Al-Abror Mohd Yusuf
“Sekejap saja tu bang," kata seorang rakan sebagai komen kepada kenyataan kawan yang lain, "esok 'kepala rimau' turun, semua akan meriah semula."
Sebelum itu, ada penggiat politik semacam mengeluh. Dia melihat amalan yang sinonim dengan politik di tempatnya - cah keting - sudah bermula sejak sebelum hari penamaan calon.
Di sana sini ada kegiatan menurunkan bendera, menutup bilik gerakan, merajuk dan marah-marah.
Demikianlah politik kita. Asalnya politik itu wujud - sama ada secara langsung atau tidak - adalah untuk kebaikan manusia terbanyak. Ia merupakan salah satu cara menguruskan kuasa agar keadilan dapat dirasai.
Dengan politik, yang benar boleh ditegaskan sebagai benar, manakala yang salah lagi batil dapat dinyatakan setepatnya.
Pada beberapa dekad terakhir ini, kegiatan politik di negara ini semakin bertukar fungsinya. Daripada mencari kebaikan, kebanyakan pemain politik begitu gigih mahu merendahkan akal rakyat.
Sangat gigih sehinggakan kadang-kadang kita mengesyaki mereka sanggup berjaga malam demi mencari jalan agar rakyat dapat diperbodohkan lagi dan lagi.
Marahkan pilihan rakyat
Sewaktu pengumuman calon-calon parlimen dari PKR, Rafizi Ramli berkata benar apabila mengakui bahawa PRU kali ini diadakan ketika orang politik adalah individu yang paling dibenci masyarakat.
Tentu kita masih ingat bagaimana orang politik bersandar kepada ayat-ayat al-Quran semasa dengan angkuhnya memarahi pengundi kerana membuat pilihan sendiri pada 2018.
Berasakan mereka adalah kumpulan yang diberikan hak oleh tuhan untuk menentukan benar atau salah sesuatu tindakan, orang ramai dimarahi, disindir, dijerkah dan dihaiwankan hanya kerana tidak memilih kumpulan tertentu.
Seakan langsung tiada sedikit pun rasa aib pada diri masing-masing apabila mereka menyatakan hal tersebut, ketika hakikatnya pilihan raya adalah waktu untuk seseorang membuat pilihan secara bebas.
Memang tidak ada masalah jika orang sebegitu menyatakan rasa marahnya tetapi ia mestilah dibuat dengan akal yang waras serta menyedari bahawa seseorang pengundi itu berhak membuat pilihan sendiri.
Bahkan sebaliknya golongan terbabit memberikan isyarat bahawa orang ramai wajib memilih berdasarkan kehendak pihak tertentu saja. Dan seperti biasa, golongan terbabit tidak pernah gagal memberikan dalil dengan amat lancar.
Perbuatan menjerkah orang ramai yang memilih itu hampir-hampir membuat kita menganggap sebenarnya demokrasi di negara ini sudah mati dan diganti oleh autokrasi.
Kemudian berlangsung pula episod mendesak itu dan ini. Pada satu sisi, ada kumpulan yang mahu PRU diadakan segera dan mereka melacurkan nama rakyat untuk memberi justifikasi keserakahan masing-masing.
Pada sisi lain, ada pihak yang menentang. Sesetengahnya adalah pihak yang sekelambu dengan kumpulan yang ghairah mahukan parlimen dibubarkan segera.
Dan salah kesan utama daripada keputusan itu sedang 'dinikmati' oleh ramai orang.
Hujan lebat, air pasang, banjir kilat dan kerosakan sistem pengangkutan awam adalah mimpi ngeri buat rakyat biasa, sedangkan orang politik kebanyakannya masih bersenang-lenang ke sana ke sini bersama berpuluh-puluh pengiring.
Sekali lagi seakan-akan aib itu tidak ada langsung dalam hati masing-masing walaupun bagi orang Islam, ia merupakan salah satu petanda adanya sisa iman dalam diri.
Rakyat tak perlukan politikus
Ketika tarikh mengundi semakin hampir dan calon yang bertanding semakin giat menjual diri kita pun dihidangkan dengan satu demi satu kisah mengenai keraguan latar belakang individu tertentu.
Menggunakan gelaran tertentu yang disangsikan, misalnya, serta meletakkan butiran/maklumat yang kabur, ia sebenarnya satu lagi usaha orang politik membodohkan rakyat.
Ia juga melondehkan hakikat bahawa ada antara kita ini masih terlalu bebal kerana menganggap kuasa serta pengaruh akan mudah diperolehi melalui gelaran serta pangkat tertentu.
Jiwa hamba itu benar, dan keinginan menghambakan orang itu juga benar.
Namun orang politik barangkali lupa, zaman sudah jauh berubah. Maklumat terlalu banyak dan boleh diperolehi dengan mudah di hujung jari.
Justeru perlulah diingatkan bahawa dalam tempoh kurang dari dua minggu ini, ia adalah detik untuk rakyat mengumpul kesedaran serta maklumat yang tepat. Ia juga waktu yang 'istimewa' kerana PRU adalah waktu orang politik sangat memerlukan rakyat, bukan sebaliknya.
Sebanyak mana pun 'kepala rimau' turun, ia tidak akan mampu membeli maruah rakyat yang bertanggungjawab.
Ia juga masa untuk mengajar orang politik akan harga bermulut celupar serta padah membuat onar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan