Kelindan lori hina Islam di Facebook didenda RM12,000

NUZULSHAM SHAMSUDDIN

KUALA LUMPUR – Gara-gara membuat komen jelik menghina agama Islam di laman sosial Facebook, seorang kelindan lori didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Tham Wai Yuen, 49, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah.

Sekiranya jumlah denda itu gagal dibayar, OKS boleh dipenjara selama enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Wai Yuen didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang jelik sifatnya di ruangan komen yang menghina agama Islam menggunakan akaun Facebook miliknya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran komen yang dibuat pukul 2.30 petang pada 4 April 2020 itu kemudian telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini pukul 5 petang pda 20 April lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Norazman memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada OKS dan masyarakat dengan mengambil kira komen jelik yang dibuat oleh lelaki itu.

Bagaimanapun peguam Zaid Abd Malek mewakili OKS memohon anak guamnya hanya dikenakan hukuman denda dengan jumlah yang minima kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai kelindan lori selain meenghidap penyakit darah tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan