Sokong Anwar, PH wajah Malaysia yang kita impikan - PROF DATUK DR MOHAMAD AGUS

PROF DATUK DR MOHAMAD AGUS YUSOFF

Saya kenali Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sejak tahun 1981 lagi semasa saya di Universiti Malaya (UM). Saya tidak pernah menyokong beliau semasa beliau dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).

Saya mula bersimpati dengan perjuangannya pada 1998 semasa gerakan reformasi. Bukan simpati pada perjuangan peribadi beliau, tetapi pada institusi negara yang rosak pada waktu itu.

Saya fikir saya harus berperanan memulihkan institusi negara. Rakyat perlu hidup dalam sistem yang adil. Kemanusiaan, keadilan, dan kesejahteraan rakyat perlu diangkat.

Semasa PRU-14, saya tersentuh dengan apa yang berlaku dalam Pas. Saya lawan Pas kerana tidak bersetuju dengan pendekatan politiknya.

Sehingga kini pun, saya menolak perjuangan Pas. Pas sudah terkeluar dari garis permainan politik yang betul. Pemikiran pemimpinnya menyeramkan saya.

Saya mula mengambil langkah, perlahan tapi pasti untuk menyokong DSAI secara terbuka, apabila melihat DSAI dinafikan peluangnya untuk menjadi PM. Saya mahu reformasi institusi dilaksanakan.

Semasa era PH, beberapa pembaharuan telah dilaksanakan tetapi tertangguh kerana dua halangan utama. Pertama, reformasi yang memerlukan pindaan Perlembagaan. Kedua, Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH.

Jadi, apabila berlaku PRU-15, saya mengambil inisiatif menghubungi DSAI berbincang tentang pelaksanaan reformasi institusi ini dan beberapa pembaharuan lain.

Saya melihat beliau serius. Saya lantas mengambil keputusan kembali dari luar negara sebagai penasihat gabenor dan profesor untuk merealisasikan impian saya bagi melihat Malaysia berubah.

Mengapa tidak dengan BN dan PN? Pemimpin mereka baik, tetapi saya menilai komitmen reformasi ada pada DS Anwar. Kehebatan kepimpinan dan idea serta wawasan beliau lebih jelas.

Akhirnya, saya pilih untuk menyokong DSAI dan PH kerana inilah wajah Malaysia yang saya impikan.

Saya sudah letih dengan politik perkauman dan keagamaan sempit.

Saya minta maaf jika bersalah, tetapi itulah perjuangan. Kita perlu membuat pilihan, dan pilihan saya adalah DS Anwar sebagai PM ke-10 dan PH sebagai partinya.

Ayuh, kita bangunkan Malaysia yang gemilang selepas 19 November ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan