Tiga lelaki rompak wang tunai RM1 juta, barang kemas dari kedai pajak

Syaherah Mustafa

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Tiga lelaki menjadi buruan selepas terbabit dalam rompakan wang tunai bernilai RM1 juta dan pelbagai barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 4.45 petang ketika pemilik bersama lima pekerja di premis berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, premis terbabit didatangi tiga lelaki bertopeng dengan dua daripadanya bersenjata dipercayai pistol dan seorang lagi menggunakan pisau.

Menurutnya, mangsa bersama pekerjanya diikat dan diarahkan berada di bawah meja.

Katanya, mereka dipaksa membuka pintu besi dan mengisi wang tunai serta barangan kemas ke dalam beg yang diberikan oleh salah seorang suspek.

"Suspek kemudian mengambil kunci Perodua Alza berwarna putih milik mangsa sebelum melarikan diri.

"Susulan kejadian, polis mengadakan Ops Tutup dan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh Kelantan selain kawalan serta sekatan di pintu sempadan Malaysia-Thailand.

"Polis juga memantau pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok bagi mengesan kesemua suspek serta kenderaan yang dilarikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Zaki berkata, sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) berjaya menemui Perodua Alza terbabit di Kuala Jambu, Tumpat pada 12.30 tengah malam tadi.

"Anggota kemudian membuat pemerhatian serta mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan dalam keadaan tidak berkunci dan kunci ditemui di kerusi penumpang hadapan.

"Kesemua mangsa dan saksi dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan