Lokasi berisiko banjir di 6 negeri, KL dalam tempoh 24 jam

Malaysiakini

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) petang tadi menerbitkan senarai pelbagai lokasi di enam negeri dan wilayah persekutuan yang berpotensi dilanda banjir kilat dalam tempoh 24 jam akan datang.

Menurut perkongsian di Twitter Nadma, senarai yang disediakan oleh Jabatan Saliran dan Pengairan adalah berdasarkan ramalan oleh model Numerical Weather Prediction Jabatan Meteorologi dan Sistem Panduan Banjir Kilat Asia-Oceania Tenggara.

"Terdapat risiko berlaku banjir kilat di beberapa lokasi yang disenaraikan di sini, sekiranya hujan lebat/ribut petir yang signifikan," kata kenyataan itu.

Senarai itu mengandungi lokasi di empat daerah di Selangor (Gombak, Petaling, Kuala Selangor dan Sepang); tiga daerah di Negeri Sembilan (Jelebu, Rembau dan Seremban); empat di Johor (Batu Pahat, Muar, Segamat dan Tangkak); dua di Melaka (Alor Gajah dan Jasin); dan masing-masing satu di Kedah (Kuala Muda); dan Sarawak (Kuching).

Bagi Kuala Lumpur, kenyataan itu menyenaraikan sebanyak 48 lokasi termasuk PWTC, Universiti Malaya, Jalan Duta, Jalan Dang Wangi, LRT Bangsar dan Kampung Pantai Dalam.

Pada 3 November, Jabatan Meteorologi berkata bahawa musim Monsun Timur Laut akan bermula pada 7 November, lebih awal daripada jangkaan.

Jabatan itu menjangkakan musim ini akan berlangsung sehingga Mac tahun depan.

Jabatan itu turut memberi amaran bahawa apabila hujan seperti itu bertepatan dengan air pasang besar, risiko banjir akan meningkat.

Air pasang diramalkan berlaku pada: 6 Nov hingga 11 Nov; 22 Nov hingga 27 Nov; 7 Dis hingga 12 Dis; 22 hingga 26 Dis; 6 Jan hingga 10 Jan; dan 21 Jan hingga 25 Jan tahun depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan