Wanita dipenjara tebuk kondom pasangan lelaki

KOSMO!

BERLIN – Seorang wanita Jerman dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan kerana mencuri sperma pasangannya dengan membuat lubang pada kondom yang digunakan lelaki tersebut, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Wanita yang berhasrat untuk hamil itu mensabotaj kondom pasangannya tanpa kebenaran untuk mendapatkan sperma lelaki itu.

Mahkamah di barat Jerman memaklumkan bahawa tindakan mensabotaj kondom tanpa kebenaran dianggap sebagai ‘mencuri’. 

Pasangan itu bertemu dengan kerap untuk melakukan hubungan intim sejak awal tahun 2021.

Mahkamah di wilayah Bielefeld berkata, wanita itu mempunyai perasaan yang tidak berbalas kerana lelaki itu selesa dengan hubungan mereka yang sedia ada.

Bagaimanapun, wanita itu dilaporkan gagal dalam percubaannya untuk hamil. 

Dia sebelum itu menghantar mesej melalui aplikasi perbualan Whatsapp dengan mengaku bahawa dia hamil dan telah mensabotaj kondom tersebut.

Lelaki itu kemudian memfailkan tuduhan jenayah terhadap wanita itu yang akhirnya mengaku cuba memanipulasi pasangannya. – Agensi

Umno Terengganu lebih yakin, Pas mungkin tumbang PRU-15

MOHD SAYUTI OMAR

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said kata parti itu tidak akan berpakat dengan mana-mana pihak dalam pilihan raya akan datang dan akan meletakkan calon di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen.

Hari ini juga tokoh sanjungan Pas Terengganu, Abdul Hadi Awang kata, tidak perlu Parlimen didesak agar dibubarkan dan biarlah ia berakhir hingga habis penggal.

Memahami kenyataan kedua-dua politis Terengganu itu menggambarkan Umno lebih berani dan yakin untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, Tok Dor Hadi pula seperti tidak yakin dan tidak berani untuk menghadapi pilihan raya. Kalau Pas Terengganu yakin boleh menang dengan selamat, tentu Tok Dor Hadi tidak melarang desakan Parlimen dibubarkan dan biarlah pilihan raya diadakan segera.

Sudah nampak cula dan roma akan kebimbangan Tok Dor mengenai nasib dan masa depan Pas di negeri Penyu Menangis itu. Apakah kebimbangan Hadi itu memandangkan kemelut dalam Pas di negeri itu kini makin serius?

Keretakan dalam Pas Terengganu bermula ekoran pengunduran ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aiman Razali daripada parti berkenaan.

Walaupun pengunduran Khairuddin itu dilihat secara peribadi, tetapi di belakangnya dipercayai ada beberapa lagi pemimpin lain yang akan membuat tindakan sama.

Apakah Terengganu akan jadi salah satu negeri pertama di pantai timur yang dikuasai Pas akan tumbang kali ini?

Tiga lelaki rompak wang tunai RM1 juta, barang kemas dari kedai pajak

Syaherah Mustafa

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Tiga lelaki menjadi buruan selepas terbabit dalam rompakan wang tunai bernilai RM1 juta dan pelbagai barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 4.45 petang ketika pemilik bersama lima pekerja di premis berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, premis terbabit didatangi tiga lelaki bertopeng dengan dua daripadanya bersenjata dipercayai pistol dan seorang lagi menggunakan pisau.

Menurutnya, mangsa bersama pekerjanya diikat dan diarahkan berada di bawah meja.

Katanya, mereka dipaksa membuka pintu besi dan mengisi wang tunai serta barangan kemas ke dalam beg yang diberikan oleh salah seorang suspek.

"Suspek kemudian mengambil kunci Perodua Alza berwarna putih milik mangsa sebelum melarikan diri.

"Susulan kejadian, polis mengadakan Ops Tutup dan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh Kelantan selain kawalan serta sekatan di pintu sempadan Malaysia-Thailand.

"Polis juga memantau pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok bagi mengesan kesemua suspek serta kenderaan yang dilarikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Zaki berkata, sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) berjaya menemui Perodua Alza terbabit di Kuala Jambu, Tumpat pada 12.30 tengah malam tadi.

"Anggota kemudian membuat pemerhatian serta mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan dalam keadaan tidak berkunci dan kunci ditemui di kerusi penumpang hadapan.

"Kesemua mangsa dan saksi dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Nasi goreng kosong RM6, polis siasat kes gaduh di restoran nasi kandar

Afiq Mohd. Shah

POLIS membuka kertas siasatan berhubung kes pergaduhan di sebuah restoran nasi kandar di Bahau, Negeri Sembilan yang kejadiannya tular dalam Twitter sejak semalam. 

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, siasatan itu susulan satu laporan daripada seorang lelaki pada pukul 2.31 pagi semalam mendakwa ditumbuk semasa berada di kaunter restoran nasi kandar berkenaan. 

Menurut beliau, kejadian dipercayai bermula selepas ibu pengadu bertindak mempertikaikan harga makanan iaitu nasi goreng kosong dan telur yang berharga RM6. 

Chang Hook berkata, juruwang restoran tersebut kemudiannya didakwa meninggikan suara terhadap ibu pengadu terbabit. 

“Situasi ini menyebabkan pengadu berasa berang dan mengambil kotak tisu serta membaling ke arah juruwang menyebabkan terkena barang-barang di atas kaunter. 

“Salah seorang pekerja yang melihat perbuatan pengadu terus menumbuk mangsa. 

“Beberapa pekerja lain yang melihat kejadian telah cuba meleraikan pergaduhan tersebut termasuk pelanggan yang berada di restoran. 

Baca artikel berkaitan: Pemandu MPV potong baris disaman polis

“Restoran itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tetapi tidak berfungsi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Chang Hook turut menafikan dakwaan bahawa polis telah campur tangan untuk menyelesaikan kes tersebut atau ‘setel tepi’. 

Beliau menegaskan, polis telah mengambil tindakan mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan tanpa menyebelahi mana-mana pihak. 

“Kes masih dalam siasatan, mana-mana pelanggan dan orang awam yang berada di dalam restoran tersebut diminta tampil membantu siasatan. 

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dengan seberapa segera untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. 

“Orang awam dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi di Twitter yang boleh mengganggu siasatan dan ketenteraman awam,” jelas beliau. 

Pemandu teksi rakam aksi perkosa gadis Myanmar

KOSMO!

BANGKOK – Seorang pemandu teksi di Bangkok ditahan kerana merakam aksi dirinya memperkosa seorang gadis dari Myanmar, lapor laman berita Thaiger semalam.

Mangsa sebelum itu dikatakan sedang mencari pekerjaan di Bangkok dan meminta ibu saudaranya membuat hantaran di Facebook untuk  membantunya mendapatkan kerja.

Suspek, Adirek Sae Bae, 39, dilaporkan meninggalkan komen pada hantaran tersebut dan memberitahu bahawa dia boleh menawarkan pekerjaan kepada mangsa.

Pada 1 April lepas, suspek mengambil mangsa di rumahnya dan membawa gadis itu ke sebuah motel lalu  memperkosanya. 

Mangsa diminta untuk menunggu di dalam sebuah bilik untuk melakukan ‘ujian saringan Covid-19’ sebelum suspek kembali dan menggari tangannya, merogol dan merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit miliknya.

Menurut polis, suspek turut mencuri telefon bimbit milik mangsa dan merompak wang tunai sebanyak 500 baht (RM63.62) sebelum membawanya ke balai polis Klong Tan.

Sejurus tiba di balai polis, suspek memberitahu polis bahawa mangsa merupakan pendatang tanpa izin  yang tidak mempunyai pasport dan berlalu pergi. Mangsa bagaimanapun memberitahu polis perkara sebenar yang berlaku ketika disosial siasat dengan bantuan penterjemah.

Polis kemudian berjaya menahan suspek. Dia berdepan dengan dakwaan  merampas kebebasan seseorang berusia di bawah 18 tahun, kelucahan, rogol, penahanan haram, mencuri dan  memiliki pornografi kanak-kanak.  

Polis juga tidak akan mendakwa mangsa bagi kesalahan memasuki Thailand secara haram kerana dia merupakan mangsa kegiatan jenayah. 

Gadis berkenaan akan menerima bantuan kaunseling  sebelum dihantar pulang ke Myanmar. – Agensi

PAS mahu PRU15 tangguh hingga habis penggal

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir, kata Presidennya Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, PAS bersetuju proses demokrasi ditangguhkan sehingga tiba masanya bagi memberi peluang kepada kerajaan sedia ada menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka dalam tempoh baki penggal.

“Kita sudah buat kenyataan tiga negeri habiskan penggal kerana rakyat masih dalam keadaan letih dengan politik dan wabak (Covid-19) yang belum selesai.

“Jadi lebih baik kita beri peluang kepada kerajaan yang ada laksanakan tugas dalam tempoh secukupnya. Oleh itu kita setuju PRU ditangguhkan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Hadi yang juga ahli Parlimen Marang berkata, bagaimanapun parti itu sudah bersedia menghadapi pilihan raya dengan menggerakkan semua jentera parti di seluruh negara dan menambah cawangan serta ahli.

Katanya, PAS akan meneruskan agenda perpaduan ummah menerusi kerjasama dengan parti Melayu terbesar iaitu Bersatu dan Umno, selain Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Kerjasama ini kita akan lihat perkembangan, sehingga kini kita teruskan kerjasama yang ada biar kukuh dan kuat,” katanya.

Pada Mac lalu, Hadi menyatakan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah iaitu negeri dikuasai PAS tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya.

Beliau berkata, ia bagi memberikan tumpuan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

Mayat lelaki bogel, tangan dan kaki diikat ditemukan di Sungai Golok

Bernama

Seorang lelaki tanpa pakaian ditemukan mati di tepi Sungai Golok berdekatan Kampung Simpangan di Tumpat, Kelantan awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Tumpat Supt Tan Seng Lee berkata mayat yang tidak dikenal pasti bangsa itu ditemukan pada 7.25 pagi oleh orang awam di tepi sungai terbabit.

"Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan (IPK) yang melakukan siasatan itu mendapati mayat ditemukan berada dalam keadaan telangkup dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat serta muka ditutup dengan ikatan kain.

"Identiti mayat yang masih belum dikenal pasti itu dijumpai dalam keadaan bogel dengan tiada kesan suntikan BCG dan dipercayai berada dalam air itu melebihi 24 jam," katanya dalam kenyataan sambil menambah umur mayat mangsa dalam lingkungan 30 hingga 40-an.

Mengulas lanjut, Tan berkata pihaknya juga telah bertemu dengan penduduk Thailand dan ketua kampung yang tinggal di seberang Sungai Golok untuk mendapatkan maklumat mengenai mayat berkenaan.

"Mayat dihantar ke Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya menjelaskan polis Kelantan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Selatan Thailand untuk siasatan lanjut.

Tan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau ahli keluarga hilang boleh berhubung dengan pegawai penyiasat ASP Md Sani Md Saleh ditalian 012-9216944.

-Bernama

Didakwa berhibur di kelab malam ulama berkenaan perlu jelaskan elak orang ramai buat spekulasi

AYHAN FERHAT

Isu seorang ulama berpengaruh yang didakwa berhibur di kelab malam terus diperkatakan setelah satu video tular di media sosial, bagaimanapun sehingga kini masih belum ada sebarang penjelasan atau penafian daripada ulama terbabit.

Selagi tidak ada sebarang penafian yang dikeluarkan oleh figura terbabit selagi itulah orang ramai dan netizen akan terus membuat bermacam-macam spekulasi.

Dr Abdel Rahmanov melalui tulisan di Facebook mencadangkan agar figura terbabit tampil membuat penjelasan tentang video yang sedang tular ketika ini.

“Figura berkenaan perlu membuat penjelasan tentang video itu dan jangan berdiam diri. Jangan biarkan orang ramai membuat spekulasi,” kata beliau.

Berikut adalah kenyataan Abdel Rahmanov yang juga merupakan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam.

Sekarang kecoh video seorang figura berada di sebuah disko. Seorang ustaz selebriti kata figura dan team dia menyebarkan risalah dakwah.

Didakwa berhibur di kelab malam ulama berkenaan perlu jelaskan elak orang ramai buat spekulasi

Video ulama berpengaruh yang didakwa berhibur di kelab malam sedang tular

Kita tidak pasti kesahihan video itu jadi Kita tidak perlu komen lebih-lebih. Zaman sekarang dengan teknologi ‘ deep fake’, boleh buat video macam- macam.

Sumber kata bukan Disko tetapi sebuah bar hotel atau night club (kelab malam) di kuala lumpur. Kelab malam bukan disko tetapi biasanya ada disediakan minuman keras dan ia tempat lepak eksklusif lelaki perempuan. Perkara ini sedia maklum. Kelab malam, Hotel bar atau Disko tidak sama dengan café atau kedai kopi.

Figura berkenaan perlu membuat penjelasan tentang video itu dan jangan berdiam diri. Jangan biarkan orang ramai membuat spekulasi.

Kita sepatutnya menjauhkan diri daripada tempat maksiat. Amat malang lagi jika kita duduk lepak di tempat maksiat. Adakah berdakwah perlu sampai tahap begitu?

Orang yang terlibat dalam bidang dakwah terutama yang dinobatkan sebagai Ilmuan agama perlu menjaga penampilan diri. Mereka adalah duta kecil agama di mata masyarakat. Dunia media sosial amat kejam. Berhati-hati lah.

Jangan semua isu kita mahu dikaitkan dengan Wahabi. sikit- sikit Wahabi. Macam tidak ada benda lain ke dalam dunia ini melainkan Wahabi.

Ada orang berhujah bahawa Imam Hasan Al-Banna pun masuk disko untuk berdakwah.

Sebenarnya Imam Hasan Al-Banna masuk ke “maqha” iaitu kedai kopi Arab mesir. Kedai kopi Arab lebih kurang kedai kopi kat kampung-kampung di Malaysia. Di sana ada meja, kerusi. Kadang- kadang ada hookah shisha. Ini kedai kopi arab yang saya lihat di mesir. Jauh sekali berbeza dengan disko. Jadi jangan berhujah dengan cerita Imam Hasan Al-banna. Dalam Usul fiqh, kita sebut “Qiyas ma’al fariq!” Iaitu perbandingan yang tidak benar.

orang yang dilantik menjadi pakar rujuk agama juga perlu mempunyai latar belakang pengajian agama Islam yang kuat dan mantap.

Sarjana dalam bidang “Skolastic philosophy” (falsafah skolastik) dan “history of science”(sejarah sains) tidak bermakna orang itu mahir dalam agama Islam. Skolastik ialah aliran falsafah di kalangan pemikir Kristian pada abad pertengahan.

Kebatilan sifatnya rapuh dan pasti akan hancur. Kebenaran pasti akan muncul! Salam hormat.

Tidak perlu pertikaikan raya mengejut, ia menurut syarak

MOHAMAD SAIDY ISMAIL

Pada hemat saya, setelah sebulan melalui tarbiah Ramadan, orang ramai tidak perlu mempertikaikan pengisytiharan Hari Raya Aidilfitri mengejut kerana ia dilaksanakan menurut ketetapan syarak.

Menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik generasi anak-anak untuk menerima apapun penetapan syarak.

Pemerintah tentunya lebih besar tanggungjawab untuk mendidik orang ramai menerima prinsip dan hukum syarak yang kita sepakati dalam apa keadaan pun, suka atau tidak.

Kita tidak boleh memutuskan untuk terus berpuasa atau berbuka berasaskan keadaan kita selesai atau tidaknya membuat persiapan raya. Kita tahu, agama tidak dibina atas asas ini.

Namun, selaras dengan misi mendidik masyarakat, pengisytiharan tarikh hari raya oleh pemerintah wajarlah mengandungi maklumat yang diperlukan oleh ummah untuk memahami duduk sebenar satu perkara.

Apa sebab hari raya ditetapkan pada hari Isnin lalu. Kita nampak anak bulan atau tidak? Apa asas kepada keputusan tersebut?

Oleh kerana kita tidak mahu budaya taklid buta, wajarlah kita membuka ufuk pemikiran orang ramai dengan mengongsikan maklumat sekadar yang patut.

Menyebut bila tarikh beraya sahaja tidak membantu memberi apa-apa kefahaman kepada masyarakat tatkala generasi kini mengutamakan maklumat faktual. Dunia dan generasi banyak berubah, agensi penguasa agama juga perlu berubah.

Selain itu, jika kaedah rukyah dan hisab terus digunakan, kefahaman terhadap konsep ini harus terus diberikan oleh pemerintah. Tok imam kampung pun setia mengulangi-ulangi kaifiyat solat sunat Hari Raya.

Selain itu, pemerintah perlu mengawal penerbitan kalendar Islam di negara ini supaya presentasinya tidak memberi gambaran bahawa tarikh hari raya Aidilfitri ditetapkan pada sekian-sekian tarikhnya.

Raya terkejut bukti kerajaan gagal dalam komunikasi berkesan kepada rakyat

 ZOLKHARNAIN ABIDIN

Tak patut marah mentega pasai raya terkejut.

Sebenarnya mentega tak boleh buat apa² pun. Dia tak dirujuk pun dalam isu tarikh raya. Dia hanya raya apabila diberitahu tarikh raya.

Bukan kita saja terkejut, mentega pun terkejut. Cuma kalau kita terkejut jam 8.15 malam, jam 8 malam mentega dah terkejut. Yalah, dia tentu diberi maklum lebih awal.

Harap-harap lepas ni, kerajaan jangan buat lagi macam ni. Apa salahnya umum lebih awal, atau apa saja cara yang ada untuk elak terkejut.

Tak payah ikut Arab, tak kira Arab negara mana pun. Budaya depa tak sama macam kita. Bukan isu ketupat atau rendang, tapi isu keselesaan orang ramai.

Kita diberitahu, ada peniaga yang masih berharap untuk jualan perabih stok sehari sebelum raya. Tapi apabila diisytihar raya terkejut, peniaga tak boleh buat apa².

Anak saya cerita, rakan sekerjanya yang beragama Hindu rasa pelik dengan kejadian kali ini. Ada persepsi tersendiri dalam otak non Muslim dengan raya terkejut ini.

Pengumuman raya tahun ini juga jadi bahan persendaan. Dalam kalangan geng muda disebut “raya jut jut”. Salah siapa?

Saya terbaca, ada masjid di negeri tertentu sudah pun berterawih beberapa rakaat pada malam raya. Ada masjid yang tak sempat buat persiapan patut untuk sambut raya. Pendek kata, raya terkejut memang undang masalah.

Isunya bukan raya hari ini atau esok, tapi tak elok buat raya terkejut. Tak payah beritahu saya pasal hadith ru’yah, formula MABIMS, anak bulan kuasa Allah, taat pemerintah bla bla…!

Semua itu saya dan semua orang tahu. Benda yang orang nak tahu ialah, kenapa umum tarikh mengejut begitu? Bukan pasal ketupat, rendang, itu isu kecil saja.

Sebab isu yang lebih besar ialah isu orang ramai. Isu kegagalan kerajaan dalam komunikasi berkesan dengan orang ramai.

Bukan isi hukum, syurga neraka, tapi lebih kepada isu cara, kaedah komunikasi antara kerajaan dan rakyat.

Kerajaan patut menggunakan semua media yang ada supaya orang ramai tak terkejut dalam perkara yang boleh dielak daripada terkejut.

MPK diarah siasat tarian joget tradisional ketika Ramadan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kerajaan Terengganu mengarahkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menyiasat aktiviti tarian joget tradisional membabitkan penari lelaki dan wanita yang tular semalam dan mengambil tindakan terhadap pengurusan Mesra Mall di daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat sangat dukacita dan dimaklumkan program itu tidak mendapat kebenaran MPK.

“Ia dianggap tidak menghormati bulan Ramadan. Pihak penganjur jelas melanggar Garis Panduan Hiburan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Terengganu yang mula diperkenalkan kerajaan negeri pada 2020.

“Saya sangat berharap perkara sebegini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan semalam yang dipetik Bernama.

Terdahulu, tular rakaman video satu minit lapan saat yang memaparkan empat individu, termasuk dua wanita tidak bertudung dan berpakaian tradisional sedang menari dengan ditonton pengunjung pusat beli-belah itu.

Tu DIA!!! Rawang-Gopeng sesak 150km

Bernama

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) menghala ke utara dari Rawang ke Gopeng sesak sepanjang 150km berikutan pertambahan jumlah kenderaan setakat 1 tengah hari ini.

Peningkatan aliran trafik itu juga adalah susulan pemberian tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia sempena sambutan Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lepas.

Umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri pada Selasa.

Jurucakap Plus ketika dihubungi memaklumkan keadaan trafik dari Slim River ke Sungkai adalah antara laluan paling terjejas dan pengguna dinasihatkan merancang perjalanan dengan sebaiknya.

Bagi laluan menghala ke selatan pula, kesesakan sepanjang 12km dilaporkan berlaku bermula dari Bandar Ainsdale sehingga ke Seremban dan di Putra Mahkota menuju ke Nilai dengan keadaan trafik perlahan sejauh 8km.

“Trafik di lain-lain kawasan menghala ke selatan masih lancar dan dalam keadaan terkawal kecuali dari Skudai menuju ke Senai Utara yang bergerak perlahan,” kata jurucakap itu.

Sementara itu, tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia setakat 1 tengah hari tadi mendapati trafik lancar di laluan utama dari Kuantan ke Kuala Terengganu dan hanya sesak sejauh 1.3km sebelum susur keluar Plaza Tol Kuala Terengganu menuju arah pusat bandar.

Trafik juga lancar dari Plaza Tol Karak menuju ke Kuantan di kedua-dua arah.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800 88 0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1 800 88 7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik.

Kita hampir 'kehilangan' Azizulhasni

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

AZIZULHASNI bergelut dengan rawatan penyakit jantung itu sebelum melakukan pembedahan 21 April lalu. FOTO Ihsan Azizulhasni Awang

AZIZULHASNI bergelut dengan rawatan penyakit jantung itu sebelum melakukan pembedahan 21 April lalu. FOTO Ihsan Azizulhasni Awang

Kuala Lumpur: Jika tidak menerima rawatan awal mungkin arena sukan negara kehilangan permata yang menjadi satu-satunya harapan untuk menggenggam emas di Olimpik kelak.

Situasi berkenaan terjadi kepada Azizulhasni Awang selepas disahkan mengalami masalah jantung hingga hampir menamatkan kariernya sebagai pelumba basikal negara baru-baru ini.

Malah, kehilangan 'The Pocketman' negara secara tiba-tiba senyap sejak awal Februari lalu akhirnya terjawab apabila sebenarnya dia bergelut dengan rawatan penyakit jantung itu sebelum melakukan pembedahan 21 April lalu.

Berkongsi pengalaman terbabit, Azizul berkata, dia mula berasa sakit di bahagian dada sejak menjalani latihan pada awal Februari lalu sebelum merujuk situasi berkenaan kepada pakar perunding jantung kardiologi di Melbourne iaitu doktor Barveen Aisha Abu Baker bagi menjalani pemeriksaan dan ujian yang lebih teliti.

Katanya, hasil daripada siri ujian terbabit mendapati jantungnya mempunyai keadaaan yang dipanggil 'anomalous aortic origin of right coronary artery' (AAORCA).

"Keadaan ini jarang ditemui dan pakar bedah di Australia memutuskan bahawa perlu menjalani pembedahan pembetulan (corrective surgery) kerana risiko 'sudden cardiac arrest' (serangan jantung) yang tinggi.

"Selain itu, situasi berkenaan tidak boleh buat main kerana boleh terkena serangan jantung kerana kebanyakan atlet lain yang terkena penyakit berkenaan mungkin sudah meninggal dunia dan hanya menyedari selepas melakukan bedah siasat," katanya, dalam sidang media secara atas talian sebentar tadi.

Selain itu pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu berkata, dia terpaksa melakukan pembedahan segera memandangkan penyakit berkenaan akan menyebabkan keadaannya bertambah parah dan berisiko tinggi terkena serangan jantung.

"Saya ada bertanya kepada pakar perubatan jika saya berhenti bersukan adakah penyakit berkenaan akan berkurangan atau sembuh namun mereka menyatakan bahawa keadaan akan bertambah buruk lagi.

"Selepas melakukan pembedahan, keadaan saya memang lain kerana cepat penat dan ada satu ketika berasa terlalu letih dan tidur seharian," katanya.

Awal tahun ini boleh dikatakan tempoh cukup mencabar buat Azizul selain disahkan menghidap masalah jantung, dia juga kehilangan ayahnya Awang@Muda Embong, 73, meninggal dunia akibat strok.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli memaklumkan bahawa pembedahan pembetulan itu iaitu 'reimplantation of the right coronary artery' dijalankan melalui teknik 'minimally invasive surgery via mini-sternotomy' yang bertujuan membantu mempercepatkan proses pemulihan Azizul.

"Kos pembedahan beliau telah dibiayai melalui skim insurans yang dicarum oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN).

"Azizul berehat di rumah beliau di Melbourne Australia di bawah pemantauan pasukan perubatan. Pada masa yang sama, pasukan pakar perubatan sukan ISN dan pakar kardiologi sukan Institut Jantung Negara (IJN) sedang memperhalusi beberapa kriteria serta elemen penting dalam merangka program pemulihan Azizul yang turut meliputi sokongan perkhidmatan sains sukan," katanya.

Kebakaran tanpa air di Kelantan perlukan Suruhanjaya Siasatan Bebas

HUSAM MUSA

Tragedi malang yang berlaku dua hari lalu di Berek 12 – beberapa rumah hangus terbakar tanpa dapat diselamatkan kerana pili bomba mengalami tekanan air yang rendah adalah satu kejadian yang menyayat hati.

Bukan sahaja pili bomba ketiadaan air (tekanan rendah boleh berlaku bila bekalan air tak mencukupi) menyebabkan kerja penyelamatan bomba gagal, bahkan penduduk sekitar telah ketiadaan bekalan air berbelas hari sebelum kejadian.

Ia berdasarkan maklum balas orang ramai di media sosial.

Permintaan bekalan air akan memuncak menjelang Hari Raya yang sepatutnya menjadi sambutan yang menggembirakan.

Anak-Anak perantau pulang penuh kegembiraan untuk berhari raya bersama keluarga di bumi kelahiran.

Sebaliknya, ada dari anda semua akan merasai keperitan ketiadaan bekalan air yang sempurna.

Inilah realiti kegagalan kerajaan Kelantan yg dapat dirasai oleh semua sejak lama.

Peristiwa kebakaran yang gagal diselamatkan kerana tekanan air yang rendah dan kemarahan membuak rakyat jelata yang lama menderita sepatutnya menjadi titik berfikir semua rakyat Kelantan.

Mengkaji punca kegagalan AKSB dalam tugas mereka secara khusus dan kegagalan berterusan kerajaan negeri pimpinan Pas, ditambah menteri air kerajaan Pusat juga dari Pas.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga adalah seorang Ahli Parlimen Pas.

Selain ketiadaan air, sungutan berbangkit juga mengenai mutu air yang sangat mendukacitakan. Kekerapan gangguan bekalan atas masalah loji dan loji-loji di bawah kapasiti yang dirangkakan sekali pun peruntukannya besar.

Ada pihak penyokong Pas sendiri mencadangkan supaya pengurusan AKSB dirombak. Dalam reaksi mereka selepas mereka merasai bahang panas kemarahan rakyat ekoran  Peristiwa Berek 12.

Cadangan ini lebih bersifat meletakkan beban kepada pengurusan AKSB semata-mata. Walaupun memang AKSB patut menerima beban tanggungjawab itu.

Apa jaminan AKSB akan menjadi lebih cekap dengan rombakan pengurusan semata-mata? Sedangkan punca masalah sebenar tidak diketahui.

Cadangan itu adalah jalan pintas untuk mengalihkan kemarahan rakyat bagi tujuan politik.

Dengan rombakan pengurusan semata-mata, AKSB masih  di bawah kelolaan pemimpin kerajaan negeri.

Pengerusi Lembaga AKSB adalah YB Datuk Azami Mohd Nor yang juga Exco.

Anggota lain ialah Adun Pasir Tumbuh dan pelantikan politik yang lain. 

Kegagalan pengurusan AKSB hendaklah dilihat sebagai  kegagalan anggota lembaga pengarah, Pengerusi AKSB dan kegagalan menteri besar dan seluruh Exco kerajaan Kelantan juga.

Mustahil untuk MB, TMB, Exco, Pengerusi AKSB dan pelantikan politik dalam lembaga AKSB menerima permintaan  untuk mereka meletakkan jawatan atas kegagalan bersama mereka ini.

Apa punca kegagalan AKSB? Ini yang perlu diketahui sebelum ubat diberikan.

Saya telah katakan, antara punca utama kegagalan ialah unsur salah guna kuasa. Saya telah disaman untuk itu dan Alhamdulillah saya menang saman itu.

Menunjukkan dakwaan saya ada asas.

Jika punca kegagalan terbesar adalah adanya unsur salah guna kuasa, maka jawapan yang tepat bagi mencari punca  kegagalan AKSB ialah menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan yang bebas.

Jika kerajaan Kelantan sanggup menubuhkan suruhanjaya ini dan anggotanya dipandang rakyat sebagai benar-benar bebas dan berintegriti, itu tanda mereka jujur dan tidak bercadang menyembunyikan apa-apa.

Jika mereka enggan, menunjukkan ada perkara yang menjadi kerahsiaan gerak kerja mereka selama ini.

Tanpa siasatan terperinci yang bebas, selama itulah masalah air rakyat Kelantan tidak akan selesai.

Pillihan lain, jika kerajaan Kelantan enggan berbuat demikian ialah rakyat Kelantan sendiri mesti berani  menukar kerajaan yang ada sekarang bila tiba masanya.

Kerajaan baru tersebut mesti bersetuju menubuhkan suruhanjaya berkenaan dengan serta merta.

Inilah salah satu piagam Gerakan Save Kelantan yang kami akan cadangkan kepada stake holder yang lain nanti InsyaAllah.

Kembali kepada mangsa kebakaran berkenaan, iaitu lima kediaman musnah 100 peratus dan empat kediaman lagi musnah kira-kira 20 peratus dengan jumlah kerugian ratusan ribu ringgit.

AKSB hendaklah dipertanggungjawabkan dengan membayar sejumlah ganti rugi yang menasabah.

Juga sebagai tanda keprihatian dan didikan rasa akauntabiliti kerana AKSB adalah sebuah agensi milik kerajaan walaupun berorientasikan korporat .

Saya cadangkan peruntukan ganjaran Ahli Lembaga Pengarah AKSB terutama bagi Pengerusi AKSB dan Adun yang turut menjadi Ahli Lembaga sejumlah RM 228,918  untuk tahun 2020 dan RM186,082 bagi tahun 2019 (berdasarkan Laporan Tahunan Aksb) digunakan untuk membayar ganti rugi tersebut.

(Kedua-dua mereka telah pun mempunyai gaji dan elaun tetap berbanding rakyat terlibat yang dhaif dan ditimpa kesusahan).

Kerajaan negeri boleh menambah jumlah lain sehingga ganti rugi berkenaan memadai.

Saya juga ada menerima pandangan dari profesional anak Kelantan seperti berikut:

Bagi mengelak tragedi seperti ini berulang di masa hadapan, pihak berwajib perlu meneroka kaedah baru menggabungkan teknologi Geographic Information System (GIS), rangkaian paip pintar dan kawalan air bersepadu.

Melalui kaedah ini tekanan air dapat dikawal dari suatu tempat dan disalurkan ke tempat yang memerlukan dengan segera.

(Save Kelantan setiap masa mengalu-alukan pandangan berguna seperti ini dalam meningkatkan peranan Save Kelantan).

Saya bagi pihak Save Kelantan merakamkan takziah kepada semua keluarga terlibat.

Menjelang Aidilfitri yang semakin hampir, pihak Save Kelantan mencadangkan kerajaan negeri menyediakan pelan kontingensi agar bekalan air sentiasa mencukupi sepanjang tempoh perayaan ini.

Kerana hutang RM600, ah long halang jenazah dikebumikan


SULAWESI: Sebuah video tular dalam media sosial selepas jenazah seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan oleh ah long di Kampung Bontoloe, Sulawesi Selatan. 

Lapor Kompas.com, mayat mangsa, Rusli Daeng Sutte, 39, dihalang daripada dimandikan kerana masih mempunyai hutang yang tertunggak. 

Difahamkan, pemungut hutang itu merupakan sepupu kepada lelaki itu. 

Ketua Kampung Bontole, Kardi Situju menjelaskan insiden tersebut berlaku Isnin lalu, apabila seorang wanita datang ke rumah sepupunya yang merupakan isteri arwah di kampung ini.  

“Tujuan wanita itu datang kerana mahu mengutip hutang dan ketika itu, jenazah sedang dimandikan.

“Ah Long kemudian bertindak memegang badan jenazah dan menghalang untuk jenazah diuruskan,” katanya. 

Kardi berkata, sebilangan penduduk dan kenalan terdekat mangsa cuba memujuk ah long tersebut supaya jenazah dikebumikan terlebih dahulu dan baru dibincangkan mengenai soal hutang.  

“Ketika itu, berlaku kekecohan dan tidak lama selepas itu, sepupu mangsa yang lain datang melangsaikan hutang tersebut. 

“Hutang tersebut berjumlah dua juta rupiah (RM600), tetapi isteri mangsa memaklumkan suaminya hanya meminjam 500,000 rupiah (RM150),” katanya.