Pakai seluaq tak pa ka jadi imam?

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Waktu Maghrib dah lama masuk. Azan pun sudah. Jemaah datang seorang demi seorang. Tujuh orang semuanya. Ada yang solat sunat, ada yang menyandar dinding macam aku.

“Abang jadi imam boleh?” Kata lelaki yang azan tadi kepada seorang lelaki sebelah aku. Lelaki ini berkain pelikat, berketayap putih. Ada janggut sejemput. Dia geleng-geleng kepala.

“Tak ada imamlah… Tok imam tak datang”, kata lelaki yang azan tadi.

Dia nampak resah. Makmum lain pun tinjau-tinjau pintu, kalau-kalau imam datang. Waktu Maghrib sudah mencecah dewasa.

“Kalau tak dak tok imam, saya pun boleh…!” Aku menyampuk. Lelaki azan tadi merenung aku. Macam tak percaya. “Tak pa lah…”. Dia berlalu dan iqamat.

“Sila bang, jadi imam”. Aku memandang lelaki berketayap sebelah aku. Dia geleng-geleng. Tak mahu. Akhirnya aku bangun menuju ke sejadah imam dengan tidak sungguh-sungguh, berat hati.

“Pakai seluaq tak pa ka jadi imam?” Aku tanya lelaki yang azan. “Bolehlah…!” Dia jawab. Aku pun takbiratul ihram jadi imam. Suara aku bergetar. Jantung aku berdebar-debar.

Suara bacaanku tergetar-getar. Padahal aku pernah jadi imam masjid negeri, jadi imam terawikh Ramadhan. Raja pun pernah berimamkan aku. Entah kenapa, hari ini aku jadi gementar.

Inilah pertama kali aku jadi imam di surau kampung aku setelah setahun aku menetap di sini. Biasanya aku jadi makmum saja. Makmum lain pun tak ambil kisah dengan aku.

Hari ini, Maghrib tadi, aku jadi imam. Imam yang pakai seluar, t-shirt dan topiah. Tak thiqah langsung…!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan