Tidak rasmi-Parlimen Kuala Selangor Dr Dzul dahului Tengku Zafrul

NASUHA RAHMAN

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Selangor dari HARAPAN Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad setakat ini telah mendahului lawanya Tengku Zafrul Abd Aziz.

Dilaporkan Dr Dzul mendahului dengan jumlah undi 10,794 undi diikuti rapat calon BN dengan 9,250 undi.

“Umno/BN telah menghantar calon “heavyweight” di Kuala Selangor. Namun Pakatan Harapan tidak pernah gentar.

“Dr Dzulkefly Ahmad adalah penyandang kerusi Kuala Selangor yang jelas mempunyai rekod yang cemerlang.

“Kita bawa Dr Dzul ke Parlimen untuk lima tahun lagi,”kata Nge Ze Han.

Lebih 3 juta pengundi akan menjalankan tanggungjawab di Selangor dengan pertambahan lebih 1 juta pengundi muda.

Parlimen Kuala Selangor menyaksikan empat penjuru pada PRU kali ini.

Kamarudin Jaffar langgar peraturan SPR?

Sukhairi Thani

sukhairi@nstp.com.my

Kamarudin memakai lencana PN di bajunya ketika melawat pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Anggerik, hari ini.


Kamarudin memakai lencana PN di bajunya ketika melawat pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Anggerik, hari ini.

KUALA LUMPUR: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar berkemungkinan melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi Parlimen itu didapati memakai lencana PN di bajunya ketika melawat pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Anggerik, hari ini.

Tindakan itu tidak dikesan petugas SPR yang bertugas di hadapan pintu masuk pusat mengundi.

Ia berkemungkinan melanggar Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh pada hari mengundi dalam jarak 50 meter daripada sempadan mana-mana tempat mengundi memakai apa-apa bentuk atau jenis pakaian tercetak atau tertera nama calon, lambang atau simbol mana-mana parti politik.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dalam tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

Kamaruddin dicabar Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili Pakatan Harapan dan calon Barisan Nasional, Datuk Chew Yin Keen.

Berdasarkan rekod SPR, seramai 119,185 pemilih berdaftar di Parlimen Bandar Tun Razak.

Pada PRU14, Kamarudin yang bertanding atas tiket PKR menewaskan Adnan Seman (BN) dan Dr Rosni Adam (PAS) dengan majoriti 19,930 undi.

PKR memenangi kerusi Bandar Tun Razak sejak 2008 menerusi Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum diganti Kamarudin pada 2018.

Pada 2018, Kamaruddin memenangi kerusi berkenaan namun meninggalkan PKR bersama kumpulan diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu Yin Keen muncul calon pertama hadir mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Anggerik di sini.

Beliau yang juga Pengerusi MCA Bandar Tun Razak tiba di pusat berkenaan pada jam 8 pagi bersama isteri.

Wan Azizah tiba mengunjungi pusat mengundi itu pada jam 8.50 pagi, diikuti Kamarudin jam 9 pagi.

Hujan renyai tidak menjadi penghalang kepada pengundi menunaikan tanggungjawab dengan kebanyakan mereka beratur di luar pusat mengundi seawal jam 7.30 pagi.

Siapa?: Nama bakal PM PRU16 pula ‘trending’

FAZLI RADZI

Ketika ramai menantikan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), nama Nurul Izzah Anwar pula ‘trending’ di Twitter.

Sehingga jam 8 malam ini, nama beliau menjadi bualan dalam hampir 1,800 ciapan di media sosial itu.

Penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh tersebut bahkan dinobatkan warganet sebagai bakal Perdana Menteri pada PRU16 akan datang.

Nama Naib Presiden PKR berkenaan sohor kini di Twitter apabila warga maya mengucapkan selamat hari ulang tahun kelahiran ke-42 terhadapnya.

Memegang gelaran ‘Puteri Reformasi’ sebelum ini, anak Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tersebut dianggap tokoh kuasawan wanita yang tiada tandingan dengan parti lain.

“Selamat Hari Lahir ke-42 buat insan yang menerima banyak ujian seperti seorang pahlawan. Anda sentiasa menjadi inspirasi.

“Adakah ahli politik wanita setanding dengan Nurul Izzah dalam BN atau PN? Saya tidak fikir ada.

“Sejujurnya, saya mahu Nurul Izzah jadi PM atau TPM tapi macam nepotisme pula. Kalau begitu, dia ambil peranan menteri wanita pun okey.

“Nurul Izzah adalah seorang pemimpin teladan yang akan mewujudkan negara yang lebih baik untuk semua. Selamat Hari Lahir kepada bakal PM Nurul Izzah,” demikian antara ciapan pengguna Twitter.

9 tak dapat undi, dakwa kad pengenalan diguna individu lain di Kedah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis Kedah menerima sembilan laporan daripada individu mendakwa gagal mengundi, hari ini, kerana kad pengenalan mereka telah digunakan individu lain.

Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad, berkata dua laporan polis dibuat di Sungai Petani, dua di Baling, dua di Kubang Pasu dan masing-masing satu di Alor Setar, Yan serta Kulim.

“Setakat ini kita mendapati ada sembilan individu yang pergi mengundi namun mendapati kad pengenalan telah digunakan oleh orang lain.

“Dalam sembilan kes ini kita sedang membuat semakan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kertas siasatan akan dibuka,” lapor Sinar Harian.

Hussamuddin KarangKraf: Ini fitnah maha zalim

BORHAN AHMAD

Dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan pemimpin Yahudi dan Freemason sebagaimana yang ditularkan dalam satu video adalah fitnah, kata Pengerusi Kumpulan Karangkraf Datuk Husamuddin Yaacub.

“Ini kerja fitnah maha zalim,” kata Hussamuddin yang turut menyertai majlis itu dalam satu kenyataannya.

Katanya, majlis ini adalah sessi dialog antara sekumpulan tokoh-tokoh media/bisnes/diplomat dengan Anwar di sebuah restoran Italian di Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh sebuah portal berita.

“Saya dan Wong Chun Wai (The Star) diundang atas kapasiti kami sebagai veteran media,” kata Hussamuddin.

Katanya, menjadi satu kebiasaan orang media di undang ke majlis eksklusif oleh tokoh-tokoh parti politik, pemimpin negara/negeri, korporat, diplomat, kementerian dan lain-lain.

“Itu “occupational privilage” kami. Adalah kerja kami untuk ada hubungan baik dengan semua pihak.

“Accessibility penting buat kami. Di majlis tersebut, sambil makan tengah hari, DSAI diasak oleh tetamu dengan pelbagai soalan mengenai pilihanraya, ekonomi & masa depan Malaysia.

“Bagi saya ini sessi soal jawab yang biasa saja. Tiada langsung perbincangan tentang freemason atau mosad dan perkara2 yang sensitif,” katanya.

Beliau mempersoalkan dari mana penulis tuduhan fitnah dapat info karut marut ini.

“Jika orang yang beragama & takutkan balasan Allah swt di akhirat nanti tak akan buat fitnah sebegini.

“Hentikan kerja kotor ini & bertaubatlah sebelum terlambat,” katanya.

GPS dahului di 4 kerusi Sarawak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Proses pengiraan undi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bermula, selepas pusat mengundi di seluruh negara ditutup pada 6 petang tadi.

Setakat 4 petang, 70% pemilih berdaftar sudah mengundi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

FMT akan membawa berita terkini PRU15 untuk anda.

PH dahului di Mas Gading dengan lebih 1,200 undi. Pada PRU14, kerusi ini dimenangi PH.

BN dahului di Seremban. PH menang kerusi ini pada PRU14.

BN dahului di Kluang. Pada PRU14, PH menang kerusi ini.

GPS dahului di Mas Gading. PH menang kerusi ini pada PRU14.

GPS dahului di Lanang dengan lebih 2,200 undi.

BN dahului di Klang. Kerusi ini dimenangi PH pada PRU14.

GPS dahului di Sibu dengan lebih 3,000 undi. Pada PRU14, PH menang kerusi ini.

GPS dahului di Sarikei dengan lebih 2,000 undi.

Warga emas S'gor dakwa ada orang lain undi untuknya

Malaysiakini

3 petang: Rawang, Selangor - Seorang pengundi membuat laporan polis mendakwa ada orang mengundi bagi pihaknya.

Dalam laporannya, I Pathinathan, 70, berkata dia pergi membuang undi di SMK Bukit Sentosa di Rawang, Selangor pada 12.30 tengah hari hari ini tetapi diberitahu dia sudah mengundi awal pagi.

"Saya memberitahu mereka saya tidak melakukannya dan menunjukkan bagaimana jari saya tidak ditanda dengan dakwat kekal.

"Saya mengesyaki kad pengenalan saya telah digunakan oleh orang lain, menyebabkan saya kehilangan undi hari ini," kata pesara itu, menggesa polis untuk menyiasat perkara itu.

Masa semakin suntuk untuk Anwar dalam perjuangan jadi PM

AFP

KUALA LUMPUR: Sepanjang kariernya, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sentiasa hampir memegang kuasa, tetapi usia semakin mengejarnya dan pilihan raya umum kali ini (PRU15) mungkin peluang terakhirnya untuk dilantik memegang jawatan tertinggi negara itu.

Lelaki berusia 75 tahun itu, yang karier politiknya menjangkau empat dekad termasuk dua kali dimasukkan ke penjara, optimistik bahawa Pakatan Harapan (PH) akhirnya boleh memenangi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan, menggantikan parti pemerintah yang tercela dengan rasuah.

“Situasi kelihatan baik dan kami yakin, namun waspada,” katanya kepada pemberita selepas mengundi hari ini.

Masa sudah suntuk bagi tokoh yang sentiasa menjadi orang nombor dua dalam politik negara itu untuk mencapai cita-citanya menerajui pucuk pimpinan negara.

“Ini pilihan raya terakhir Anwar. Jika beliau gagal dapatkan sokongan untuk menjadi perdana menteri, beliau dijangkakan berundur,” kata Bridget Welsh daripada University of Nottingham Malaysia.

“Jika beliau memilih untuk kekal (dalam arena politik), ia hanya akan tambah melemah dan memecahbelahkan pembangkang. Terdapat pemimpin lain yang bersedia untuk meneraju.”

Anwar bermula sebagai pemimpin belia yang digeruni apabila beliau menyertai Umno pada 1982. Parti itu ialah tonggak Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara selama lebih 60 tahun.

Ahli politik muda itu kemudian menjadi menteri kewangan, dan timbalan perdana menteri pada awal 1990-an, bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Gandingan itu, yang dianggap sebagai salah satu gandingan paling dinamik dalam politik Asia Tenggara pada masa itu, terungkai tidak lama selepas itu.

Ketegangan memuncak semasa krisis kewangan Asia 1997-1998, apabila mereka bertelagah tentang cara menangani bencana itu.

Beberapa pemerhati berkata, Anwar terlalu tidak sabar untuk menjadi perdana menteri.

Mahathir memecat Anwar, yang turut dipecat daripada Umno, didakwa atas tuduhan rasuah dan liwat dan dipenjarakan.

Apabila Anwar mendakwa menjadi mangsa penganiayaan politik, protes jalanan meletus dan berkembang menjadi gerakan “Reformasi”, yang mendapat perhatian dunia.

Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan kes liwat Anwar pada 2004, setahun selepas Mahathir berundur sebagai perdana menteri, dan memerintahkan agar beliau dibebaskan.

Selepas berehat seketika daripada politik, Anwar kembali menerajui Pakatan Rakyat pada PRU 2013, yang memenangi 50.87% undi popular tetapi gagal mengumpulkan jumlah yang diperlukan untuk mendapat majoriti Parlimen.

Pada 2015, beliau sekali lagi dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan liwat, kali ini selama lima tahun, pada usia 70 tahun, namun menerima pengampunan diraja selepas tiga tahun dipenjarakan.

Anwar kembali ke Parlimen beberapa bulan kemudian setelah memenangi pilihan raya kecil Port Dickson.

Pada PRU 2018, Anwar bekerjasama semula dengan Mahathir, untuk mencabar Najib Razak, yang dibelenggu dakwaan berkait skandal 1MDB.

Pakatan mereka mencatat kemenangan bersejarah, menumpaskan BN pimpinan Umno dan Najib. Mahathir menjadi perdana menteri buat kali kedua, kali ini dengan persetujuan untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar kemudian.

Bagaimanapun, Mahathir tidak menunaikan janjinya, dan pakatan mereka tumbang selepas 22 bulan memerintah, menyebabkan Anwar berputih mata dan membuka jalan kepada Umno untuk kembali berkuasa.

Anwar telah menolak kemungkinan untuk berpakat dengan Mahathir lagi, yang sekali lagi bertanding untuk kerusi Parlimen pada usia 97 tahun.

“Walau dari segi apa pun, hubungan antara Mahathir dengan Anwar tidak baik,” kata bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Kempen PRU15 Anwar menarik khalayak yang besar, ramai masih ghairah melaungkan slogan “Reformasi!” yang dipopularkan 30 tahun lepas.

“Jangan biarkan masa depan negara ditentukan oleh pemimpin yang korup,” katanya kepada ribuan penyokong pada penutup kempennya.

Akibat Banjir: Sekeluarga naik bot keluar mengundi di Pasir Mas

story-image

Azli Shafii

Dengan kawasan rumah masih digenangi air setelah dilanda banjir termenung sejak seminggu lepas, Nur Shafika Rosmadi bersama empat ahli keluarganya hari ini meredah air banjir sejauh 500 meter menggunakan bot untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Turut bersama Nur Shafika, 18, menaiki bot berkenaan ialah neneknya berusia 70 tahun yang sedang sakit tua, bapanya berusia 49 tahun yang mengalami strok, ibu serta abangnya.

Tiba di jalan utama, keluarga itu menaiki kereta mereka yang ditinggalkan di bahu jalan kerana tidak boleh memasuki kawasan rumah mereka di Kampung Tersang, Rantau Panjang akibat banjir termenung itu untuk ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok bagi Parlimen Rantau Panjang.

“Ini pilihan raya pertama saya. Walaupun berdepan banjir saya tetap bersemangat untuk keluar mengundi,” kata Nur Shafika ketika ditemui Bernama di Kampung Tersang di Pasir Mas.

“Pastinya pengalaman ini tidak akan saya lupakan. Malah mengundi dalam situasi banjir turut menjadi pengalaman pertama buat ahli keluarga yang lain,” katanya.

Pelajar Kolej Komuniti Jeli itu berkata banjir bukan alasan untuk keluarganya dan penduduk kampung tersebut untuk tidak keluar mengundi.

“Hari ini adalah peluang kami untuk buat pilihan wakil rakyat yang boleh membantu kami terutamanya untuk menyelesaikan masalah banjir termenung yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, rata-rata penduduk Kampung Tersang sudah keluar mengundi di sebelah pagi hari ini menggunakan bot sendiri untuk meredah air banjir separas dada orang dewasa.

Sementara itu, seorang mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Gual Tok Deh, Ibrahim Rahman, 72, berkata PRU15 merupakan pengalaman pertamanya mengundi dan menjadi mangsa banjir.

“Saya pindah ke PPS ini sejak seminggu lalu apabila rumah dinaiki air melepasi paras dada dan ketika ini air masih belum surut.

“Sudah tentu suasana berlainan kali ini. Pada pilihan raya sebelum ini saya terpaksa beratur panjang, namun hari ini saya boleh mengundi seawal 8 pagi kerana PPS ini turut dijadikan pusat mengundi,” katanya yang berasal dari Kampung Gual Tok Deh.

- Bernama

Bahlul: Petugas SPR boleh senyum, Hadi Awang pakai vest logo parti ketika mengundi

NASUHA RAHMAN

Tular gambar memamparkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh tersenyum apabila Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang memakai vest logo parti Pas ketika membuang undi hari ini.

Gambar yang seolah-olah tiada apa-apa kesalahan itu mengundang kecaman netizen sehingga menyifatkan Presiden Pas masih alpa dengan peraturan SPR walaupun berpuluh-puluh tahun menjadi orang politik.

Ini kerana tidak sampai 24 jam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi arahan melarang pengundi, calon dan termasuk petugas memakai pakaian yang memaparkan nama, lambang, simbol atau gambar parti atau calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), jika mahu memasuki pusat mengundi.

Ini termasuk baju, topi, pelitup separuh muka (facemask) dan bahan yang mempunyai imej atau apa-apa bahan kempen serta slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata jika individu berkenaan gagal mematuhi peraturan berkenaan, mereka boleh dihalang daripada memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya.

Namun petugas-petugas SPR seolah-olah tidak berbuat apa-apa ketika Presiden Pas itu membuang undi hari ini apabila kelihatan di dalam gambar yang sedang tular.

Rata-rata mengecam tindakan Presiden Pas itu kerana beliau bukannya orang yang baru dalam politik bahkan berpuluh-puluh tahun sepatutnya sudah masak dengan peraturan mengundi oleh SPR.

“da puluhan tahun jadi ahli politik, perkara mudah pun tak tahu,” komen Adi Prey di FB Ana Tahu.

“Satu kesalahan.. Kalau org lain tu teruk kena.. Mungkin ada dalil yg membenarkan..,” komen Aizam Amsyar Ammar Aryan.

“Sapa berani tegur ulamakk,” komen Rull Sham.

Calon Parlimen Marang itu tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di sini pada pukul 8.50 pagi.

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas ditemani isterinya, Tok Puan Seri Zainab Awang Ngah dan anaknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil.

Beliau selesai mengundi kira-kira 10 minit kemudian.

Jika diizinkan, InsyaAllah jadi PM - Anwar

 Arulldas Sinnappan

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata dia “secara berhati-hati optimis” pakatan yang diterajuinya akan membentuk kerajaan baru apabila melihat tahap keghairahan rakyat.

Dia berkata PH yakin dapat membentuk kerajaan seterusnya berdasarkan penilaian kajian dan sokongan yang bersemangat.

Anwar menjelaskan dia tidak peduli dengan strategi BN dan PN untuk membentuk gabungan bagi membentuk parti baru jika mereka mempunyai majoriti mudah dan parlimen yang tergantung.

“(PH) yakin dapat membentuk kerajaan gabungan PH, keadaan kelihatan baik dan jika diizinkan Allah kamu (Anwar) akan angkat sumpah sebagai perdana menteri seterusnya,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian selepas mengundi di SK Sri Penanti di Permatang Pauh di Pulau Pinang hari ini.

Dia tiba di pusat mengundi pada jam 9 pagi dan bersalaman dengan orang ramai di pintu pagar sekolah.

“BN dan PN ada strategi mereka, tetapi bagi kami BN dan PN adalah sama kerana mereka mengamalkan sistem yang sama. Tiada ketelusan dan tadbir urus yang lemah dan lebih toleransi dalam rasuah dan saya tidak hairan mereka bekerjasama,

“Kita mendapat sokongan yang menggalakkan termasuk di Tambun, saya berdoa Insya Allah, kita mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Anwar berkata faktor cuaca buruk boleh menjadi halangan utama kerana sesetengah tempat menjangkakan hujan dan ribut petir.

"(Semoga ini) tidak akan menghalang orang ramai untuk keluar mengundi,” katanya.

Apabila ditanya adakah dia yakin akan ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Anwar berkata “Insya-Allah, insya-Allah.”

“Saya optimis dengan berhati-hati berdasarkan bukti awal, tinjauan dan kepercayaan daripada orang ramai, yang berdoa untuk perubahan. Kita tidak boleh mengharapkan negara maju jika kita tidak menerima perubahan bermakna sebagai sebuah negara Malaysia yang bersatu,” katanya ketika ditanya jika dia akan menjawat kerusi perdana menteri.

“Saya berharap SPR akan menunjukkan prestasi yang telus dan profesional seperti yang mereka lakukan setakat ini,” katanya.

80 peratus keluar mengundi hari ini, HARAPAN boleh menang 85 hingga 93 kerusi

NASUHA RAHMAN

Lebih 80 peratus pengundi yang keluar mengundi hari ini HARAPAN dijangka boleh menang kerusi paling banyak di Semenanjung iaitu 85 hingga 93 kerusi.

Manakala BN boleh memenangi antara 40 hingga 50 kerusi, Perikatan Nasional (PN) boleh memenangi antara 30 hingga 35 kerusi bagaimanapun Muda dan GTA masing-masing boleh menang sekurang-kurangnya dua kerusi.

Dapatan ini berdasarkan kajian yang dilakukan Penganalisis Politik yang juga merupakan Ketua Kumpulan Kajian Politik dan Governan, Unversiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur Dr Mazlan Ali.

Kajian ini tertumpu kepada kecenderungan terkini pengundi menjelang hari mengundi bagi melihat tingkah laku pengundi dan respon mereka terhadap isu-isu semasa serta penerimaan terhadap parti-parti politik di dalam negara ini.

Dalam dapatan kajian di 12 Parlimen dan 1 DUN di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia menunjukkan bahawa terdapat beberapa kecenderungan berikut:

“Terdapat swing yang tinggi di kalangan orang atas pagar terhadap Pakatan Harapan, yang sebelum Julai 2022, tidak menyatakan sikap terhadap pilihan dan keputusan politik.

“Terdapat peningkatan sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Harapan dan di sesetengah tempat mencecah 20% seperti di Alor Gajah dan Shah Alam.

“Purata sokongan Melayu kepada Pakatan Harapan kini adalah sekitar 18 % dan dijangka meningkat jika peratus turn out melebihi 80 %.

“Terdapat peralihan sokongan orang Melayu Islam (pengundi subjek yang cenderung kepada isu kaum dan agama) terhadap Perikatan Nasional

“Arah aliran sokongan pengundi muda dan pengundi kali pertama masih terbuka, tetapi purata 68% dari mereka belum membuat keputusan dan kurang informasi politik.

“Di media sosial, Perikatan Nasional (PN) dan HARAPAN adalah dua kolisi yang paling ke hadapan dalam persaingan merebut segmen pengundi muda dan pengundi kali pertama,” katanya.

Penganalisis ramal keputusan ‘kerusi panas’

Samuel Chua and Ainin’ Wan Salleh

PETALING JAYA: Daripada 222 kerusi yang dipertandingkan pada PRU15, beberapa kerusi lebih mencuri tumpuan berbanding yang lain.

Selepas dilabel sebagai “pengkhianat” dan “katak”, PRU15 akan menyaksikan sama ada Ahli Parlimen yang berpaling tadah daripada parti dalam Langkah Sheraton telah mengambil risiko besar dan kehilangan kerusi mereka.

Ini termasuk bekas sekutu, Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin, yang masing-masing merupakan Ahli Parlimen Gombak dan Ampang.

FMT melaporkan ramalan penganalisis Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, dan Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM) untuk 10 lagi kerusi penting.

GOMBAK

Azmin Ali, salah seorang yang memainkan peranan utama dalam Langkah Sheraton, cuba mempertahankan kerusi Gombak untuk penggal keempat atas tiket PN pada kali ini. Pencabar utama bagi kerusi itu ialah bekas sekutunya dalam PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. Calon lain yang bertanding adalah daripada BN, Pejuang dan Bebas.

Ramalan penganalisis:

Azmi: 50-50 antara PH dan PN.

Oh: PH.

Awang Azman: PH.

SUNGAI BULOH

Selepas Ahli Parlimen tiga penggal R Sivarasa tidak diletakkan sebagai calon bertanding, PH telah menugaskan bekas ahli MIC R Ramanan untuk mempertahankan kerusi itu. Pencabar terkuatnya ialah bekas Ahli Parlimen Rembau dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Pencabar lain ialah daripada Pejuang, Parti Rakyat Malaysia, PN dan dua calon Bebas.

Ramalan penganalisis:

Azmi: 50-50 antara BN dan PH.

Oh: 50-50 antara BN dan PH.

Awang Azman: BN.

LARUT

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin memenangi kerusi itu atas tiket Umno untuk dua penggal sebelum menyertai Bersatu. Menteri dalam negeri itu akan dicabar Shafiq Fhadly Mahmud dari Umno. Ia melibatkan pertembungan empat penjuru.

Ramalan penganalisis:

Azmi: 50-50 antara PN dan BN

Oh: BN.

Awang Azman: BN.

INDERA MAHKOTA

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berdepan pertembungan empat penjuru untuk mempertahankan kerusi dimenanginya atas tiket PH pada PRU14. Beliau menyertai Bersatu pada 2020 selepas Langkah Sheraton. Pencabarnya adalah Quek Tai Seong daripada BN, Zuraifi Ismail (PH) dan Dr Mohamad Nor Sundari (Pejuang).

Ramalan penganalisis:

Azmi: PN.

Oh: PH.

Awang Azman: PH.

SIBU

Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Wong Soon Koh cuba merebut kerusi itu daripada Ahli Parlimen dua penggal, Oscar Ling daripada PH. Wong telah menjadi ADUN Bawang Assan, DUN di Sibu, sejak lebih 30 tahun. Turut bertanding di kerusi itu ialah Clarence Ting daripada GPS.

Ramalan penganalisis:

Azmi: PH.

Oh: PH.

Awang Azman: 50-50 antara PSB dan GPS.

AMPANG

Ahli Parlimen tiga penggal Zuraida Kamaruddin berdepan lapan lagi pencabar di kerusi dimenanginya atas tiket PH. Selepas Langkah Sheraton, beliau menyertai Bersatu sebelum keluar dan menyertai Parti Bangsa Malaysia. Pencabar lain termasuk daripada PH, BN, Warisan, PN dan tiga calon bebas.

Ramalan penganalisis:

Azmi: PH.

Oh: PH.

Awang Azman: PH.

SEPANG

Berhijrah dari Titiwangsa selepas satu penggal, Rina Harun daripada PN kini mengintai peluang di Sepang bersama tujuh calon lain termasuk daripada PH, BN, Pejuang dan empat calon bebas. Aiman Athirah cuba mempertahankan kerusi itu untuk PH, yang menggantikan bekas Ahli Parlimen Hanipa Maidin.

Ramalan penganalisis:

Azmi: PN.

Oh: PH.

Awang Azman: PH.

SIMPANG RENGGAM

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik cuba mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu untuk PH pada PRU14. Selepas Langkah Sheraton, beliau dipecat oleh Bersatu dan akhirnya menyertai PKR. Beliau berdepan calon “heavyweight” daripada BN yang juga bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad, muka baharu PN, Fazrul Kamat dan Kamal Kusmin daripada Pejuang.

Ramalan penganalisis:

Azmi: PH and BN.

Oh: 50-50 antara PH dan BN.

Awang Azman: BN.

KUALA NERUS

Bekas pemimpin PAS Khairuddin Aman Razali cuba mempertahankan kerusi dimenanginya itu untuk penggal ketiga, namun kali ini atas tiket BN. Awal tahun ini, Khairuddin keluar PAS, kononnya kerana keputusan parti itu untuk kekal bersama Bersatu. Beliau berdepan calon PN, PH dan Pejuang.

Ramalan penganalisis:

Azmi: 50-50 antara BN dan PN.

Oh: 50-50 antara BN dan PN.

Awang Azman: BN.

BATU

Kerusi itu menyaksikan pertembungan 10 penjuru, persaingan paling ramai di kerusi Parlimen. Bekas naib presiden PKR yang menjadi calon bebas Tian Chua akan mencabar bekas ahli partinya sendiri P Prabakaran. Terdapat juga calon lain daripada BN, PN, Pejuang, Warisan, PRM dan empat calon bebas.

Ramalan penganalisis:

Azmi: PH.

Oh: 50-50 antara Tian Chua dan PH.

Awang Azman: PH.

19 November menobatkan Anwar Ibrahim PM10

DR. SHAHNOR BASRI

Penulis terpanggil pada hari terakhir sebelum pengundi mengambil pena dan memutuskan pilihan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Sama ada BN, PN atau PH.

Itu sahaja gabungan yang agak dominan.

Gerakan Tanah Air yang dipelopori oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dari parti Pejuang (serpihan Bersatu) adalah blok yang boleh dikatakan tidak signifikan dalam arus perdana politik negara masa kini.

Pelbagai warna-warni telah belaku pasca PRU-14 yang menyaksikan; Pertukaran 3 Perdana Menteri, pengkhianatan mandat rakyat, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, pengisytiharan darurat kesihatan/politik, perjanjian MOU antara Kerajaan-Pembangkang, dan pembentangan Akta Anti Lompat Parti yang akhirnya dilulus di Parlimen.

Dunia turut memerhati kejijikan rampasan kuasa dan pembentukan kerajaan melalui pengkhianatan yang dipelopori oleh pengkhianat dari dalam Pakatan Harapan dan Umno yang sepatutnya telah faham erti demokrasi selepas memerintah lebih 60 tahun.

Serta tidak ketinggalan Parti Islam (Pas) yang mengambil kesempatan untuk berkuasa.

Dalam tempoh tersebut kita mempunyai dua orang perdana menteri yang amat lemah dari segi pendekatan menghadapi pandemik serta ekonomi sehingga masyarakat terus terhimpit pada ketika itu dengan kehidupan yang parah.

Manakala seorang lagi amat lemah dari sudut pentadbiran dan pengurusan negara, bahkan tiada kemampuan diplomatik di peringkat antarabangsa.

Oleh kerana kedudukannya hanya seorang naib presiden parti yang beliau wakili, maka beliau adalah PM Remote Control yang tampaknya tiada visi dan misi dalam membuat keputusan.

Keributan dalam pentadbiran menarik perhatian profesor dan cedekiawan Melayu dari G70

Senario ini menyebabkan beberapa profesor, mantan profesor dalam kalangan cendekiawan Melayu telah nekad menilai situasi.

Cendekiawan yang terkumpul ini bukanlah cendekiawan ‘kangkung’ atau ‘rojak campur’.

Mereka memikirkan masa depan negara melangkaui batasan politik kepartian.

Mereka faham betapa bobrok dan rakusnya penguasa selama lebih 60 tahun memerintah dan betapa bangsa dijadikan cagaran yang membibitkan perpecahan kaum serta menunggang agama untuk hanya berkuasa.

Keparahan ekonomi dan sektor industri yang diramal bakal melanda dunia mulai tahun 2023 adalah kegusaran para cendekiawan Melayu.

Selain itu, anak muda yang tiada pekerjaan dengan pendapatan yang penuh ihsan dan rahmah, ketiadaan pelan ekonomi dan dasar yang kukuh untuk bebas dari kemelut ekonomi, pasaran antarabangsa, tiada inisiatif pelaburan jangka panjang dan pendek, tiada pelan industri masa hadapan bagi menyaingi gergasi ekonomi baharu seperti Indonesia, Vietnam dan Kemboja; adalah kegusaran dan kebimbangan para cendikiawan.

Pasca pandemik Covid-19 selepas berlaku pembentukan kerajaan secara ‘tidak sah’ melalui langkah Sheraton, industri hanya memberikan jelingan sinis kepada Malaysia.

Keyakinan terhadap pemerintah berada pada tahap amat minima kerana skandal 1MDB, rasuah dan tatakelola kerajaan yang sentiasa dipersoalkan.

Tambahan apabila indeks rasuah yang mencanak naik selepas berjaya diturunkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, menjadikan kurangnya keyakinan pelabur antarabangsa untuk melabur.

Rasuah dan kleptokrat yang melanda menipiskan lagi kepercayaan mereka.

Sama ada Mahiaddin mahupun Ismail Sabri, keduanya hanya mahu duduk di tampuk kekuasaan tanpa memikirkan kelangsungan hidup rakyat dalam merancang masa hadapan negara keluar dari kepayahan dan kehimpitan kehidupan rakyat pasca pandemik.

Walau kelihatannya ada pendekatan tertentu, tapi jika diteliti secara mendalam ia adalah pendekatan kosmetik semata-mata. Mereka hanya memikirkan kelangsungan politik.

Sebagai cendekiwan prihatin, berjiwa rakyat dan bimbang akan masa hadapan negara, maka mereka wajar bangkit bersuara. Mengambil langkah berani.

Mereka terdiri dari nama-nama besar dan utama dalam dunia akademik dalam pelbagai bidang kepakaran. Tiada siapa boleh mempersoalkan kesarjanaan anggota G70.

Mereka mempunyai kredibiliti tersendiri, bebas berfikir sebagai saintis dan penyelidik serta daya-olah yang credible.

Mereka jugalah yang telah memperkenalkan Malaysia di pelbagai forum dan konferensi antarabangsa.

Mereka membawa nama Malaysia, dalam penglibatan di pentas antarabangsa. Mereka bukanlah pengkhianat.

Jiwa besar cendekiawan selepas meneliti, mengkaji, melakukan brain storming, berbahas dengan panas dan yang lebih penting selepas melihat ke hadapan, mereka akhirnya membuat rumusan yang bertanggungjawab.

Walau ada tohmahan dengan menyatakan beberapa cendekiawan ini mewakili kelompok tertentu, itu adalah hak Perlembagaan sebagaimana juga di dalam Majlis Professor Negara, yang juga terdiri dari pelbagai kelompok dari pelbagai latarbelakang.

Itu adalah hak berperlembagaan yang tercatat dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan: Kebebasan bersuara.

Ini perlu difahami dan dihayati. Mengongkong minda cendekiawan adalah langkah terkebelakang dan cubaan mengkebirikan minda bebas.

Cendekiawan Barat John Stuart Mill dalam makalahnya menulis, bahawa kemajuan dan pembangunan mapan hanya akan berlaku dengan penuh keadilan dan kesaksamaan antaranya dengan mengamalkan hak kebebasan bersuara dalam perdebatan/perbincangan massa untuk merumus solusi kepada negara.

Beliau berkata: “social and scientific progress occurs through vigorous debate involving opposing points of view. To generate different points of view, people must have freedom of thought and speech. Progress cannot occur if the majority uses its power to suppress minority viewpoints.”

Dengan keterlibatan kementerian berkaitan dengan Pengajian Tinggi dan perdana menteri sendiri menggambar kita mempunyai minda berkarat, minda untuk mengongkong dan minda menjajah.

Sama ada secara individu atau kumpulan ataupun oleh MPN, semua lapis dan kelompok rakyat boleh menggariskan panduan sebagai solusi masa hadapan negara yang bebas dan terbuka.

Deklarasi G70

Tugas cendekiawan adalah memberikan pandangan, panduan dan hala tuju berasaskan data, penelitian dan bukti-bukti saintifik. Inilah yang berlaku dalam deklarasi G70.

G70 merumuskan bahawa bagi menyelamatkan negara dan keluarga dari krisis tidak menentu di masa hadapan, maka sebuah kerajaan yang telus, berintegriti, bertatakelola baik, mengamalkan ‘good practice’ dan bebas rasuah hendaklah dibentuk selepas PRU-15.

Satu kumpulan pentadbiran baharu negara yang mahukan perubahan total (total change) dalam sistem wajib mengetuai pemerintahan.

Ia hendaklah pula dipimpin oleh seorang yang berilmu, berpengetahuan, tegas, cintakan keadilan, kebebasan berfikir, memacu strategi ekonomi baharu di zaman mencabar menjelang 2023, menyantuni kehidupan rakyat terjejas, menyediakan ruang perkerjaan yang penuh ihsan dan rahmah, mempromosi tatakelola baik dalam pentadbiran dan pengurusan negara.

Sosok itu adalah seorang yang berfikrah terbuka, menyantuni cendekiawan, terbukti dan teruji, rangkaian strategik yang amat luas (U.Kingdom, Negara Arab, Turki, Indonesia, China, Singapura dll.).

(Sosok itu juga mempunyai) kerajinan menelaah, menganalisis dan merungkai permasalahan rakyat dengan pemikiran strategik, mampu mengembalikan maruah negara dari sudut pandang politik, ekonomi dan peradaban.

Bekas menteri kewangan terbaik Asia dan 4 tokoh menteri kewangan terbaik dunia pada zamannya dan seorang yang cakna rakyat berbilang bangsa, kaum, etnik dan agama (jiwanya rakyat keseluruhannya).

Sosok ini sosok yang berkualiti dengan sifat kepimpinan, quwwah (kekuatan) dan Amanah.

Pemimpin sedia ada sekarang, tiada kualiti pada ciri-ciri disebutkan di atas menurut kajian dan analisis para cendekiawan Melayu. Jauh lagi untuk diberikan ruang untuk mengetuai pentadbiran.

Maka pilihan G70 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, memang cocok dan layak untuk diangkat di posisi yang sesuai dengan kualiti dirinya.

Seperti kata cendekiawan Sains Politik Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, beliau bangga menjadi antara 70 profesor Melayu yang meyokong Anwar sebagai PM ke10 kerana mahu melihat perubahan dalam negara.

Malah, kesemua cendekiawan Melayu yang terdiri daripada profesor, mantan atau cendekiawan berpengalaman, mendokong deklarasi ini: Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM10.

Semoga Allah makbulkan dan selamatkan negara ini dari pemerintahan berteraskan kleptokrat, penunggang agama dan pencetus perpecahan kaum.

(*) Penulis merupakan Fellow Islamic Academy of Science, yang berpengkalan di Jordan.

Ramalan PRU15 oleh enam badan penyelidikan

Malaysiakini 

Menjelang hari mengundi pilihan raya umum (PRU) ke-15 esok, pelbagai ramalan oleh badan penyelidikan dikeluarkan, dengan harapan dapat menjelaskan kemungkinan pemenang.

Beberapa ramalan adalah berdasarkan jumlah keseluruhan 222 kerusi parlimen, manakala sebahagian lagi berdasarkan 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.

Susulan kematian calon Padang Serai M Karupaiya, dan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa pengundian bagi kerusi itu ditangguhkan kepada 7 Dis, jumlah keseluruhan kerusi parlimen pada PRU ke-15 kini berkurangan kepada 221.

Malaysiakini meneliti enam kajian - empat organisasi tempatan dan dua organisasi luar negara - untuk meringkaskan senario yang mungkin bagi landskap politik negara selepas hari pengundian pada Sabtu.

Tiga daripada kajian itu meramalkan kemenangan buat Pakatan Harapan (PH) manakala tiga lagi memihak kepada BN.

Walaupun pandangan berbeza, semua tinjauan berkongsi satu ramalan sama - tiada gabungan yang akan menguasai majoriti mudah (sebelum ini 112 kerusi, tetapi kini 111, selepas mengecualikan Padang Serai) untuk membentuk kerajaan sendiri. Berikut adalah dapatan kajian:

Ilham Center - PH mendahului

Menurut tinjauan yang dilakukan oleh pusat penyelidikan bebas ini, PH mendahului perlumbaan, dengan BN dan Perikatan Nasional (PN) berebut kerusi majoriti Melayu.

Tinjauan yang dijalankan secara bersemuka dalam kalangan 1,211 responden di seluruh negara antara 30 Okt hingga 17 Nov, juga mendapati PRU ke-15 akan menjadi pemangkin kepada pembentukan "Borneo Bloc".

Menurut Ilham Centre, PH akan menawan 86 kerusi parlimen daripada 221 yang dipertandingkan.

BN diramalkan menawan 51 kerusi, manakala PN diramal menang di 25 kerusi. Sebanyak 26 kerusi dijangka menyaksikan saingan sengit 50-50.

Mengulas lanjut, penyelidikan itu berkata taktik BN meletakkan 80 peratus muka baru akan 'makan tuan'.

Manakala Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri gabungan itu adalah "selling point" terbesar PH yang boleh memberikannya kemenangan pada pilihan raya.

Emir Research - PH menang di 94 kerusi

Menurut unjuran Emir Research, PH akan memperoleh 94 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia, manakala BN akan memperoleh kurang daripada separuh daripada jumlah itu, iaitu 46.

Sementara itu, PN diramalkan menang 24 kerusi manakala gabungan yang diterajui bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Gerakan Tanah Air (GTA) dijangka hanya menang satu kerusi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research Rais Hussin berkata unjuran itu berdasarkan kadar keluar mengundi sebanyak 77 peratus.

Daripada keputusan yang diramalkan, terdapat 41 kerusi yang dikategorikan di bawah kategori "close call", iaitu saingan sengit dengan pemenang menang dengan majoriti sekitar 1,000 undi.

Emir meramalkan Johor, Perak, dan Melaka akan dimenangi PH, manakala negeri seperti Terengganu dan Kelantan akan kekal bersama PN. Pahang pula dijangka dikekalkan di bawah BN, selepas saingan sengit dengan PH.

Invoke - PH menang

Menurut tinjauan Invoke, PH akan memenangi 91 kerusi, manakala BN dan PN masing-masing dengan 50 dan 41 kerusi. Baki kerusi dijangka dimenangi GPS (Gabungan Parti Sarawak - 30), Warisan (enam), dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah - empat).

Kajian itu meramalkan Perak akan dimenangi PH dengan jumlah 15 kerusi, manakala BN dan PN masing-masing memperoleh tujuh dan dua kerusi.

Johor juga diramal dimenangi PH dengan gabungan 13 kerusi, manakala BN dan PN masing-masing mendapat 10 dan satu kerusi.

Malaysian Institute of National Development (Mind) - pemenang BN

Menurut penyelidikan kumpulan ini, BN akan menang PRU ke-15 kerana perpecahan undi.

Para penyelidik secara rawak meninjau 1,000 pengundi melalui panggilan telefon, di 166 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia.

Menurut ketua penyelidik Helmy Ishak, ramalan itu berdasarkan dua senario - yang pertama ialah jumlah pengundi yang sama, atau lebih rendah berbanding pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka.

Senario kedua pula melibatkan pengundi luar negara yang pulang mengundi, mengikut corak pengundian pengundi luar kawasan dalam dua PRN itu.

Berdasarkan senario pertama, Mind meramalkan BN akan memenangi 75 kerusi, manakala PH dan PN masing-masing memperoleh 54 dan 36 kerusi. Pejuang dijangka memenangi satu kerusi.

Senario kedua pula meramalkan BN akan memenangi 65 kerusi, diikuti PH, PN, dan Pejuang dengan masing-masing 56 kerusi, 44 kerusi, dan satu kerusi.

Tinjauan itu membuat kesimpulan bahawa walaupun tiada satu gabungan boleh memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, BN boleh mempunyai kelebihan berbanding gabungan lain, selepas berganding bahu dengan parti Sabah dan Sarawak.

Fitch Solutions Country Rosk and Industry Research - BN menang, bentuk kerajaan

Tinjauan oleh cabang penyelidikan agensi penarafan kredit AS Fitch Solutions meramalkan BN akan memenangi PRU ke-15, walaupun masih terdapat risiko parlimen tergantung.

Jika kemenangan BN pada PRN Melaka dan Johor adalah petunjuk, BN berkemungkinan telah memperoleh semula momentum politik dalam kalangan pengundi, kata penyelidikan itu.

FMT melaporkan firma itu sebagai berkata bahawa BN adalah gabungan paling lama memerintah negara dan hakikat itu akan memanfaatkannya kerana pengundi akan melihatnya sebagai mempunyai "pengalaman mentadbir".

Tinjauan itu selanjutnya menyatakan bahawa populariti PH merosot sejak PRU 2018, dan kebarangkalian gabungan itu, serta PN memenangi PRU15, adalah di bawah 25 peratus.

Antara lain, Fitch meramalkan sebaik sahaja BN memenangi Putrajaya, ia akan memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Unit Perisikan Ekonomi (EIU) - BN menang, Ismail Sabri dilantik semula sebagai PM

Menurut kajian bahagian penyelidikan dan analisis Kumpulan Ekonomi di United Kingdom ini, BN akan memenangi PRU ke-15 dan perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob dijangka dilantik semula sebagai perdana menteri.

Dalam satu kenyataan, pakar ekonomi utama EIU, Fung Siu berkata walaupun BN berkemungkinan membentuk kerajaan, gabungan itu tidak akan mendapat cukup kerusi untuk mendapat majoriti dua pertiga.

Menurutnya, penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun di bawah inisiatif Undi18 tidak memberi kesan kepada corak pengundian pengundi, kerana pengundi akan kembali kepada keutamaan berasaskan kaum.

Untuk rekod, inisiatif Undi18 bersama pendaftaran pemilih automatik telah membawa kepada anggaran 6.23 juta pemilih baru berdaftar untuk PRU ke-15.

Ampang: Pengaruh PH mungkin nyahkan personaliti Zuraida

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zuraida Kamaruddin berdepan tugas getir bagi mempertahankan Parlimen Ampang yang dimenanginya sejak tiga penggal lalu, menurut penganalisis politik.

Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya berkata, pengaruh Pakatan Harapan (PH) di Ampang mungkin menyahkan personaliti Zuraida dalam kalangan penduduk.

“Lambang PKR-PH lebih besar daripada nama individu. Zuraida bertanding dan menang juga atas tiket PKR. Apabila tidak lagi bernaung bawah lambang PKR, Zuraida menempuh jalan berliku untuk menang di Ampang,” katanya kepada FMT.

Azmi Hassan daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara senada, mengatakan personaliti Zuraida mungkin tidak beri kelebihan kepada beliau dalam menghadapi kekuatan tiga parti komponen PH.

“Pengundi pada PRU kali ini turut mengidamkan sebuah kerajaan yang stabil justeru perkara ini menyebabkan mereka tidak melihat PBM sebagai alternatif,” katanya kepada FMT.

Pada PRU14, Zuraida menang di Ampang atas tiket PKR dengan majoriti 41,956 undi, menewaskan calon BN dan PAS. Dua DUN bawah Parlimen itu turut dimenangi PKR, iaitu Bukit Antarabangsa (25,512) dan Lembah Jaya (14,790), meskipun calon bertanding ketika itu merupakan Azmin Ali dan Haniza Talha yang sudah meninggalkan parti itu.

Beberapa pengundi muda yang ditemubual FMT memaklumkan mereka sudah membuat “homework” mengenai calon yang bersaing untuk undi mereka, serta manifesto masing-masing.

Tiga rakan yang hanya mahu dikenali sebagai Afiqah, Ain, dan Aqilah, semua berusia 24 tahun, berwaspada dengan calon dan parti yang tidak sealiran dengan aspirasi mereka.

“(Kami) Nakkan pemimpin berprinsip dan tidak korup,” kata mereka.

Sofia, 20, seorang pelajar, juga mahu pemimpin yang tidak korup tetapi khuatir maklumat di tangannya tidak beri gambaran sebenar mengenai calon yang bertanding.

“Saya mahu kerajaan atasi masalah peluang pekerjaan yang dihadapi oleh mahasiswa dan gaji yang setimpal dengan kelayakan.”

Seorang lagi pengundi, Sham, 49, kurang bersemangat menjelang PRU15 kerana beranggapan tidak ada satu parti mampu memiliki majoriti mencukupi membentuk kerajaan.

Bekas suami penyanyi dangdut tendang muka wanita dipercayai isteri baru

FMT Reporters

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki dikatakan bekas suami penyanyi dangdut memukul seorang wanita.

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dikatakan bekas suami kepada penyanyi dangdut popular didakwa membelasah wanita dipercayai isteri baharunya.

Perbuatan lelaki itu dirakam seorang individu sebelum ia dimuat naik di media sosial sehingga tular semalam.

Rakaman berdurasi satu minit tujuh saat itu menunjukkan lelaki berambut panjang menarik tudung wanita berkenaan sebelum mangsa diheret dan di tendang berkali-kali di muka serta badan.

Ia juga memaparkan kanak-kanak perempuan menangis sambil mengangkat tangan sebagai tanda memohon maaf kepada individu itu.

Individu yang memuat naik video itu berkata, laporan polis sudah dibuat dan mangsa kini trauma.

“Dia (mangsa) dengan anak akan dikurung di rumah, jika tersilap akan dipukul. Saya yang muat naik video itu.

“Wanita bertudung yang dalam video itu adalah orang gaji yang turut di bantai (pukul) lelaki terbabit,” katanya menurut Harian Metro.

Sementara itu Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, mengesahkan kejadian.

“Kami sudah terima laporan dan membuka kertas siasatan. Tindakan lanjut sedang diambil,” katanya.

Tanpa ragu Anwar PM terbaik untuk 5 tahun ke hadapan!

NASUHA RAHMAN

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff tanpa ragu-ragu menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri (PM) Malaysia yang terbaik untuk 5 tahun ke hadapan.

Semalam Agus mempertahanan penglibatannya dengan sekumpulan profesor Melayu yang secara terbuka menyokong usaha Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Hari ini dalam satu video beliau secara terbuka menyatakan pendirian bahawa Anwar adalah PM yang terbaik berdasarkan penilaiannya.

“Saya tidak nafikan calon-calon lain berwibawa menyumbang banyak kepada negara dan yakin pilihan terbaik untuk 5 tahun ke depan adalah Anwar.

“DSAI is not a small mainded politician, pengalaman dan kehidupan dalam politik sangat luas telah menjadikan dia manusia semua ‘musim’ dapat hidup dalam apa jua keadaan politik,” katanya.

Agus juga yakin dengan kebolehan Anwar di jaringan antarabangsa apatah lagi jenama reformisnya mendapat kepercayaan pelabur luar untuk datang melabur ke negara ini.

Anwar juga katanya, satu-satunya pemimpin dapat mengangkat demokrasi negara ke tahap lebih tinggi seperti menghormati hak-hak rakyat, mengangkat keadilan, kemanusiaan dan prinsip yang jujur dalam sebuah negara.

Selain, komitmen jelasnya Anwar mengatasi hubungan dan jurang antara rakyat di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak dengan mengukuhkan federalisme sangat terbaik.

“Berwibawa, berintegriti, berkarisma ini buka pujian semata-mata bahkan semasa di penjara pada 1998 beliau masih mempengaruhi dunia luar yang kemudian membawa perubahan kali pertama dalam politk Malaysia.

“Jiwa politik Anwar seperti jiwa saya, jiwa kemanusiaan, keadilan, demokrasi dari jiwa ini saya mahu angkat pemimpin saya jadi PM saya yang ke-10.

“Bagi saya Anwar seorang pemimpin dari rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat,” ujarnya.

‘Kristianisasi’: PH lapor polis dan bercadang memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Muhyiddin

PH lapor polis dakwaan Muhyiddin berkait ‘Kristianisasi’

Faisal Asyraf

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin atas dakwaannya berhubung PH terbabit dalam agenda “mengkristiankan Malaysia”.

Laporan itu dibuat Pengarah Strategi PH, Bryan Ng dan Pengarah Komunikasi Pemuda PKR, Syaril Showkat Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Dalam laporannya, Ng berkata, petikan ucapan Muhyiddin dalam ceramah baru-baru ini tular di TikTok. Bekas perdana menteri itu dipercayai membuat dakwaan itu dalam sebuah ceramah di Parit Jawa, Johor, pada 16 Nov lalu.

“Muhyiddin kata mengundi PH berbahaya kerana PH menaja gerakan Yahudi dan terdapat (agenda) Kristianisasi di Malaysia,” menurut laporannya.

Ng berkata, kenyataan Muhyiddin itu adalah dakwaan berunsur fitnah dan tidak berasas yang menyentuh sensitiviti agama.

Dalam sidang media di luar IPD Dang Wangi, beliau menggesa Muhyiddin menyerahkan bukti kepada polis, jika benar PH dikaitkan dengan gerakan sedemikian.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan memfailkan saman sivil terhadap Muhyiddin.

Dalam rakaman sebuah ceramah di Johor pada Khamis, Muhyiddin mendakwa sekumpulan Yahudi mahu PH menang esok dan mendakwa PH bekerjasama dengan Yahudi dan orang Kristian untuk “menjajah” negara.

Dalam rakaman tular itu, bekas perdana menteri terbabit turut mendakwa ada orang Melayu ke gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada Ahad.

Majlis Gereja-gereja Malaysia membidas Muhyiddin atas dakwaan itu, manakala Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, parti itu bercadang memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Muhyiddin.

Ilham Centre: PH didepan dengan 87 kerusi, 26 kerusi masih jadi rebutan

BORHAN AHMAD

Ilham Centre meramalkan Pakatan Harapan berada di depan dalam pilihan raya umum kali ini apabila mendapat 87 kerusi parlimen atau 39.2 peratus undi namun 26 kerusi lagi masih belum dapat ditentukan akibat pertembungan sengit.

Barisan Nasional (BN) pula bakal mendapat 51 kerusi, Perikatan Nasional – PN (25), Gabungan Parti Sarawak – GPS (18), Warisan (6) Gabungan Rakyat Sabah – GRS (6), Gabungan Tanah Air – GTA (1), Parti Bangsa Malaysia – (1) dan bebas 1, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar dalam kenyataannya kira-kira 12 jam sebelum pengundian bermula pagi esok.

26 kerusi yang masih sengit menjadi rebutan dan belum dikenalpasti milik siapa adalah Kangar, Arau, Pokok Sena, Kulim Bandar Baharu, Ketereh, Bukit Gantang, Sungai Buloh, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Tampin, Ayer Hitam, Kudat, Putatan, Penampang, Sipitang, Kinabatangan, Tawau, Kalabakan, Sri Aman, Lubok Antu, Igan, Sarikei, Miri, Kimanis dan Lawas.

Jangkaan kerusi-kerusi yang bakal dimenangi oleh parti-parti yang bertanding berdasarkan kajian yang dibuat oleh Ilham Centre.

Menurut Hisomuddin, tiada gabungan parti yang boleh keluar selaku pemenang dengan garis majoriti mudah 112 kerusi.

Dengan mengambil kira kadar keluar mengundi sekitar 80 peratus, Ilham membuat prediksi di atas terhadap 222 kerusi Parliman yang dipertandingkan.

Rafizi: Hanya kerjasama PH-GPS dapat bentuk kerajaan stabil

FMT Reporters

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli tidak menjangkakan mana-mana gabungan akan mendapat mandat yang jelas untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, beliau menjangkakan Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing memenangi bahagian terbesar kerusi di Semenanjung dan Sarawak.

Disebabkan itu lah beliau “berunding secara terbuka”, katanya sambil menambah, sebarang perbezaan politik antara PH dan GPS sebelum ini harus diketepikan.

“Satu-satunya konfigurasi yang boleh menjamin kerajaan (persekutuan) yang stabil adalah antara PH dan GPS. Dan konfigurasi itu mendukung keputusan demokrasi PRU ini.

“Di Sabah, dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional, Bersatu, Warisan, dan PH, keputusannya akan sangat berpecah,” katanya pada sidang media yang disiarkan dalam talian.

Pengarah pilihan raya PKR itu turut berkata, beliau pasti GPS sedar akan perkara ini, lebih-lebih lagi apabila beliau kerap membuat kenyataan mengenainya.

Beliau juga mengesahkan bahawa terdapat “komunikasi tidak rasmi” dengan gabungan Sarawak.

“Tetapi petunjuk yang saya dapat setakat ini, bukan sahaja daripada GPS tetapi parti lain di Sabah dan Sarawak, mereka mahu menunggu keputusan pilihan raya dahulu.

“Namun begitu, tiada penolakan secara langsung,” katanya.

Sebelum ini Rafizi berkata, PH hanya boleh bekerjasama dengan GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan persekutuan akan datang jika timbul keperluan.

Pihaknya menolak sama sekali kerjasama dengan BN, Perikatan Nasional (PN) mahupun Gerakan Tanah Air (GTA), katanya.

Bagaimanapun, Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebelum ini berkata, beliau percaya mustahil untuk mengharapkan GPS bekerjasama dengan PH selepas PRU15 kerana mengundi untuk GPS bersamaan memberi undi kepada Umno.

Mengejutkan, Mahiaddin dan keluarga miliki aset ratusan juta

NASUHA RAHMAN

Mengejutkan, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan keluarga didapati memiliki aset bernilai ratusan juta ringgit seperti mana didedahkan SCRUT.

Menurut SCRUT hasil kajian mereka mendapati selain Mahiaddin sendiri asetnya telah dinamakan kepada dua orang anaknya iaitu Fakhri dan Nabilah.

“Si Fakhri ni Uncle memang tak boleh buat apa dah. Banyak sangat. Tapi korang boleh check sendirilah setiap company dia tu dengan Interepo (www.interepo.com). Yang lebih details, Uncle dah bagi dekat orang yang bayar,” kata SCRUT.

Jelas SCRUT anak perempuan Mahiaddin Nabilah dilaporkan sebagai individu yang menjaga perniagaan keluarga di bawah syarikat utama mereka iaitu Ketapang Capital.

Hasil analisis SCRUT di Ketapang Capital nilai aset yang dimiliki hampir RM100 juta, sedangkan di dalam rekod Mahiaddin asalnya hanya penjawat awam kemudian masuk politik dan menjadi Menteri Besar Johor.

#image_title

“Tak taulah pula yang dia ni dulu business tycoon besar atau usahawan berjaya sebelum masuk politik.

Macam mana anak-anak dia boleh kaya?

“Tapi Uncle dah buat deep analysis untuk Ketapang Capital, kalian boleh search sendirilah setiap company di bawah Ketapang Capital tu daripada SSM atau www.interepo.com.

“Mana tau korang boleh jumpa diorang ni jadi vendor YTL ke kan?

“Cuma Uncle tertanya-tanya, adakah memang lumrah anak-anak menteri mesti kaya raya?” soal SCRUT.

PH yakin gelombang Anwar di KL merebak ke selatan Johor

Alyaa Alhadjri

Ribut dan banjir kilat melatari kempen pilihan raya umum (PRU) ke-15 Pakatan Harapan di lima kerusi di Johor yang dimenangi mereka pada 2018.

Terletak di sepanjang Selat Johor, lima kawasan itu yang membentuk Jalur Selatan Johor terdiri daripada Johor Bahru, Pulai, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang.

BN yang memenangi pilihan raya negeri (PRN) pada Mac tahun ini, berharap meneruskan momentum untuk mengukuhkan kedudukan sebagai kerajaan negeri.

Bagaimanapun, pemimpin PH, serta penyandang di Selatan Johor, percaya bahawa gelombang menyerupai "tsunami politik" yang menumbangkan kerajaan negeri pada PRU ke-14, bersama-sama dengan 18 daripada 26 kerusi parlimen, telah meningkat menjelang hari pengundian esok (Sabtu).

‘Ceramah Mega’ PH yang diketuai oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli di Johor Bahru pada malam Rabu menyaksikan kerumunan lebih 1,000 orang, hanya sehari selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim menghimpunkan ribuan penyokong di Batu, Kuala Lumpur.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dalam ucapannya malam itu berkata gelombang Anwar di ibu negara akan tiba di Johor bersama-sama pengundi yang pulang mengundi, yang sebelum ini tidak pulang mengundi pada PRN.

“Jumlah yang hadir malam ini di Johor Bahru adalah luar biasa. Saya ingin memberitahu anda semua bahawa rakyat Malaysia sekali lagi telah membentuk gelombang yang memberikan kita keyakinan dalam PH,” katanya.

“Kita boleh lihat Jelajah PH yang dipimpin oleh Anwar. Di Kuala Lumpur orang ramai berkata ia seperti ‘histeria massa’ yang mengalu-alukan Anwar. Apakah maksudnya?

“Kami percaya rakyat akan memberi peluang kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri akan datang,” kata Pengerusi PH Johor itu.

Walaupun tanpa kehadiran Anwar, penyokong yang berkumpul bersorak setiap kali pengerusi PH itu disebut sebagai bakal perdana menteri, selain ejekan apabila rujukan serupa dibuat kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Salahuddin akan cuba mempertahankan kerusi parlimen Pulai dalam pertarungan ketiga dengan Timbalan Ketua BN Johor Nur Jazlan Mohamed, menjadikannya pertandingan paling berprofil tinggi di Selatan Johor. Turut bertanding untuk Pulai ialah Loh Kah Yong sebagai wakil PN (Gerakan).

“Terus terang, sudah tentu sebagai penyandang saya berada di sini sebelum PRU15. Beberapa bulan sebelum pilihan raya, semuanya kelihatan 'cool' (tenang). Kami tidak nampak gelombang, tidak ada pergerakan ketika kami berkempen, malah sehingga permulaan kempen ini,” kata Salahuddin kepada Malaysiakini dalam satu wawancara awal pada Rabu.

“Ia tidaklah teruk sehinggakan mereka menolak saya, tetapi sambutannya tidaklah ‘hangat’, mereka hanya tersenyum dan sebagainya.

“Tetapi selepas beberapa hari, saya melihat bagaimana pengundi Cina, antara 41 peratus di Pulai, mula menjerit menyokong saya, meminta untuk bergambar dengan saya.

“Jadi saya cukup yakin tahap sokongan Cina dan India kembali seperti yang saya rasakan pada PRU ke-14,” tambahnya.

Calon PM jadi persoalan utama

Bagi segmen pengundi Melayu yang lebih besar, Salahuddin berkata PH hanya memerlukan tambahan 15 peratus daripada kalangan bekas pengundi BN, di samping penyokong sedia ada dan pengundi "atas pagar" - ramai yang akan menjadi pengundi kali pertama.

“Jumlah undi yang PH terima semasa pilihan raya Johor, itulah jumlah undi yang akan terus kita perolehi. Jika peratusan keluar mengundi lebih daripada 70 peratus, kita pasti boleh menang.

“Kita boleh menang di semua kerusi yang kita menangi pada 2018, dengan penambahan beberapa kerusi lain seperti Ayer Hitam,” katanya.

Jangkaan Salahuddin itu bukan tidak berasas.

Meskipun dilihat bangkit pada PRN Mac lalu, BN sebenarnya hanya menerima sekitar 43 peratus undi popular.

Dan sementara jumlah pengundi dalam PRN - sekitar 1.5 juta - adalah lebih kurang sama seperti pada 2018, peratusan keluar mengundi adalah lebih renda di kawasan selatan.

Imbasan sekali lalu keputusan pengundian menunjukkan bahawa terdapat kira-kira kurang 14,000 pengundi masing-masing di Johor Bahru dan Pulai berbanding 2018, manakala jumlah pengundi di Pasir Gudang berkurangan sekitar 1,000.

Ini walaupun terdapat hampir dua kali ganda bilangan pengundi berdaftar di tiga kawasan parlimen ini - yang sama ada mendaftar selepas 2018 atau secara automatik ditambah ke dalam daftar pemilih selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik pada penghujung 2021.

Tidak seperti pada PRU14 ketika PH menumbangkan BN dalam kempen yang sebahagian besarnya disasarkan kepada skandal 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak, kali ini, penyandang PH bagi kerusi Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata tidak ada watak "penjahat" tertentu dalam fikiran pengundi.

Justeru, katanya persoalan mengenai masa depan negara di bawah perdana menteri akan datang menjadi pertimbangan utama, selain kebolehan calon menangani isu tempatan di Johor Bahru dan kawasan sekitar.

“Sebagai contoh, anda mungkin bersetuju atau tidak bersetuju, tetapi saya dapat merasakan ada orang yang mengatakan mereka bukan hanya memutuskan sama ada untuk memberi mandat kepada saya atau tidak, tetapi mereka memikirkan siapa yang boleh menjadi orang terbaik untuk memimpin negara.

"Saya berjumpa dengan satu kumpulan yang bukan dari parti saya, tetapi mereka kata pilihan raya ini mereka akan memberi peluang kepada Anwar," kata Akmal semasa wawancara pada Selasa.

Di lapangan, Akmal berkata penyandang PH memanfaatkan kedudukan mereka untuk mengadakan kempen yang lebih disasarkan berbanding pemesejan massa atau acara berskala besar.

Pada masa sama, dia mengakui terdapat batasan untuk mengukur tahap sokongan pengundi luar kawasan.

“Ia tidak semudah pada 2018 di mana pada asasnya anda boleh ketengahkan watak "penjahat" dengan mudah (dalam kempen).

“Dalam pilihan raya ini, ia memerlukan pendekatan atau hujah yang lebih bernas untuk dapat mengaitkan seberapa banyak kumpulan atau segmen dalam masyarakat. Tidak akan ada satu isu pun yang boleh memenangi anda untuk pilihan raya,” kata bekas ketua pemuda PKR itu.

Perasaan berbeza

Bagi BN Johor, mereka percaya perubahan ini memberi manfaat kepada mereka.

Hadir menyokong Nur Jazlan dari BN pada perhimpunan anjuran Dewan Pemuda Johor pada malam Selasa, Ketua MCA Pulai Wong You Fong berkata terdapat isu nasional berbeza yang dimainkan sekarang berbanding pada 2018 yang menyaksikan peralihan besar-besaran sokongan bukan Melayu terhadap PH termasuk di Johor.

“Kini kami merasakan sokongan lebih baik daripada 2018, tetapi sudah tentu kita tidak dapat meramalkan keputusannya. Pada masa itu perasaannya berbeza.

"Kali ini terdapat ramai pengundi yang belum membuat keputusan dan semua parti politik cuba meneka bagaimana mereka akan mengundi," kata bekas ketua Wanita MCA Johor itu.

Bercakap kepada golongan belia, Nur Jazlan menggesa mereka memikirkan masa depan negara, khususnya untuk membandingkan perkembangan semasa di Johor dengan negara jiran Singapura di mana beribu-ribu orang mencari peluang yang lebih baik di seberang tambak.

Bekas ahli parlimen Pulai tiga penggal itu adalah calon tertua BN di Selatan Johor yang turut menampilkan dua muka baru, arkitek Johan Ropi berusia 42 tahun di Johor Bahru dan Noor Azleen Ambros, 37 tahun di Pasir Gudang.

Salahuddin dan yang lain dalam jejak kempen PH mengaitkan jangkaan gabungan itu untuk mengekalkan penyokong bukan Melayu dan memperoleh tambahan undi Melayu, menolak sebarang kemungkinan untuk Ahmad Zahid naik sebagai perdana menteri, naratif yang turut dimainkan oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Salahuddin juga berkata kekuatan individu calon akan memainkan peranan yang lebih kecil dalam mempengaruhi keputusan pengundi dalam pilihan raya di mana terdapat faktor nasional yang lebih besar dipertaruhkan.

Sebaliknya, pemimpin BN Johor berkempen atas platform "kestabilan politik" telah membentangkan visi mereka di mana kerajaan negeri ditadbir parti sama yang menguasai kerajaan persekutuan pimpinan BN di bawah kepimpinan Ismail Sabri.

BN tak boleh menipu orang kampung selamanya, mungkin itu maksud KJ

BN tak boleh selamanya jadi parti luar bandar, kata KJ

FMT Reporters

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) perlu berani menampilkan pemimpin besar untuk bertanding di kawasan bandar supaya tidak dilihat sebagai parti luar bandar, kata Khairy Jamaluddin.

Khairy yang berhijrah dari Parlimen Rembau ke Sungai Buloh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berkata, BN akan dilihat sebagai parti yang benar-benar serius mengangkat suara kelompok masyarakat yang mewakili 77% rakyat negara ini.

“BN mesti keluar dari zon selesa dan mencabar diri untuk membuktikan bahawa ia adalah parti yang dapat memenuhi aspirasi penduduk urban yang berdepan dengan realiti kehidupan semasa, di samping sokongan padu yang diperoleh daripada masyarakat luar bandar.

“Menang kalah itu memang adat pertandingan, tapi kita kena ambil risiko, jangan hantar calon ‘lightweight’ sahaja ke kawasan bandar,” katanya dalam program Agenda AWANI.

Katanya, BN tidak akan menjadi relevan dan suara majoriti rakyat jika perkara itu tidak dilakukan.

“Kena hantar pemimpin parti, menteri ke kawasan tersebut, supaya kita memberi mesej bahawa kita serius untuk mendapatkan sokongan daripada orang bandar.

“Kalau tidak, kita akan selama-lamanya jadi parti luar bandar, parti yang hanya akan bertanding di kawasan-kawasan selamat,” katanya.

Jelas Khairy lagi, beliau berani menyahut cabaran untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh iaitu kawasan terdiri pelbagai komposisi penduduk dengan sokongan mereka lebih kepada Pakatan Harapan (PH).

Selepas tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Rembau, Khairy berkata, beliau memerlukan cabaran baharu yang dapat menjadikannya pemimpin yang lebih baik dalam mengorak langkah menuju cita-citanya menjadi perdana menteri satu hari nanti.

“Sebab itu saya menawarkan diri saya sebagai satu faktor semak dan imbang.

“Yang penting, sekurang-kurangnya saya boleh jadi suara orang Sungai Buloh yang membawa satu pandangan kontra terhadap ‘establishment’ di sini yang berpihak kepada PH.

“Jadi, kena ada seorang pejuang yang prihatin, yang berani melawan arus untuk mempercepatkan penyelesaian kepada isu-isu dihadapi orang Sungai Buloh.” katanya.

PAS memang tiada hasrat bentuk k'jaan dengan Bersatu - Rafizi

Kow Gah Chie

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa PAS tiada hasrat untuk membentuk kerajaan bersama Bersatu selepas PRU15.

Rafizi berkata ini kerana PAS tahu PN - gabungan parti itu bersama Bersatu - tidak akan menang dalam PRU kali ini.

"Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kena scam. PAS tidak ada niat pun untuk bentuk kerajaan dengan PN," katanya kepada kira-kira 700 hadirin dalam ceramah di Kajang, Selangor malam tadi.

Dia membuat kesimpulan itu atas asas PAS menggunakan logo partinya, bukan PN, untuk bertanding di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Calon Parlimen Pandan itu berkata mana-mana gabungan politik yang dibina daripada "pengkhianatan" akhirnya akan berdepan pengkhianatan.

"Muhyiddin ingat PAS bersama (partinya), PAS ini sebenarnya scam Bersatu dalam PN. Bersatu banyak duit, Muhyiddin banyak duit. Cuba tengok bahan kempen PRU, memang Bersatu paling ke depan.

"Bendera besar, semua besar. Tak cukup dengan semua itu, mereka boleh bayar influencer RM20,000 hingga RM50,000," dakwa Rafizi lagi.

Beberapa hari lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan tidak menolak kerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan jika PN gagal membentuk kerajaan secara sendiri.

Bagaimanapun kenyataan itu disanggah Muhyiddin yang berkata dia tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin dalam perkara itu.

Ceramah semalam dilihat bertujuan meraih sokongan penjawat awam yang mengundi di Putrajaya dan Sepang.

Putrajaya dipegang pemimpin Umno Tengku Adnan Tengku Mansor sejak kerusi Parlimen itu diwujudkan pada 2004.

Kali ini, dia dicabar calon PH Noraishah Mydin Abdul Aziz dalam pertembungan enam penjuru.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Aminuddin Harun dalam ucapannya cuba menjarakkan PH dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dia yang bertanding di Parlimen Port Dickson menggesa penjawat awam untuk melupakan sebarang kontroversi sepanjang 22 bulan pentadbiran PH di bawah Mahathir.

"Lupakan 22 bulan itu kerana ketika itu kita ditadbir oleh orang tua yang cukup munafik yang tidak tunai janji dia.

"Kalau kita ditadbir Anwar Ibrahim, saya yakin pentadbiran dan negara akan lebih baik," katanya lagi.

PRU15: PN dan PH bersaing sengit di Kedah, BN sekadar di pinggiran

N Faizal Ghazali

PRU15 | Masa yang berbaki semakin suntuk, dan setakat ini petunjuk mengisyaratkan tiada parti boleh meletakkan keyakinan penuh bahawa mereka mampu memenangi banyak kerusi di Kedah.

Pemerhatian Malaysiakini setakat ini mendapati persaingan sengit di negeri Jelapang Padi itu lebih membabitkan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Kedua-dua gabungan itu mendominasi di kubu kuat masing-masing dalam usaha mempertahankan kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Melalui pemerhatian didapati sokongan terhadap PN menunjukkan mereka berpeluang untuk mempertahankan kerusi parlimen Sik dan Jerai, manakala PH dijangka mempertahankan Alor Setar, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Pokok Sena dan Kulim Bandar Baharu.

Pun begitu gerakan PH mencari kemenangan sebanyak mungkin mungkin terganggu sedikit dengan perkembangan terbaru di Padang Serai. Kematian mengejut calon PH, M Karupaiya, mungkin akan menjejaskan rentak mereka.

Selain itu terdapat sekurang-kurangnya lima kerusi berstatus 'kelabu' dengan peluang 50-50 bagi PN dan PH termasuk di Jerlun, Kubang Pasu, Pendang, dan Baling.

Di Jerlun penyandangnya Mukhriz Mahathir dilihat agak bergelut untuk menyaingi sokongan terhadap calon PN, Abd Ghani Ahmad, selain Othman Aziz (BN) serta Mohamed Fadzil Mohd Ali (PH).

Pertandingan empat penjuru itu memberi cabaran besar kepada Mukhriz yang mewakili Pejuang untuk selesa berdepan lawan-lawannya.

Selain itu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pula dijangka masih mampu mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi dan saingan terdekatnya setakat ini ialah daripada calon BN, Armishah Siraj.

Tinjauan Malaysiakini sebelum ini mendapati sentimen Mahathir sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada pulau legenda Mahsuri itu masih menebal.

Bagi Parlimen Kubang Pasu juga menjadi kerusi tumpuan walaupun penyandangnya Amiruddin Hamzah menang dengan majoriti besar dalam PRU ke-14.

Setiausaha Agung Pejuang itu mendapat tentangan hebat daripada calon BN, Hasmuni Hassan yang juga dilihat berpotensi untuk menawan kembali kubu kuat BN itu.

Justeru kerusi Kubang Pasu boleh dianggap sebagai salah satu harapan terbaik BN untuk meraih kemenangan kali ini.

Pada masa sama BN kelihatan sukar untuk bangkit daripada kekalahan besar pada PRU apabila sokongan kepada parti-parti lawan mereka menunjukkan peningkatan.

Oleh kerana itu didapati BN sedang bergelut untuk sekurang-kurangnya mengekalkan kemenangan di dua kerusi yang disandang mereka iaitu Baling dan Padang Terap.

Bagaimanapun pertandingan lebih tiga penjuru menjadikan sukar menjangka hasil akhir pada Sabtu ini, lebih-lebih lagi untuk menebak kencederungan pengundi muda yang akan memangkah kertas undi buat pertama kali.

Di kawasan Padang Terap Umno mempertaruhkan naib presiden mereka, Mahdzir Khalid. Di atas kertas dia kelihatan tidak menerima tekanan berat daripada calon parti-parti lawan.

Namun jika rekod 1,099 majoriti undi berpihak padanya pada PRU 2018 dijadikan kayu ukur, Mahdzir tidak boleh selesa khususnya berdepan saingan calon PN yang mempertaruhkan Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Abd Hamid.

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof, berpandangan situasi semasa di Kedah menyaksikan momentum sokongan rakyat kepada PN dan PH.

"Di Kedah saya lihat persaingan sebenar adalah di antara PN dan PH. Dari segi momentum sokongan di peringkat akar umbi, kelebihan berpihak kepada PN.

"Ia dibantu dengan kempen-kempen pemimpin utama PN yang turun membantu calon-calon mereka di Kedah.

"Begitu juga komitmen ditunjuk Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) yang aktif turun padang untuk berkempen," katanya.

Pada masa sama, kata pensyarah Pusat Sains Liberal Unimap itu lagi, BN tidak kelihatan membawa pemimpin tertinggi mereka ke Kedah untuk membantu parti terbabit.

Dua nama yang disebut Izmer ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan timbalannya Mohamad Hasan.

Untuk rekod kedua-dua nama terbabit kini turut sibuk berkempen di kawasan masing-masing. Jika Ahmad Zahid di Bagan Datuk, Mohamad pula mencuba nasib di kerusi yang ditinggalkan oleh Khairy Jamaluddin di Rembau.

Memang agak mengejutkan untuk melihat BN berada pada keadaan sekarang ketika di negeri lain parti itu dianggap garang untuk mencari sebanyak mungkin kerusi.

Lebih menarik ialah bagaimana PN mampu menonjol melebihi populariti BN.

Dari satu sisi ia menunjukkan percaturan parti komponen PN dalam PRU kali ini agak menjadi di Kedah. Atau dalam bahasa lain gabungan itu memilih strategi pemasaran yang berkesan untuk 'menjual' sebuah produk baru bernama PN.

Namun pada masa sama parti-parti komponen dalam PN tidak boleh terlalu gembira. Hal itu kerana dalam konteks semasa di Kedah, PN itu sendiri ialah PAS, manakala Bersatu kelihatan masih mencari rentak tarian di atas tanah yang tidak rata.

Tiket bas habis, pelajar sanggup berjalan kaki pulang mengundi

Nur Izzati Mohamad

bhnews@bh.com.my

Muhammad Haikal ditemui pensyarahnya ketika berjalan kaki untuk pulang mengundi di kampungnya di Kelantan selepas tiket bas habis. - Foto ihsan Kolej Komuniti Kepala Batas

Muhammad Haikal ditemui pensyarahnya ketika berjalan kaki untuk pulang mengundi di kampungnya di Kelantan selepas tiket bas habis. - Foto ihsan Kolej Komuniti Kepala Batas

KEPALA BATAS: Seorang pelajar Kolej Komuniti, di sini tidak mahu melepaskan peluang pertamanya untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila sanggup pulang ke kampung halamannya di Kelantan dengan berjalan kaki.

Muhammad Haikal Noor Azmin, 18, mengambil keputusan itu selepas semua tiket bas habis berikutan orang ramai pulang mengundi pada Sabtu ini.

Bagaimanapun, pelajar jurusan Sijil Animasi 2D itu ditemui pensyarahnya yang kebetulan dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Bertam Indah 2, kira-kira jam 7 petang semalam.

Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Jasni Mohd Yusof, berkata pelajar itu adalah orang kurang upaya (OKU) yang kurang sempurna dari segi pergerakan dan pertuturan.

"Walaupun begitu, dia semangat untuk menunaikan tanggungjawab untuk membuang undi pada PRU15 hingga sanggup berjalan kaki.

"Bahkan ketika ditemui, pelajar itu kelihatan keletihan. Pihak kolej kemudian mengambil inisiatif menghantar pelajar berkenaan pulang ke kampung halamannya. Ini adalah bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar itu terjamin," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Jasni berkata, pihak kolej menggunakan kenderaan jabatan bagi proses menghantar pulang Muhammad Haikal dan pelajar itu selamat sampai ke kampung halamannya, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Haikal berkata, dia terharu dengan bantuan yang dihulurkan pihak pengurusan kolejnya bagi memastikan dia dapat pulang mengundi.

Katanya, bantuan yang diberikan itu sedikit sebanyak meringankan beban keluarganya, apatah lagi dia adalah anak sulung daripada lima beradik yang kematian bapa sejak berusia 11 tahun.

Banjir makin teruk, penduduk Bagan Datuk hilang ‘mood’ undi

Yasmin Abdul Latif 

Keadaan di Kampung Batu 26 Matang Kunda Tengah, Bagan Datuk selepas dinaiki air akibat hujan lebat berterusan.

BAGAN DATUK: Situasi banjir semakin teruk di Bagan Datuk, Perak menyebabkan penduduk hilang “mood” untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.

Finas Muhammad, 28, yang tinggal di kampung Jalan Rungkup Simpang Tiga Selekoh, berkata rumahnya dinaiki air sejak tiga hari lalu akibat hujan lebat berterusan.

“Dalam keadaan banjir begini, daripada kami fikir nak undi siapa, lebih baik kami fikir macam mana nak selamatkan diri dan barang-barang rumah. Cuaca tak menentu sekarang, hujan lebat hari-hari, air naik cepat,” katanya kepada FMT sambil menambah setiap kali banjir, penduduk sukar keluar dari kampung kerana paras air di beberapa kawasan agak tinggi.

Ahli keluarga Finas Muhammad yang tinggal di kampung Jalan Rungkup Simpang Tiga Selekoh memindahkan peralatan dapur, selepas rumah mereka dinaiki air.

Jamil Abdullah, 30, berkata calon yang bertanding pada pilihan raya umum ke-15 sepatutnya memfokuskan usaha membantu mangsa banjir, bukannya meneruskan kempen.

“Setakat ini, kami tidak nampak lagi bantuan untuk kawasan kampung kami. Ada yang bekerja kebun, dalam keadaan banjir, mereka nak keluar kerja macam mana, golongan yang ini perlukan bantuan.”

Tutik Senan, 56, dari Kampung Batu 26 Matang Kunda Tengah berkata, beliau dan suaminya yang bergantung hidup kepada hasil kebun, kini bergantung kepada bekalan makanan dan wang simpanan sementara menunggu banjir surut.

“Suami saya berkebun, dah banjir macam ni memang tak dapat keluar kerja. Dalam keadaan begini, dengan nak keluar pun susah, memang malas nak pergi mengundi, tapi fikirkan tanggungjawab saja ini.”

Bagi Syikin Jamalaudin, 31, cuaca tidak menentu yang ditambah dengan banjir, sedikit sebanyak menyusahkan rakyat untuk mengundi pada PRU15.

“Memang setiap kali PRU, kita semangat nak mengundi. Cuma saya rasa bila buat PRU musim banjir ini sebenarnya menyusahkan rakyat, dah tahu memang akan banjir, kenapa nak buat juga waktu ini? Rugi bila ramai tak keluar undi sebab banjir.

“Banjir tak nampak lagi nak surut, hujan lebat selalu tengah malam. Kami terjaga pukul 3 pagi, air naik jadi kena kemas.”

Selepas 70 profesor tampil, giliran 102 NGO Melayu juga sokong Anwar jadi PM

FAZLI RADZI

Selepas 70 profesor Melayu tampil menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Ke-10, sebanyak 102 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Jaringan NGO Melayu Islam juga menyatakan pendirian sama.

Jurucakap mereka, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata Anwar adalah tokoh yang paling layak untuk dipilih bagi memimpin Malaysia keluar daripada krisis ekonomi, kebejatan tadbir urus, membanteras rasuah, mengatasi sentimen perkauman serta membanteras penyelewengan kuasa.

Menurutnya yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), perjuangan Anwar sentiasa menyuarakan soal akauntabiliti terhadap kepincangan pengurusan khazanah negara oleh golongan elit dengan amalan kronisme dan nepotisme yang berleluasa.

“Anwar juga secara konsisten menyuarakan isu kemiskinan rakyat merentas kaum dan nasib golongan bawahan dalam kalangan petani, nelayan, pekebun, pesawah, buruh kasar dan peniaga kecil.

“Golongan bawahan ini terus-menerus terhimpit dengan pendapatan yang rendah dan kualiti hidup yang tertekan,” katanya pada sidang media di Bangi, hari ini.

Beliau berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan kewangan negara.

Mohd Azmi berkata, hal tersebut terbukti ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun bermula 1991 sehingga diiktiraf di peringkat dunia.

Tegasnya, sebagai Menteri Kewangan, Anwar berjaya mengatasi isu hutang negara serta menangani isu belanjawan negara dengan menghasilkan bajet lebihan selama lapan tahun berturut-turut.

“Kecemerlangan perkhidmatan beliau juga sangat diperakui sebagai ahli Parlimen dan pelbagai jawatan dalam kerajaan seperti Menteri Belia dan Sukan, Pertanian, Pendidikan, Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya turut menghargai penegasan Anwar untuk mempertahankan peruntukan Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi kedudukan Islam, hak istimewa Bumiputera, kedudukan bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Untuk rekod, Anwar menunggu hampir 25 tahun untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

PH yang diterajuinya dengan diwakili PKR, AMANAH, DAP, Upko dan pakatan pilihan raya dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding 206 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN dalam PRU15.

Sabtu ini, lebih 21 juta pemilih dijangka menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada PRU15.

Sebanyak 58 peratus daripada jumlah itu dalam kelompok usia 18 hingga 40 tahun.

Pertambahan pengundi belia susulan penurunan usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih secara automatik.

Seramai 945 calon akan merebut 222 kerusi sekaligus jumlah calon bertanding paling ramai dalam sejarah PRU di negara ini.