Ku Li: Negara perlu calon PM bukan ‘boneka’, tak mudah tunduk pada tekanan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Negara memerlukan calon perdana menteri kuat dan bukan “boneka” yang lemah, selain mudah tunduk kepada tekanan, kata calon Barisan Nasional (BN) di Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Katanya, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), rakyat perlu memilih parti menampilkan calon berkebolehan untuk bekerja selepas diberi mandat menjadi pemimpin dalam memulihkan semula negara selepas serangan Covid-19.

“Calon PM perlu memiliki kekuatannya tersendiri dan bukan seorang boneka yang begitu lemah, tidak memiliki kekuatan jati diri dan mudah tunduk kepada tekanan.

“Jadi, kita nak kepada orang bukan nak isi jawatan tetapi mestilah berkelayakan dan boleh bekerja. Kena kerja, kalaulah kerja satu hari 12 jam, jadi sekarang kita nak orang yang bekerja 20 jam,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, untuk menubuhkan sebuah kerajaan cekap dan stabil, pengundi perlu membuat pilihan bijak dengan memilih calon terbaik.

Sebelum ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, berulang kali menyebut calon perdana menteri daripada BN adalah naib presidennya, Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) dalam kempen politiknya mendakwa Ismail bukan calon sebenar, bahkan jawatan itu turut diintai Zahid.

Menamakan seorang naib presiden dalam tradisi Umno sebagai perdana menteri tidak pernah dilakukan sebelum ini kerana jawatan itu sentiasa diisi presiden Umno selaku pengerusi BN, ketika gabungan itu memerintah kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan