‘Pemimpin Umno dibebas mahkamah tak boleh nak tuduh AG niat jahat’

Hidir Reduan Abdul Rashid

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Salim Bashir mengingatkan Umno bahawa pembebasan semata-mata beberapa pemimpin parti itu yang didakwa di mahkamah semasa Tommy Thomas memegang jawatan Peguam Negara (AG) adalah tidak mencukupi untuk menuduhnya membuat pendakwaan yang salah terhadap mereka.

Salim berkata demikian ketika mengulas gesaan Pemuda Umno yang mengajak para pemimpin parti itu yang dibebaskan supaya berpakat menyaman Thomas atas niat jahat dan fitnah.

“Secara amnya, budi bicara pihak berkuasa pendakwaan (AG) adalah non-justiciable (tidak boleh dicabar di mahkamah) atau peguam negara tidak perlu menjawab setiap keputusan untuk mendakwa di mahkamah. Ini dikecuali dapat dibuktikan bahawa budi bicaranya diselubungi dengan niat jahat dan penipuan.

“Sekadar pembebasan daripada pertuduhan sahaja tidak bermakna institusi prosiding jenayah tidak mempunyai sebab yang munasabah.

“Pemberian pembebasan sahaja dan mendakwa diri tidak bersalah tidak boleh mengekalkan saman salah guna dalam jawatan awam dan pendakwaan berniat jahat, kerana secara ideal alasan pembebasan mungkin disebabkan oleh banyak aspek di bawah undang-undang.

“Seseorang (yang berniat untuk menyaman Peguam Negara atas dakwaan pendakwaan berniat jahat) mesti menunjukkan bahawa pendakwaan terhadapnya dimulakan tanpa sebab yang munasabah dan dengan niat jahat untuk mencederakan tertuduh, dan berdasarkan alasan mengabaikan undang-undang dan fakta kes secara terang-terangan,” kata Salim kepada Malaysiakini.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata pemimpin parti yang didakwa di mahkamah semasa Thomas menjadi peguam negara dan kemudian dibebaskan perlu menyaman Thomas atas niat jahat dan fitnah.

Dia mendakwa terdapat unsur pendakwaan terpilih dan pengaruh politik dalam badan kehakiman negara pada ketika itu.

“Pemuda Umno ingin mencadangkan agar semua pemimpin Umno yang telah dibebaskan oleh mahkamah agar bersepakat menyaman Tommy Thomas yang terbukti berniat jahat hanya untuk memalukan dan merosakkan reputasi Umno dengan pendakwaan politik terpilih.

"Biar (tindakan menyaman itu) menjadi pengajaran bahawa Melayu-Umno ini bangsa yang tidak pernah tunduk kepada ugutan, tidak mengemis belas kasihan, tidak melutut kepada kezaliman," tegas Asyraf ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung tahunan Pemuda Umno yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Thomas dilantik sebagai AG selepas Pakatan Harapan berkuasa pada 2018. Dia berkhidmat sehingga Februari 2020 sebelum meletak jawatan apabila kerajaan persekutuan PH runtuh akibat rampasan kuasa politik.

Semasa Thomas berkhidmat sebagai peguam tertinggi negara, sebilangan besar pemimpin Umno telah didakwa di mahkamah.

Mereka termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, yang sejak itu didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan rasuah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.

Antara pemimpin lain yang didakwa ketika itu, Shahrir Samad, Ahmad Maslan, Abdul Azeez Abdul Rahim, Musa Aman, Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Bung Moktar Radin dan Isa Samad.

Sejak itu, beberapa daripada mereka telah dibebaskan oleh mahkamah termasuk Tengku Adnan, Shahrir dan Ahmad Maslan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan