Muhyiddin serang PM petanda PRU15 makin hampir?

SK Devi

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik melihat kritikan terbuka Perikatan Nasional (PN) terhadap Jemaah Menteri pimpinan Ismail Sabri Yaakob sebagai tanda pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semakin hampir.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, serangan terbuka itu, terutama terhadap dasar ekonomi adalah luar biasa.

Beliau memberitahu FMT, isu sedemikian biasanya akan dibiarkan saja, tidak seperti perbalahan antara Barisan Nasional (BN)dan PN.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, katanya, secara terbuka mengkritik Ismail dan menyindir pentadbiran ketika ini tidak cekap.

“Muhyiddin cuba menarik lebih ramai pengundi ke pihaknya dan mendesak pilihan raya diawalkan. Ini bermakna PRU15 semakin hampir,” katanya.

Azmi juga melihat kritikan Muhyiddin itu sebagai serangan terhadap Umno memandangkan Ismail adalah naib presiden parti itu.

Katanya, Muhyiddin meletakkan Ismail dan Umno di kedudukan sukar, apabila beliau mendakwa banyak cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN), yang dipengerusikannya, tidak dipertimbangkan kerajaan.

“Sukar untuk Ismail dan Umno mempertahankan diri mereka kerana ekonomi tidak berada dalam keadaan baik.”

Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata, hanya 16 daripada 69 cadangan kepada Jemaah Menteri dilaksanakan sepenuhnya, manakala 30 lagi masih dalam proses, 14 belum dilaksanakan dan sembilan menunggu keputusan Jemaah Menteri.

Serangan terbaharu Muhyiddin terhadap Ismail menyusul lebih seminggu selepas beliau menyarankan Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15, jika Ismail gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

Ismail membalas kritikan Muhyiddin dengan berkata, jika kerajaan dikatakan gagal menguruskan ekonomi dan negara, ia bermakna MPN juga gagal apabila ditugaskan menjadi penasihat kepada kerajaan.

Seorang lagi penganalisis dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berkata, Muhyiddin bersikap “optimis dari segi politik” dengan menyerang Ismail secara terbuka.

“Bagaimanapun, memang ada kekecewaan dalam kalangan komuniti perniagaan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan