Nasi goreng kosong RM6, polis siasat kes gaduh di restoran nasi kandar

Afiq Mohd. Shah

POLIS membuka kertas siasatan berhubung kes pergaduhan di sebuah restoran nasi kandar di Bahau, Negeri Sembilan yang kejadiannya tular dalam Twitter sejak semalam. 

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, siasatan itu susulan satu laporan daripada seorang lelaki pada pukul 2.31 pagi semalam mendakwa ditumbuk semasa berada di kaunter restoran nasi kandar berkenaan. 

Menurut beliau, kejadian dipercayai bermula selepas ibu pengadu bertindak mempertikaikan harga makanan iaitu nasi goreng kosong dan telur yang berharga RM6. 

Chang Hook berkata, juruwang restoran tersebut kemudiannya didakwa meninggikan suara terhadap ibu pengadu terbabit. 

“Situasi ini menyebabkan pengadu berasa berang dan mengambil kotak tisu serta membaling ke arah juruwang menyebabkan terkena barang-barang di atas kaunter. 

“Salah seorang pekerja yang melihat perbuatan pengadu terus menumbuk mangsa. 

“Beberapa pekerja lain yang melihat kejadian telah cuba meleraikan pergaduhan tersebut termasuk pelanggan yang berada di restoran. 

Baca artikel berkaitan: Pemandu MPV potong baris disaman polis

“Restoran itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tetapi tidak berfungsi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Chang Hook turut menafikan dakwaan bahawa polis telah campur tangan untuk menyelesaikan kes tersebut atau ‘setel tepi’. 

Beliau menegaskan, polis telah mengambil tindakan mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan tanpa menyebelahi mana-mana pihak. 

“Kes masih dalam siasatan, mana-mana pelanggan dan orang awam yang berada di dalam restoran tersebut diminta tampil membantu siasatan. 

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dengan seberapa segera untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. 

“Orang awam dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi di Twitter yang boleh mengganggu siasatan dan ketenteraman awam,” jelas beliau. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan