Ongkili bakal ‘tumbang’ selepas 18 tahun?

Tracy Bul

KOTA KINABALU: Perebutan kerusi Kota Marudu menarik perhatian pemerhati di Sabah, dalam pada desas-desus mengatakan keadaan mungkin “memudaratkan” Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili.

Sejak 18 tahun kebelakangan ini, Kota Marudu menjadi tugu kuat Ongkili yang juga menteri persekutuan bagi hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, beliau berdepan saingan sengit dalam pilihan raya umum 19 November ini, iaitu daripada bekas pembantu menteri Sabah Wetrom Bahanda dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM).

Sumber di Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disertai PBS berkata, kaji selidik mereka menunjukkan Ongkili mungkin berdepan masalah.

“Mereka meminta wajah baharu. Ini bukan mengenai parti, tetapi wakilnya.

“Wetrom sangat popular disebabkan kerjanya ketika bersama Barisan Nasional (sebelum menyertai Perikatan Nasional), dan popularitinya terus meningkat disebabkan interaksinya dengan rakyat,” kata sumber itu.

Menurut sumber berkenaan, pengkritik Ongkili mendakwa beliau tidak banyak “turun padang” seperti sepatutnya, selain tidak berjaya membawa perubahan kepada kawasan berkenaan, malah ia masih kekal antara 10 daerah termiskin di negara ini.

Wetrom yang juga ADUN Bandau memang telah lama menyasarkan kerusi berkenaan, malah sejak menjadi ketua Umno Kota Marudu lagi.

Bagaimanapun, sumber PBS menyuarakan keyakinan terhadap keupayaan Ongkili mempertahankan kerusi itu di bawah tiket GRS.

Ongkili yang berjaya mempertahankan kerusi Kota Marudu dalam pilihan raya 2018 dengan majorit 1,774 undian, bakal berentap dengan Wetrom, Jilid Kuminding (Warisan), Shahrizal Denci (Muda), Azmi Zulkiflee (GTA) dan Norman Tulang (Bebas).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan