Pas ‘kena berak’ selepas ubati ‘itik patah kaki’

MALAYSIA DATELINE

Nasib yang menimpa Pas dan presidennya disifatkan ‘kena berak’ selepas mengubatkan ‘itik yang patah kaki’.

Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin berkata, itulah nasib presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Itulah Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Dulu pasal apa susah-susah ubatkan itik patah kaki? Bukankah sekarang dah kena berak?” kata Kadir, bekas penasihat media perdana menteri itu.

Kadir memberikan pandangan itu selepas Abdul Hadi menyifatkan nasib yang diterima oleh Pas adalah umpama ditinggalkan oleh itik yang patah kaki selepas ia diubati.

Abdul Hadi mengumpamakan Umno seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

Dia berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar Muafakat Nasional (MN) yang dirintis selepas pilihan raya umum lalu.

“Tapi malangnya, kita bukan nak ajar itik berenang. Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya (ke) 14.

“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.

“Malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” kata anggota parlimen Marang yang sering menggunakan nama binatang dalam analogi politiknya.

Hadi berkata demikian selepas Umno mengumumkan akan bertanding secara solo dalam PRN Johor.

Umno juga hanya menawarkan empat kerusi kepada Pas jika parti itu mahu bekerjasama dengan mereka yang ditolak mentah-mentah oleh Pas dengan menyifatkan ianya terlalu sedikit.

Bersatu pula menawarkan 16 kerusi untuk Pas bertanding dalam PRN Johor di atas lambang Perikatan Nasional (PN).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan