Ku Li cabar keputusan PRU15, dakwa calon PAS beli undi

Malaysiakini

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi parlimen berkenaan.

Petisyen itu difailkan oleh Mohd Azmi Mahmood, bagi pihak pemimpin veteran Umno itu pada 3 Jan lalu.

Tengku Razaliegh diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah, Mohd Hafarizam Harun, Abu Bakar Isa Ramat dan Mohd Baharudeen Mohd Ariff.

Menurut laporan Astro Awani, petisyen itu menamakan Ahli Parlimen Gua Musang dari PN, Mohd Azizi Abu Naim, pegawai pengurus pilihan raya Ab Fattah Hasbullah, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Petisyen berkenaan antara lain meminta agar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang dibatalkan dan menggesa SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi tersebut.

"Anak guam kami mendakwa berlaku politik wang dalam pilihan raya tersebut selain beberapa situasi yang mengganggu perjalanan proses pengundian," kata Abu Bakar seperti dilapor portal berita itu.

Abu Bakar berkata, selai pemberian wang kepada pengundi, anak guamnya mendakwa beberapa peti undi dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) tidak dikira, selain kertas undi tidak dikembalikan.

Pengurusan kes itu dibacakan buat kali pertama di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Nik Habri Muhamad, di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Khamis. Manakala pengurusan kes seterusnya akan didengar pada 25 Januari.

Pada PRU15, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li gagal mempertahankan kerusi parlimen Gua Musang untuk penggal ke-12 apabila tewas kepada Mohd Azizi dari PAS.

Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis 163 undi selepas memperoleh 21,826 undi, manakala Tengku Razaleigh mendapat 21,663 undi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan