Hamzah Zainudin: 'Wallahi... sehari selepas PRU, Mohamad Hasan datang ke rumah saya'

Nor Fazlina Abdul Rahim

nfazlina@nstp.com.my

TUMPAT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa bahawa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak bercakap jujur apabila menyatakan DAP lebih baik berbanding PAS yang menjadi antara alasan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) mendakwa, ia kerana Ahli Parlimen Rembau itu bercakap sebaliknya sebelum ini.

"Saya wallahi nak cerita... sehari selepas Pilihan Raya Umum (PRU), beliau (Mohamad) ada datang ke rumah saya.

Takiyuddin sahkan ada pertemuan PN, pimpinan tertinggi BN diketuai Mohamad Hasan

"Apa yang disampaikan kepada saya ialah: 'Brother, saya hendak maklumkan sekiranya Presiden UMNO mahu bekerjasama dengan DAP, saya orang pertama yang akan menentang'.

"Malah, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menjadi saksi pertemuan dan kata-kata itu.

"Namun, apabila beliau kini menyatakan DAP lebih ikhlas dan lebih baik... apahal manusia macam ini. Sejak akhir-akhir ini, mereka sentiasa bercakap pusing-pusing," dakwanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir, PN Sentiasa Bersamamu di Kampung Periok, di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dan Takiyuddin.

Mohamad ketika berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam, berkata UMNO bekerjasama dengan DAP pasca PRU15 kerana parti itu tidak bermuka-muka serta tidak berpura-pura dalam setia kawan.

Sebaliknya, Mohamad berkata, UMNO sukar bekerjasama dengan PAS kerana mendakwa PAS tidak pernah setia atau ikhlas, malah tanpa segan berselingkuh atau curang dengan parti serpihan atau 'janda' UMNO.

Mengulas lanjut, Hamzah mengaku terkejut apabila mendengar ucapan Mohamad pada perhimpunan agung parti itu, semalam.

"Jika mereka menyatakan DAP lebih baik daripada PAS, ini bermakna UMNO sudah tidak betul... mana boleh DAP lebih baik (daripada PAS).

"Justeru, saya yakin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, rakyat sudah pasti tidak akan menyokong mereka yang menyatakan DAP lebih baik berbanding PAS," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan