu wang lumayan dari hasil minyak?

Kerajaan Pakatan Harapan telah memberi hak Royalti yang  sepatutnya kepada negeri-negeri Pas, tetapi sebagai terima kasih Pas bersekongkol menjatuhkan dan mengkhianati budi Pakatan Harapan.

Kasihan Pas yang bersama Umno dan Bersatu merampas Putrajaya dari Pakatan Harapan, kini hak wang Royalti telah dirampas oleh kawan sendiri!

Inikah caranya gagasan kerajaan Melayu Islam terbesar bermuafakat?

AMANAH Kedah: Mahiaddin bapa PKP, Ismail Sabri pula bapa pembaziran

MALAYSIA DATELINE

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat meneruskan dasar membazirkan duit negara melalui konsep ‘scheme of things’ dengan melantik beberapa orang penasihat khas yang bertaraf menteri sudah tentu memerlukan ratusan ribu ringgit setiap bulan untuk gaji dan elaun mereka.

Pengarah Biro Komunikasi AMANAH Kedah, Dato Dr Ismail Salleh berkata, negara masih lagi dalam Pelan Pemulihan (PPN) di mana rakyat boleh memulakan semula pekerjaan atau perniagaan masing-masing setelah tidak boleh berbuat demikian kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malangnya, kata beliau di kala rakyat berdepan laluan sukar untuk mengisi periuk nasi mereka, tidak ada tindakan yang tegas diambil oleh pihak kerajaan dalam usaha menangani isu kenaikan harga barang hari ini.

“Rakyat bawahan B40 baru sahaja beroleh rentak menguruskan pekerjaan atau perniagaan masing-masing, mereka terpaksa bertarung semula dengan laluan sukar, terpaksa mengikat perut kerana kenaikan harga barang yang sangat ketara dan mendadak.

“Barangan basah keperluan harian, sayur-sayuran, telur, bawang, minyak masak, ayam naik harga sehingga melebihi 50 %, dan trend kenaikan berterusan untuk beberapa bulan yang akan datang.

“Barangan pembinaan dan barangan hardware juga meningkat berkali-kali ganda,” kata beliau.

Beliau berkata, melantik Datuk Seri Jamil Khir sebagai Penasihat Agama tidak ada bezanya dengan kerajaan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, Ismail Sabri terus melakukan rasuah jawatan dan pembaziran terhadap wang rakyat.

“Sebelum itu kerajaan telah pun melakukan dua pembaziran bermula dengan lantikan size kabinet yang terlalu besar, di ikuti dengan perlantikan jawatan bertaraf menteri yang sememangnya tidak di perlukan sama sekali.

“Hari ini kita di gemparkan lagi dengan pelantikan seorang lagi Penasihat Khas Agama kepada Perdana Menteri yang bertaraf menteri, tidak cukup dengan tiga penasihat yang sedia ada.

“Rakyat seterusnya menunggu berapa banyak lagi pembaziran wang rakyat yang akan di buat oleh Perdana Menteri ini.

“Kalau PM lantikan MP yang pertama, Tan Sri Mahiaddin di gelar sebagai Bapa PKP, maka eloknya PM kedua lantikan MP ini di gelar Bapa Pembaziran,” katanya.

Tidak ada beza pun antara Pas, Umno, Bersatu

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Petang tadi terpandang dalam WA mesej ini;

“Salam YB. Saya Juani, wartawan Utusan Malaysia”.

Boleh saya minta komen berkenaan wajah sebenar Pas yang pilih bulu dalam rakan kerjasama politik.

Dulu dengan PKR dan DAP, selepas dengan Umno, sekarang dengan Bersatu.

Adakah Pas pilih rakan yang menguntungkan mereka sahaja?”

Saya jawab

” Wassalam Saudara. Terima kasih atas soalan.

Ini komen saya ya.

Jujurnya saya tidak boleh bercakap bagi pihak Pas.

Dalam konteks politik Malaysia, maaf cakap, saya sebenarnya tidak nampak ada perbezaan besar pun antara Pas, Umno dan Bersatu. Ketiga-tiganya bersekongkol dalam mengkhianati mandat rakyat yang diberikan pada PH pada 9/5/2018.

Dalam konteks tidak hormat rakyat, Umno lagi teruk dari Pas. Di Perak, Umno BN pernah rampas mandat rakyat semasa YB Nizar menjadi MB.

Yang peliknya, Pas masih boleh bersama dengan Umno pulak selepas itu.

Ya, Pas satu waktu dahulu pernah bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat untuk lawan Umno/BN (Pas juga pernah bersama Umno BN lama sebelum itu lagi untuk jadi Kerajaan pada tahun 70 an)

Bila PH diberi mandat rakyat untuk tadbir Malaysia, Pas juga boleh merestui tindakan menebuk atap (maaf saya guna istilah YB Marang) melalui Langkah Sheraton bersama-sama Umno/BN dan Bersatu.

Oleh itu, untuk berlaku adil, tidak ada beza sebenarnya antara Pas, Umno dan Bersatu dalam hal ini. Itu pandangan saya.

Hakikatnya itulah wajah sebenar mereka- tidak hormat roh demokrasi contohnya tidak hormati “vox populi” (suara rakyat).

Tapi ironinya, depa bertiga masih tak malu nak sebut nama rakyat.”

Itu komen saya.

‘Buli jalan raya’ rampas beg tangan, ditahan polis

FMT Reporters

Video tular berdurasi satu minit 30 saat itu menunjukkan gelagat seorang lelaki meminta kad pengenalan wanita yang terlanggar keretanya sebelum merampas beg tangan wanita berkenaan.

PETALING JAYA: Lelaki tempatan yang dipercayai merampas beg tangan dari kenderaan wanita yang terlanggar keretanya di kilometer 14.6 Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur, telah ditahan polis bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata, suspek ditahan kira-kira jam 6.30 petang semalam selepas membuat laporan polis berhubung kemalangan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. 

“Siasatan mendapati, kemalangan yang tular di media sosial itu berlaku pada 1.33 tengah hari (semalam) membabitkan tiga kenderaan.

“Kejadian berlaku apabila wanita yang memandu kereta BMW terlanggar belakang sebelah kanan kereta Proton Gen 2 dipandu lelaki terbabit di hadapannya.

“Pelanggaran itu menyebabkan kereta lelaki yang berusia 56 tahun itu terlanggar sebuah lagi kereta jenis Honda HRV di hadapan yang dipandu oleh seorang wanita. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut laporan Harian Metro.

Video tular berdurasi satu minit 30 saat itu menunjukkan gelagat lelaki terbabit meminta kad pengenalan wanita yang terlanggar keretanya dipercayai untuk membuat laporan polis.

Dia kemudian bertindak merampas beg tangan wanita terbabit dan membawanya ke kereta sambil mengarahkan wanita berkenaan mengikutnya membuat laporan polis.

Kejadian dipercayai berlaku berhampiran stesen minyak Shell dan Petron di Lebuhraya Persekutuan sebelum susur ke Seksyen 13 serta Lebuhraya Guthrie. 

Selain itu, Baharudin berkata polis turut membuka kertas siasatan berhubung tindakan lelaki berkenaan mengikut Seksyen 379/323 Kanun Keseksaan.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan diminta membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam, Sarjan Hafizi Hashim (013-9557042),” katanya.

Adegan Tiga Abdul politik Malaysia

FAIZ FADZIL

Antara filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang saya cukup minat adalah filem Tiga Abdul. Filem ini penuh dengan adegan lucu dan banyak pengajaran kepada kita umat Melayu dalam menjaga keharmonian keluarga dan kasih sayang adik-beradik.

Abdul Wahab dan Abdul Wahib, dua orang abang yang tamak menafikan harta Abdul Wahub, tetapi ayah mereka bijak menyimpan rizab harta di luar negeri untuk Abdul Wahub.

Setelah 57 tahun berlalu, filem Tiga Abdul ini mengingatkan saya kepada politik negara hari ini. Plot Tiga Abdul ini seolah-olah muncul kembali dengan adanya tiga parti di pihak kerajaan hari ini iaitu Umno, Bersatu dan Pas.

Bersatu dan Umno adalah dua pemain layar utama yang merampas kerajaan tanpa pilihan raya yang mempermainkan undi rakyat dalam PRU ke-14 lalu kerana tamakkan kuasa, manakala Pas ibarat pak turut yang gilakan kuasa.

Watak ini sedikit berbeza dengan filem Tiga Abdul kerana Abdul Wahub adalah insan ‘innocent’ dan ‘decent’ berbeza dengan Pas. Namun, plot utama filem ini ada persamaan dari sudut perebutan harta pusaka. Hari ini, ketiga-tiga parti berebut harta rakyat. Rasuah dan penyelewengan terus berlaku sejak zaman pemerintahan Umno sehinggalah Bersatu.

Pemimpin hidup mewah, rakyat semakin menderita. Tetapi sebahagian rakyat masih ada yang belum sedar, leka dengan pemberian RM1,000 wang prihatin dan melihat kekayaan pemimpin seperti menonton filem sahaja.

Jika rakyat sedar adegan dua darjat dalam politik negara hari ini bukan ‘fiction’, sudah pasti mereka akan marah. Kenapa tidak, “aku dapat seribu ringgit, mereka dapat seribu juta”. Walhal gaji mereka sudah berpuluh ribu ringgit.

Berbalik kepada filem Tiga Abdul, yang membuatkan saya tertarik adalah wang royalti Kelantan yang ditarik balik dan dijadikan wang ihsan. Zaman PH, rakyat Kelantan dijaga baik dengan pemberian wang royalti sebanyak RM400 juta.

Jika wang itu dibeli Mercedes sekalipun, ia tetap okey, sekurang-kurangnya untuk pemandangan rakyat Kelantan. Rakyat pula dihidangkan ‘teh tarik’, itupun sudah cukup membuatkan sesetengah rakyat Kelantan bersyukur kerana menurut pak menteri, ianya lebih baik daripada mandi di sungai. Dalil ini diterima tanpa was-was.

Apabila Umno dan Bersatu menjadi kerajaan sekarang, ditarik balik wang royalti ini dan diganti dengan wang ihsan. Pas sugul menerima wasiat ini kerana Pas takut hilang kuasa di Pusat.

Jika di zaman Dato’ Asri Muda dulu, Pas menarik diri daripada kerajaan Pusat disebabkan kerana perintah darurat di Kelantan. Inilah semangat jantan Pas ketika itu yang menjaga rakyat Kelantan.

Tetapi kini Pas sudah tidak jantan lagi. Yang boleh selamatkan hak rakyat Kelantan ini adalah rakyat sendiri. Sepertimana filem Tiga Abdul, bapa mereka (Ismet Ulam Raja) yang bijak menyimpan harta luar negeri untuk Abdul Wahub.

Namun, dalam politik negara hari ini, watak Ismet itu tidak wujud, tetapi kebijaksanaan Ismet itu yang perlu diikuti rakyat Kelantan. Petroleum itu hak bumi Kelantan. Jadi, orang Kelantan berhak belaka menuntutnya.

Janganlah berdiam diri lagi. Cukuplah kalian ditindas. Jangan sampai ‘mu kena jual’ sepertimana adegan di plot-plot terakhir filem Tiga Abdul.