Buktikan PH ambil rasuah, Amanah beritahu Hadi

Sean Augustin

PETALING JAYA: Amanah mencabar Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH) “mengumpulkan pemberi dan penerima rasuah”.

Timbalan presidennya, Salahuddin Ayub, berkata sebagai seorang cendekiawan Islam, Hadi sepatutnya lebih maklum bahawa umat Islam dilarang membuat tuduhan tanpa menyertakan sebarang bukti.

Justeru, Hadi mesti membuktikan dakwaannya bahawa gabungan pembangkang itu menerima dan memberi rasuah, katanya.

Salahuddin menyuarakan rasa hairan dengan dakwaan terbaru Hadi bahawa parti itu menolak sebarang kerjasama dengan PH, disebabkan gabungan itu memberi dan menerima rasuah.

Sebaliknya, katanya, PAS masih sedia bekerjasama dengan Umno sedangkan ada antara pemimpin parti itu telah pun disabit dengan kesalahan rasuah.

“Jadi, apa mesej yang mahu disampaikan kepada umum? Bahawa anda boleh menutup mata kepada rasuah apabila melibatkan pihak tertentu?”

Charles Santiago dari DAP turut sependapat dengan berkata, Hadi masih belum menjelaskan penyelesaian kes berjumlah RM1.4 juta dalam saman fitnah terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Rewcastle Brown sebelum ini mendakwa PAS telah menerima wang daripada Umno beberapa tahun sebelum pilihan raya umum terdahulu.

“Jadi, beliau tidak patut menuding jari sedangkan tangannya juga kotor,” katanya.

Ahli Parlimen Klang itu turut berkata, jika kenyataan terbaru Hadi itu diteliti, ia sekadar satu lagi serangan terhadap orang bukan Melayu, dan beliau menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Katanya, kenyataan terbaru Hadi itu menyusuli tindakannya mengaitkan rasuah dengan orang bukan Islam.

“Beliau mengapi-apikan perkauman dan ini sesuatu yang tidak wajar.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan