Apa motif kenyataan adu domba bukan Melayu, bukan Islam Presiden Pas?

K PRAGALATH

Kenyataan adu domba Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kebelakangan ini seolah-olah mahu mengekalkan suhu panas politik negara biar pun Pilihan Raya Umum ke 15 telah lebih sebulan berlalu.

Seorang penganalisa politik, profesor pengajian Asia, Dr James Chin dari Universiti Tasmania, Australia mempersoalkan apakah motif di sebalik kenyataan Ahli Parlimen Marang itu yang terus mengadu domba masyarakat Muslim dengan bukan Melayu dan bukan Islam.

“Saya faham beliau menguatkan sokongan Melayu – Islam kepada dirinya sewaktu musim kempen pilihan raya.

“Dulu kenyataan sebegini hanya dikeluarkan ketika musim pilihan raya. Sekarang ia dibuat hampir setiap minggu. Apa motifnya?” tanya James Chin.

Hadi dengan amanatnya yang memecah-belahkan umat Islam lebih 40 tahun lalu telah difatwakan Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai sesat.
Dalam kenyataan terbaharu, Hadi mendakwa bahawa jumlah pengundi bukan Melayu dan bukan Islam jauh lebih besar berbanding dengan pengundi Melayu Islam yang gagal mengundi kerana pergi ke Mekah untuk menunaikan haji dan umrah.

Kenyataan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilihat seolah-olah membangkitkan sentimen permusuhan antara masyarakat Muslim dan bukan Islam.

Sejak sekian lama, pemimpin veteran Pas berkenaan dikenali dengan kenyataan kontroversinya yang dipanggil ‘Amanat Haji Hadi’.

Dalam ceramahnya di di Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981, Hadi antara lain turut mengkafirkan Umno sehingga berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam terutama di Terengganu dan Kelantan.

Isu kafir mengkafir dilemparkan kepada Umno itu mengakibatkan permusuhan berlanjutan sehingga berlakunya peristiwa solat dua imam, haram memakan daging sembelihan orang Umno dan tidak sah pernikahan oleh kadi bukan ahli Pas.

Berikut petikan ceramah Hadi yang sehingga kini tidak ditarik balik oleh Pas:

“Kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan.

“Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka.

“Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka. Percayalah saudara-saudara sekalian, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini, kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam.

“Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan