Jamal Abdillah minta maaf selepas buat video fitnah perkauman menerusi TikTok

SITI NUR ZAWANI MISCON

Penyanyi lagenda, Jamal Abdillah, baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang menyeru rakyat tidak mengundi sebuah parti yang didakwanya anti-Islam sehingga menindas umat Islam dalam beberapa perkara termasuk melarang laungan azan. 

Hantaran video yang dimuatnaik di TikTok itu kemudiannya tular sehingga mendapat perhatian netizen khususnya penduduk Pulau Pinang yang menafikan dakwaan tersebut dan menganggap Jamal membuat fitnah demi propaganda politik.

“Saya orang Penang, majlis ilmu di masjid dan surau boleh dikatakan setiap hari dan azan subuh pula dua kali. Tahfiz banyak ada kat Pulau Pinang,” jelas salah seorang penduduk Pulau Pinang terhadap kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan penyanyi tersebut.

Sebahagian dari mereka kemudian mengkritik dan mengakui hilang hormat terhadap penyanyi itu yang dikatakan sesuka hati menabur fitnah.

Susulan itu, Jamal hari ini menerusi video terbaru di TikTok tampil memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia tentang kenyataan yang dikeluarkannya.

Dia juga memohon maaf kepada DAP kerana membuat tuduhan terhadap parti itu berkenaan isu yang di luar pengetahuannya tentang politik.

“Kepada semua peminat dan rakyat Malaysia yang mengikuti saya punya TikTok, saya sebenarnya mendengar kata-kata anda tentang isu yang saya sebutkan semalam.

“Dengan rasa rendah dirinya saya memohon ribuan ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana saya spin benda itu dalam keadaan saya tidak ketahui. Dan sebagai seorang rakyat Malaysia, kita memang tak mahu perkara-perkara ini berlaku.

“Apa pun pada DAP khususnya, saya rasa saya mohon ribuan ampun dan maaf kalau kesilapan itu saya dah lakukan,” katanya.

Pada masa sama, Jamal berkata, isu berkenaan larangan melaungkan azan di Pulau Pinang adalah cakap-cakap yang didengarinya dari perbincangan bersama rakan dan mendakwa isu itu pernah tular sekitar empat tahun lalu.

Dia juga mengatakan tindakan itu dibuat kerana merasa bimbang kepada generasi akan datang, bagaimanapun mengakui tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sebegitu dalam videonya.

“Perkara ini pernah viral dulu dalam perbincangan dengan kawan-kawan. Saya tanpa ada pengetahuan tentang politik, hanya kerana kebimbangan pada generasi akan datang, saya buat video. Video itu tak sepatutnya saya tak buat.

“Saya harap peminat-peminat saya dapat pertimbangkan, nilaikan adakah benar apa yang saya cakap dan pernahkah terjadi atau tidak itu terpulang kepada masing-masing.

“Semoga dengan pencerahan ini, tidak ada lagilah yang cakap saya ni memfitnah kerana perkara ini pernah tular 4, 5 tahun dahulu,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan