PH Pahang sokong Wan Rosdy jadi MB semula

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) memutuskan menyokong Wan Rosdy Wan Ismail daripada Barisan Nasional (BN) sebagai menteri besar Pahang, kata Ketua DAP negeri Leong Ngah Ngah.

Katanya, PH negeri membuat keputusan menyokong menteri besar sedia ada itu untuk terus menerajui kerajaan negeri.

“Kita telah putuskan untuk sokong Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail, tapi apa pun ia akan diputuskan oleh istana dan kami hormati keputusan.

“Kita harap kerajaan pusat bekerjasama (PH dan BN), di peringkat negeri pun kerjasama, contoh terbaik di Perak,” katanya menurut Astro Awani.

Katanya, justeru gabungan itu akan memberi masa kepada BN untuk menyelesaikan masalah mereka dahulu.

“Pihak kami telah berbincang, kami serahkan kepada Pengerusi PH Pahang, Amirudin Shari untuk mengadakan perbincangan dengan BN Pahang dan mencari penyelesaian terbaik.

“Kita jangkakan berita baik akan diumumkan hari ini,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang masih tergantung selepas tiada gabungan politik mendapat majoriti mudah 22 kerusi, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi DUN, diikuti BN peroleh 16 kerusi DUN dan PH pula hanya lapan kerusi DUN.

Ketika ini, satu kerusi DUN di Tioman akan dijalankan proses pengundian pada 7 Dis susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada awal pagi Sabtu lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan