Landasan kereta api Sadao dibom, tiada rakyat Malaysia terlibat

Bernama

KANGAR: Tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden bom landasan kereta api di Sadao, Thailand petang tadi.

Exco Kemudahan dan Prasarana, Pengangkutan, Hubungan dan Kerjasama Sempadan, Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu dan Aduan Awam Perlis, Izizam Ibrahim berkata daripada maklumat yang beliau terima, insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kematian atau kecederaan.

“Saya juga difahamkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden yang melibatkan kereta api kontena yang membawa komoditi getah,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata letupan bom tersebut tidak melibatkan kereta api penumpang.

Media sebelum ini melaporkan Perkhidmatan kereta api State Railway of Thailand (SRT) dari Hatyai ke Padang Besar, Malaysia tergendala selepas satu bahagian landasan dibom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngek di Sadao, Thailand.

Berhentilah gugat kerajaan, rakyat mahu kita maju ke depan

DR SHAHNOR BASRI

Pas nampaknya tidak pernah reda kebencian dengan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Baru-baru ini pula sebelum YAB Perdana Menteri mengumumkan kabinetnya, seorang ahli jawatankuasa Pas Pusat berkata bahawa PM sangat lambat bertindak mengumumkan barisan kabinet pentadbirannya. Beliau mendakwa PM lebih menumpu atau terlalu fokus kepada aktivit sosial. Apalah bengap sangat.

YAB Perdana Menteri sebenarnya telah mengambil tindakan sangat awlawiyat iaini memberi keutamaan kepada penyelesaian isu utama rakyat pada ketika ini, iaini bebanan kehidupan rakyat. Ini bukan agenda menyediakan “mi celup” seperti yang dilaksanakan kerajaan terdahulu. Ia memerlukan YAB PM bersama pasukan kementerian memberikan taklimat, menyusun strategi, mencerakinkan strategi dan bertindak.

YAB PM telah memberikan masa dua minggu kepada pasukannya untuk mencari jalan penyelesaian yang melibatkan banyak perkara. Termasuk isu subsidi, kecukupan bahan makanan, keselamatan makanan (food security), harga mampu bagi rakyat tanpa membebankan peniaga dan rakyat (win-win), kelestarian (sustainability) dan pelan jangka pendek dan jangka panjang. Ia memerlukan ketelitian dan runding-cara yang telus serta pendekatan strategik lagi dinamik. Perdana Menteri patut di puji kerana usaha dan jiwa rakyatnya, bukannya di tohmah. Jangan jadi seperti “katak ditimpa kemarau”, berkeluh kesah dalam hal yang anda tidak perlu perihatin pun, kerana selama ini pun anda tidak perihatin terhadap rakyat.

Cubalah berlapang dada dan perhatikan keyakinan antarabangsa terhadap pasaran saham dan kedudukan matawang. Bloomberg melaporkan sebaik sahaja DSAI mengangkat sumpah, ringgit melonjak sebanyak 0.9% dan terus meningkat, pasaran saham rancak kerana timbul keyakinan. Tindakan dan ulasan-ulasan bodoh tanpa data dan fakta hanya akan menghuru-harakan pemikiran rakyat, sedangkan negara kini bergerak secara progresif. Hentikanlah ulasan dan bebelan anda, kerana ia amat kotor dan paling tidak bertanggung-jawab. Ketaksuban yang melampau-lampau hanyalah usaha untuk mengkhianati kerajaan sedia-ada.

Sudahlah menyatakan kerajaan perpaduan ini ‘kerajaan zina’ dengan memberikan alasan kebebasan bersuara. Mana akhlak dan tarbiyah anda. Ini amat keterlaluan. Kemudian muncul pula tohmahan bahawa kabinet ini adalah “kerajaan luar tabii”. Sedang apa yang dipersembahkan dan dikenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, adalah “Kabinet Perpaduan”. Sedang anda menolak “olive branch” perpaduan yang dihulurkan, maka janganlah terus-terusan mahu merungkai perpaduan yang sedang dibina dan diperkukuh. Hentikan gerak saraf anda untuk menghancurkan perpaduan dan kerajaan Malaysia. Berjiwa besarlah.

Kerajaan ini adalah kerajaan Malaysia, kerajaan yang sah dengan perkenan SPB YDA. Perdana Menteri telah mengangkat sumua, semua prosesnya sah di sisi perlembagaan negara. Kabinet juga telah dibentuk, dengan perkenan SPB YDA. Ia bukan kerajaan tebuk atap lagi. Sudah, sudahlah menggerakkan apa jua langkah untuk meruntuhkan kerajaan yang sedang bertungkus lumus memulihkan ekonomi, memperbaiki tadbir urus negara, reformasi pentadbiran dan menangani kos sara hidup rakyat. Jadilah pembangkang yang bermaruah kerana anda memilih untuk menjadi pembangkang. Jadilah pembangkang yang berfakta dan mempunyai data untuk membantu kerajaan dalam proses semak-imbang. Bukan pembangkang mulut busuk, jiwa rosak dan hati penuh kedengkian.

Zaman telah berubah. Rakyat mahukan kerajaan dan ahli parlimen yang bermaklumat, menggunakan segala sumber yang sahih dalam berhujah, data-data benar (real data) dan pendekatan strategik untuk membangunkan negara. Rakyat sudah muak dengan anggota parlimen hentam keromo, tidak berbahas dengan fakta dan angka yang benar (facts and figures), hujah bodoh, sumbang dan hujah lakonan lawak jenaka. Enough is enough.

Rakyat mahukan kepimpinan yang sopan berakhlak, bukan yang memperagakan perut buncit di khalayak tanpa baju. Rakyat mahukan ulama’ yang benar, bukan ulama’ yang berfikiran sempit, senget dan tidak habis-habis membangkitkan keresahan supaya langkah diambil untuk meruntuhkan kerajaan. Rakyat mahukan pemimpin yang agresif bukan melebal yang khilaf dengannya seperti kera atau tupai! Yang mulut busuk, hangit pergilah bersihkan, mulut busuk anda yang hanya akan menyebabkan jika rakyat terhidu pelempiasan virus yang mendatang pandemik yang membawa bencana kepada rakyat. Janganlah meroyan, kerana meroyan itu masaalah mental yang serius. Tanda-tanda itu telah kelihatan.

Jangan meroyan kenana tulisan ini bukan dari anggota DAP tetapi kerana kecintaan kepada kebenaran dan mahukan reformasi institusi yang terbaik untuk rakyat dan negara. Pakukan anda yang telah menebuk atap dahulu telah terbukti gagal melaksanakannya.

Penulis merupakan Fellow Islamic Academy of Science, yang berpengkalan di Jordan. Penulisan ini merupakan pendapat dan pandangan penulis dan bukan melambangkan pendirian akademi.

Anthony Loke: Sokong Anwar tanpa syarat, DAP sedia berkorban

BERNAMA

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini berkata satu-satunya objektif DAP dalam menyertai Kabinet adalah untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata sekiranya Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar berjaya, ia sekali gus meraih kejayaan buat negara.

"Itu sahaja objektif dalam penyertaan ini (Kabinet), kita akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendokong kepimpinan beliau (Anwar) dan buktikan DAP ikhlas dalam usaha dan perjuangan bagi menjayakan Kerajaan Perpaduan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.

Loke berkata memandangkan DAP menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri tanpa syarat, parti itu sedia berkorban apa sahaja sebagai komitmen kepada Anwar.

"Kita menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa syarat, jadi seperti yang saya katakan tadi, pada 22 Nov sebelum beliau pergi ke Istana Negara, saya menyatakan, selagi anda (Anwar) boleh menjadi Perdana Menteri, DAP sanggup berkorban apa sahaja, itu komitmen saya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Kepada soalan mengenai pelantikan empat menteri dari parti itu, Loke berkata nama-nama yang dicadangkan kepada Perdana Menteri untuk membarisi Kabinet mengambil kira kesesuaian pemimpin dalam bidang portfolio berkenaan, pembabitan wanita dan kaum India.

Beliau berkata DAP menghormati keputusan Perdana Menteri melantik empat ahli parti itu iaitu beliau sendiri sebagai Menteri Pengangkutan, Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan), Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) dan V. Sivakumar (Menteri Sumber Manusia).

"Ini adalah antara pertimbangan kita yang dicadangkan kepada PM tetapi kita hormati prinsip bahawa keputusan akhir berada di tangan Perdana Menteri kita. Kita sebagai parti komponen di dalam Pakatan Harapan sentiasa ada perbincangan dan rundingan, tetapi kita perlu hormat bahawa keputusan berkenaan jemaah menteri terletak di atas budi bicara Perdana Menteri," katanya.

Ditanya mengenai Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi kes mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau berkata perkara itu (kes mahkamah) adalah di bawah bidang kuasa mahkamah.

"Itu (kes Ahmad Zahid) terpulang kepada mahkamah, ada proses mahkamah sedang berjalan. Kita dalam Kabinet hanya membincangkan agenda negara bukan agenda kes masing-masing, tidak akan disentuh dan bincang kes peribadi, hanya agenda rakyat dan negara," katanya.

Sementara itu Loke berkata mesyuarat di antara Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang diadakan sehari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memberi mandat untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menubuhkan kerajaan persekutuan tanpa syarat.

Beliau turut menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perkenan baginda untuk melantik empat menteri daripada DAP, selain merakamkan penghargaan kepada Anwar di atas kepercayaan beliau terhadap ahli DAP dalam membarisi kabinetnya.

Sementara itu, Loke berkata nama-nama bagi barisan timbalan menteri belum diserahkan kerana fokus kerajaan buat masa ini adalah bagi membentuk Kabinet dalam kalangan menteri.

Azalina mahu pisah kuasa peguam negara, pendakwa raya

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Selaku menteri undang-undang dan reformasi Institusi, Azalina Othman Said berikrar untuk menangani isu undang-undang lapuk dan melaksanakan pindaan diperlukan supaya relevan dengan keadaan semasa.

Dalam satu kenyataan hari ini, Azalina antaranya berkata pindaan itu termasuk pemisahan kuasa peguam negara dengan pendakwa raya untuk memelihara kebebasan budi bicara pendakwa raya.

“Saya juga akan memastikan isu-isu yang perlu diberi perhatian, termasuk status kewarganegaraan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia akan terus menyaksikan kemajuan berterusan dan mana diperlukan, undang-undang akan diperbaharui untuk mengembalikan semula hak kepada golongan rentan, terpinggir dan mereka yang tidak menerima layanan sama rata dalam negara kita,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berkenaan Azalina berkata terdapat banyak cabaran di hadapan menanti perjalanan kerajaan perpaduan ini, mengambil kira kesan pandemik Covid-19 dan jangkaan kemelesetan ekonomi tahun depan.

“Portfolio saya terajui melibatkan aktiviti yang merentas kerajaan, saya sedia untuk bekerjasama dengan wakil rakyat yang dipilih daripada pelbagai parti untuk menangani cabaran ini,” katanya.

Dengan pengalaman luas sebagai Jemaah Menteri dan menerajui pelbagai kementerian sejak 2004, Azalina mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik menjadi menteri belia dan sukan pada 2004 dan wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 2020.

Azalina juga merupakan menteri pelancongan dari 2008 sehingga 2009 dan menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam hal ehwal undang-undang dari 2015 hingga 2018.

Lantik Zahid langkah tak popular, tapi Anwar 'terpaksa' - Penganalisis

Alena Nadia

Pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri mungkin tidak popular dalam kalangan ramai orang tetapi ia adalah keputusan yang tidak dapat dielakkan, kata penganalisis.

Penganalisis sosiopolitik Prof Awang Azman Awang Pawi berkata pelantikan presiden Umno dan pengerusi BN itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kedudukan yang ada padanya.

Jika tidak dilantik, katanya, ia boleh dianggap sebagai suatu diskriminasi.

"Pelantikan Ahmad Zahid adalah selaras dengan konsep undang-undang iaitu seseorang tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

"Ini adalah konsep dalam perlembagaan dan undang-undang di negara ini," katanya.

Pendapat itu turut dikongsi beberapa penganalisis lain yang berkata, sama seperti Ahmad Zahid, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berada dalam situasi memerlukan sokongan.

Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania, James Chin, berkata kedua-dua tokoh terbabit memang bersahabat sejak sekian lama malah sejak 1990-an Ahmad Zahid dianggap sebagai anak didik Anwar.

Kata Chin memang ada ramai rakyat Malaysia - terutamanya dalam kalangan kelas pertengahan bandar - berharap Ahmad Zahid tidak diberi tempat dalam kabinet Anwar berdasarkan statusnya yang sedang berdepan 47 pertuduhan rasuah di mahkamah.

"Tetapi hakikatnya Anwar tidak mempunyai banyak pilihan, baik dari sudut peribadi mahupun politik.

"Ini mungkin mengejutkan banyak pihak tetapi Ahmad Zahid mempunyai hubungan baik dengan Anwar dan merupakan salah satu sekutunya yang paling rapat sejak awal mereka menjadi aktivis politik muda di Universiti Malaya pada 1970-an," tambahnya.

Elak buat pusingan U

Chin berkata PRU ke-15 adalah pertandingan yang sengit yang akhirnya menjadikan BN sebagai king maker.

Seandainya Ahmad Zahid tidak menyokong PH pada masa-masa genting ini, katanya, peluang Anwar untuk mentadbir dan menjadi perdana menteri mungkin terlepas lagi.

"Apabila BN mencapai perjanjian 10 perkara dengan PH dan berikrar memberi sokongan membentuk kerajaan sebagai pertukaran bagi pelantikan timbalan perdana menteri, kita tak dapat fikir siapa lagi selain ketua Umno untuk menyandang jawatan itu,” katanya.

Menurut Chin lagi, hakikatnya Anwar juga perlu menyokong kedudukan Ahmad Zahid untuk mengekalkan Umno dalam kerajaan dan menghalangnya daripada melakukan pusingan U.

Pada masa sama Chin mengaku ada sekurang-kurangnya lima pemimpin kanan Umno secara terbuka menyatakan rasa tidak senang dengan Ahmad Zahid kerana bekerjasama dengan PH.

Namun, katanya, setakat ini mereka dapat 'dihalang' daripada melompat ke PN kerana adanya akta antilompat parti yang boleh menjejaskan kerusi yang mereka menangi baru-baru ini.

"Sudah tentu, tiada apa yang dapat menghalang mana-mana pemimpin Umno daripada mencabar Ahmad Zahid untuk jawatan presiden parti apabila pemilihan Umno diadakan tahun depan.

"Tetapi, diberikan jawatan kanan dalam kerajaan, Ahmad Zahid mungkin mempunyai kelebihan untuk mengalahkan pencabarnya,” kata Chin.

Sainstis politik Wong Chin Huat menambah pelantikan lima pemimpin Umno dari kem Ahmad Zahid sebagai menteri pasti akan membantu peluang mereka untuk dipilih semula dalam pemilihan parti.

Kata Wong perhimpunan agung Umno akan datang bakal menyaksikan perdebatan hangat tentang mengapa BN kalah dan ke mana hala tuju Umno peru ditetapkan.

Ia, katanya, akan membuka jalan kepada naratif pemilihan parti.

"Adalah penting bagi kerajaan PH untuk tidak mengambil risiko menjadikan pemilihan Umno sebagai peperangan proksi antara PH dan PN.

"Sebaliknya, PH harus mengadakan perjanjian gabungan dengan BN untuk memastikan penyertaannya dalam kerajaan dan menghantar mesej yang jelas untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang memimpin Umno," kata Wong.

Perbicaraan kena terus

Terdahulu Chin juga berkata Ahmad Zahid secara konsisten berhujah bahawa jika Umno memilih PN untuk membentuk kerajaan, parti itu tidak akan mempunyai peluang untuk memulihkan keadaannya.

Menurut Chin, menyertai kerajaan baru juga akan meletakkan Umno sebagai parti pemerintah yang dominan menjaga hak Melayu.

"Umno adalah satu-satunya parti Melayu secara eksklusif dalam kerajaan PH dan boleh membezakan parti itu daripada parti yang lain dalam kerajaan.

"Jika Umno bersama PN, peluang mereka mungkin menjadi lebih kecil kerana perlu bersaing dengan Bersatu dan PAS untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu yang sama,” katanya.

Chin berkata penting untuk diperhatikan bahawa perbicaraan Ahmad Zahid telah pun dimulakan dan ia perlu diteruskan tanpa mengambil kira pelantikannya dalam kabinet.

"Juga di bawah undang-undang Malaysia, seseorang itu harus dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah," tambahnya.

Mengenai kedudukan parti komponen BN, Wong berkata memandangkan gabungan itu hanya menyumbang 30 kepada keseluruhan 148 kerusi dimenangi oleh parti-parti dalam kerajaan hari ini, terdapat kekangan portfolio kabinet yang boleh diberikan kepada mereka.

"Dari perspektif Umno, satu kerusi untuk MCA atau MIC bermakna kuranglah satu kerusi untuk mereka, justeru langkah mengetepikan mereka (MCA dan MIC) sama sekali tidak menghairankan.

"MCA dan MIC mungkin mendapat jawatan timbalan menteri kemudian, tetapi kemerosotan mereka tidak dapat dielakkan sekarang kerana Umno hilang penguasaan terhadap pengundi Melayu untuk dua PRU berturut-turut," kata Wong.

Chin juga tidak menjangkakan MIC dan MCA akan memberi sumbangan besar kepada kerajaan baru ini.

Mengikut penelitiannya, kata Chin, ketiadaan wakil MCA dan MIC dalam kabinet Anwar memang hasil saranan Umno.

"Mereka (MCA dan MIC) mungkin tidak mempunyai jawatan menteri penuh tetapi kita boleh lihat salah seorang daripada mereka diberi jawatan timbalan menteri apabila senarai penuh disahkan.

"Saya mengesyaki MIC mempunyai peluang kerana kaum India kurang diwakili dalam kabinet baru," katanya.

Sebelah ‘sana’ lebih teruk

Bagaimanapun, itu mungkin tidak berlaku sama ada kerana kedua-dua parti itu menghadapi tentangan ketara daripada pihak lain.

"Pada asasnya, mereka telah ditolak sama sekali oleh kaum Cina dan India, jadi pengkritik akan bertanya mengapa mereka perlu diberi jawatan?

"Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keputusan terakhir," tambah Chin.

Katanya, amat sukar buat Anwar untuk menambah bilangan timbalan menteri kerana terdapat banyak tekanan untuk tidak berbuat demikian semata-mata untuk memberi ganjaran kepada penyokong kerajaan.

"Ia adalah situasi yang sukar. Kita terpaksa hidup dengan kabinet hibrid ini kerana sebelah sana lebih teruk.

"PN mempunyai perwakilan yang sepenuhnya Melayu dan Islam tidak mencerminkan Malaysia sebenarnya yang berbilang kaum.

"Rakyat Malaysia juga mudah lupa. Menjelang minggu depan pelantikan kabinet tidak akan menjadi isu. Kami berharap kerajaan ini dapat kekal bersama kerana salah satu punca kerajaan PH runtuh adalah pergaduhan dalaman," kata Chin.

Dia berkata, dari segi matlamat bersama rakyat Malaysia, perkara paling penting ialah memulihkan ekonomi.

Kenapa Anwar jadi Menteri Kewangan?

NASUHA RAHMAN

Ramai yang masih ingat ucapan Mat Sabu sewaktu kempen PRU 14 yang lalu (bukan PRU 15). Mat Sabu membuat perumpamaan kepada bekas Perdana Menteri semasa itu, ‘Najib nak pakai duit, Najib tanya Najib, Najib cakap nanti dia bincang dengan Najib. Lepas bincang, Najib luluskan duit kepada Najib’.

Kali ini pastinya orang akan troll juga ‘Anwar nak pakai duit, Anwar tanya Anwar, Anwar cakap nanti dia bincang dengan Anwar. Lepas bincang, Anwar luluskan duit kepada Anwar’. Tidak mengapa. Itu hak rakyat untuk troll pemimpin dan pemimpin perlu steady dan tidak koyak.

Bagi saya ini troll seperti ini pastinya sudah difikirkan oleh Anwar. Hakikatnya, karekter Anwar adalah berbeza dengan Najib. Anwar sudah tolak gaji. Anwar juga pesan kepada pegawai supaya tidak sediakan cenderamata apabila beliau pergi turun padang ke program kementerian. Anwar juga tolak untuk gunakan Mercedes S600.

Justeru, kenapa Anwar ambil jawatan Menteri Kewangan? Jawapannya kerana Anwar tahu bahawa ketirisan akan bermula dengan MOF. Perbelanjaan besar di setiap kementerian mesti mendapat kelulusan MOF. MOF ini adalah gedung perbendaharaan dan jika Anwar sudah bagi komitmen untuk melaksanakan tender terbuka maka MOF mesti berperanan. Anwar tahu hal itu kerana Anwar pernah menjadi Menteri Kewangan.

Mungkin ada yang berhujah bahawa lebih baik seorang Perdana Menteri tidak menjadi Menteri Kewangan atas alasan bahawa untuk mewujudkan mekanisme semak dan imbang. Orang yang tidak puas hati dengan Menteri Kewangan kemudiannya boleh mengadu kepada Perdana Menteri.

Tidak salah untuk berhujah sedemikian namun dalam keadaan komitmen Anwar untuk melakukan tatakelola yang baik maka kegusaran salah guna kuasa itu boleh dihindarkan. Lagipun, pasca PRU 14 dahulu rakyat sudah semakin celik tentang hal tatakelola ini. Rakyat sendiri boleh memekik dan memaki Anwar nanti jika Anwar tidak mengotakan janji untuk melakukan tatakelola yang baik dalam MOF.

Dalam menghadapi saat ekonomi yang sukar pada tahun 2023, Anwar tiada pilihan kecuali mesti bergerak secepat mungkin untuk mengejar masa. Masa yang terbuang akan merugikan negara.

Anwar juga adalah Perdana Menteri. Sebagai Perdana Menteri beliau adalah yang Pengerusi kepada Jemaah Menteri. Perdana Menteri perlu tahu apakah yang dibuat oleh kementerian dan perlu membuat keputusan segera. Jika Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya membuat keputusan tetapi tersangkut pula di MOF maka keputusan yang segera itu akan tetap menjadi lambat. Namun, jika Anwar menjadi Menteri Kewangan isu kelambatan ini dapat diatasi dengan secepatnya.

Anwar bergerak pantas dan tidak berfikir pasal cuti. Anwar telah mengumumkan nama-nama anggota Jemaah Menteri pada hari Jumaat malam Sabtu. Mana-mana Menteri yang dilantik melalui jalan senator perlu mengangkat sumpah pada hari Sabtu dan Anwar sendiri sudah menjadualkan supaya perjumpaan dengan Menteri itu dibuat juga pada hari Sabtu.

Pada hari Isnin semua menteri yang dilantik perlu mengangkat sumpah di hadapan YDPA. Pergerakan yang cepat ini sangat luar biasa dan di luar kebiasaan Malaysia.

Seperkara lagi, Anwar tahu bahawa Timbalan Perdana Menteri adalah kluster Mahkamah. Timbalan Perdana Menteri itu kini terpalit dengan kes berkaitan sakau duit rakyat. Rakyat risau jika Timbalan Perdana Menteri itu akan mengamalkan amalan sakau dan akhirnya rakyat juga yang rugi.

Sebab itu, Anwar perlu berada di MOF untuk mengurus persepsi rakyat. Rakyat melihat Anwar sebagai orang yang tidak kemaruk fulus (teringat pula pepatah Al Fulus Fi Dunya Wal Mampos Fil Akhirah). Ini dibuktikan bahawa dalam kes sabitan Mahkamah dahulu pun Anwar didakwa bukan kerana salah guna wang tetapi dikatakan salah guna kuasa itu berlaku disebabkan Anwar memberikan arahan dalam bentuk sergahan kepada seorang pegawai kerajaan.

Maknanya, rakyat perlu terima hakikat bahawa tidak mudah untuk seorang Timbalan Perdana Menteri menyakau duit rakyat dalam keadaan Anwar menjadi Menteri Kewangan. Anwar sendiri sudah banyak kali menekankan konsep dan prinsip keadilan serta tatakelola yang baik (good governance) dalam pentadbirannya. Harapnya Anwar akan konsisten dengan kedua-dua prinsip itu.

Keadaan kewangan negara kini pun sudah tenat. Dengan hutang negara berjumlah RM1.2 trilion adalah tidak mudah untuk mentadbir negara. Sejumlah RM600 bilion dikatakan telah dibelanjakan oleh PM 8 semasa beliau memerintah. RM600 bilion bukanlah satu jumlah yang sedikit.

RM600 bilion itu pun tidak dibentangkan atas alasan darurat. Pada masa itu PM 8 bukanlah Menteri Kewangan tetapi ketirisan tetap berlaku dan maklumat terperinci mengenai perbelanjaan RM600 bilion itu tetap digelapkan daripada pengetahuan rakyat. Kalau kita lihat bajet 2023 yang dibentangkan oleh Tengku Zafrul sebelum ini pun baharu berjumlah RM372 bilion. Maka jumlah RM600 bilion itu hampir menyamai perbelanjaan 2 tahun negara Malaysia.

Justeru, mungkin itulah sebabnya Anwar memilih untuk menguruskan sendri kewangan di MOF.

Nik Abduh beri peringatan buat 'penggali lubang'

Malaysiakini

Ketika partinya terus agresif menyerang kerajaan baru Malaysia, seorang pemimpin PAS sebaliknya kelihatan lunak dan sempat memberi peringatan mengenai amalan jelik.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduk Nik Abdul Aziz, berkata dalam Islam amalan mengkritik - sama ada secara lembut atau keras - memang dibenarkan tetapi ia mestilah terikat kepada fakta dan akhlak.

Katanya pada masa sama Islam juga melarang umatnya melemparkan tohmahan, tuduhan, mahupun persepsi buruk yang sengaja diada-adakankan.

Menurut bekas ahli parlimen Bachok tersebut, tindakan menohmah dan menuduh pihak lawan memang mudah menarik sokongan dan undi tetapi bukanlah kemenangan sebenar.

"Hakikatnya ia petunjuk awal daripada Allah bahawa si penuduh itulah yang nantinya akan menelan ludahnya sendiri.

"Siapa yang menggali lubang, dia sendiri akan jatuh di lubang itu," katanya.

Kenyataan Nik Abduh itu tidak menyebut sebarang nama, namun muncul ketika PN - khususnya PAS - tekal mengkritik pentadbiran negara yang kini dipimpin Anwar Ibrahim, khususnya selepas gabungan terbabit gagal membentuk kerajaan pusat.

Wajib bersatu jaga negara

PN juga giat mengkritik Umno-BN selepas gabungan berkenaan memberikan dukungan kepada PH yang memerlukan sokongan ahli parlimen bagi membentuk majoriti di Dewan Rakyat.

Ada tokoh dari PAS misalnya pernah mengaitkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dengan neraka, manakala Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor malam tadi menganggap kerajaan sekarang sebagai "luar tabii".

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, hari ini menganggap pembentukan kabinet baru adalah sesuatu yang "paling mengecewakan dalam sejarah."

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula pernah mendakwa PH dipimpin oleh tokoh yang tidak beriman serta tidak bermoral. Dia juga mendakwa kerajaan sekarang tidak didominasi oleh orang Islam.

Pembangkang juga mengaitkan pemimpin PH pelbagai label seperti dengan Zionis dan LGBT.

Kata Nik Abduh, dalam politik di negara ini memang biasa melihat pemainnya melemparkan pelbagai tuduhan kepada musuh.

"Ia tanda tidak sihat. Parti mana yang berjaya menjauhinya, ia akan lebih kekal dan berjaya," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Nik Abduh turut mengingatkan bahawa menjadi kewajipan semua pihak khususnya umat Islam di Malaysia menjaga kerharmonian negara.

"Kewajiban umat adalah bersatu menjaga keharmonian negara.

"Tiada erti keharmonian jika agama Islam tidak dijaga dan dipertahankan. Ia retak menanti belah," katanya.

Gobind: PM tawar jawatan menteri tetapi saya tolak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata beliau menolak tawaran jawatan menteri daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana mahu memberikan tumpuan kepada tugasnya sebagai Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Damansara itu memberitahu ramai yang bertanya mengapa nama beliau tiada dalam senarai Jemaah Menteri yang dimumkan Anwar semalam.

“Perdana menteri ada bertanya kepada saya untuk menganggotai Jemaah Menteri. Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan perkara itu, saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak dapat berbuat demikian.

“Saya mahu memberi tumpuan kepada tugas saya sebagai Ahli Parlimen dan membantu kerajaan dalam apa semua cara yang saya boleh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Gobind juga turut mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas tawaran tersebut.

“Saya sekali lagi menyatakan keyakinan penuh saya terhadap kepimpinan perdana menteri dan percaya bahawa beliau akan berjaya membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.

Semalam, Anwar mengumumkan barisan 28 Jemaah Menteri daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan lain-lain parti.

Empat orang ahli Parlimen daripada DAP diumumkan sebagai ahli Jemaah Menteri.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sekali lagi dipilih sebagai Menteri Pengangkutan, manakala Nga Kor Ming, V Sivakumar dan Hannah Yeoh masing-masing dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri Sumber Manusia serta Menteri Belia dan Sukan.

𝗠𝗲𝗻𝗷𝗮𝘄𝗮𝗯 𝗙𝗶𝘁𝗻𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗻 𝗧𝘂𝗱𝘂𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗮𝗻 𝗦𝗿𝗶 𝗠𝘂𝗵𝘆𝗶𝗱𝗱𝗶𝗻

𝗠𝗲𝗻𝗷𝗮𝘄𝗮𝗯 𝗙𝗶𝘁𝗻𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗻 𝗧𝘂𝗱𝘂𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗮𝗻 𝗦𝗿𝗶 𝗠𝘂𝗵𝘆𝗶𝗱𝗱𝗶𝗻

Hari ini Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melemparkan fitnah dan tuduhan yang keterlaluan terhadap 𝗣𝗲𝗿𝗱𝗮𝗻𝗮 𝗠𝗲𝗻𝘁𝗲𝗿𝗶 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗿𝗮𝗷𝗮𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗿𝗽𝗮𝗱𝘂𝗮𝗻 𝗶𝗻𝗶 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝘁𝗲𝗹𝗮𝗵 𝗱𝗶𝗹𝗮𝗻𝘁𝗶𝗸 𝗱𝗮𝗻 𝗱𝗶𝗯𝗲𝗻𝘁𝘂𝗸 𝗱𝗶 𝗮𝘁𝗮𝘀 𝘁𝗶𝘁𝗮𝗵 𝗻𝗮𝘀𝗶𝗵𝗮𝘁 𝗦𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗮𝗱𝘂𝗸𝗮 𝗕𝗮𝗴𝗶𝗻𝗱𝗮 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗱𝗶-𝗣𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮𝗻 𝗔𝗴𝗼𝗻𝗴.

Mungkin Tan Sri Muhyiddin lupa, tetapi ini bukan lah Kerajaan Pakatan Harapan di mana Perdana Menteri boleh melantik sesiapa yang dia ingini. Ini adalah sebuah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk secara bersama, di mana dasar atau keputusan penting akan dibuat secara musyawarah, termasuk dalam isu pelantikan Jemaah Menteri.

Ini satu perubahan penting bagi mengelak kesilapan yang berlaku dalam setiap pentadbiran sejak 2018, di mana pelantikan Jemaah Menteri seringkali dibuat bukan mengikut saluran pimpinan utama parti. Pada ketika itu, kita saksikan kelompok-kelompok Kartel dalam parti dipersenjatakan (weaponised) lalu mewujudkan keadaan “parti dalam parti” (party in a party) yang akhirnya merosakkan kestabilan politik dalaman parti.

Maka berbeza dengan tiga pentadbiran sebelum ini, dan menginsafi apa yang pernah terjadi, maka YAB Perdana Menteri dan ketua parti dan gabungan di dalam Kerajaan Perpaduan ini telah bersetuju bahawa senarai calon Jemaah Menteri akan ditentukan parti atau gabungan masing-masing.

Sekiranya Tan Sri Muhyiddin tidak berpuas hati, janganlah marah atau melemparkan tohmahan kepada Perdana Menteri, 𝗸𝗲𝗿𝗮𝗻𝗮 𝗯𝘂𝗸𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗿𝗱𝗮𝗻𝗮 𝗠𝗲𝗻𝘁𝗲𝗿𝗶 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗮𝗺𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗰𝗮𝗹𝗼𝗻-𝗰𝗮𝗹𝗼𝗻 𝗱𝗮𝗿𝗶 𝗽𝗮𝗿𝘁𝗶 𝗮𝘁𝗮𝘂 𝗴𝗮𝗯𝘂𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗹𝗮𝗶𝗻.

Penting saya tegaskan komitmen 𝗣𝗲𝗿𝗱𝗮𝗻𝗮 𝗠𝗲𝗻𝘁𝗲𝗿𝗶 𝗯𝗮𝗵𝗮𝘄𝗮 𝗞𝗲𝗿𝗮𝗷𝗮𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗿𝗽𝗮𝗱𝘂𝗮𝗻 𝗶𝗻𝗶 𝘁𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗮𝗸𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗸𝗮𝗹𝗶-𝗸𝗮𝗹𝗶 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗮𝗺𝗽𝘂𝗿𝗶 𝘂𝗿𝘂𝘀𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗵𝗮𝗸𝗶𝗺𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗺𝗮𝗻𝗮-𝗺𝗮𝗻𝗮 𝗸𝗲𝘀.

Tan Sri Muhyiddin, hentikan lah serangan polemik yang mengeruhkan dan cuba mengelirukan rakyat.

Penting untuk kita ingat bahawa Tan Sri Muhyiddin sendiri punyai banyak isu yang mungkin perlu diteliti dan ditelusuri kelak, termasuk isu 𝟭𝗕𝗲𝘀𝘁𝗮𝗿𝗶𝗡𝗲𝘁 𝗱𝗮𝗻 𝗶𝘀𝘂 𝗱𝗮𝗻𝗮 𝗥𝗠𝟱𝟬𝟬 𝗯𝗶𝗹𝗶𝗼𝗻 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗱𝗶𝗸𝗮𝘁𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗱𝗶𝗯𝗲𝗹𝗮𝗻𝗷𝗮𝗸𝗮𝗻 𝘀𝗲𝘄𝗮𝗸𝘁𝘂 𝘁𝗲𝗺𝗽𝗼𝗵 𝗽𝗮𝗻𝗱𝗲𝗺𝗶𝗸.

-FAHMI FADZIL

Menteri Kominukasi Digital

Peralihan undi Melayu, belia kepada PN ‘mungkin tak tahan lama’

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik percaya masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa Perikatan Nasional (PN) kini menjadi parti pilihan dalam kalangan masyarakat Melayu dan pengundi muda dengan kemenangan ketaranya pada PRU bulan lepas.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, beberapa faktor, termasuk kehadiran kukuh PN di TikTok, mungkin menjadi punca peralihan undi daripada Barisan Nasional (BN) kepada PN.

PN mendominasi TikTok tetapi di kerusi Melayu, pilihan calon BN dan sabotaj dalaman juga mungkin menyebabkan peralihan tersebut, katanya.

“Kita juga tidak boleh terlepas pandang bahawa PN sangat berjaya meletakkan dirinya sebagai alternatif yang ‘bersih’ kepada BN dan Pakatan Harapan (PH) dan ini membantunya meraih undi Melayu dan golongan belia.”

PRU15 pada November adalah yang pertama menyaksikan Umno, selama ini dianggap sebagai parti Melayu paling dominan, gagal memenangi kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu, Melaka, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Bagaimanapun, masih belum dapat dilihat sama ada trend ini akan berterusan pada pilihan raya DUN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu tahun depan.

“Pilihan raya Parlimen dan DUN berbeza. BN mendominasi PRN Melaka tahun lepas tetapi gagal memenangi malah satu kerusi Parlimen bulan lepas,” katanya kepada FMT.

Dengan PH dan BN kini sebahagian daripada kerajaan perpaduan, mereka akan mempunyai kelebihan dalam menghadapi PRN.

PN guna TikTok dengan cemerlang

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, PN berjaya menggunakan TikTok untuk meraih undi golongan belia.

“TikTok difahami sebagai platform paling berpengaruh dalam kalangan pengundi muda. Penggunaan pempengaruh yang memikat dari segi visual mengeluarkan kenyataan bersifat keagamaan atau perkauman yang menarik adalah bijak,” katanya kepada FMT.

Walaupun tanpa TikTok, gabungan itu berjaya menarik sokongan daripada pengundi konservatif disebabkan tarikan keagamaannya, yang disumbangkan PAS.

“Ada pengundi yang tidak tertarik dengan Umno dan PH,” katanya.

“Umno digambarkan oleh PN sebagai korup, dan PH sebagai liberal, jadi mereka mengundi PN.”

Penganalisis politik Mazlan Ali berkata, TikTok ialah sumber utama maklumat politik bagi ramai pengundi muda.

“PN menguruskan media sosial mereka, terutamanya TikTok, dengan sangat baik berbanding parti politik lain,” kata Mazlan, daripada Universiti Teknologi Malaysia.

Dengan itu, PN mampu meraih undi golongan yang lebih tertumpu kepada isu perkauman dan agama.

Sharir Samad: Kerjasama Anwar, Zahid boleh sebabkan Tun M tidak senang duduk

Fahmy A Rosli

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang veteran Umno menyifatkan apa yang berlaku dalam landskap politik baharu negara, antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN), adalah realiti politik bersandarkan keperluan semasa.

Tan Sri Shahrir Samad melihat kesanggupan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim 'merujuk' kembali kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, termasuk parti lamanya iaitu Umno, mendorong 'peristiwa' itu berlaku.

Katanya, ia demi merealisasikan apa yang dihajati presiden PKR itu selama ini iaitu untuk bergelar perdana menteri.

"Akhirnya, DS (Datuk Seri) Anwar Ibrahim juga perlu berpaling balik kepada rakan lamanya, Zahid dan parti lamanya, Umno dan BN, kalau Anwar hendak mencapai cita-citanya menjadi perdana menteri negara ini.

"Retorik semasa pilihan raya terhenti serta-merta dan realiti politik...kedudukan dan kuasa menjadi dorong. Anwar terpaksa ambil juga (Ahmad) Zahid walaupun jiran Johan Ropi menolaknya. Entahlah apa rasa jirannya sekarang?

"Bagi Umno dan BN, kepimpinan di lima negeri dan kementerian-kementerian yang berkait rapat dengan kelompok pengundi yang merupakan teras sokongannya. Cerita politik yang belum habis dan akan bersambung," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Kerjasama antara Anwar yang kini menjawat jawatan Perdana Menteri dengan Ahmad Zahid yang diumumkan sebagai timbalannya dianggap Shahrir boleh membuatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak senang duduk.

Ini kerana, beliau menceritakan, Anwar dan Ahmad Zahid adalah seteru kepada Dr Mahathir sebelum muncul gerakan reformasi lagi.

"Orang yang paling bimbang ialah Tun Dr Mahathir kerana Anwar dan (Ahmad) Zahid seteru Tun Mahathir sebelum adanya reformasi lagi," katanya.

Amanah: Pelantikan Zahid tak jejas perjalanan kes mahkamah

Malaysiakini

Amanah berpendapat pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai sebahagian daripada anggota kabinet tidak akan menjejaskan perjalanan kes mahkamah yang membabitkan presiden Umno dan pengerusi BN terbabit.

Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim 'terikat' dengan kenyataan bahawa Ahmad Zahid masih memimpin sebuah parti yang memberikan sokongan kepada kerajaan sekarang.

Katanya dalam PRU yang lalu BN memenangi 30 kerusi dan gabungan itu kemudian menyokong PH untuk membentuk kerajaan pusat.

"Pada asasnya tiada apa-apa kaitan prasyarat kes mahkamah dan kedudukannya dalam kabinet sebagai timbalan perdana menteri.

"Kes mahkamah Ahmad Zahid tetap berjalan seperti biasa dan apa sahaja keputusan yang dibuat mahkamah adalah bebas dan tidak akan terikat dengan kedudukan dia dalam kabinet.

"Segala pematuhan undang-undang terpakai ke atas Ahmad Zahid sebagai implikasi apa yang akan berlaku ke atas dirinya di mahkamah nanti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Malam tadi Anwar mengumumkan barisan kabinet baru yang dipimpinnya selepas kira-kira seminggu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Imej probangsawan, elit

Antara pelantikan yang menarik perhatian - dan memang dijangkakan - ialah Ahmad Zahid selaku timbalan perdana menteri, serta menteri kemajuan desa dan wilayah.

Ia mengundang reaksi pelbagai kerana Ahmad Zahid kini dibicarakan atas puluhan pertuduhan jenayah termasuk rasuah. Dia kini di peringkat membela diri.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu merupakan salah seorang pemimpin berprofil tinggi dari BN dibicarakan di mahkamah selepas PH berjaya menjadi kerajaan kali pertama pada 2018.

Presiden Umno sebelum Amad Zahid, Najib Razak, sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah dan sedang menjalani hukuman penjara di Kajang.

Mujahid berkata satu lagi pelantikan menteri yang kontroversi ialah melibatkan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang sebelum ini kalah dalam cubaannya merampas kerusi parlimen Kuala Selangor.

Tokoh perbankan itu terpaksa tunduk kepada penyandang kerusi berkenaan, Dzulkefly Ahmad.

Kata Mujahid, Tengku Zafrul memiliki imej elit bangsawan dan ia bercanggah dengan tema prorakyat yang diperjuangkan PH.

"Bezanya kali ini Tengku Zafrul memegang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan dijangka tugasnya ialah membawa pelaburan luar ke dalam negara.

"Mungkinkah imej elitis properniagaannya akan membantu? Kita akan tunggu dan lihat," katanya.

Mujahid juga menegaskan orang ramai perlu memahami cabaran yang dihadapi Anwar untuk membentuk kerajaan berdasarkan rancangan mengecilkan saiz kabinet dan pada masa sama memenuhi taburan komponen parti dalam kerajaan.

Pun begitu, kata bekas menteri agama terbabit, Anwar sudah menjelaskan pembentukan kabinet tersebut dibuat berdasakan keperluan, objektif dan merit, bukannya demi membalas kesetiaan.

Dua puluh lapan menteri terdiri daripada 14 wakil PH, Umno (6), GPS (5), GRS (1)

Dua puluh lapan menteri itu terdiri daripada 14 wakil Pakatan Harapan, Umno (6), GPS (5), Gabungan Rakyat Sabah (1), Upko (1) dan seorang lagi bukan dari mana-mana gabungan atau parti.

Berikut senarai penuh Jemaah Menteri:

Timbalan Perdana Menteri I: Ahmad Zahid Hamidi (Umno)

Timbalan Perdana Menteri II: Fadillah Yusof (GPS)

Menteri Kewangan: Anwar Ibrahim (PH)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi): Azalina Othman Said (Umno)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi): Rafizi Ramli (PH)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama): Naim Mokhtar (tiada parti)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak): Armizan Mohd Ali (GRS)

Menteri Pertahanan: Mohamad Hasan (Umno)

Menteri Pengangkutan: Loke Siew Fook (PH)

Menteri Dalam Negeri: Saifuddin Nasution Ismail (PH)

Menteri Kerja Raya: Alexander Nanta Linggi (GPS)

Menteri Luar Negeri: Zambry Abdul Kadir (Umno)

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup: Salahuddin Ayub (PH)

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri: Tengku Zafrul Aziz (Umno)

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah: Ahmad Zahid Hamidi (Umno)

Menteri Perladangan dan Komoditi: Fadillah Yusof (GPS)

Menteri Pendidikan: Fadhlina Sidek (PH)

Menteri Pendidikan Tinggi: Khaled Nordin (Umno)

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat: Nancy Shukri (GPS)

Menteri Sains dan Teknologi: Chang Lih Kang (PH)

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan: Mohamad Sabu (PH)

Menteri Komunikasi dan Digital: Fahmi Fadzil (PH)

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan: Nga Kor Ming (PH)

Menteri Sumber Manusia: Sivakumar Varatharaju Naidu (PH)

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim: Nik Nazmi Nik Ahmad (PH)

Menteri Belia dan Sukan: Hannah Yeoh (PH)

Menteri Kesihatan: Zaliha Mustapa (PH)

Menteri Pelancongan: Tiong King Sing  (GPS)

Menteri Perpaduan: Aaron Ago Dagang (GPS)

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi: Ewon Benedick (Upko)

Anwar berkata, barisan menterinya akan mengangkat sumpah 3 petang esok dan beliau akan menemui Jemaah Menterinya bagi penetapan peraturan serta hala tuju.

“Dengan maksud memusatkan usaha dalam kerja mereka. Ini juga mengelakkan segala kecurigaan tentang kemungkinan pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya sambil menambah penjimatan boleh dilakukan dengan mengelakkan pembaziran dan mengurangkan perbelanjaan sia-sia.

“Saya tetapkan dalam Jemaah Menteri kerajaan perpaduan yang diutamakan soal tatakelola dan ‘good governance’ serta langkah boleh diambil untuk meringakan beban rakyat, sementara fokus utama tetap untuk pemacuan ekonomi.”

Katanya, senarai timbalan menteri akan diumumkan kelak.

Portfolio kewangan

Anwar berkata, urusan di Kementerian Kewangan diterajuinya akan dibantu beberapa penasihat yang tidak mengambil upah serta diketuai Penasihat Petronas, Hassan Marican.

Katanya, beliau sebenarnya “tidak cenderung” memegang jawatan menteri kewangan dan satu pendekatan perlu diambil untuk memulihkan keyakinan terhadap ekonomi, peniaga dan pelabur asing.

“Saya fikir pada peringkat permulaan ini, biar saya teruskan dan dibantu pasukan mantap, sama ada dalam kalangan penjawat awam dan kekuatan penasihat yang tak bebankan kewangan.”

- freemalaysiatoday

Kementerian yang digabung dan menteri dari lantikan senator

Malaysiakini

Terdapat beberapa perkara yang menjadi perhatian ketika pengumuman barisan jemaah menteri oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim malam ini.

Antaranya beberapa kementerian yang tidak disebut dan kemungkinan sama ada digabungkan dengan kementerian lain atau dibubarkan, seperti kesenian, perumahan, wilayah persekutuan dan tugas-tugas khas.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, yang dipegang Nik Nazmi Nik Ahmad, adalah gabungan dua kementerian sebelum ini iaitu Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula kini menjadi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan dipegang Salahuddin Ayub.

Baca senarai penuh barisan kabinet Anwar

Dalam pentadbiran baru ini, seramai 15 menteri adalah daripada PH, dengan lapan dari PKR, diikuti DAP (empat), Amanah (dua) dan Upko (satu).

Sementara itu, BN pula diwakili enam menteri dengan kesemuanya dari Umno, tanpa wakil dari dua lagi komponennya, MCA dan MIC.

GPS pula dengan lima menteri manakala GRS diwakili seorang menteri.

Seorang lagi menteri, iaitu Dr Naim Mokhtar yang memegang portfolio agama - bukan dari mana-mana parti. Dia pada masa ini adalah Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah.

Tiga lagi yang dinamakan Anwar - aifuddin Nasution Ismail, Zambry Kadir, dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz - tewas dalam PRU lalu dan akan dilantik sebagai senator nanti.

Anwar: Saya pegang portfolio kewangan untuk tingkat keyakinan pada ekonomi

Geraldine Tong

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, dia turut memegang portfolio kewangan kerana ingin meningkatkan keyakinan peniaga tempatan dan pelabur asing terhadap ekonomi negara.

Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung malam ini, Anwar mengumumkan senarai jemaah menteri dengan dia sebagai menteri kewangan.

Ketika sesi soal jawab kemudiannya, dia berkata pada mulanya tidak cenderung untuk memegang portfolio itu.

"Saya tidak cenderung, tetapi saya mahu memulakan satu pendekatan dan dasar dan beri keyakinan (dalam kalangan) peniaga tempatan dan pelabur asing terhadap ekonomi.

"Saya fikir pada peringkat permulaan ini, biar saya teruskan dan dibantu oleh pasukan yang mantap dengan penjawat awam dan penasihat yang tidak akan bebankan kewangan kerajaan," katanya.

Baca senarai penuh barisan kabinet Anwar

Sebelum itu, selain senarai menteri, dia turut memaklumkan penubuhan kumpulan penasihat yang akan membantu kerajaan, khususnya kementerian kewangan.

”Urusan kerajaan khususnya kementerian kewangan akan dibantu oleh beberapa nasihat yang tak akan mengambil upah, yang akan diketuai oleh penasihat (bekas CEO) petronas Hassan Merican,” katanya.

Anwar sebelum ini dilaporkan tidak mempertimbangkan untuk memegang portfolio kewangan.

Kali terakhir perdana menteri memegang portfolio itu adalah ketika pentadbiran Najib Razak.

Untuk rekod, manifesto PH pada PRU 2018 juga menyatakan perdana menteri tidak akan memegang sebarang kementerian lain.

Berdasarkan pengumuman hari ini, seramai 15 menteri adalah daripada PH, dengan lapan dari PKR, diikuti DAP (empat), Amanah (dua) dan Upko (satu).

Sementara itu, BN pula diwakili enam menteri dengan kesemuanya dari Umno, sementara GPS dengan lima menteri. GRS pula diwakili seorang menteri.

Seorang lagi menteri, iaitu Dr Naim Mokhtar yang memegang portfolio agama - bukan dari mana-mana parti. Dia pada masa ini adalah Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah.

Senarai Anggota Kabinet

Senarai penuh barisan kabinet itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi untuk diperkenan Tuanku.

Berikut adalah senarai penuh yang diumumkan:

Perdana Menteri, Menteri Kewangan: Anwar Ibrahim

Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah: Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri, Menteri Perladangan dan Komuniti. : Fadillah Yusof

Menteri Pengangkutan: Anthony Loke

Menteri Pertanian: Mohamad Sabu

Menteri Ekonomi: Rafizi Ramli

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan: Nga Kor Ming

Menteri Pertahanan: Mohamad Hasan

Menteri Kerja Raya: Alex Nanta Linggi

Menteri Dalam Negeri: Saifuddin Nasution

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri: Tengku Zafrul Abdul Aziz

Menteri Pendidikan Tinggi: Khaled Nordin

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi: Chang Lih Kang

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat: Nancy Shukri

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna : Salahuddin Ayub

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang): Azalina Othman Said

Menteri Sumber Asli: Nik Nazmi Nik Ahmad

Menteri Pembangunan Usahawan: Ewon Benedick

Menteri Luar Negeri: Zambry Kadir

Menteri Pelancongan: Tiomg King Sing

Menteri Komunikasi: Fahmi Fadzil

Menteri Pendidikan: Fadhlina Sidek

Menteri Perpaduan: Ago Dagang

Menteri Agama: Dato Dr Naim Mokhtar

Menteri Belia dan Sukan: Hannah Yeoh

Menteri Kesihatan: Dr Zaliha Mustafa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah Sarawak): Armizan Mohamad Ali

Kelantan: 6 remaja antara 9 lelaki direman kes rogol

FMT Reporters

PETALING JAYA: Enam remaja antara sembilan lelaki direman bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang gadis di Kota Bharu minggu lalu.

Berita Harian melaporkan suspek berusia 13 hingga 21 tahun itu direman lima hingga tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Izdham Naim Che Ani.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Rosdi Daud berkata, penahanan sembilan suspek itu selepas satu laporan berkaitan kes rogol membabitkan mangsa bawah umur diterima.

Katanya, mangsa memaklumkan keluar dari rumah di Wakaf Bharu, Tumpat pada 9 malam 25 Okt lalu dan tinggal bersama teman lelakinya di Kampung Semut Api, Jalan PCB, Kota Bharu.

“Ketika tinggal bersama suspek, mangsa melakukan hubungan bersama suspek dan rakan-rakan lelakinya yang lain.

“Hasil siasatan, ibu mangsa membuat laporan polis berkait kehilangan anaknya pada 16 Nov lalu,” katanya dalam kenyataan dipetik akhbar itu.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

Pengumuman senarai ahli kabinet ditangguh ke malam ini

Malaysiakini 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai anggota kabinet pentadbirannya pada 8.15 malam ini.

Pada mulanya Anwar dijadual membuat pengumuman itu pada jam lima petang, di mana pengamal media mula berkumpul di Putrajaya untuk membuat liputan berkenaan perkara itu.

Namun, Pejabat Perdana Menteri kemudian memaklumkan ia akan ditangguh ke malam ini.

Terdahulu, ketika berucap di majlis jamuan Kenduri Rakyat di Tambun, Perak, Anwar berkata, pengumuman itu dibuat selepas senarai berkenaan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi tadi.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad.

"Saya buat keputusan persembahkan (senarai anggota kabinet) kepada Tuanku dan Insya-Allah saya akan umumkan barisan menteri pada petang ini," kata Anwar.

Ahli parlimen Tambun itu menjelaskan biasanya jika ada pengumuman penting sebegitu dia tidak akan keluar Putrajaya bagi memberi tumpuan kepada hal-hal berkaitan.

Bagaimanapun, tambah Anwar, dia tidak dapat mengetepikan "panggilan orang Tambun dan orang Perak" yang menunggunya di majlis tersebut.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga menjelaskan, ada "ratusan" orang yang layak untuk dibawa menyertai kabinet baru namun dia terpaksa membuat pilihan kerana jawatan yang disediakan adalah terbatas.

Anwar juga menjelaskan sebelum ini kerajaan sudah bersetuju untuk mengehadkan bilangan jemaah menteri dan pelantikan lain seperti duta khas.

Katanya langkah itu perlu diambil bagi menjimatkan wang negara dan dana tersebut akhirnya akan 'dipulangkan' kepada rakyat terbanyak.

Kenduri Rakyat di Tambun hari ini merupakan majlis rasmi pertama untuk Anwar sebagai perdana menteri di luar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sebelum hadir ke majlis tersebut Anwar diperkenan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, di Istana Kinta, Ipoh.

Sebelum ini timbul spekulasi yang mengaitkan Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, bakal dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Jawatan timbalan perdana menteri dijangka diberikan kepada BN selepas parti itu bersetuju menyertai kerajaan dan menjadi gabungan kedua terbesar selepas PH.

Anwar yang juga Presiden PKR dilantik sebagai perdana menteri selepas mendapat sokongan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan selepas keputusan PRU ke-15 menyaksikan tiada parti mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, dia akan mengadakan mesyuarat khas bersama barisan kabinetnya Isnin ini.

Katanya, pertemuan itu bagi membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat serta peraturan yang akan ditetapkan terhadap jemaah menteri.

Antaranya, kata Anwar, peraturan itu membabitkan cara mereka berdamping dan bekerjasama dengan penjawat awam, kaedah buat pengumuman mesyuarat dasar dan cara berjimat agar tidak berbelanja melebihi had.

Anak Najib, 2 Adun PH antara 10 exco Pahang

Malaysiakini

Anak kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Mohd Nizar, adalah seorang daripada 10 wakil rakyat Pahang yang mengangkat sumpah sebagai exco negeri hari ini.

Mohd Nizar dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Peramu Jaya dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.

Selain itu, dua Adun Pakatan Harapan (PH) turut mengangkat sumpah di Istana Abu Bakar, Pekan, petang ini.

Mereka ialah Adun Teruntum yang juga wakil PKR, Sim Chon Siang, dan Adun Triang (DAP), Leong Yu Man.

Sim adalah Adun Teruntum untuk penggal ketiga manakala Yu Man yang juga anak pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah, pula dipilih sebagai Adun Triang sejak 2013.

Dalam pada itu, antara muka lama yang dikekalkan ialah Adun Benta, Mohd Soffi Abd Razak; Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau) dan Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar).

Muka baru BN yang disenaraikan dalam exco kerajaan Pahang pula ialah Adun Muadzam Shah, Razali Kassim; Mohd Johari Harun (Pelangai) dan Sabariah Saidan (Guai).

Mohd Johari dan Sabariah adalah Adun penggal pertama.

Turut dilantik sebagai exco ialah bekas setiausaha akhbar menteri besar Pahang, Mohd Fadzli Mohamad Kamal yang juga Adun Dong.

Seorang bekas exco digugurkan dalam senarai walaupun turut menang dalam PRU baru-baru ini iaitu Adun Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram.

Istiadat angkat sumpah berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar bermula jam 3.05 petang tadi.

Turut hadir pengerusi PH Pahang, Amirudin Shari yang juga menteri besar Selangor.

Azhar Harun kosongkan kerusi speaker sebelum 19 Dis

Malaysiakini

Azhar Harun hari ini mengesahkan bahawa dia akan mengosongkan kedudukannya sebagai Speaker Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang pada 19 Disember ini.

Sehubungan itu, katanya, sidang Parlimen yang bakal bersidang akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat.

"Mengikut Perlembagaan Persekutuan, saya perlu mengosongkan kerusi pada tengah malam 18 Disember.

"Jadi tiada Speaker sebelum dewan bersidang jam 10 pagi keesokan harinya," katanya yang dipetik akhbar The Star.

Anwar umum senarai ahli kabinet petang ini

Malaysiakini

Anwar Ibrahim mengesahkan dia akan mendedahkan senarai kabinet baru yang ditunggu-tunggu ramai.

Berucap di majlis jamuan Kenduri Rakyat di Tambun, Perak, perdana menteri berkata, pengumuman itu dibuat selepas senarai berkenaan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi tadi.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad.

Adakah Muhyiddin akan redakan serangan PAS terhadap k'jaan?

Malaysiakini

Sejak Perikatan Nasional (PN) gagal meraih majoriti untuk membentuk kerajaan pasca-PRU ke-15, parti komponennya PAS melancarkan serangan tanpa henti terhadap kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan-BN.

Serangan pemimpin PAS itu dihalakan terutamanya terhadap parti komponen PH, DAP.

Dalam catatan di Facebook hari ini, PAS mengucapkan "takziah kepada Umno" yang menurutnya tewas di tangan DAP.

"Kini penyokong akar umbi Umno terpaksa patuh, jangan diusik DAP lagi. Ahli Umno juga perlu belajar untuk terima bahawa komunis adalah pahlawan negara seperti yang dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin DAP.

"Umno yang dahulunya memperjuangkan kemerdekaan kini terpaksa membantu DAP untuk menulis semula sejarah kemerdekaan negara ini.

"Tahniah DAP. Takziah Umno," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu seterusnya mendakwa Umno "dipaksa" untuk tunduk kepada DAP kerana parti PH itu mempunyai kiraan kerusi tertinggi dalam gabungan berkenaan.

"Pilihan telah dibuat, jawatan telah ditawarkan, suka atau tidak, Umno perlu menerima dan memenuhi kehendak DAP," katanya sambil mendakwa pemimpin Umno yang bersuara menentang kerjasama dengan DAP telah diketepikan.

Minggu lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menuduh DAP mempromosikan Islamofobia.

Jawatankuasa pusat PAS turut menuduh DAP sebagai "parasit" dengan menunggangi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahli parlimen PAS Baling Hassan Saad pula mendakwa Anwar adalah ejen Israel, yang menyebabkan polis menyiasatnya atas tuduhan fitnah.

Minggu lalu, Abdul Hadi mempersoalkan pelantikan Anwar sebagai perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong dengan menggunakan analogi bola sepak, bertanya sama ada adil untuk pengadil Piala Dunia mengalihkan tiang gol.

Ini selepas PN menegaskan bahawa ia telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan persekutuan, yang sepatutnya diketuai oleh pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin dilihat berdiam diri

Satu lagi persoalan yang telah dibangkitkan di tengah-tengah serangan politik oleh PAS ini ialah sikap Muhyiddin yang berdiam diri berhubung perkara itu.

Kenyataan terakhir presiden Bersatu itu pada 25 Nov, ketika dia membayangkan kemungkinan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan, selepas akur dengan kekalahan pada pilihan raya.

Muhyiddin juga berkata PN akan terus kekal sebagai pembangkang bagi menyediakan peranan semak dan imbang dalam kerajaan.

Facebook Ahli Parlimen Pagoh itu juga kali terakhir dikemas kini pada 25 Nov, hari yang sama dua kenyataan di atas dikeluarkan.

Majlis Raja-Raja Melayu baru-baru ini menggesa kerajaan baru untuk menyemai "semangat kebersamaan" di kalangan rakyat Malaysia.

Dalam titah selepas mempengerusikan Majlis Raja-Raja ke-260 baru-baru ini, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyeru agar hasutan perkauman dan agama dihentikan.

Veteran DAP Lim Kit Siang juga hari ini mencadangkan penubuhan suruhanjaya untuk menggesa Abdul Hadi dan pemimpin PAS lain mengemukakan bukti dakwaan mereka bahawa DAP dan sekutunya mempromosikan Islamofobia.

Di samping itu, Lim berkata suruhanjaya itu juga perlu diminta membuat syor tentang cara mengelakkan Malaysia daripada terpolarisasi dan dibahagikan dengan “politik pembohongan, ketakutan, kebencian, kaum dan agama”.

Tegas Lim, pembentukan suruhanjaya itu sepatutnya menjadi isu mendesak yang harus ditangani oleh kabinet baru di bawah Anwar.

Insya-Allah Zahid bakal jadi TPM, kata sumber Umno

Haspaizi Zain

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, hampir pasti menganggotai kabinet pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

Menurut sumber dalaman Umno, ahli Parlimen Bagan Datuk itu dicalonkan parti terbabit untuk memegang jawatan berkenaan selaras dengan kedudukannya selaku ketua parti.

"Hampir pasti presiden Umno akan jadi timbalan perdana menteri, insya-Allah. Itu saja saya boleh cakap," katanya kepada .

Jika ia menjadi kenyataan, Ahmad Zahid akan menjawat tugas sebagai timbalan perdana menteri buat kali kedua.

Kali pertama dia menjadi timbalan perdana menteri ialah semasa kerajaan dipimpin Najib Razak.

Sebelum ini, spekulasi memang sudah bertiup kencang dengan mengaitkan Ahmad Zahid sebagai timbalan Anwar selaras dengan peranan serta sokongan tokoh terbabit kepada presiden PKR itu menjadi perdana menteri.

Beberapa pemimpin Umno seperti Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii, turut berpendapat Ahmad Zahid wajar mendapat jawatan berkenaan bagi menstabilkan kerajaan.

Semalam bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa, berkongsi pandangan sama dengan merujuk kepada kedudukan Ahmad Zahid sebagai pemimpin tertinggi dalam hierarki parti.

Katanya, perdana menteri tidak boleh memandang enteng sokongan Umno yang membolehkan terbentuknya kerajaan perpaduan.

Pagi tadi perdana menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dipercayai bagi mempersembahkan barisan kabinet kerajaan pimpinannya.

Senarai Kabinet dijangka akan diumumkan perdana menteri petang nanti selepas mendapat perkenan Agong.

Seorang lagi sumber yang rapat dengan presiden Umno turut mengesahkan Ahmad Zahid dicadangkan sebagai timbalan perdana menteri.

"Ya, nama presiden dicadangkan sebagai timbalan perdana menteri," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, sumber memberitahu Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan turut ada dalam senarai kabinet Anwar.

Selain Mohamad turut dijangka mendapat tempat ialah Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Abdul Ghani.

Difahamkan BN akan mendapat lima jawatan menteri dan enam timbalan menteri.

Calon BN dilapor tarik diri di Padang Serai

Predeep Nambiar

KULIM: Calon Barisan Nasional C Sivaraj dikatakan telah menarik diri daripada pilihan raya Parlimen Padang Serai, kurang seminggu sebelum tarikh pengundian 7 Dis, yang berkemungkinan untuk memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH).

Seorang pemimpin BN mendakwa keputusan itu dibuat secara sukarela dan beliau “akur” dengan tindakan yang diambil. Bagaimanapun, sehingga kini, Sivaraj masih membisu mengenai status percalonannya.

“Dia memutuskan untuk menarik diri (pertembungan) semalam. Ia adalah keputusannya sendiri, kami tidak memaksanya.

“Keputusan itu mengecewakan beberapa pemimpin akar umbi yang dilaporkan telah bekerja keras untuk berkempen untuknya,” kata sumber itu, yang tidak mahu namanya disiarkan.

Pagi ini, petugas dilihat menurunkan sepanduk Sivaraj di beberapa jalan dekat Lunas.

Jemputan ke ceramah bersama oleh pemimpin PH dan BN di Padang Serai malam ini telah dihantar.

Sivaraj sebelum ini menegaskan beliau tidak akan menyerahkan kerusi itu kepada PH dan akan terus berkempen.

Pada Rabu, beliau tidak menerima sebarang arahan daripada pucuk pimpinan BN untuk memberi laluan kepada pencabar lain.

Spekulasi mengenai penarikan diri daripada pilihan raya Padang Serai didorong lagi oleh ceramah bersama BN dan PH yang dianjurkan malam ini, majlis kedua mereka berkongsi pentas selepas pertama kali diadakan di DUN Tioman beberapa hari lalu.

Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ketua BN Kedah Jamil Khir Baharom, Ketua PH Kedah Mahfuz Omar dan calon PH Padang Serai, Sofee Razak, dijangka berucap pada ceramah tersebut.

Pilihan raya Padang Serai ditangguhkan pada 7 Dis ekoran calon PH M Karupaiya meninggal dunia beberapa hari sebelum pilihan raya umum 19 Nov.

Selain Sivaraj dan Sofee, calon lain turut bertanding ialah Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (bebas).

FMT telah menghubungi Sivaraj untuk mendapatkan ulasan.

Tak nak ‘langkah’ apa lagi dah, wakil rakyat BN beritahu Wan Saiful

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat Barisan Nasional menepis dakwaan pemimpin Bersatu bahawa pentadbiran Anwar Ibrahim tidak stabil kerana boleh diugut gabungan itu pada bila-bila masa.

Ahli Parlimen Jempol, Shamsulkahar Deli, berkata gerakan seperti Langkah Sheraton tidak akan berulang kerana BN tidak nak terlibat dengan cubaan menggulingkan kerajaan.

“Kita tak nak terlibat dalam ‘langkah’ apa-apa lagi. Kita fokus pada titah Agong (kerajaan perpaduan). Kita tak nak ‘langkah-langkah’ apa lagi dah,” katanya kepada FMT.

Shamsulkahar menjelaskan BN akur tidak ada parti yang memperoleh jumlah kerusi secukupnya pada PRU lepas justeru Yang di-Pertuan Agong menyeru kerajaan perpaduan diusahakan demi kestabilan.

Tegasnya, pengalaman bertukar perdana menteri akibat percaturan segelintir pihak tidak harus berulang.

“Kita tak mahu berterusan ‘politicking’ sebegini. Cukuplah pengalaman macam dulu, empat tahun tiga perdana menteri.”

“Rakyat siapa nak jaga jika leka berpolitik saja?” soalnya, mengingatkan keutamaan mestilah ekonomi dan kesejahteraan.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, sebelum ini mendakwa pentadbiran Anwar masih tidak stabil dan boleh diugut BN – situasi sama ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Seorang lagi wakil BN bagaimanapun tidak terkejut dengan kenyataan Wan Saiful itu.

“Memang sebagai pembangkang dia akan cakap begitu,” kata Ahli Parlimen Kota Tinggi, Khaled Nordin.

Anwar memimpin kerajaan perpaduan melibatkan Pakatan Harapan, BN, Gabungan Parti Sarawak, dan Gabungan Rakyat Sabah, serta disokong wakil rakyat Warisan, Muda, Parti Bangsa Malaysia, dan beberapa Ahli Parlimen bebas.

Perdana menteri mengumumkan sidang pertama Dewan Rakyat pada 19 Disember akan jadi medan mengesahkan keabsahan kerajaan perpaduan.

Tiba-tiba isu komunis dan Israel muncul: Pas ketika jadi kerajaan juga sering membisu….

DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN

Seperti biasa apabila tiba musim Pilihan Raya Umum (PRU), segala hantu jembalang muncul berkeliaran dan kali ini jembalang jenis komunis dan Israel muncul dari kubu-kubu kuat Pas.

Isu hantu komunis dan Israel ini dilepaskan secara bermusim bukan perkara baru tetapi ‘modus operandi’ taktik biasa Pas.

Semasa kerajaan dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang disokong Pas dahulu, beliau membenarkan pegawai kerajaan Israel hadir seminar di pusat konvensyen KLCC selama seminggu.

Kami membangkitkan hal ini tetapi Pas diam membisu.

Semasa Pas jadi kerajaan tahun 2020 dan Israel menyertai Ekspo Dubai 2020 yang menyebabkan Palestin menarik diri dari menyertai ekspo tersebut, Pas bukan hanya tidak membantah tetapi menyokong Malaysia menyertai ekspo tersebut.

Timbalan Menteri dari Pas, Datuk Amzad Hashim dengan megahnya mendirikan Billboard gergasi dengan gambar beliau jelas terpapar menggesa rakyat Terengganu dan Malaysia menyertai ekspo yang turut sama disertai oleh negara haram Israel.

Semasa Pas menjadi sebahagian dari kerajaan mereka tidak menganggap Israel hantu atau musuh tetapi rakan niaga kekayaan duniawi.

Semasa Pas mula berjinak dengan kerajaan dahulu mereka tidak membantah kemasukan ahli Parti Komunis Republik China ke Malaysia untuk mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur.

Yang amat menyedihkan lagi, apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mencadangkan siasatan ke atas kekejaman umat Muslim minoriti Islam Uighur oleh kerajaan Komunis Republik China yang telah lama dilaporkan media antarabangsa, Pas sekali lagi membisu.

Amat memalukan 19 negara membantah siasatan, 17 negara termasuk negara bukan Islam seperti England dan negara negara Uropah bersetuju siasatan, tetapi Malaysia berkecuali sekali gus menggagalkan siasatan kekejaman oleh Rejim Komunis China ke atas umat Islam!

Mana suara Tan Sri Haji Hadi Awang Duta Khas, suara menteri penuh Tuan Ibrahim dan suara Idris Ahmad Menteri Agama apabila kerajaan Republik Komunis China menzalimi umat Islam minoriti ?

Apa motif dan agenda Pas yang kini tiba-tiba bersungguh-sungguh benar mendakwa komunis ada di Malaysia tetapi tidak membuat laporan polis pun berhubung dakwaan ini?

Jelas hari ini Pas adalah semata-mata parti politik yang bertopengkan Islam untuk memperdayakan penyokong untuk kuasa dan kedudukan.

Pas hari ini jauh berbeza Pas pada era Tok Guru Nik Aziz, yang memerangi zionis Israel dan kezaliman baik komunis atau tidak secara konsisten dan berterusan.

Pas hari ini memperkudakan Islam tanpa perjuangan yang konsisten serta berubah ubah, dan tidak jelas perjuangan demi pemimpin yang gilakan kuasa dan kedudukan duniawi.

Anwar hadap Agong 8 pagi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada 8 pagi Jumaat.

Tanpa mendedahkan perkara yang bakal dibangkitkan ketika menghadap Agong pagi nanti, pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, perbincangan mengenai pelantikan barisan Jemaah Menterinya hampir selesai dan berharap pengumuman dapat dibuat dalam masa terdekat.

“Saya mohon maaf, terpaksa bergegas (untuk) selesaikan masalah (isu Jemaah Menteri) dengan semua parti komponen kerana kita harus segera bentuk barisan Jemaah Menteri dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya harap dapat diumum dalam masa dua, tiga hari lagi,” katanya dipetik Bernama dalam Majlis Ramah Mesra Reformis di Sungai Long, Kajang.

Anwar dijadualkan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Perak pada 10 pagi nanti.

Beliau kemudian dijadual mengadakan sesi tinjauan mesra di Pasar Tanjung Rambutan, melawat tapak Klinik Kesihatan Manjoi, menunaikan solat Jumaat dan menghadiri kenduri rakyat di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Ipoh.

Isnin lalu, Anwar dilaporkan berkata, pembentukan Jemaah Menteri kerajaan pimpinannya memerlukan perbincangan pelbagai pihak kerana membabitkan banyak parti.

Katanya, proses rundingan juga mengambil masa kerana Jemaah Menteri baharu lebih kecil berbanding pentadbiran terdahulu.

Kerajaan perpaduan Anwar terdiri daripada PH, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah, dengan sokongan Ahli Parlimen Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan dua wakil rakyat bebas.

Anwar harap dapat umum kabinet 'dua, tiga hari' lagi

Malaysiakini

Di tengah-tengah spekulasi sengit mengenai barisan kabinetnya yang akan datang, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia berharap pengumuman itu dapat dibuat dalam masa beberapa hari lagi.

Dia berkata hampir keseluruhan barisan kabinetnya "hampir selesai", dan perdana menteri akan menuju ke Istana Negara pada pukul 8 pagi esok sebelum berangkat ke Perak.

Puad Zarkashi: Tanpa akta, ramai MP PN akan lompat parti

Malaysiakini

Ahli Majlis tertinggi Umno, Puad Zarkashi mengingatkan Ketua Penerangan PN, Wan Saiful Wan Jan bahawa akta lompat parti telah ‘menyelamatkan’ pemimpin parti itu daripada melompat parti.

Puad berkata demikian bagi menjawab kenyataan Wan Saiful yang mengatakan PN memilih untuk menjadi pembangkang kerana mempertahankan prinsip.

"Wan Saiful Wan Jan bangga PN berprinsip kerana sanggup jadi pembangkang. Beliau silap. Akta antilompat parti menyelamatkan PN. Tanpa Akta itu, ramai MP PN akan lompat parti.

"Apatah lagi ramai ahli aarlimen PN adalah bekas pelompat parti. Sepatutnya PN berterima kasih kepada BN. Akta itu digubal dan diluluskan semasa BN jadi PM," katanya dalam hantaran Facebook.

Menurutnya, ini terbukti apabila PN tidak dapat menghalang GRS yang terdiri daripada ahli parlimen Bersatu daripada menyokong Pengerusi PH, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Undang-undang antilompat parti yang diwartakan pada 6 Sept, merupakan komponen utama perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) yang dimeterai kerajaan pimpinan

bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan PH.

Sementara itu Puad berkata penyertaan BN dalam kerajaan perpaduan adalah berasaskan “trust” atau kepercayaan.

Sebaliknya, beliau mendakwa pengerusi PN, Muhyiddin Yassin menerima sokongan BN dalam kerajaan dengan "niat untuk membunuh Umno".

"Sebab itu Muhyiddin boleh jadi PM 17 bulan sahaja. Silap sendiri. Scheme of things gagal. Tiada berkat,” tambahnya.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH tumbang pada 2020 dan hanya bertahan selama 22 bulan.

Bagaimanapun, pengerusi PN itu, yang didakwa mengetuai kerajaan pintu belakang, kemudiannya juga tumbang akibat rampasan kuasa politik.

Keputusan BN menyertai PH dan bukannya BN menyaksikan kedua-duanya bersaing bagi jawatan perdana menteri dan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 menyebabkan parlimen digantung.

Walaupun mengalami kemerosotan paling teruk dalam pilihan raya, BN kembali semula menjadi kerajaan dengan 30 kerusi parlimen dan memihak kepada Anwar.

PM dijangka umum sebahagian senarai kabinet esok

Hariz Mohd

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin mendedahkan sebahagian senarai nama ahli kabinet baru esok, menurut sumber yang rapat dengan presiden PKR itu.

Walau bagaimanapun, jika pengumuman dibuat, tidak mungkin mereka yang dinamakan akan mengangkat sumpah pada hari yang sama.

Perdana menteri dijadual berada di Perak untuk senarai program sehingga petang, termasuk menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Akhbar The Strait Times yang memetik sumber berkata Istana Negara juga tidak menambah majlis angkat sumpah dalam jadualnya untuk esok.

Orang dalam PKR yang bercakap kepada Malaysiakini mendakwa setakat petang tadi, Anwar masih berusaha untuk memuktamadkan senarai menteri.

Ini disifatkan sebagai tugas yang mencabar bagi perdana menteri kerana Anwar terpaksa menangani "banyak permintaan dan tuntutan" sambil pada masa yang sama mengurangkan bilangan kementerian.

Salah satu sumber mendakwa perdana menteri mengehadkan bilangan menteri sekitar 25 orang, turun daripada 32 orang ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

"Terdapat ramai orang yang meminta jawatan. (Anwar) perlu mempertimbangkan tuntutan daripada lebih 10 pihak," kata orang dalam.

"Sebaik-baiknya, senarai itu harus dimuktamadkan malam ini, kerana pengumuman kabinet mungkin dibuat esok. Tetapi saya dengar dia mungkin hanya mengumumkan sebahagian senarai itu," tambahnya.

Diminta untuk menghuraikan lebih lanjut mengenai apa yang dimaksudkan dengan senarai tidak penuh itu dan jika terdapat jumlah yang dijangka akan diumumkan, sumber itu berkata dia belum mempunyai petunjuk jelas mengenai perkara itu.

Pemimpin tinggi PKR itu enggan mendedahkan bahagian jawatan yang akan diperolehi setiap gabungan dalam kerajaan, tetapi berkata laporan Sinchew Daily semalam tidak jauh daripada apa yang dibincangkan.

Menurut akhbar itu, PKR akan mendapat Anwar sebagai perdana menteri dan empat jawatan menteri, BN akan mendapat jawatan timbalan perdana menteri ditambah empat jawatan menteri, GPS Sarawak akan mendapat jawatan timbalan perdana menteri ditambah tiga menteri, DAP akan mendapat lima menteri, Amanah akan dapat dua menteri dan Upko akan dapat seorang.

Lobi bekas menteri BN

Sementara itu, orang dalam Umno mendakwa terdapat halangan dalam membentuk kabinet baru kerana lobi oleh seorang bekas menteri, yang didakwa mengintai jawatan menteri kewangan.

Sumber yang rapat dengan pejabat Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Malaysiakini bahawa bekas menteri itu daripada Umno tetapi namanya tidak termasuk dalam senarai calon yang dihantar Umno ke Pejabat Perdana Menteri.

"Dia menjadi batu penghalang. Dia bukan sebahagian daripada senarai itu dan Anwar juga tidak mahu dia sebagai menteri kewangan.

“Tetapi kerana dia telah melobi dengan tokoh tertentu, jadi sekarang kami berada dalam situasi ini,” dakwa sumber itu

Malaysiakini telah menghubungi bekas menteri itu untuk mendapatkan penjelasan dan tidak menamakan dirinya sementara menunggu jawapan.

Sejak Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada Khamis lalu, sorotan tertumpu terhadap perancangan kabinetnya.

Ia telah menarik banyak minat terutamanya disebabkan oleh komposisi kerajaan perpaduan, yang terdiri daripada gabungan politik utama PH, BN, GPS Sarawak, dan GRS dan Warisan dari Sabah.

Jumaat lalu, pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan yang dipimpinnya akan mempunyai saiz kabinet yang lebih kecil.

Pada 2018, apabila PH menang pilihan raya umum ke-14, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad juga telah mengambil langkah mengumumkan tiga portfolio utama kabinetnya terlebih dahulu sebelum mendedahkan barisan penuhnya.

Didakwa sekali lagi atas tuduhan rogol remaja – Hakim harap kes ustaz ini tidak disensasi

DANIAL HAKIM

Semua pihak diingatkan supaya tidak mensensasikan kes penceramah Fathi Naim yang sekali lagi didakwa hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Sebelum ini, tertuduh yang nama sebenarnya Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 30, didakwa dengan sembilan pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap mangsa sama di Mahkamah Sesyen Klang.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Tasnim Abu Bakar mengingatan hal itu pada prosiding hari ini selepas membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

“Tertuduh, peguam dan mana-mana pihak diminta tidak mensensasikan kes ini dalam media sosial,” katanya.

Terdahulu, Fathi mengaku tidak bersalah merogol mangsa di sebuah hotel, di sini, antara jam 2 dan 10 pagi 3 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Fathi yang berasal dari Terengganu merupakan Pengarah Maahad Tahfiz Darul Wafa’ di Shah Alam.

Aktivis Dakwah Yemen Care (NGO) berkenaan juga personaliti dakwah RTM, TV Al Hijrah, TV9 dan Astro Oasis.

Sekitar 400 hingga 500 buruh asing maut sepanjang persiapan projek Piala Dunia Qatar

SITI NUR ZAWANI MISCON

Sekitar 400 hingga 500 pekerja asing dilaporkan maut sepanjang kerja-kerja pembinaan menjelang perlawanan Piala Dunia Qatar 2022, kata seorang pegawai kanan acara itu.

Dalam temu bual bersama stesen televisyen Britian kelmarin, Setiausaha Agung Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia 2022 Qatar Hassan al-Thawadi berkata, angka yang disebutkan itu merujuk kepada statistik kebangsaan meliputi semua sektor dan kewarganegaraan dari tempoh 2014 hingga 2020.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah buruh yang mati melibatkan kerja-kerja berkaitan Piala Dunia.

Bagaimanapun Hassan berkata, angka sebenar masih sedang dibincangkan oleh jawatankuasa penganjur.

“Anggaran adalah antara 400 hingga 500 kematian. Saya tidak mempunyai angka yang tepat, ia masih dibincangkan.

“Satu kematian adalah terlalu banyak, ia semudah itu,” katanya memetik laporan AFP.

Hassan berkata, setiap tahun piawaian kesihatan dan keselamatan ditambah baik di tapak-tapak pembinaan di negara itu.

“Sekurang-kurangnya bagi pihak kami, di tapak-tapak pembinaan berkaitan Piala Dunia. Ia dilaksanakan dengan baik sehinggakan ada kesatuan sekerja (memuji) kerja-kerja yang dilakukan di tapak Piala Dunia serta penambahbaikan tersebut,” ujarnya.

Meskipun Qatar berulang kali menepis dakwaan kumpulan hak asasi manusia bahawa beribu-ribu pekerja asing meninggal dunia sejak negara itu menang hak untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, namun ia tidak pernah memberikan angka tepat jumlah kematian.

Lapor AFP, Jawatankuasa Tertinggi sebelum ini menegaskan bahawa hanya 37 orang pekerja yang terlibat dalam projek Piala Dunia maut, dengan hanya tiga adalah kemalangan berkaitan tempat kerja sejak pembinaan bermula pada 2014, lapor laman berita Wion News.

Namun, akhbar The Guardian melaporkan tahun lalu bahawa 6,500 buruh asing dari India, Pakistan, Nepal, Bangladesh dan Sri Lanka telah mati melibatkan kerja-kerja infrastruktur Piala Dunia.

PN 'offer' MB Pahang Jadi Menteri Penh?

Kerajaan tak tubuh lagi tapi PN 'offer' menteri - MB Pahang

NS Ramli

Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan keputusan untuk bekerjasama dengan PH adalah bagi memastikan pembentukan kerajaan negeri yang stabil.

Katanya, rundingan dengan PN untuk menubuhkan kerajaan gagal kerana sikap pimpinan gabungan parti itu yang dilihat terlalu mementingkan jawatan.

Berucap pada ceramah umum PRU15 di Rompin malam tadi, Wan Rosdy berkata sebelum kerajaan negeri dibentuk dia dihubungi pengerusi PH Pahang, Amirudin Shari.

Katanya pada masa itu Amiruddin menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama tanpa syarat kepada BN Pahang bagi membentuk kerajaan negeri.

Wan Rosdy berkata dia juga kemudiannya dihubungi pimpinan PN di mana dia bertemu Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Idris Ahmad.

"Dalam pertemuan itu, timbalan presiden PAS telah bercakap dulu dan ketika itu kerajaan (Persekutuan) belum ditubuhkan lagi.

"Ayat pertama dikeluarkan kepada saya mengatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju melantik saya sebagai senator dan diberi jawatan menteri penuh.

"Saya ni terkejut dalam hati, kerajaan tak tubuh lagi ni, macam mana boleh 'offer' kepada saya," katanya kepada penyokong yang hadir pada ceramah tersebut.

Selain Amirudin, turut hadir dalam ceramah itu ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan bekas ahli parlimen Kuala Nerang, Khairuddin Aman Razali.

PN mahu jawatan diagihkan

Wan Rosdy berkata, Tuan Ibrahim kemudiannya memaklumkan PN mahu jawatan menteri besar Pahang, jawatan speaker DUN dan jawatan Exco diagihkan seimbang antara BN dan PN.

Selain itu katanya, PN juga menuntut tiga daripada lima kuota ahli dewan undangan negeri (ADUN) lantikan diberikan kepada mereka.

"Saya kira-kira, saya lihat nampak (mereka) bukan nak berbincang, tapi dah menetap dan menentu (keputusan) sebelum rundingan dimulakan.

“Jadi saya cakap, PH sedia bekerjasama dengan kami (BN Pahang) tanpa syarat,” katanya.

Pada perjumpaan kali kedua, katanya, PN masih tetap dengan pendiran untuk mendapatkan jawatan speaker dan exco.

Wan Rosdy turut mendedahkan sikap segelintir pimpinan PN yang meminta pejabat jawatankuasa kemajuan dan kemakmuran kampung (JKKK) dan kunci balai raya diserahkan ketika proses rundingan sedang berjalan.

"Jadi kami membayangkan, maknanya kestabilan dan kemakmuran adalah perkara kedua bagi mereka," katanya.

Kata Wan Rosdy, keputusan dibuat BN untuk bersama PH bukan keputusan dirinya seorang tetapi dibincangkan bersama Adun lain dan di bawa ke mesyuarat badan perhubungan Umno negeri.

PN tolak kerajaan perpaduan

Dalam pada itu Wan Rosdy turut menyindir Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah yang mempertikaikan pendirian BN memilih PH untuk membentuk kerajaan negeri.

"Orang yang mempertikaikan kenapa kita pilih PH dan bukan PN, dia itu dah berapa kali lompat dah.

"Saya tak nak cakap tapi kita tengoklah, daripada BN ke PKR, darripada PKR ke Bersatu dan tak mustahil kalau ditawarkan (jawatan) selepas ini, lompat lagi," katanya.

Wan Rosdy juga mendedahkan BN dan PH Pahang cuba membentuk model kerajaan perpaduan di negeri ini dengan menawarkan satu kerusi Exco kepada PN.

Namun katanya tawaran itu ditolak PN.

"Kita dah boleh tubuhkan kerajaan ketika itu, tapi kerana kita berjiwa besar, kita tawarkan juga satu kerusi (jawatan) Exco kepada mereka (PN Pahang) bagi tujuan perpaduan, tapi mereka yang tolak dan kemudian salahkan saya," katanya.

Dia berharap penjelasan mengenai kronologi rundingan bagi membentuk kerajaan Pahang antara BN, PH dan PN itu dapat difahami rakyat.

Ini katanya penting supaya tidak berlaku salah anggap terhadap keputusan BN memilih bersama PH untuk menjadi kerajaan.

"Saya memang tunggu peluang ini, untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku dan kita buat keputusan dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan kestabilan kerajaan negeri di Pahang," katanya.

LANTIK ZAHID HAMIDI SEBAGAI TPM HANYA MUDARAT KECIL BERBANDING MUDARAT BESAR KERAJAAN MUNGKIN TUMBANG JIKA TIDAK MELANTIKNYA

Shahbudin Husin 

Ketika ini isu yang paling menjadi bualan susulan terbentuknya kerajaan perpaduan yang mula-mula disokong BN ialah sama ada wajar atau tidak Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Di satu pihak merasakan, berdasarkan hireaki serta kedudukannya dalam parti, beliaulah yang paling wajar diberikan jawatan tersebut.

Lebih daripada itu, sebagaimana semua orang tahu, peranan dan sumbangan serta keteguhan jiwa Zahid Hamidi mahu bersama dengan PH berbanding sebahagian Ahli Parlimen lain dalam BN yang lebih condong kepada PN, ia merupakan satu lagi kewajaran yang tidak boleh diketepikan begitu saja.

Dalam politik, malah dalam kehidupan seharian pun, berbudi, membalas budi dan mengenang budi adalah resam kehidupan yang terpuji.

Di satu pihak lain pula merasakan tidak wajar sama sekali Zahid Hamidi dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana beliau masih ada kes mahkamah yang belum selesai.

Beberapa pemimpin PKR turut memberi pandangan berkenaan ketidakwajaran itu.

Mereka berhujah, jika itu berlaku, ia bukan saja mencemarkan kerajaan pimpinan Anwar nanti dan mendedahkan kepada kecaman ramai, bahkan agak memalukan kerajaan jika seorang Timbalan Perdana Menteri kerap berulang alik ke mahkamah untuk membersihkan dirinya.

Pihak ini berpendapat, selagi kesnya tidak selesai, Zahid Hamidi harus diletakkan di bangku simpanan terlebih dahulu dan hanya setelah didapati tidak bersalah, barulah beliau boleh dibawa masuk sebagai antara pemain utama dalam kabinet.

Dalam soal ini, ada dua isu yang saling berkait dengannya iaitu pertama, rule of law atau kedaulatan undang-undang yang perlu dipertahankan dan kedua, kedudukan masa depan kerajaan perpaduan.

Dari segi undang-undang, melantik seseorang yang masih ada kes dalam perbicaraan bukan merupakan suatu kesalahan atau perkara yang tidak boleh dilakukan.

Prinsip keadilan mengatakan, seseorang itu tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah dan menjatuhkan hukuman sebelum mahkamah berbuat demikian adalah suatu bentuk ketidakadilan.

Dalam kes Zahid Hamidi, memang benar beliau sedang dibicarakan, tetapi belum lagi didapati bersalah oleh mahkamah.

Kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Md Yasin, seterusnya kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui oleh Ismail Sabri Yaakob juga pernah merestui pemimpin yang masih ada kes mahkamah dilantik ke jawatan utama dalam kerajaan iaitu Bung Mokhtar Radin sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah pada pada September 2020 yang lalu dan sehingga sekarang beliau masih memegang jawatan berkenaan.

Jika ada yang mahu bising nanti, kenapa ketika Bung Mokhtar dilantik dulu, tiada sesiapa terutama pemimpin Bersatu dan Pas yang berteriak membuat bantahan?

Perkara asas yang paling penting untuk dipertahankan ialah kerajaan mesti tidak campurtangan dalam kes beliau dan mahkamah mesti diberi jaminan untuk bertindak bebas membuat keputusan berdasarkan bukti serta keterangan yang dibentangkan..

Anwar dalam hal ini, jika memutuskan untuk melantik Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, ia bukan saja tidak bercanggah dengan rule of law dan prinsip keadilan yang disebutkan tadi, malah beliau harus kekal berpegang teguh kepada janjinya sejak puluhan tahun lagi untuk tidak campurtangan sama sekali dalam sistem kehakiman.

Jika itu dapat dibuktikan dan diyakinkan kepada rakyat, tiada apa-apa yang perlu dibimbingkan dengan termenjadinya Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Biarkan Zahid Hamidi menghadapi kesnya bersama pasukan peguamnya, cuma jika akhirnya didapati bersalah, beliau tiada pilihan lain selain mesti berundur dan meletakkan jawatannya.

Yang kedua, apa yang Anwar mesti fikirkan dan semua orang dalam PH harus rasional dalam berfikir ialah pemilihan UMNO akan berlangsung dalam tempoh enam bulan akan datang dan kiranya kepimpinan UMNO bertukar tangan, kedudukan kerajaan perpaduan ini juga bakal tergugat.

Dengan memberikan Zahid Hamidi jawatan kedua dalam kerajaan, ia bukan saja membantu beliau lebih mudah mengekalkan jawatannya sebagai Presiden UMNO, malah lebih penting dapat memastikan kerajaan perpaduan ini kekal memerintah negara.

Dalam erti kata kata lain, di sebalik kes mahkamah yang sedang dihadapinya, melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri hanyalah mudarat kecil kecil saja berbanding jika tidak diberikan apa-apa jawatan dan kemudian gagal mempertahankan jawatannya, mudarat lebih besar iaitu keruntuhan kerajaan pasti akan berlaku.

Mereka dalam UMNO yang menyokong PN dan lebih ingin Mahiaddin Md Yasin menjadi Perdana Menteri hanya menunggu tibanya pemilihan parti saja untuk “mengerjakan Zahid Hamidi dan seterusnya menumbangkan kerajaan perpaduan ini.

Keruntuhan kerajaan jika berlaku lagi dalam waktu terdekat ini sebagaimana tiga Perdana Menteri bertukar tangan dalam tempoh lima tahun sebelum ini, ia seperti sengaja mengundang mala petaka yang merosakkan nama negara, meruntuhkan ekonomi, menjejaskan kestabilan kerajaan yang menyebabkan tiada pelabur mahu datang, mengakibatkan kejatuhan nilai matawang dan semua itu akhirnya memberi kesusahan ketara kepada kehidupan rakyat.

Kalau ditanya pemimpin Pas yang sering memperlihatkan hukum-hakam politik di negara ini sebagai hak mereka membuat penentuan, mereka pasti setuju bahawa memilih mudarat kecil untuk mengelakkan mudarat lebih besar adalah dalil yang harus hukumnya daripada sudut agama. – ShahbudinHusin 29/11/2022.