FMT Reporters
PETALING JAYA: Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Sng mendesak Zuraida Kamaruddin dan sekutunya yang digantung parti itu supaya berhenti daripada politik dan muhasabah diri.
Sng berkata demikian sebagai respons kepada bekas Ahli Parlimen Ampang serta sekutunya Haniza Talha yang mengkritik kepimpinannya dalam parti.
“Zuraida dan penyokongnya harus muhasabah diri dan pertimbang mengundurkan diri dari politik.
“Pengundi sudah pun menolak mereka. Sebab itulah mereka kehilangan deposit pada PRU15. Tiada siapa yang berminat dengar pendapat mereka lagi,” katanya kepada FMT.
Pada PRU15 Zuraida gagal mempertahankan kerusi Ampang manakala Haniza tewas di Hulu Selangor.
Haniza dalam kenyataannya hari ini mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menyiasat kesahihan Sng sebagai presiden parti tersebut kerana jawatan itu sepatutnya diserahkan Zuraida seperti yang dipersetujui pada Persidangan Agung Tahunan (PAT).
ADUN Lembah Jaya itu turut berkata beliau dan kepimpinan PBM yang lain menolak sepenuhnya kepimpinan Sng sebagai presiden.
Terdahlu Zuraida turut menyifatkan Sng, sebagai tidak matang dan angkuh dalam menguruskan PBM selain membuat ugutan.
Kemelut melanda PBM semakin parah apabila Sng menggantung keahlian dan jawatan 12 Ahli Majlis Tertinggi parti itu.
Penggantungan itu dibuat kerana Sng mendakwa penglibatan individu berkenaan yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinan.
Semalam, sumber parti memberitahu FMT, Jawatankuasa disiplinnya akan menentukan nasib mereka yang digantung hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan