Dari kolam lepas ke parit terus ke pantai – Mudahnya hidup penternak babi di Tanjung Sepat!

DANIAL HAKIM

Kumbahan najis ternakan babi di Tanjung Sepat disalirkan dari kolam lepas ke perparitan di luar premis dan akhirnya ke perairan pantai.

Kaedah penternakan babi secara konvensional iaitu bukan secara kandang tertutup dikesan menyebabkan masalah pencemaran sumber air di daerah Kuala Langat di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, berkata, pengurusan kumbahan najis ternakan hanya melalui pengumpulan di kolam-kolam takungan di dalam premis ternakan sebelum efluen itu akhirnya ke perairan pantai.

Beliau hari ini mengadakan lawatan bersepadu ke atas beberapa premis ladang ternakan babi di Tanjung Sepat bersama agensi berkaitan.

Antaranya Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat (PDTKL) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Hee Loy Sian (berpelitup muka) ketika meninjau premis ladang ternakan babi di Tanjung Sepat bersama agensi berkaitan hari ini.

Susulan itu katanya, beberapa tindakan dan usaha lanjut akan dilakukan segera antara JPV akan mengarahkan semua pengusaha terbabit melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan ke atas ladang ternakan dan sistem kumbahan dengan segera.

“Najis ternakan perlu dilupuskan di luar kawasan ladang ternakan dan dihantar ke tapak pelupusan yang dibenarkan.

“LUAS akan mengarahkan pemilik tanah berkaitan untuk melaksanakan segera tindakan pemulihan saliran parit di dalam tapak sehingga air yang dilepaskan keluar daripada lot tanah tidak mencemarkan.

“Pensampelan kualiti air juga akan dilaksanakan dan tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat elemen pencemaran berlaku,” jelasnya dipetik BH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan