Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my
Tumpat: "Saya hanya tahu menantu pernah terbabit dalam perniagaan rokok seludup sahaja, tapi kegiatan lain yang menyalahi undang-undang saya tidak tahu," kata bapa kepada ejen produk kosmetik yang dilarikan sekumpulan lelaki, petang kelmarin.
Warga emas berusia 70 tahun itu berkata, hatinya berasa berat untuk mempercayai bahawa menantunya berusia 36 tahun itu terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah kerana dia banyak menjalankan perniagaan termasuk memelihara haiwan ternakan.
"Yang saya tahu, dia (menantu) ada jual rokok seludup sahaja, selain itu saya tak tahu, rasa susah nak percaya.
"Tapi kalau dia betul-betul terbabit (dalam kes jenayah), kenapa perlu libatkan anak saya, kenapa dia yang diculik," katanya ketika ditemui di rumahnya di Wakaf Bharu, di sini, hari ini.
Menurutnya, sehingga kini dia berasa ralat kerana gagal menyelamatkan anak perempuannya ketika bergelut dengan dua lelaki yang mengheret mangsa untuk masuk ke dalam kereta.
Katanya, jika tidak difikirkan pistol yang ditunjukkan seorang penjenayah, dia pasti akan menyerang semula demi menyelamatkan anak keenam daripada 12 beradik itu.
"Saya rela mati demi anak dan ketika kejadian, saya diacu sebilah pisau oleh lelaki itu, namun masih cuba melawan sebelum terpaksa berundur apabila ditunjukkan pistol," katanya.
Sementara itu, ibu mangsa yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima pula berkata, sehingga kini perasaan trauma masih dirasai dan sedikit-sebanyak menjejaskan tahap kesihatannya.
Sambil memohon agar orang ramai mendoakan keselamatan anaknya dan dipulangkan dengan selamat, dia merayu agar tidak ditularkan berita yang tidak benar mengenai keluarganya.
"Entah bagaimana nasib anak (perempuan) saya sekarang yang katanya sudah dibawa ke negara jiran, hidup atau mati kami tidak tahu, tapi jauh di sudut hati saya mengharapkan anak ditemukan dengan selamat," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, ejen produk kosmetik berusia 36 tahun itu dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Wakaf Bharu, di sini, dengan menaiki kereta Toyota Vios.
Malah, penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui di Kampung Kuala Jambu, kira-kira 10 malam tadi.
Sementara itu, siasatan awal pihak polis mendapati suami kepada mangsa terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah dan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun ditahan bagi membantu siasatan, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan